Khaulah Al-Azwar: Srikandi Yang Disamakan Seperti Khalid Al-Walid

2,604

Sepanjang lipatan sejarah Islam, muncul pelbagai srikandi yang datang dari pelbagai latar belakang yang mengangkat martabat agama ke tahap lebih tinggi. Antara srikandi Islam yang terkenal ialah Ummul Mukminin Khadijah binti Khuwailid dan Aisyah bin Abu Bakar r.a, Khaulah al-Azwar, Razia Sultan dan Shajarat al-Durr. Sebut tentang Khaulah al-Azwar, wanita ini mengagumkan para tentera lelaki yang berjuang di perbatasan Syam semasa era Khulafa’ Ar-Rashidin dengan kemampuan kepimpinannya yang hebat sehingga menakutkan pihak musuh ketika itu.

Tidak diketahui bila tahun sebenar beliau dilahirkan tetapi Khaulah merupakan salah seorang puteri pembesar Bani Asad, Malik bin Aus di mana beliau juga dikenali dengan gelaran al-Azwar. Adiknya ialah salah seorang komander tentera Islam yang hebat bernama Dhirar al-Azwar dan turut bersamanya semasa kempen perang di Syam. Keluarganya merupakan antara keluarga pertama dari kabilah berkenaan yang menerima kehadiran Islam di mana bapanya, Malik dan seorang pembesar bernama Thulaihah bin Khuwailid merupakan antara orang bertanggungjawab memujuk Bani Asad menerima Islam selepas Perang Khandak.

Bakat Khaulah mula terserlah apabila satu riwayat menceritakan beliau melibatkan diri dalam Pertempuran Sanita al-Uqab, salah satu daripada siri pertempuran yang membawa kepada pengepungan dan kejatuhan kota Damsyik ke tangan pasukan kerajaan Islam Madinah yang diketuai Khalid bin al-Walid r.a. Semasa pengepungan itu berlaku, Dhirar merupakan antara tentera yang cedera dan ditawan pihak Byzantine.

Bagi menyelamatkan beliau dari cengkaman pihak musuh, Khalid mengetuai sepasukan tentera berkuda yang turut disertai Khaulah. Khaulah menyerbu pihak musuh dengan gagah berani secara bersendirian dengan menyamarkan dirinya sebagai seorang lelaki dan memakai baju perisai. Pasukan tersebut berjaya menyelamatkan Dhirar dan identiti beliau hanya diketahui selepas ditanya oleh Khalid sendiri.

Sementara satu lagi riwayat mengatakan peristiwa Khalid dan Khaulah menyelamatkan Dhirar ini berlaku di Adnajin. Menurut jalur riwayat, beliau pada asalnya merupakan sebahagian daripada pasukan perubatan yang merawat kecederaan yang dialami tentera Islam. Tetapi sebaik mendengar berita abangnya ditawan pihak musuh, Khaulah segera menyarung baju perisai, mengambil sebilah pedang dan menunggang seekor kuda bersendirian untuk menyekat pihak musuh dari membawa abangnya lebih jauh.

Dengan menggunakan hijabnya sebagai topeng dan memakai serban hijau, beliau menyerbu pihak musuh dan berlawan dengan mereka bak seorang pahlawan yang hebat. Tentera-tentera yang melihatnya berlawan pedang dengan pihak musuh menyangka itu sebenarnya ketua panglima perang iaitu Khalid. Buktinya, komentar salah seorang komander perang Syam merangkap sahabat Nabi s.a.w terkenal Shurahbil bin Hasanah, “Beliau berlawan seperti Khalid tetapi jelaslah itu bukan Khalid.”

Keberanian yang ditonjolkan Khaulah menaikkan kembali semangat tentera yang lain sebelum dibantu oleh pasukan bantuan diketuai Khalid sendiri. Selepas tamat pertempuran, semua ingin tahu identiti sebenar pahlawan misteri ini. Tetapi Khaulah berusaha merahsiakan identitinya di sebalik desakan tentera yang lain yang mahukan beliau memperkenalkan dirinya agar diberi penghargaan oleh Khalid.

Apabila beliau cuba berlari meninggalkan medan perang dengan kudanya, Khalid mengarahkannya berhenti dan dengan tegas bertanya, “Engkau telah melakukan banyak pekara yang memenuhi hati kami dengan kekaguman. Siapakah kamu?” Bila Khaulah akhirnya bersuara, alangkah terkejutnya Saifullah apabila pahlawan misteri itu sebenarnya seorang anak dara.

