Salah seorang khalifah yang sangat dicintai oleh seluruh kaum muslimin tidak kira aliran Sunni mahupun Syiah semestinya ialah Khalifah Umar bin Abdul Aziz. Eranya merupakan era kemuncak perlaksanaan agama Islam, keadilan dan kekayaan kaum muslimin. Era ini akan sentiasa dikenang walaupun hanya berlangsung selama 2 tahun, tetapi keadilan pada zaman Khalifah Umar merupakan nikmat Allah yang tidak dapat didustakan.

Jika kita meneliti pada fasa sebelum ini, Bani Umaiyah telah berusaha ke arah perlaksanaan agama Islam dan membina sebuah tamadun Islam yang gemilang, akan tetapi perlaksaan Islam pada era Khalifah Al-Walid dan Khalifah Sulaiman tidak berkembang dengan cepat. Perkembangan ini mula dapat dituai hasilnya pada era Khalifah Umar bin Abdul Aziz.

Khalifah Umar telah menerapkan politik keadilan, kasih sayang dan toleransi sesama masyarakat. Pada zaman Khalifah Umar keadilan, kebijaksanaan, ketaqwaan dan keilmuan berjaya ditegakkan dalam kalangan masyarakat sehinggakan bagindalah yang digelar tokoh mujaddid Islam pada abad pertama Hijrah hasil usahanya melakukan refromasi terhadap pentadbiran dinasti Bani Umaiyah yang menyeleweng. Apakah rahsia kejayaan khalifah Umar? Insya-Allah akan terjawab di dalam tulisan ini.

Namanya ialah Umar bin Abdul Aziz bin Marwan bin Al-Hakam bin Abu Ash bin Umaiyah. Ibunya adalah Ummu Ashim binti Ashim bin Umar bin Al-Khattab. Baginda dilahirkan di kota Madinah pada tahun yang tidak disepakati sejarawan iaitu 59, 61 atau 62 H. Imam Al-Dzahabi di dalam Siyar A’lam Nubala 5/114 telah menyifatkan perwatakan Khalifah Umar dengan perwatakan yang agung serta menunjukkan betapa kagumnya beliau akan dirinya. Beliau berkata, “Sang Imam, Sang Hafiz, Sang Allamah, Sang mujtahid, Sang Zahid, sang Ahli Ibadah, Sang Sayyid, Amirul mukminin sejati, Amirul Mukminin sejati, Abu Hafs Al-Umawi Al-Madani al-Mishri, sang khalifah lagi zahid lagi Rasyid dan Bani Umaiyah paling dicintai.”

Khalifah Umar membesar di Madinah walaupun bapanya Abdul Aziz menjadi gabenor di Mesir (65-85H) kerana baginda ingin anaknya menimba ilmu dengan ulama-ulama Madinah serta ahli keluarga Sayyidnan Umar Al-Khattab yang merupakan datuknya di belah ibu. Baginda telah meriwayatkan hadis dengan para Sahabat Nabi SAW dan golongan Tab’in seperti Anas bin Malik, Abdullah bin Jaafar bin Abu Thalib, As-Sa’ib bin Yazid, Sahl bin Saad, Saib Bin Musayyib, Urwah bin Zubair dan Salim bin Abdullah bin Umar al-khattab.

Hal ini telah membentuk Khalifah Umar menjadi tokoh mujtahid dan Tabi’in yang terkenal. Imam Ahmad berkata di dalam Al-Bidayah wa nihayah 9/192 ibn kathir ” aku tidak melihat seorang pun Tabi’in menjadi dalil melainkan pendapat Umar bin Abdul Aziz.” Kefaqihan Khalifah Umar menyebakan dirinya digelar Mu’allimul Ulama (gurunya ulama).

Guru khalifah Umar iaitu Maimun bin Mahran di dalam Siyar A’lam Nubala 5/120 berkata “…kami menemui Umar bin Abdul Aziz saat kami menyangka ia memerlukan kami. Ternyata kami bersamanya tidak lain sebagai murid-muridnya.” Umar bin Abdul Aziz terus tinggal di Madinah sehingga ayahnya meninggal dunia 85 H. Kemudian Khalifah Abdul Malik bin Marwan membawanya ke Damsyik dan mengahwinkan Umar dengan puterinya Fatimah. Khalifah Abdul Malik melantik umar mengetuai daerah Khanashirah di Aleppo. Umar terus mentadbir daerah itu sehinggalah Khalifah Abdul Malik wafat.

