Khalifah Jaafar Al Mansur: Bapa Transformasi Abbasiyyah (754-775)

0
508
views

Al Mansur atau nama sebenarnya Abu Jafar Abdullah bin Muhammad Al Mansur dilahirkan pada tahun 714 di al Humaymah, sebuah perkampungan di Hejaz. Baginda adalah saudara kepada As-Saffah (Khalifah Pertama Abbasiyyah). Ayahnya bernama Muhammad iaitu cicit Abbas, Pak cik Rasulullah S.A.W.  (Bapanya bukan Nabi Muhammad S.A.W. ya? Jangan silap anggap) dan ibunya bernama Salamah Al Barbariyah dari suku Berber.

Sebelum baginda menjawat Khalifah Abbasiyyah baginda adalah salah seorang penting dalam pemberontakkan yang menentang Umaiyyah. Ketika perang saudara, baginda merupakan salah seorang yang menyertai perang itu dan membunuh keluarga Umaiyyah. Baginda juga tidak suka dengan keluarga Umaiyyah namun pandangannya agak berbeza dengan saudaranya yang juga menjawat Khalifah (As-Saffah). Khalifah As-Saffah dikatakan membenci Umaiyyah kerana fahaman, namun Al Mansur menentang Umaiyyah atas berberapa faktor:

  1. Menyatakan khalifah ketika zaman Umaiyyah tidak sama seperti zaman Khulafa Ar Rasyidin (632-651) kerana Khalifah Zaman Umaiyyah lebih mementingkan kekayaan daripada agama dan rakyat.
  2. Baginda menyatakan Khalifah Malik Al Marwan (Khalifah ke lima Umaiyyah) sebagai sombong dan bongkak. Baginda juga mengkritik Khalifah Sulayman Al Malik sebagai khalifah yang membesarkan perutnya dan wanita serta mengkritik Khalifah Umar bin Abdul Aziz sebagai memulakan kejatuhan Umaiyyah namun baginda memuji pemerintahan Khalifah Hisyam bin Abdul Malik sebagai Khalifah terbaik dalam empayar itu.

Baginda juga dikatakan menentang Khalifah Marwan II, Khalifah terakhir Umaiyyah yang menangkap dan memenjarakan saudara sulungnya, Ibrahim. Disebabkan itu, baginda dan keluarganya terpaksa melarikan diri ke Kufah dan menyertai pemberontak yang diketuai oleh As-Saffah, saudaranya (yang akhirnya menjadi Khalifah Pertama Abbasiyyah).

Apabila perang saudara selesai dan Khalifah Marwan II meninggal dunia, baginda menjadi salah seorang Komander yang mengetuai Askar di kawasan Mesopotamia untuk mencari berberapa keluarga Umaiyyah yang melarikan diri ke kawasan itu. Baginda menjadi komander di sana sehingga saudaranya meninggal dunia pada tahun 754. Baginda menjadi Khalifah pada tahun itu juga setelah diberi “wasiat” untuk menjadi Khalifah seterusnya. Baginda digelar Khalifah Jaafar Al- Mansur dan Khalifah ke dua Empayar Abbasiyyah.

Zaman pemerintahan baginda bermulanya satu transformasi baru dalam pemerintahan Abbasiyyah. Mengikut ahli sejarah, baginda boleh dikatakan pengasas Empayar Abbasiyyah kerana zaman pemerintahan baginda bermulanya sebuah empayar yang kuat dan mantap.

Baginda meluaskan empayar dengan menawan berberapa kawasan di Mesopotamia, Selatan Iran dan juga kawasan Damsyik, Lubnan dan sebahagian Utara Arab Saudi. Baginda juga memperkenalkan “pangkat” tentera yang akan diberikan gaji serta pembinaan pusat pentadbiran secara meluas di kawasan naungannya. Zaman baginda juga lahirnya tokoh-tokoh Islam terkenal seperti Jaafar Al Sadiq, cucu Saidina Ali, Imam Abu Hanifah, pengasas Mazhab Imam Hanafi, Malik bin Anas dan lain-lain lagi.