Beliau berkata, “Wahai panglima, bukannya aku enggan menjawab pertanyaanmu kerana aku merasa malu. Sebab kamu seorang pemimpin yang agung sedangkan aku hanyalah seorang anak dara. Sesungguhnya tiada lain yang mendorongku untuk melakukan hal seperti itu melainkan kerana hatiku terbakar (menyelamatkan adiknya, Dhirar) dan aku sangat sedih.” Berikutan itu, Khalid mengajaknya bergabung dengan ketumbukan tentera lain dan membantu adiknya, Dhirar menawan Beit Lahiya di Gaza.

Tetapi kisah ini tidak sehebat kisah seterusnya membabitkan dirinya menjadi tawanan perang Byzantine. Pada satu ketika, Khaulah menjadi tawanan pihak musuh selepas terjatuh dari kudanya bersama beberapa lagi Muslimah. Kesemua mereka kemudiannya dipindahkan ke satu kem di mana rancangan pihak musuh ialah menjadikan mereka sebagai bahan pemuas nafsu dengan Khaulah seharusnya menjadi santapan serakah komander tentera Byzantine.

Enggan membenarkan perkara itu berlaku, beliau menyeru mereka dengan berkata, “Wahai sahabat-sahabatku yang sedang berjuang di jalan Allah, apakah kamu semua sanggup menjadi tukang-tukang urut orang Rom? Apakah kamu juga sanggup menjadi hamba-hamba orang kafir yang dilaknat itu. Relakah kamu dihina dan dicaci maki oleh orang Rom durjana itu? Dimanakah letaknya harga diri saudari sebagai seorang pejuang yang rindukan syurga Allah. Di manakah kehormatan kalian sebagai seorang Islam yang bertaqwa? Sesungguhnya mati itu lebih baik bagi kita semua daripada menjadi hamba-hamba orang Rom.” Semua tawanan merasa bersemangat dengan kata-kata Khaulah dan bersedia untuk lari dari kem berkenaan.

Dengan bersenjatakan tiang khemah, mereka segera memukul tentera-tentera Byzantine dan bertempur bak pahlawan yang hebat. Mereka juga berjaya merampas senjata dari tentera yang terkejut dan membunuh ramai tentera musuh. Pihak musuh cuba berunding dengan salah seorang komander mereka bersedia mengahwini Khaulah dan menjadikannya sebagai wanita pertama Byzantine di Damsyik. Namun, tawaran tersebut ditolak beliau sambil berkata:

“Aku tidak akan menerima kamu sebagai pengembala untaku! Bagaimana kamu menjangkakan aku untuk merendahkan kehormatanku dan tinggal bersama kamu? Aku bersumpah aku akan menjadi orang yang memenggal kepala kamu kerana tidak menghormatiku!” Tatkala para Muslimah terus bertahan dari serangan mereka, bantuan tiba dalam bentuk ketumbukan tentera diketuai Khalid dan berjaya membunuh 3,000 tentera musuh.

Sementara dalam Perang Yarmuk pula, pada satu ketika ketumbukan tentera Islam kacau-bilau selepas diasak hebat pihak musuh. Tatkala sesetengah berpecah, 400 tentera diketuai Dhirar dan Ikrimah bin Abu Jahal r.a berusaha menahan asakan tentera Byzantine. Ikrimah yang berang menjerit agar mereka kembali ke barisan dan terus berjuang sehingga menang atau mendapat syahid di jalan-Nya.

Selain Ikrimah, Khaulah juga memberi motivasi kepada mereka apabila terserempak dengan sekumpulan tentera berkuda yang lari dari medan pertempuran. Beliau menyifatkan orang-orang yang melarikan diri ini sebagai pengecut. Merasa malu dengan kelakuan mereka dan melihat kesediaan para Muslimah diketuai Khaulah bangkit melawan pihak musuh, mereka segera berpatah balik dan membantu ketumbukan tentera Islam dipimpin Khalid memenangi Pertempuran Yarmuk pada tahun 636 Masihi. Salah seorang daripada mereka berkata, “Wanita-wanita kami lebih keras berbanding orang Rom. Kami merasakan lebih mudah untuk kami berpatah balik dan syahid berbanding berhadapan dengan kemarahan mereka di kemudian hari.”

RUJUKAN:

1. Islam’s Women. Khawlah bint al-Azwar. https://www.islamswomen.com/articles/khawlah_bint_al-azwar.php

2. Hassan, Nur Aisyah. (2015). Siapakah Khaulah al-Azwar?. AqMencariCahaya. https://aqmencaricahaya.blogspot.com/2015/08/siapakah-khaulah-al-azwar.html

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.