Apabila anak Abdul Malik , Al-Walid menjadi Khalifah, baginda telah melantik Umar bin Abdul Aziz sebagai gabenor Madinah pada tahun 87 H menggantikan Hisyam bin Ismail Al-Makhzumi yang merupakan seorang yang kejam. Pelantikan ini menggembirakan hati penduduk Madinah. Umar bin Abdul Aziz telah meletakkan satu visi iaitu menegakkan keadilan kepada rakyatnya. Maka Umar bin Abdul Aziz telah mengumpulkan 10 ulama terkemuka sebagai penasihatnya. 10 ulama itu ialah Urwah bin Zubaor, Ubaidillah, Sulaiman bin Yasar, Al-Qasim, Salim bin Abdulllah bin Umar, Kharijah, Abu Bakar bin Abdurrahman , Abu Bakar bin Sulaiman dan Abdullah bin Amir bin Rabiah.

Umar telah berkata kepada mereka:

“Aku mengundang kalian sebagai penolong kebenaran, aku tidak ingin menmutuskan sesuatu perkara tanpa pendapat kalian atau sesiapa sahaja yang hadir diantara kalian. Apabila kalian mendapat seseorang yang melampau atau melakukan kezaliman seorang pagawal, maka semoga Allah memberi dosa sesiapa yang mendapat laporan tetapi tidak melaporkan kepadaku”. (Siyar A’lam Nubala 5/120).

Sepanjang 6 tahun sebagai gabenor Umar berjaya mewujudkan kesejahteraan kota Madinah dan memperbesarkan Masjid Nabawi atas arahan Khalifah Al-Walid. Pada zaman Khalifah Al-Walid bin Abdul Malik juga, terdapat 2 kecenderungan politik yang berlaku iaitu politik kekerasan di bawah Hajjaj sebagai gabenor Iraq dan politik kesederhanaan, budi pekerti, penyatuan dan keadilan bawah Umar bin Abdul Aziz The Magnificent.

Sebagai gabenor di Madinah, Umar bin Abdul Aziz telah mengumpulkan ulama terkemuka Madinah dan berkata:

“Pada hari.ini saya serahkan pada kalian maka bantulah kami di dalamnya sehigga sesuatu berlaku dengan adil dan baik.”

Hal ini menyebabkan ramai orang Iraq melarikan diri ke Madinah di bawah Umar bin Abdul Aziz sekaligus membuatkan Hajjaj berasa tercabar dan mencadangkan kepada Khalifah Al-Walid untuk memecat Umar dengan tuduhan Umar menghasut orang Iraq melawan politik Hajjaj. Termakan dengan hasutan tersebut, maka Khalifah Al-Walid memecat Umar dan diganti dengan Khalid bin Abdullah Al-Qasari. namun hal ini bukanlah sesuatu yang malang bagi Umar kerana Khalifah Al Walid telah memanggil Umar ke Damsyik untuk dijadikan penasihat utamanya sehingga Al-Walid wafat (96 H).

Di era Khalifah Sulaiman bin Abdhl Malik, Umar menjadi penasihat utama dan berjaya mempengaruhi Khalifah dalam memecat orang-orang Hajjaj serta melakukan reformasi dalam Bani Umaiyah seperti mana yang saya terangkan pada tulisan tentang Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik yang lepas. Sebelum Khalifah Sulaiman wafat, baginda telah menjemput ulama yang bernama Raja’ bin Haiwah untuk menentukan perwarisnya kerana anaknya masih berada di Konstantinople yang dipimpin oleh Maslamah bin Abdul Malik.

Raja’ telah menasihati khalifah Sulaiman agar melantik seorang yang alim dan soleh iaitu Umar bin Abdul Aziz. Khalifah Sulaiman trut melantik Yazid bin Abdul Malik sebagai pengganti Umar kerana terdapat keluarga Bani Umaiyah yang ingin urusan negara tetap dipegang oleh anak-anak Abdul Malik bin Marwan.

