Khara Khoto – Kota Empayar Mongol Yang Hilang Di Padang Pasir

956

https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Khara Khoto merupakan sebuah kota purba yang terletak di bahagian barat Monggolia Dalam. Dahulunya ia mekar sebagai sebuah kota yang pesat, berkat lokasinya yang terletak di Laluan Sutera. Namun, peristiwa pembvnuhan beramai-ramai membuatkan kota itu merudum dan hingga kini, ramai masyarakat tempatan enggan menghampiri runtuhan kota Khara Khoto lantaran takut kepada hantu-hantu purba.

Kota ini hanya ditemukan semula pada awal kurun ke-20. Kerja-kerja ekskavasi di Khara Khoto berjaya menemukan ribuan manuskrip berbahasa Tangut, di mana ia dianggap sebagai antara penemuan paling mengagumkan di tapak berkenaan. Kesemua artifak ini berada dalam keadaan terpelihara dek cuaca kering di sana. Lebih daripada itu, ia juga selamat dari dirompak berikutan kedudukannya yang agak terpencil.

Runtuhan Kota Hitam

CATATAN MARCO POLO TENTANG KHARA KHOTO

Nama ‘Khara Khoto’ secara harfiahnya membawa maksud ‘Kota Hitam’ dalam bahasa Monggolia. Keadaan yang sama juga dapat dilihat pada namanya dalam bahasa China, iaitu Heicheng. Bgai masyarakat Tangut yang menubuhkan kota tersebut, mereka menyebutnya sebagai Yijinai.

Apa yang menarik tentang kota ini adalah nama Khara Khoto pernah disebut oleh pengembara Venice yang masyhur, iaitu Marco Polo. Menurut seorang arkeologis yang bernama Aurel Stein, kota berkenaan dipanggil sebagai Etzina (atau Ezina) dalam The Travels of Marco Polo. Perincian tentang kota tersebut di dalam catatan Marco Polo adalah sebagaimana berikut:

“Setelah meninggalkan kota Kampion dan berkelana selama dua belas hari ke arah utara, kamu akan sampai ke sebuah kota yang bernama Ezina, di mana ia terletak di permulaan padang pasir dan di dalam wilayah Tanguth. Masyarakat di sana menyembah patung. Mereka membela unta dan pelbagai lagi ternakan lain. Di sini, kamu akan temui banyak burung helang. Tuaian dari tanah dan daging-daging ternakan memenuhi keperluan masyarakatnya, dan mereka tidak terlibat dalam urusan perdagangan.

Para pengembara dan pedagang yang melalui kota ini mengisi bekalan mereka selayak empat puluh hari kerana sejurus meninggalkan kota berkenaan dan menyambung perjalanan ke arah utara, empat puluh hari itu akan dihabiskan sepenuhnya dalam perjalanan, di mana tiada sebarang tempat teduh apatahlagi komuniti setempat dapat ditemui, kecuali beberapa sahaja pada musim panas, khususnya di celahan gunung dan beberapa buah lembah.”

Sepertimana yang disebutkan oleh Marco Polo, Khara Khoto sememangnya terletak di penghujung ‘padang pasir’, yakni Gurun Gobi. Walaupun kota ini terletak di Laluan Sutera, masyarakat penghuninya sama sekali tidak terlibat dalam perdagangan mahupun perniagaan. Sebaliknya, mereka melangsungkan hidup dengan membekalkan makanan kepada para pengembara yang singgah di kota mereka.

Konvoi Marco Polo

Semasa Marco Polo merekodkan tentang pengembaraannya ke Asia pada kurun ke-13, Khara Khoto sudah pun wujud selama beberapa kurun. Sejarahwan lazimnya meletakkan tahun penubuhan kota itu pada 1032 Masihi.

MENGENALI MASYARAKAT TANGUT

Tangut, atau juga dikenali sebagai Xia, merupakan sebuah kumpulan etnik yang penting di barat laut China. Kewujudan mereka disebutkan dalam sumber-sumber China seawal kurun ke-6 dan kurun ke-7 Masihi lagi. Pada waktu itu, Tangut dijemput oleh masyarakat China untuk mendiami wilayah Sichuan, Qinghai, dan Gansu moden.