Baginda amat mementingkan pendidikan dan juga mewujudkan pelbagai program berkaitan pendidikan. Baginda dikatakan memanggil ahli-ahli sains Islam dan juga bangsa Yunani berbahasa Syriac daan beragama Kristian untuk menterjemahkan buku-buku karyawan Yunani Purba ke bahasa Arab. Baginda juga memperluaskan syair dan sastera kerana salah satu pelajaran yang baginda minat ialah kesasterawan.

Baginda menggalakkan rakyatnya untuk bekerja dan menyemarakkan kelebihan mereka dan memandang tinggi pekerjaan seperti mengukir, seni, pendidik, pertanian dan lajn-lain. Dikatakan juga pada zaman pemerintahan baginda, budaya dan senibina Parsi mula diperkenalkan secara meluas di seluruh empayar. Baginda juga memberi peluang kepada bangsa lain untuk bekerja dalam sektor perkhidmatan awam dan juga kerajaan. (Meneruskan sistem pentadbiran yang di buat ketika pemerintahan As-Saffah).

Mengikut dalam buku Marshall Bloomhall: Islam In China: A Neglected Problem, baginda menghantar 4,000 tentera ke China untuk menyelesaikan pemberontakan yang dikenali sebagai Pemberontakan An Shi melawan An Lushan. Perang itu tamat dan An Lushan menang. Dikatakan juga Khalifah Jaafar Al Mansur digelar A-p’u-ch’a-fo dalam T’ang Annals China.

Baginda juga menukarkan ibu kota Abbsiyyah ke Baghdad apabila tenteranya berjaya menawan Baghdad pada tahun 762. Tujuan baginda membina semula kota itu kerana baginda melihat masalah ketidakseimbangan ekonomi dan kehidupan di kawasan Mesopotamia. Di kawasan Damsyik dikatakan kawasan elit, kaya raya dan dipenuhi kawasan bangunan dan perumahan tetapi di kawasan lain seperti Kufah, Basra dan Mosul agak pasif dan tidak membangun kerana kedudukan yang jauh dengan Damsyik dan juga infrastruktur yang kurang.

Disebabkan itu baginda menukar pentadbiran ke Baghdad kerana lokasinya yang agak strategik dengan dua sungai yang dalam (Eupharates dan Tigris) serta kawasan lembah yang mudah dalam pembangunan infra empayar tersebut. Ia menjadi salah satu bandar tercanggih di dunia pada ketika itu dan ia menjadi Ibu Bandar Empayar Abbasiyyah selama 5 Abad. Zaman baginda juga kerajaan Abbasiyyah telah memperkenalkan matawang mereka sendiri iaitu Abbasiyyah Dinar, dan Dirham.

Baginda dikatakan merupakan seorang ama tegas. Peribadinya saling tidak tumpah seperti saudaranya, As-Saffah yang juga merupakan seorang yang berpendirian teguh dan seorang yang pemurah. Dikatakan jika seseorang memandang baginda, semua akan takut dengan sifatnya yang tegas dan keras itu. Baginda juga seorang yang akan memenjarakan sesiapa sahaja yang mengkritik pemerintahannya secara tidak berasas selain mereka yang tidak mematuhi arahannya.

Antara yang menjadi mangsa ialah Imam Abu Hanifah yang dipenjarakan kerana tidak mahu menjawat menteri atau pangkat tinggi dalam pentadbiran kerajaan Abbasiyyah. Baginda juga dikatakan menentang golongan Syiah (yang amat berbeza dengan Saudaranya As-Saffah) dengan menangkap mana-mana orang yang menyebarkan fahaman itu. Kebanyakannya ditangkap dan dibunuh. Disebabkan itu berlaku revolusi Syiah pada tahun 762 hingga 763. Tentera Abbasiyyah dapat mematahkan revolusi ini dan menghukum bunuh pemimpin revolusi itu.