Pada tahun 99 H, maka Umar bin Abdul Aziz telah menjadi khalifah Bani Umaiyah seterusnya. Bermulalah era refromasi kerajaan Bani Umaiyah yang masyhur. Salah satu fakta yang menarik di dalam sejarah Bani Umaiyah terdapat dua orang khalifah yang merupakan ulama sebelum dilantik iaitu Abdul Malik dan Umar. Kedua-duanya merupakan seorang yang idealis. Namun pendekatan mereka berbeza. Dikhabarkan apabila Abdul Malik dlantik sebagai putera mahkota oleh bapanya Marwan, baginda langsung meninggalkan mushaf Al-Quran yang ada di tangan menuju kerusi pemerintah tetapi Umar ketika menjadi khalifah, semakin bertambah ketaqwaanya bahkan lebih tinggi berbanding dirinya sebelum menjadi khalifah.

Asas politik Abdul Malik bersifat diktaktor manakala asas politik Umar bersifat taqwa. Apabila menjadi khalifah, Umar berasa sangat takut akan amanah yang diberikan olehnya. Maka Khalifah Umar bertekad ingin melakukan perubahan di dalam kerajaan Bani Umaiyah demi melunaskan amanah sebagai seorang pemimpin. Reformasi yang pertama yang ingin dilakukan oleh Umar ialah menghapuskan amalan bermewah dalam kalangan masyarakat Islam dan mengembalikan harta pada Baitul Mal.

Menurut Khalifah Umar, perubahan harus dilakukan oleh dirinya sendiri. Sebelum menjadi Khalifah, walaupun merupakan seorang yang soleh, Khalifah Umar merupakan seorang yang suka hidup bermewah-mewah. Baginda akan memakai pakaian terbaik dan suka bertukar pakaian serta akan mengambil makanan yang terbaik. Khalifah Umar memiliki gaya berjalan tersendiri sehingga dikenali gaya al-Umariyyah. Namun setelah menjadi khalifah segalanya berubah, Khalifah Umar telah memakai pakaian yang ala kadar, tidak bertukar pakaian kecuali sudah kotor bahkan kadang-kadang baginda terlupa pakaiannya sudah kotor.

Khalifah Umar mengetahui baginda harus menjadi teladan kepada rakyatnya dalam melakukan reformasi. Baginda juga membubarkan pengawal yang menjaganya dan memasukkan mereka.ke dalam unit tentera. Alat mengangkut Khalifah juga turut dijual kepada dan hasilnya diberi kepada fakir miskin. Baginda juga ingin menjadi contoh dalam dalam mengembalikan harta negara yang diberi oleh pemimpin terdahulu kepada keluarga besar Bani Umaiyah sebagai hadiah. Baginda ingin menjadi contoh kepada pegawainya agar tidak menerima harta pemberian.

Maka Khalifah Umar telah mengembalikan harta pemberian dirinya, perhiasan isterinya yang diberikan oleh Khalifah Abdul Malik dan harta anak-anaknya kepada Baitul Mal. Tindakan khalifah Umar menyebabkan pegawai kerajaan tidak mampu berkata apa-apa kerana Sang Khalifah telah melakukan refromasi bermula daripada dirinya sendiri.

Namun Khalifah Umar tidak pernah memaksa pegawai mengikuti langkahnya. Baginda tahu perubahan ini akan berlaku jika baginda terus menolak hadiah pemberian sehingga pegawai berasa malu khalifah sendiri mengungguli mereka dalam perbuatan ini. Kesannya mereka akur akan polisi khalifah khalifah Umar telah merancang pelbagai strategi untuk terus mereformasikan dan memperbaiki penyelewengan kerajaan Bani Umaiyah.

Baginda mendapati kesalahan Khalifah Bani Umaiyah terdahulu adalah terpengaruh dengan politik Hajjaj yang kejam dengan tidak memberi pengampunan sama sekali kepada musuh mereka, sehingga permusuhan Ulama, Alawiyin dan Khawarij semakin meningkat. Kerajaan Bani Umaiyah juga didapati menyeleweng dalam mengelolakan harta negara dan banyak memberi kepada orang tidak dikhendaki. Pemborosan juga berluasa dalam kalangan keluarga Bani Umaiyah sehingga mereka sanggup menggunakan muslihat untuk mendapatkan harta.