Jemputan ini dibuat dengan harapan komuniti Tangut dapat berperanan sebagai zom penampan antara mereka dan masyarakat Tibet. Walaupun Tangut kelak bergabung dengan Tibet dalam menyerang China, secara keseluruhannya, mereka sememangnya memainkan peranan tersebut dengan cukup baik. Hal ini dapat dilihat, misalnya, apabila Maharaja Taizong si pemerintah kedua Dinasti Tang mengurniakan nama keluarganya, Li, kepada keluarga pembesar Tangut pada 630an Masihi.

Kaum lelaki dan kaum wanita Tangut

Susulannya, pertahanan di sempadan barat empayar China melonggar dan Tangut mengambil peluang ini untuk menubuhkan negara mereka sendiri, iaitu Xi Xia atau Xia Barat pada tahun 1038. Negara ini berdiri selama hampir dua kurun, sebelum ia akhirnya ditakluk oleh Monggol pada tahun 1227.

Pun begitu, pertahanan negara ini begitu ampuh hinggakan Monggol mengambil masa selama 20 tahun sebelum dapat menundukkan mereka.
Walau bagaimanapun, menjelang kurun ke-11 Masihi, China yang ketika itu berada di bawah pemerintahan Dinasti Song, terpaksa menumpukan perhatian dan kekuatannya ke timur. Hal ini kerana mereka terlibat dalam konflik dengan Khitan, kumpulan masyarakat yang menubuhkan Dinasti Liao tidak lama selepas kejatuhan Dinasti Tang pada awal kurun ke-10.

KEJATUHAN KHARA KHOTO

Khara Khoto ditakluk pada tahun 1226, setahun sebelum Tangut secara keseluruhan menyerah kepada Monggol. Ramai yang menganggap bahawa kota ini mengalami kemunduran sejurus selepas ia jatuh ke tangan Monggol. Namun hakikatnya, ia terus berkembang pesat sepertimana biasa.

Sebagai maklumat tambahan, salah satu kesan positif daripada hegemoni Monggol adalah penggunaan semula Laluan Sutera secara intensif, di mana hal ini seterusnya mendorong lebih ramai pedagang berkunjung ke Khara Khoto. Namun, keberuntungan yang dikecapi oleh kota ini tidak bertahan lama sesudah kejatuhan Dinasti Yuan-Monggol.

Pada tahun 1368, Dinasti Yuan digulingkan oleh Dinasti Ming dan Monggol diusir keluar dari China. Ramai warga Monggol yang terselamat dipercayai membawa diri ke Khara Khoto. Mereka dibenarkan untuk menetap di sana. Memandangkan perhatian Dinasti Ming ketika itu dicurahkan sepenuhnya kepada pelaksanaan undang-undang berpusat ke atas wilayah-wilayah yang baru dikuasai, maka mereka tidak begitu peduli untuk menghambat warga Monggol yang melarikan diri. Walau bagaimanapun, menjelang tahun 1372, semakin ramai tentera berkumpul di Khara Khoto dan keadaan ini mendorong Monggol untuk menanam cita-cita menyerang China demi merebutnya semula dari Dinasti Ming.

Sebaik sahaja khabar angin tentang hasrat Monggol ini sampai ke pengetahuan masyarakat China, mereka mula berwaspada. Tambahan lagi, ketika itu Dinasti Ming sudah pun selesai meneguhkan kekuasaan mereka di sana. Dalam erti kata lain, mereka kini berupaya untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada ancaman Monggol. Maka pada tahun 1372, China menghantar sepasukan tentera untuk menyerang Monggol di Khara Khoto.

Ekspedisi militari ini disebutkan secara ringkas dalam catatan-catatan sejarah Ming. Menurut catatan tersebut, tentera Monggol di Khara Khoto yang dipimpin oleh Buyan Temur akhirnya menyerah kepada Feng Sheng si panglima China sebaik sahaja beliau tiba di kota berkenaan. Hakikatnya, pasukan pimpinan Feng Sheng cuma merupakan sebahagian daripada kontinjen yang lebih besar yang dihantar oleh Dinasti Ming dalam rangka menghancurkan Dinasti Yuan Utara, dinasti yang ditubuhkan oleh warga Monggol.

Pertempuran antara Monggol dan China (1211). Jami’ al-tawarikh, Rashid al-Din

Kontinjen yang dihantar oleh Ming ini mempunyai kekuatan seramai 150 000 orang secara keseluruhan. Ia dibahagikan kepada tiga divisi di mana setiap satunya mara ke wilayah utara Gurun Gobi melalui jalan-jalan yang berbeza.