Sungguhpun begitu, baginda juga seorang yang adil dan telus, salah satunya dari kitab The Meadows Of Gold: The Abbasids by Mas’udi, riwayat Aban Ibn Abi Ayyash menyatakan ada sebuah kisah dimana suatu hari, Khalifah Jaafar Al Mansur sedang duduk di bahagian “patio” atas pintu Khurasan menghadap Sungai Tigris dan sebatang panah ditembak tidak dipastikan di arah mana ke antara kaki Khalifah Jaafar. Terkejut dan pelik, baginda melihat di panah itu ada tulisan yang tertulis:

“Tuan ingin hidup sampai hari akhirat?

Ingat tiada hari pembalasan?

Ingatlah, bahawa Tuan perlu menjawab semua dosa-dosa Tuan,

Dan akan ditanya oleh semua rakyat di bawah pemerintahan Tuan.”

Di busur panah itu ditulis “Hamadan- seorang rakyat yang ditindas kerana ketidakadilan undang-undang Tuan”

Perkara ini menjadi isu yang amat besar bagi Khalifah Jaafar Al Mansur. Baginda mengarahkan untuk mencari indicidu yang bernama Hamadan di seluruh penjara dan penjara bawah tanah di Empayar itu, mereka akhirnya terjumpa dengan satu sel penjara dimanna pintunya ditutupi kain seakan langsir. Di dalamnya ada orang tua di mana hampir seluruh anggotanya digari dan dia mengahala ke arah kiblat sambil berulang kali menbaca sepotong ayat dalam Al Quran yang berbunyi:

“kecuali orang-orang (penyair-penyair) yang beriman dan beramal saleh dan banyak menyebut Allah dan mendapat kemenangan sesudah menderita kezaliman. Dan orang-orang yang zalim itu kelak akan mengetahui ke tempat mana mereka akan kembali” ( Surah As-Syuara ayat 227)

Orang tua itu mengikut rekod ialah Hamadan yang menghantar panah itu namun ia menjadi misteri bagaimana dia melakukan sedemikian sedangkan semua anggotanya digari. Dikatakan juga, Khalifah Jaafar tidak mempersoal keanehan ini kerana baginda tahu yang Allah membela orang yang tidak bersalah. Hamadan memberitahu bahawa dia dipenjara kerana gabenor di kawasan tempat tinggalnya seorang yang kejam, Hamadan dipaksa membayar cukai lebih berbanding orang kaya yang lain kerana dia (Hamadan) mempunyai harta kekayaan yang banyak. Hamadan menolak untuk membayar cukai itu dan akhirnya ditangkap dan semua hartanya dirampas oleh Gabenor itu.

Mendengar luahan Hamadan dan terdapat sifat ketidakadilan di situ, Khalifah Jaafar Al-Mansur mengarahkan semua harta-harta Hamadan dipulangkan dan diberikan perlantikan Gabenor serta pengecualian cukai seumur hidup dan akan dibebaskan secepat mungkin. Hamadan bersetuju untuk hartanya dan cukainya dipulangkan namun menolak untuk menjadi Gabenor kerana baginda tidak mahu menjadi lupa diri dan gila kuasa dan harta.

Khalifah Jaafar Al Mansur memulangkan semula harta Hamadan dan diberikan bayaran pampasan beratus Dinar dan memecat dan menghukum Gabenor kawasan Hamadan atas sifat ketidakadilan itu. Ini adalah salah satu sifat ketelusan dan keadilan Khalifah Jaafar Al Mansur. Sungguhpun baginda adalah seorang yang keras dan tegas, tetapi baginda sentiasa solat  taubat dan memjnta ampun kepada Allah jika baginda melakukan sebarang kesalahan sepanjang pemerintahannya.