Bahkan kebanyakkan warganegara pergi berperang demi mendapatkan harta sehingga niat jihad bukan tujuan utama. Perkara-perkara di atas adalah kesalahan Bani Umaiyah yang harus diperbetulkan. Maka Khalifah Umar menjadikan nas dan sunnah Khulafa’ Rasyidin sebagai panduan di dalam reformasi  dan revolusi baginda ini. Khalifah Umar telah melakukan pembaharuan dengan memerintahkan pembukuan hadis dilakukan. Baginda menulis surat ke Madinah untuk meminta hadis yang maruf. Langkah Khalifah Umar membukukan hadis ialah:

1. Memilih ulama terbaik dalam melaksanakan perintah ini iaitu Abu Bakar bin Hazm dan al-Zuhri. Ibn Saad berkata berkenaan Imam Abu Bakar: “Dia adalah orang yang keilmuwannya dilerakui dan sangat banyak menghafal hadis”. Begitu juga Imam Zuhri adalah seorang yang faqih dan alim hadis. Khalifah Umar pernah berkata “…kamu semua harus belajar dari ibn Syihab (Al-Zuhri), tidak ada seseorang yang lebih mengetahui sunnah berbanding dirinya.”

2. Baginda juga memastikan orang yang melakukan pembukuan hadis melaksanakan perbuatan ini secara baik. Maka umar memerintah Ibn Hazm mencatat hadis dari Amirah bin Abdurrahman. Baginda merupakan anak murid Ummul Mukminin Aisyah dan meriwayatkan banyak hadis dari Ummu Mukminin yang lebih mengetahui perbuatan Nabi SAW. Selain itu khalifah Umar turut memerintahkan Ibn Hazm agar mengumpul hadis daripada Sayyidina Umar Al-Khattab. Hal ini menunjukkan kesungguhan Umar ingin mencontohi pemerintahan datuknya Al-Faruq.

3. Memerintahkan orang mengumpulkan hadis agar dapat membezakan Hadis shahih dan tidak shahih.

Namun seperti yang kita tahu Khalifah Umar tidak boleh melaksanakan refromasi di seluruh kawasan, kerana Khalifah Umar hanya berada di Damsyik sebagai ibu kota maka Khalifah Umar memerlukan gabenor yang cekap, bersih, alim, berakhlak mulia serta memahami politik Khalifah Umar. Maka Khalifah Umar memecat pegawai Khalifah sebelum ini yang zalim seperti Khalid bin Al-Rayyan (kaki pancung), gabenor Mesir yang suka menjatuhkan hukuman tidak menepati syariat islam iaitu Usamah bin Zaid al-Tanukhi dan wakil daerah Afrika yang zalim iaitu Yazid bin Abu Muslim.

Khalifah Umar telah melantik golongan ulama dan pemimpin yang adil sebagai gabenor-gabenor dan pemimpin bani Umaiyah dengan jawatan yang penting iaitu Abdul Hamid bin Abdurrahman bin Zaid bin Khattab memimpin Kufah, Abu Bakar bin Umar bin Hazam memimpin Madinah, Imam Ismail bin Muhajir memimpin afrika, Al-Muhaddis Adi ibn Adi al-Kindi memimpin Faratiyah, Armenia dan Azbaijan. Al-Qadhi Ubadah pula diarahkan untuk memimpin wilayah Jordan, Urwah bin Athiyyah memimpin Yaman. Baitulmal diberi tanggung-jawab kepada ulama-ulama soleh sepertj Maimun bin Mahran menguruskan pajak semenanjung Arab, Wahab bin Munabbih meguruskan Baitul Mal di Yaman. Ibu penjabat pos turut dilegang oleh orang yang soleh iaitu Umar bin Maimun.

Pembaikkan-pembaikkan Khalifah Umar bin Abdul Aziz

Dalam membahaskan baik pulih yang dilakukan oleh Khalifah Umar terhadap kerajaan Bani Umiayyah, kita harus membahagikannya kepada dua bahagian iaitu perbaikkan Umum dan perbaikkan khusus dalam kewangan.

