13 Ogos dua hari lepas merupakan Hari Kidal Sedunia yang telah disambut di seluruh dunia dan dikenali sebagai Left Handers Day. Tahukah anda bahawa terdapat hanya lebih kurang 10% daripada orang di dunia ini adalah kidal, manakala selebihnya merupakan mereka yang menggunakan tangan kanan dalam aktiviti seharian. Malah, ramai penyelidik dan pakar berpendapat bahawa peratusan ini adalah konsisten sejak dahulu lagi. Kenapakah orang yang kidal ini dianggap lebih berbeza berbanding orang biasa yang menggunakan tangan kanan?

Berdasarkan sejarah, individu yang cenderung menggunakan anggota badan pada sebelah kiri dianggap sebagai seseorang yang membawa aura negatif berbanding dengan mereka yang menggunakan anggota badan kanan. Kidal ini juga sebenarnya dikenali sebagai sinistrality, di mana perkataan ini berasal daripada perkataan Latin, iaitu sinister yang membawa maksud kiri atau malang.

Pada zaman pertengahan, individu yang kidal ini terpaksa hidup dalam bahaya akibat daripada tuduhan-tuduhan yang dilemparkan terhadap mereka yang dikaitkan dengan penggunaan sihir dan ilmu hitam. Malah, pada abad ke-19, seorang pakar sosiologi Perancis, Robert Hertz yang mengembara ke kawasan selatan benua Afrika telah menyatakan bahawa, puak Zulu di Afrika akan mengisi air yang mendidih ke dalam sebuah lubang dan meletakkan tangan kiri anak-anak mereka ke dalamnya, bertujuan untuk mengelakkan penggunaan tangan kiri.

Namun, di sebalik segala konotasi negatif yang dikaitkan dengan mereka yang kidal ini, sejarah turut menunjukkan bahawa kidal tidak selalunya berhubung dengan perkara yang jahat atau nasib malang. Masyarakat Celt purba sebagai contohnya, mempunyai kepercayaan mengenai bahagian kiri yang dikaitkan dengan feminity, iaitu sumber kepada seluruh kehidupan. Dan kepercayaan ini menjadikan mereka memuja bahagian kiri dan menganggapnya sebagai suatu anggota yang suci.

Masyarakat Greek purba turut mempunyai kefahaman mereka yang tersendiri mengenai bahagian kiri dan kanan, di mana lelaki dan perempuan dikatakan mewakili bahagian yang berbeza, iaitu lelaki adalah kanan, manakala perempuan mewakili bahagian kiri. Ini adalah berkaitan dengan mitos pada waktu itu, iaitu mereka percaya bahawa lelaki diciptakan daripada benih yang datang daripada bahagian kanan testikel, manakala perempuan yang dilahirkan pula adalah hasil daripada benih yang datang daripada bahagian kiri.

Kajian sains terhadap kidal

Secara umumnya, bagaimana seseorang itu cenderung menjadi kidal masih tidak begitu difahami dan kajian mengenainya masih rancak dijalankan sehingga kini. Terdapat pelbagai teori yang dikaitkan dengan kidal, di mana setiap penyelidik mempunyai pendapat mereka yang tersendiri tentang bagaimana kidal ini boleh berlaku. Satu daripada teori dan pendapat yang popular ialah berkaitan dengan brain lateralization, iaitu berkaitan dengan fungsi istimewa hemisfera otak (hemispheric functional specializations).

Berdasarkan penerangan yang diberikan oleh Singg & Martin (2016), dalam kalangan individu biasa yang menggunakan tangan kanan, bahagian hemisfera kiri otak akan mengawal segala aktiviti yang berlaku seperti percakapan dan pergerakan, dan keadaan ini adalah terbalik bagi individu yang kidal. Keadaan otak bagi mereka yang kidal adalah bergantung kepada hemisfera kanan atau kedua-dua hemisfera otak akan mengawal situasi pemprosesan verbal dan aktiviti yang lain. Bahagian hemisfera kanan otak ini banyak mengawal keadaan yang berkaitan dengan persekitaran, muzik, kesenian, geometri dan estetika.

Terdapat konflik dalam kalangan penyelidik mengenai kecenderungan jantina yang lebih dominan terhadap kidal ini. Namun, berdasarkan kajian meta-analysis yang dijalankan, didapati bahawa lelaki adalah lebih cenderung untuk menjadi kidal berbanding dengan perempuan. Kajian yang dijalankan juga turut menemui kaitan di antara individu kidal dengan pelbagai masalah fizikal dan psikologi. Antaranya ialah individu kidal dikatakan lebih banyak mengalami masalah skizofrenia, autism dan masalah kecelaruan personaliti. Malah, individu kidal juga juga cenderung untuk mengalami penyakit-penyakit kronik seperti masalah jantung, asma dan migrain.