Divisi barat dipimpin oleh Feng Sheng, manakala divisi timur dan divisi tengah masing-masing dipimpin oleh Li Wenzhong dan Xu Da. Walaupun mempunyai kelebihan dari segi bilangan tentera, Ming tetap juga ditewaskan oleh Monggol. Pada kurun-kurun yang menyusul, Monggol terus mengganggu-gugat Dinasti Ming hinggalah mereka akhirnya ditakluki oleh Dinasti Jin Terkemudian (pendahulu Dinasti Qing) pada tahun 1635.

LEGENDA HANTU KOTA HITAM

Sejarah kejatuhan Khara Khoto hanyalah sebuah episod singkat dalam saga ketenteraan Ming 1372. Perincian yang lebih lanjut tentang peristiwa tersebut cuma dapat ditemukan dalam legenda tempatan. Menurut legenda, pemimpin Monggol di Khara Khoto dipercayai mempunyai seorang panglima yang bernama Khara Bator (bermaksud ‘Perwira Hitam’). Legenda ini juga menyifatkan perkubuan kota Khara Khoto amat ampuh hinggakan pasukan China tidak berupaya merebutnya dengan jalan kekerasan.

Justeru, mereka pun mengepung kota. Bagi meningkatkan tekanan terhadap Monggol, pasukan China memindahkan aliran Sungai Ejin yang berada di luar kota. Ia merupakan satu-satunya sumber air warga Khara Khoto. Sebagai susulan, perigi-perigi di Khara Khoto pun mengering dan pasukan yang bertahan terpaksa memutuskan sama ada mahu m4ti kehausan ataupun m4ti di medan pertempuran.

Dalam satu versi penceritaan, dilemma ini menyebabkan Khara Bator hilang pertimbangan. Lantas, beliau bertindak membvnuh keluarganya sebelum membvnuh diri. Satu versi yang lain pula mengisahkan bagaimana beliau melarikan diri dari kota melalui sebuah laluan yang disediakannya di penjuru barat laut tembok kota. Sememangnya, terdapat sebuah lubang yang cukup besar untuk dilalui oleh seorang penunggang kuda di tembok Khara Khoto.

Sambil itu, tentera-tentera Monggol yang lain terus menanti takdir mereka di dalam kota sehinggalah pasukan China akhirnya melancarkan gempuran terakhir ke atas Khara Khoto. Pihak Monggol dibvnuh tanpa belas kasihan sekaligus menimbulkan legenda urban bahawa kononnya runtuhan kota itu masih dihantui oleh roh-roh warga Monggol yang gugur. Oleh kerana itulah makanya ramai masyarakat tempatan enggan menghampiri runtuhan Khara Khoto.

PENEMUAN SEMULA RUNTUHAN KOTA KHARA KHOTO

Tidak seperti Monggol yang memelihara Khara Khoto selepas menguasainya dari tangan Tangut, China sama sekali tidak pedulikan kota berkenaan. Sebagai susulan, kota itu pun ditinggalkan. Diandaikan bahawa salah satu punca Khara Khoto ditinggalkan adalah kerana kurangnya sumber air.

Pada kurun-kurun yang menyusul, kota Khara Khoto mula runtuh dan hancur. Walau bagaimanapun, kewujudannya tidaklah dilupakan sepenuhnya kerana khabar angin tentangnya masih terus tersebar. Khabar angin inilah yang kemudiannya mendorong kepada penemuan semula runtuhan Khara Khoto pada kurun ke-20.

Runtuhan kota Khara Khoto pada 1914

Menjelang lewat kurun ke-19, Russia menjalankan ekspedisi saintifik di wilayah utara China dan Monggolia. Dua orang peneroka mereka, iaitu Grigory Potanin dan Vladimir Obruchev, mendengar buah mulut masyarakat tempatan tentang sebuah kota purba yang terletak di sekitar Sungai Ejin.

Sekembalinya mereka ke Russia, khabar angin ini ternyata menggamit perhatian Muzium Asiatik di Saint Petersburg (kini ia merupakan sebahagian daripada Institute of Oriental Manuscripts of the Russian Academy of Sciences). Lantas, sebuah ekspedisi Monggol-Sichuan di bawah kelolaan Pyotr Kuzmich Kozlov pun dilancarkan pada tahun 1907.