1. Pembaikkan Umum

Khalifah Umar telah meminta keluarga Bani Umaiyah untuk mengenbalikan harta mazhalim (harta yang diambil dengan cara yang tidak benar. Baginda memutuskan segala pemberian yang disakurkan kepada keluarga Bani Umaiyah melalui Baitulmal.

Khalifah Umar turut memberikan pemberian kepada kaum bukan arab yang memeluk Islam dan pergi berjihad. Khalifah Umar turut menarik balik pasukan kaum muslimin di Asia Tengah dan meletakkan mereka di markas-markas tentera Islam. Khalifah Umar turut menghentikan gerakan jihad dipimpin Maslamah bin Abdul Malik di Konstantinople.

Menurut Khalifah Umar ekspedisi ini hanya dilakukan kerana kemegahan dan ingin mengambil harta rampasan perang sehingga mengorbakan darah kaum muslimin. Khalifah Umar sangat mecintai kaum muslimin. Baginda berusaha membebaskan tawanan kaum Muslimin di bawah Rom dengan menukarkan seorang tawanan islam dengan 10 tawanan Rom.

Khalifah Umar sangat mengasihani orang-orang yang lemah. Baginda membantu orang-orang yang dipenjara dengan memenuhi keperluan mereka, memerintahkan tawanan tidak boleh diikat dan dibunuh kecuali dengan keizinan Khalifah. Padahal para pegawai Bani Umiayyah sebelum ini sentiasa membunuh mereka sesuka hati dan tidak memberi kebebasan.

Khalifah Umar turut menyediakan kemudahan persinggahan dan tempat menginap di daerah-daerah Islam untuk memudahkan orang musafir beristirehat. Khalifah Umar turut menghapuskan amalan memaksa golongan hamba memeluk Islam untuk membayar jizyah dan pengasingan mereka terhadap kaum muslimin yang dilakukan pemerintah Bani Umaiyah sebelum ini.

Khalifah Umar turut mengubahkan polisi Khalifah Bani Umaiyah sebelum ini yang memberikan kuasa kepada mutlak kepada hakim. Bahkan, Khalifah Umar sendiri akan memimpin Hakim dan sentiasa meminta rakyat mengadukan masalah Hakim. Sebagai contoh khalifah Umar menyelesaikan masalah kaum babar yang memeluk Islam dimana anak mereka dipaksa untukdijadikan hamba. Maka Khalifah memerintahkan anak-anak itu dipulangkan pada keluarga mereka.

Zaman Khalifah Umar, hamba mendapat kebebasan yang banyak sehingga banyak dalam kalangan mereka dapat menunaikan haji. Khalifah Umar turut menyelsaikan masalah di Kota Samarkand di mana mereka mengadukan bahawa orang Arab menduduki tanah mereka yang tiada hak bagi mereka. Maka Khalifah Umar menyuruh orang Arab keluar dari kota itu tetapi akhirnya penduduk Samarkand menjadi lembut hati dan membenarkan orang Arab tinggal di kota itu.

Golongan bukan muslim turut mendapat hak mereka pada zaman Khalifaj Umar di mana Khalifah Umar menyelsaikan pengaduan orang Kristian di Syam yang mana Khalifah Al-Walid sebelum ini membongkar gereja mereka dan membina masjid Damsyik. Maka Khalifah Umar membuat keputusan adil dengan membiarkan masjid Umawi kekal dan membina gereja di kawasan yang sama. Khalifah Umar turut menghapuskan pajak pada kaum kristian di Cyprus dan Ilea.

Kaum Kristian sangat mecintai Khalifah Umar dan menganggapnya sebagai raja yang agung dan adil. Khalifah Umar juga berusaha mengurangkan permusuhan dalam kalangan pro-ahl Bayt dan khawarij terhadap Bani Umaiyah. Baginda berusaha menghapuskan sifat nashibi (anti Ali dan ahl bayt) dalam kalangan Bani Umaiyah dan berusaha menyelsaikan masalah dengan kaum Khawarij melalui debat sehingga mereka mengakui kebaikkan Khalifah Umar. Khalifah Umar turut memberi tanah fadak yang menjadi pertikaian semenjak zaman khalifah Abu Bakar kepada Ahl Bayt. Khalifah Umar turut menurangkan jizyah kepada penduduk Najran yang selama ini dinaikkan jizyah oleh Hajjaj.