Baginda menghembuskan nafasnya yang terakhir pada hari sabtu, 6 Zulhijjah 158 Hijrah bersamaan 6 Oktober 775 Masihi. Baginda memerintah Empayar Abbasiyyah selama 21 tahun dan meninggal dunia ketika usianya 61 tahun.Ada berberapa versi tentang kemangkatan baginda dan sehingga kini ia masih belum dipastikan bagaimana baginda mangkat,

Mengikut dalam kitab Al Mas’udi, Khalifah Jaafar Al Mansur ingin menunaikan Haji dan dalam perjalanan ke Mekah, baginda meninggal dunia di sebuah taman yang dikenali sebagai Taman Bani Amir di kawasan antara Iraq dan Arab Saudi dan baginda ditanam di Mekah. Baginda meninggal dunia memakai Ihram dan dalam perjalanan ke Mekah, dalam versi ini, Khalifah Jaafar Al Mansur mangkat ketika masih di kawasan Iraq dan jenazahnya dibawa ke Mekah kerana baginda dikira sebagai jemaah haji yang syahid ketika ingin beribadat ke jalan Allah.

Satu lagi versi mengikut kata Fadl Ibn Rabi’ah, yang mendakwa baginda bersama dengan Khalifah Jaafar Al Mansur pada hari kemangkatannya. Ketika dalam perjalanan ke Mekah untuk menunaikan Haji, baginda sampai ke Kawasan Masjid di Al Batha untuk solat, ketika itu hanya ada baginda dan berberapa orang termasuk Fadl. Selepas solat baginda memanggil Fadl dan memberitahu di bahagian kubah masjid ini terdapat banyak tulisan dan mesej tentang kematian dan nasib ahli syurga dan neraka di alam barzakh

Fadl mendakwa dia tidak melihat tulisan itu dan kubah itu bersih dan putih, tiada apa-apa tulisan di situ. Khalifah Jaafar Al Mansur senyum dan berkata:

“Mungkin masa aku dah nak tiba, jiwaku kata mungkin ini adalah amaran bahawa masa “itu” akan tiba.”

Mereka keluar dari masjid dan meneruskan perjalanan, ketika menghampiri Mekah dan berhenti di telaga Maimun, baginda (Khalifah Al Mansur) mengucapkan Alhamdulillah dan baginda terus rebah dan mangkat di hadapan telaga itu. Baginda dikatakan dimakamkan di perkuburan Mua’lla di Mekah. Versi ini pula menceritakan yang Khalifah Jaafar mangkat ketika semakin hampir di Mekah. Sehingga kini tidak dipastikan dimanakah baginda mangkat tetapi ramai ahli sejarah menyatakan yang Khalifah Jaafar Al Mansur mangkat ketika dalam perjalanan ke Mekah untuk menunaikan Haji. Setelah mangkatnya baginda, anaknya, Al-Mahdi diangkat menjadi Khalifah yang seterusnya.

Sepanjang pemerintahan bagvinda, Khalifah Jaafar Al Mansur telah meluaskan dan memantapan Empayar Abbasiyyah menjadi sebuah Empayar yang kuat dari segi ketenteraan selain menjadi gedung Ilmu, yang dimulakan pada zaman baginda. Berkat pimpinannya, empayar Abbasiyyah menjadi Empayar yang hebat dan dipandang tinggi oleh empayar-empayar lain. Sungguhpun baginda ada melakukan kesilapan dalam pemerintahannya namun perubahan dan jasa baginda memakmurkan empayar memang patut diambil kira juga. Di sebabkan perubahan dan transformasi empayar Abbasiyyah, baginda selayaknya digelar sebagai Bapa Transformasi Empayar Abbasiyyah.

Sumber:

  1. The Meadows Of Gold: Abbasid By Mas’udi
  2. Marshall Bloomhall: Islam In China: A Neglected Problem
  3. Al Mansur: Abbasid Caliphate, Britannica Encyclopedia