Dalam tempoh setahun, Kozlov berjaya menemukan lokasi Khara Khoto. Pada Mei 1908, Kozlov memperoleh izin daripada Dashi Beile, seorang pembesar Torghut, untuk menjalankan kerja-kerja ekskavasi di tapak berkenaan. Bagi menghargai jasa Dashi, Kozlov menjamu beliau makan malam dan menghadiahkannya sebuah gramofon.

Penemuan paling mengujakan dalam ekspedisi ini adalah kuantiti teks purba yang begitu banyak, termasuklah manuskrip, buku, dan lembaran. Kesemuanya ditulis dalam bahasa Tangut, dan keadaannya terpelihara berikutan cuaca kering di padang pasir. Ketika tamatnya ekspedisi arkeologi yang pertama itu, Kozlov berjaya menghantar sebanyak 10 buah peti yang dipenuhi dengan artifak ke Saint Petersburg.

Di samping lebih 2000 teks berbahasa Tangut, peti-peti itu juga turut dipenuhi dengan barangan agama Buddha. Pada tahun 1909, Kozlov kembali semula ke Khara Khoto dan lebih banyak manuskrip berjaya ditemui. Artifak-artifak tersebut kekal di Saint Petersburg sehingga ke hari ini dan sebahagiannya telah pun disiarkan sebagai Russian Collection of Khara-Khoto Manuscripts.

Lukisan sutera dari Khara Khoto, kini disimpan di Hermitage Museum, St. Petersburg, Russia

EKSPEDISI-EKSPEDISI ARKEOLOGI DI KHARA KHOTO

Pada dekad-dekad berikutnya, sejumlah ekspedisi dijalankan di Khara Khoto oleh para peneroka yang datang dari serta benua. Misalnya pada tahun 1917, Aurel Stein mengunjungi Khara Khoto dalam ekspedisinya ke Asia Tengah buat kali ketiga. Beliau singgah ke tapak berkenaan selama lapan hari. Beberapa orang ahli arkeologi yang lain, seperti Langdon Warner dari Amerika dan Folke Bergman dari Sweden, turut mengunjungi kota purba ini, masing-masing pada tahun 1925, 1927 dan 1929. Dalam kunjungannya yang kali kedua, Bergman menetap di Khara Khoto selama setahun setengah bagi meninjau dan menghasilkan peta.

Masyarakat China juga menunjukkan minat terhadap tapak bersejarah itu. Pada tahun 1927 dan 1931, sebuah ekspedisi China-Sweden dengan diketuai oleh Sven Hedin dan Xu Bingchang dilakukan dan kerja-kerja ekskavasi di tapak Khara Khoto dilaksanakan. Pada tempoh 1983 hingg 1934 pula, Li Yiyou dari Inner Mongolian Institute of Archaeology menjalankan ekskavasi di Khara Khoto dan berjaya menemukan lebih 3000 manuskrip.

Puing-puing runtuhan di Khara Khoto juga menerima perhatian yang kurang lebih seperti manuskrip-manuskrip purbanya. Antara struktur yang masih dapat dilihat di sana adalah tanjakan-tanjakan kota yang setinggi 9 meter (29.5 kaki), tembok luar setebal 4 meter (13.1 kaki), sebuah pagoda setinggi 12 meter (39 kaki), dan kompleks perumahan tanah liat. Selain itu, terdapat juga sebuah bangunan di luar tembok kota yang diandaikan sebagai sebuah masjid. Dipercayai masjid ini digunakan oleh para pedagang Muslim yang mengunjungi kota berkenaan.

Imej yang diambil daripada kunjungan Aurel Stein. Sebuah makam (atau mungkin masjid) di penjuru tenggara kota, pemandangan dari timur

Berikutan lokasi Khara Khoto yang sukar diakses, khususnya kerana persekitarannya yang dibentuk oleh padang pasir, tapak bersejarah ini tidak dibangunkan menjadi destinasi pelancongan.

Walaupun ianya membawa maksud tapak ini tidak dapat menuaikan hasil pendapatan kepada negara melalui sektor pelancongan, dalam masa yang sama, keadaan ini juga dapat menghindarkannya dari mengalami kerosakan yang lazimnya diakibatkan oleh para pelancong sekali gus membolehkannya terus berdiri kukuh untuk diwariskan kepada generasi akan datang.

TERJEMAHAN:

Wu Mingren. (2 Ogos 2020). The Haunted Ruins of Khara Khoto, The Black City of Mongolia. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/khara-khoto-0014063

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.