Pembaikkan Khusus Dalam Kewangan negara

Setelah membahaskan perbaikkan yang dilakukan oleh Khalifah Umar bin Abdul Aziz secara umum dalam sosial dan politik. Sekarang mari kita lihat apakah pembaharuan Khalifah Umar bin Abdul Aziz di dalam sistem kewangan negara. Sebelum membahaskan isu ini kita harus mengetahui bahawa Kerajaan Bani Umaiyah telah berusaha memulihkan kewangan negara yang telah rosak akibat fitnah perang saudara yang berlaku dahulu. Dasar Bani Umaiyah dalam menguruskan kewangan negara ialah

1. Mengumpul wang sebanyak-banyaknya dengan mengutip cukai. Bahkan para gabenor akan bersaing menunjukkan siapa mengutip hasil pajak paling banyak

2. Mengambil hati para pegawai negara dengan memberikan jumlah harta yang besar kepada mereka.

DasarkKhalifah meletakkan hasil cukai yang tinggi menimbulkan kemarahan masyarakat. Bahkan bilangan orang yang memeluk Islam berkurangan malah mereka tetap dipaksa membayar jizyah atas alasan iman lemah. Masalah penyelewengan inilah yang harus dibaiki oleh Khalifah Umar.

Khalifah Umar mengutamakan syariat di dalam perbaikkan ini. Baginda tidak berniat untuk menambahkan baitul mal drngan cukai tinggi yang dilakukan oleh pegawai Bani Umaiyah. Bagi Umar harta kerajaan bukan untuk disimpan tetapi untuk dimanfaatkan kepada kesemua masyarakat. Maka refromasi Khalifah Umar di dalam sisitem kewangan dapar dibahagikan kepada pajak, jizyah dan shawafi

A. Pajak

Jika kita meneliti dasar Bani Umaiyah sebelum ini mereka turut mewajibkan golongan mualaf untuk membayar pajak. Hal ini bertentangan dengan syariat Islam bahawa golongan memeluk islam tidak perlu membayar pajak. Namun apakah langkah Khalifah Umar dalan mengatasi masalah ini apabila para petani sudah memeluk Islam? Khalifah Umar menyelsaikan masalah ini dengan meminta upah daripada mereka. Upah ini bukankah pajak tetapi upah investasi tanah.

Maka hukumnya berbeza pemilik tanah muslim dinamakan sewa manakala orang kafir namanya kharaj (pajak tanah). Khalifah Umar berjaya melakukan penambahbaikkan dengan hasil pertanian dengan menghapuskan pelbagai jenis cukai kepada golongan petani dan tukang kebun serta mengembalikan kekayaan yang pernah disita.

Khalifah Umar turut merancakkan lagi sistem perbaikkan dan pembanggunan serta membukan banyak tanah kosong. Khalifah Umar turut menyediakan pelbagai kelengkapan asas untuk sektor pertanian seperti pembanggunan parit dan membina banyak jalan. Pembinaan perparitan mampu mengairi seluruh tanaman dengan kos yang rendah. Hasilnya, jumlah pendapatan pertanian negara bertambah maju sebagai contoh pengutipan cukai tanah di Iraq mencapai 124 juta dirham berbanding Iraq di bawah Hajjaj hanya mencapai 40 juta dirham.

B. Jizyah

Antara sisi kezaliman yang dilakukan oleh Kerajaan Bani Umaiyah sebelum Khalifah Umar bin Abdul Aziz ialah mereka menetapkan pembayaran Jizyah kepada orang mualaf. Tindakan ini dikatakan dimulakan oleh Hajjaj atas alasan ke-Islam-an orang mualaf itu tidak kuat dan mereka sengaja memeluk islam untuk mengelakkan diri dibayar jizyah. Hal ini telah menimbulkan rasa dendam rakyat pada kerajaan.

Tindakan ini juga dianggap salah di dalan agama islam kerana seseorang yang memeluk agama islam maka terbebaslah tanggung-jawab mereka membayar jizyah. Maka menjadi Khalifah , Khalifah Umar telah menghantar surat kepada gabenor Bani Umaiyah agar amalan ini  dihapuskan. Abu Ubaid di dalam kitab Al-Amwal hlm 61 menukilkan ucapan Khalifah Umar iaitu:

‘Barangsiapa mengucap syahadah kaum muslimin, yang sudah menghadap kiblat dan yang telah khatan akan dirinya maka janganlah kamu semua sekali2 mengenakan ufti ke atas mereka.”

