Khutulun: Puteri Jelita Mongol Yang Tak Terkalahkan

2,960

Khutulun merupakan seorang wanita bangsawan Mongol yang hidup pada zaman wujudnya Empayar Mongol. Beliau dicatatkan sebagai seorang pahlawan yang hebat dan kekuatannya dalam sukan gusti sering dikisahkan secara meluas. Khutulun ini sangat masyhur sampaikan kisah hidupnya ditulis oleh Rashid al-Din, seorang penulis Parsi yang hidup di Ilkhanate, dan pengembara masyhur dari Venetia yang bernama Marco Polo.

LATAR BELAKANG KEBANGSAWANAN KHUTULUN

Khutulun turut dikenali sebagai Aigiarne, Aiyurug dan Khotol Tsagaan. Aigiarne membawa maksud bulan cerah. Khutulun diperkirakan hidup pada sekitar tahun 1260M. Bapanya bernama Kaidu, iaitu cucu kepada Ogedei Khan dan sepupu kepada Kublai Khan.

Tidak seperti Kublai Khan yang mengasaskan Dinasti Yuan dan mengamalkan gaya hidup masyarakat Cina, Kaidu memilih untuk mengekalkan gaya hidup nomad yang diamalkan oleh nenek-moyang mereka.

Menjelang tahun 1280M, Kaidu dianggap sebagai salah seorang pemerintah paling berkuasa dalam Empayar Mongol dan beliau mengekalkan kedudukan yang teguh di Chagatai Khanate yang berpangkalan di Asia Tengah.

Ogedei Khan. Bapa Khutulun iaitu Kaidu merupakan cucu kepada Khan ini

Menjelang waktu itu, Empayar Mongol sedang mengalami perpecahan dan gelaran “Khan Agung” yang disandang oleh Kublai Khan tidak membawa sebarang fungsi – hanya gelaran semata-mata. Berbanding memperluaskan wilayah-wilayah perbatasan empayar, khan-khan Mongol itu sibuk bertelagah antara satu sama lain. Kaidu merupakan salah seorang pemerintah Mongol yang mengambil sikap penentangan terhadap Kublai Khan dan sekutu-sekutunya. Dalam suasana dan masa-masa sebeginilah Khutulun dilahirkan.

Khutulun dibesarkan oleh bapanya dengan gaya hidup nomad, sama seperti 14 orang abangnya. Antara latihan yang dilaluinya termasuklah bergusti, menunggang kuda dan memanah. Sebaik beliau meningkat dewasa, Khutulun membesar sebagai seorang wanita yang mahir dalam sukan-sukan itu. Beliau sering dianggap sebagai anak kesayangan Kaidu. Memandangkan bakatnya dalam hal ketenteraan sangat terserlah, Kaidu sering meminta cadangan dan khidmat nasihat daripadanya.


Pemanah wanita dalam pemakaian Mongol semasa Festival Naadam

CATATAN MARCO POLO MENGENAI KHUTULUN

Salah satu sumber maklumat berkenaan Khutulun datang daripada penulisan Marco Polo. Pengembara dari Venetia itu mencatatkan bahawa Khutulun “dikurniakan tubuh badan yang sangat sihat, memiliki ketinggian dan kegagahan yang luar biasa sampaikan beliau hampir dianggap sebagai gergasi”. Beliau juga menuliskan bahawa Khutulun itu “sangat kuat sampaikan tidak ada seorang pemuda pun dalam seluruh empayar yang mampu menewaskannya.”

Tambahan lagi, Marco Polo merekodkan bahawa kegagahan Khutulun dalam pertempuran dan pertarungan tidak dapat ditandingi oleh sesiapapun dalam kalangan tentera bapanya. Gaya tempur kegemaran beliau adalah menerpa ke arah barisan musuh, memagut seorang tentera kavalri mereka dan mengheretnya ke barisan tentera sendiri untuk dilunyaikan.

Khutulun si pahlawan dalam siri Marco Polo

CABARAN BERGUSTI OLEH KHUTULUN

Menurut Marco Polo, ketika Khutulun sudah cukup dewasa, Kaidu berhasrat untuk mengahwinkannya. Namun, hasrat tersebut dibantah oleh Khutulun dan beliau menetapkan syarat bahawa beliau hanya akan mengahwini lelaki yang mampu menewaskannya dalam sukan kegemarannya – iaitu gusti. Syarat dan permintaan tersebut dipersetujui oleh Kaidu.

Lantas, Khutulun pun membuat pengumuman ke seluruh empayar bahawa cabarannya itu dibuka kepada sesiapa sahaja. Menurutnya, jika lelaki tersebut mampu menewaskannya, maka beliau akan menjadi isteri kepada lelaki tersebut. Namun, jika lelaki itu yang tewas, maka dia perlu memberikan 100 ekor kuda kepadanya.

Memandangkan Khutulun merupakan puteri kepada salah seorang pemerintah yang paling berkuasa di empayar ketika itu, maka ramai lelaki berasa terpanggil dengan tawaran tersebut. Dalam tempoh masa yang singkat, istana Kaidu diserbu oleh para pelamar yang mahu menyahut cabaran Khutulun itu. Namun, tidak seorang pun dari mereka mampu menewaskannya sampai-sampai Khutulun berjaya meraih 10 000 ekor kuda melalui cabaran tersebut.

Kemudian, muncul seorang putera yang masih muda. Penampilan pemuda tersebut memikat perhatian Kaidu. Kaidu kemudian meminta kepada puterinya agar kalah dengan sengaja supaya dapat mengahwinkan pemuda itu dengannya. Namun, permintaan itu enggan ditunaikan oleh Khutulun dan putera itu pun kalah semasa bergusti dengannya.

Qutulun, puteri Qaidu. Lukisan yang dianggarkan bertarikh 1410-1412M ini menggambarkan Khutulun sedang bergusti dengan seorang pelamar

Marco Polo tidak menyebutkan perihal jodoh Khutulun, walaupun sumber-sumber lain ada menyatakan bahawa beliau kemudiannya berkahwin juga kelak. Sebahagian sumber mendakwa bahawa Khutulun pada akhirnya berkahwin dengan seorang tawanan yang menurutnya memiliki ‘ketampanan’. Sementara sumber lain pula pula menyatakan bahawa beliau mengahwini salah seorang tentera dalam ketumbukan bapanya.

PUTERI KHUTULUN MENGINSIPIRASIKAN SEBUAH KARAKTER OPERA

Kaidu mangkat pada tahun 1301M. Sebahagian pendapat mendakwa bahawa beliau berhasrat supaya kedudukannya diwarisi oleh Khutulun. Namun, hal itu dibantah oleh anak-anak lelakinya dan kedudukan Kaidu pada akhirnya diwarisi oleh salah seorang puteranya. Beberapa tahun selepas kemangkatan Kaidu, diperkirakan pada tahun 1306M, Khutulun pula meninggal dunia.

Apa yang menariknya, karakter Turandot (yang dimasyhurkan oleh seorang komposer dari Itali yang bernama Giacomo Puccini dalam persembahan opera berjudul sama) diandaikan mengambil inspirasi daripada Khutulun.

Opera Turandot yang diarah oleh Roberto De Simone, Januari 2012 di Teatro Comunale Bologna

TERJEMAHAN:

DHWTY. (14 Oktober 2018). Khutulun: The Undefeated Bad-Ass Mongolian Warrior Princess. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/khutulun-0010840

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.