Meskipun individu kidal dikaitkan dengan pelbagai masalah kesihatan dan psikologi, namun masih terdapat kajian-kajian lain yang menunjukkan penemuan istimewa dalam kalangan orang yang kidal. Individu kidal mempunyai IQ yang lebih tinggi berbanding individu biasa yang menggunakan tangan kanan dan kebanyakan individu yang mempunyai nama besar dalam bidang seni dan muzik merupakan individu kidal. Antara contoh individu kidal yang terkenal dalam sejarah ialah Barack Obama, Bill Clinton, Leonardo da Vinci, Pablo Picasso dan Michelangelo Buonarroti.

Kidal juga kerap ditemui dalam kalangan atlet dan ahli sukan. Individu kidal yang bergelar ahli sukan dikatakan mempunyai kebolehan dan potensi yang lebih besar untuk berjaya, terutamanya dalam sukan judo, tenis dan tinju. Antara contohnya ialah jaringan gol yang dilakukan oleh Andreas Brehme, hasil sepakan kaki kirinya pada perlawanan suku akhir Piala Dunia pada tahun 1986.

Peralatan untuk individu kidal

Sejajar dengan perkembangan teknologi, pada masa kini terdapat banyak peralatan serta objek yang telah direka khusus untuk kemudahan individu kidal. Ini menunjukkan  bahawa masyarakat semakin menerima individu kidal dan perbezaan yang mereka miliki berbanding individu biasa.

Produk dan peralatan khusus untuk orang kidal ini kebiasaannya direka mengikut kesesuaian dan bertujuan untuk memudahkan aktiviti seharian bagi individu kidal. Antara produk utama yang direka khusus bagi individu kidal ialah tetikus komputer dan gunting. Kedua-dua peralatan ini adalah antara objek yang biasa digunakan dalam aktiviti seharian, maka inisiatif dan usaha yang diambil oleh syarikat pengeluar dalam menyediakan versi berbeza bagi individu kidal amatlah dihargai.

Kesimpulan

Kidal bukanlah suatu penyakit mahupun suatu keadaan yang membawa malang kepada orang lain. Individu kidal adalah mereka yang istimewa kerana dianugerahkan Tuhan untuk menggunakan anggota kiri untuk melakukan aktiviti seharian mereka. Individu kidal juga mempunyai bakat yang luar biasa dalam bidang seni dan muzik. Namun, segalanya adalah bergantung kepada usaha dan keyakinan diri yang perlu ada dalam diri setiap individu, dan kidal ataupun tidak bukanlah penentu kepada apa jua pencapaian yang dimiliki oleh mereka.

Rujukan

Gutwinski, S., Löscher, A., Mahler, L., & Kalbitzer, J. (2011). Understanding Left-Handedness. Dtsch Arztebl Int, 108(50), 849–853.

Llaurens, V., Raymond, M., & Faurie, C. (2009). Why are some people left-handed? An evolutionary perspective. Philosophical Transactions of the Royal Society B: Biological Sciences, 364(1519), 881–894. https://doi.org/10.1098/rstb.2008.0235

Singg, S., & Martin, Z. (2016). Left-handedness and artistic abilities: A first look. Biology and Medicine, 8(2), 1000271. https://doi.org/10.4172/0974-8369.1000271

Willems, R. M., Der Haegen, L. Van, Fisher, S. E., & Francks, C. (2014). On the other hand: Including left-handers in cognitive neuroscience and neurogenetics. Nature Reviews Neuroscience, 15(3), 193–201. https://doi.org/10.1038/nrn3679

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Anak Terengganu yang bercita-cita untuk menjadi food historian, dan memasang impian untuk mengeluarkan buku mengenai kesemua makanan warisan di Malaysia. Telah selesai viva untuk Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pemakanan dan bakal bergraduat pada akhir tahun nanti. Sukakan muzik, drama dan filem, tetapi nyata rasanya lebih kepada penulisan. Seorang ghostwriter, penyunting dan penterjemah sambilan. Bidang penulisan yang diminati; pemakanan, sains makanan, gastronomi, sejarah dan eksplorasi karya (drama dan filem).

Comments are closed.