Tindakan ini telah mendapat keluhan dari pada gabenor Bani Umaiyah sehingga Khalifah Umar membalas dengab berkata sebagaimana dinukilkan di dalam al-Thaqabat ibn Saad (5/384) “Allah SWT telah mengutus Nabi Muhammad SAW untuk menyerukan agama ini kepada seluruh manusia bukan memungut cukai dan jizyah.”

Menurut Dr. Yusuf Al-Isy di dalam Daulah Umawiyah keadilan Khalifah Umar menyebabkan berbondong-bondong manusia memeluk agama Islam tidak terkecuali bangsa Sguhd dan negeri di balik Sungai dan sebahagian penduduk Andalusia.

C. Shawafi’

Shawafi’ adalah tanah pajak yang asalnya milik Kaisar Rom dan Kisra Parsi atau tempat minum dan ibadah yang kemudian pemiliknya melarikan diri apabila tanah itu dibuka oleh tentera Islam sehingga tanah itu tidak bertuan dan dikelola oleh Tuannya. Maka tanah ini adalah harta Fai yang diberikan oleh Allah SWT kepada hambanya. Khalifah Umar al-Khattab telah mengatur tanah ini dan menginvestasikan tanpa pajak kerana tanah ini tiada tuan.

Para Khulafa’ Rasyidin telah menyerahkan tanah ini kepada para sahabat, ia bukan tanah yang harus dibayar pajak akan tetapi menjadi milik sebahagian kaum muslimin dengan membayar Usyr (1/10) ke Baitulmal. Namun bergitu para khulafa’ Rasyidin sangat berhati-hati menyerahkan tanah ini kepada orang ramai. Pada zaman Khalifah Uthman bin Affan, Muawiyah telah meminta Khalifah Uthman memberikan Shawafi’ tanah Syam kepada ahli keluarganya yang miskin dan khalifah Uthman bersetuju akan hal itu.

Pada zaman Bani Umaiyah, para Khalifah dengan mudah memberi tanah ini kepada ahli keluarga dan orang-orang yang mereka suka sehingga tanah itu habis. Mereka akhirnya mencari tanah-tanah lain sebagai jasa kepada Bani Umaiyah. Maka tanah-tanah kharaj dari Abdul Malik dan Al-Walid harus dibeli.

Maka para pengelola tanah harus membeli tanah itu dari Baitulmal dengan syarat membayar pajak atas tanah itu. Namun, golongan ini tidak membayar pajak sehingga mengurangi kutipan pajak dan baitulmal. Khalifah Umar bin Abdul Aziz cuba menyelsaikan masalah ini. Baginda melihat tanah itu tidak dapat kembali ke Baitul Mal sehingga menjadi tanah pajak dan perkara ini boleh menghilangkan hak milik seseorang sehingga menyebabkan pergolakan di dalam ekonomi Islam.

Khalifah Umar memikirkan penyelesaiannya dengan menetukan batas tanah dikelola sehingga 100 H. Setelah tahun itu tidak ada seorang pun boleh memiliki tanah shawafi’ dan membelinya sehingga tahun itu dikenali sebagai muddah (batas waktu) kerana sejak itu tiada lagi tanah shawafi’. Hal ini menghilangkan kerakusan pengelola menguasai tanah dan petani berasa tidak tertekan sehingga mereka bertambah semangat menanam hasil tanaman

Kesimpulan Akan Dasar Khalifah Umar bin Abdul Aziz

Apabila membahaskan polisi di zaman Khalifah Umar terdapat orientalis menuduh Khalifah Umar telah memiskinkan Baitulmal dan memburukkan keadaan kerana terlalu banyak sistem cukai dihapuskan dan khalifah Umar telah membelanjakan terlalu banyak wang untuk menaik taraf sosial masyarakat seperti membantu golongan fakir miskin, membebaskan hamba, petani, orang berhutang dan tawanan Islam.

Perkara ini dapat dijawab dengan memahami asas politik Umar. Politik Khalifah Umar adalah politik keadilan sosial. Maka polisi Umar menekankan segala bentuk ekploitasi kekayaan harus dihapuskan, membuka pintu Islam kepada musuh-musuhnya, walaupun dengan dana sedikit.

Memang langkah ini boleh mengurangkan Baitul Mal akan tetapi apakah tujuan Baitul Mal? Untuk menambahkan harta atau mensejahterakan rakyat? Tujuan Baitulmal adalah untuk diagihkan kepada masyarakat. Bahkan di zaman Khalifah Umar al-Khattab harta Baitulmal pernah kosong kerana dibahagikan kepada masyarakat. Namun pada zaman Bani Umaiyah, khalifah memerlukan dana untuk perluasan kuasa, melembutkan hati orang dan keluarga mereka. Namun pada zaman Khalifah Umar pembukaan daerah telah dihentikan.

Wang untuk melunakkan hati rakyat tidak diperlukan kerana masyarakat sudah kagum akan ketakwaan Khalifah Umar. Kaum syiah dan khawarij juga tunduk kepadanya. Kejayaan Khalifah Umar menjaga taraf sosial masyarakat sehingga masyarakat sudah tidak memerlukan zakat. Apabila diketuk pintu untuk diberi zakat mereka menjawab:

“Allah telah mencukupkan Kami dengan KurniaNya. Bagi Umar yang menekankan infak harta berbanding menyimpan harta mampu mendatang kemajuan dan pembanggunan pada tahu yang akan datang.”

Khalifah Umar telah melakukan rombakan yang besar kepada Bani Umaiyah sehingga mewujudkan suasana masyarakat yang aman bahkan memanjangkan usia Daulah Umawiyah. Kejayaan Khalifah Umar Abdul Aziz dalam masa 2 tahun setengah sahaja sangat menakjubkan. Usaha dalam masa yang singkat tidak akan mendapatkan hasil melainkan kerja yang sangat keras dan bijak.khalifah Umar bin Abdul Aziz adalah contoh pemimpin kuat berkerja sehingga agak sukar melihat waktu rehat baginya demi memulihkan penyelewengan kerajaan Bani Umaiyah sebelumnya dan menjaga kebajikan rakyatnya.

Ibn Abdil Hakam di dalam Sirah Umar bin Abdul Aziz hlm 49 bahawa pernah ahli keluarga Umar melihat dirinya menderita kerana terlalu banya berkerja lantas mereka menghampirinya dan berkata:

“Wahai Amirul Mukminin, alangkah baiknya engkau beristirehat.” Maka Khalifah Umar menjawab “Lalu siapa yang akan menggantikan kerja aku?” Mereka berkata: “Engkau dapat menangguhkannya esok har.” Maka umar menjawab, “Satu hari sahaja sudah melelahkan aku, bagaimana pula.jika pekerjaan itu ditangguh dua hari?”

Sayangnya pemerintahan rahmat Khalifah Umar hanya berlangsung sekejap sahaja apabila baginda wafat pada 101 Hijrah di Homs kerana diracun oleh oleh keluarga Bani Umaiyah kerana sikap Umar menggugat kepentingan mereka. Ada sejarawan menolak tuduhan itu dengan menyatakan Khalifah Umar wafat kerana terlalu kuat berkerja. Pemerintahanyya digantikan oleh seorang khalifah yang buruk iaitu Yazid bin Abdul Malik. Semoga Allah SWT merahmati Khalifah umar bin Abdul Aziz.

Rujukan

Daulah Umawiyah oleh dr.Yusuf al-isy (edisi terjemahan pustaka al-kauthar 2013)

al-a’lam al-islami fi al-ashr al-umawi oleh Prof Dr Abdussyafi muhammad Abdul Lathif (edisi terjemahan pustaka al-kauthar 2014)

Amir al mukminin Umar bin Abdul Aziz oleh Al shalabi (terjemahan al hidayah


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Nama Diberi Muhammad Iqbal Harraz bin Mohd Yaakub. Masih lagi belajar di UiTM Rembau di dalam jurusan diploma mascomm. Sangat meminati sejarah Islam dan suka berkongsi apa yang dibaca kepada orang ramai. Berpegang kepada prinsip "yang Benar tetap Benar".

Comments are closed.