Khalifah As-Saffah: Bapa Pengasas Empayar Abbasiyyah (750-754)

0
446
views

Pada tahun 750, bermulanya satu sejarah baru dalam Empayar Islam, apabila berlakunya masalah politik dan pemberontakan pada zaman Umaiyyah Lalu tercetusnya sebuah revolusi yang mengakibatkan ramai manusia terbunuh dan hampir semua keluarga Umaiyyah dibunuh oleh pro-keluarga Abbasiyyah untuk menukar kerajaan Islam secara radikal. Sungguhpun berjaya menjatuhkan Kerajaan Umaiyyah namun A-Saffah tidak dapat membunuh salah satu ahli keluarga Umaiyyah iaitu Abdul Rahman I.

Abu al-‘Abbas Abdullah bin Muhammad as-Saffah dilahirkan pada tahun 721. Tidak dipastikan beliau dilahirkan di mana tapi ada berberapa teori menyatakan beliau dilahirkan di Ar-Raqqah, Syria (kini). Nama sebenar beliau ialah Abdullah bin Muhammad bin Ali bin Abdullah bin Abbas bin Abdul-Muththalib bin Hasyim.

Jetpack Langkawi

Okay, anda mesti tertanya-tanya adakah As-Saffah ini keturunan Abbas iaitu apa saudara Nabi Muhammad S.A.W? Jawapannya ya, jika kita lihat dari salasiah As-Saffah, beliau adalah dari keturunan Abbas iaitu dari Abu Muthalib, Datuk Nabi Muhammad S.A.W. Tak faham? Saya belanja salasiah beliau bermula dari Abu Muthalib.

Jika tengok pada rajah tersebut, keturunan As-Saffah adalah keturunan Abbas iaitu pak cik Nabi Muhammad S.A.W. Berbeza dengan Umaiyyah yang keturunan Umaiyyah adalah dari Muawiyah dan Muawiyah adalah dari keturunan Abu Sufyan bin Harb. (Sumber dari Tarikh Khulafa, Sejarah Para Penguasa Islam, 2006)

Pada zaman kemunduran Empayar Umaiyyah, golongan Syiah bangkit menentang Umaiyyah kerana berpendapat bahawa kerajaan Umaiyyah tidak memberi keadilan kepada golongan ini. Ada berberapa teori menyatakan kemungkinan golongan Syiah ini bangkit kerana mereka tidak puas hati dengan kepimpinan Umaiyyah bukan kerana ketidak adilan, tetapi kerana kepercayaan dan keturunan.

Ada yang menyatakan bahawa Umaiyyah yang membunuh Khalifah Saidina Ali pada tahun 661 dan melancarkan perang saudara ketika perang Siffin. Syiah juga tidak pernah bersetuju atau mengiktiraf keturunan Umaiyyah menjadi pemimpin Islam kerana “sejarah-sejarah” lampau tersebut.

Jadi, apa kena mengena dengan As-Saffah? Golongan Syiah ini menerima As-Saffah kerana beliau adalah dari salasiah Nabi Muhammad S.A.W. dan berketurunan darah daging dengan Saidina Ali, Imam pertama mereka (mengikut kepercayaan Syiah).

Jadi mereka mengangkat beliau sebagai pemimpin mereka untuk menjatuhkan Empayar Umaiyyah yang mereka berpendapat bahawa keturunan Umaiyyah adalah keturunan yang keji dan musuh Islam. (Ya, mereka sudah lama nak jatuhkan Umaiyyah kerana Khalifah pertama Umaiyyah iaitu Muawiyyah menukar sistem raja berketurunan, bukan Syura’. Tapi ada yang berpendapat, ia bukan sebab itu. Ia bermotifkan dendam dan kebencian keluarga Umaiyyah ketika perang Siffin dan kontroversi zaman pemerintahan Khalifah Saidina Ali dahulu. Wallahualam).

As-Saffah menjadi pemimpin pemberontakan yang disokong oleh Golongan Syiah, Khawarij dan berberapa penduduk keturunan Parsi dan menempatkan kubu pemberontak di Khurasan, Iran. Ada yang berpendapat yang beliau juga mengikut ajaran Syiah, tetapi tidak dipastikan kerana tiada bukti kukuh yang menyatakan beliau mengikuti ajaran Syiah ini. Mereka melancarkan perperangan saudara (sekali lagi) dengan Kerajaan Umaiyyah selepas kemangkatan Khalifah Hisyam bin Abdul Malik pada tahun 743 dan akhirnya Empayar Islam Umaiyyah tumbang sepenuhnya pada tahun 750 yang diperintah oleh Khalifah Marwan II.

Selepas perang saudara dan kemenangan kumpulan As-Saffah ini, beliau agak risau kerana takut kemungkinan keluarga Umayyah yang melarikan diri akan bangkit dan lawan mereka semula, jadi beliau mengarahkan untuk membunuh semua keluarga Umayyah dalam sebuah majlis makan malam yang pada asalnya adalah menjemput seluruh keluarga Umaiyyah.

Tidak dipastikan sama ada khadam atau pekerja Istana dan pegawai kerajaan juga dibunuh masa zaman itu tapi apa yang pasti, semua keluarga Umayyah habis dibunuh kecuali Abdul Rahman, iaitu salah satu putera keturunan Umayyah yang terakhir berjaya melarikan diri.

Malah seluruh makam khalifah-khalifah Umaiyyah sebelum digali lalu dibakar. (Dikatakan hanya makam Khalifah Umar Abdul Aziz sahaja yang selamat.) As-Saffah kemudiannya mengarahkan untuk mencari Abdul Rahman dan membunuhnya. (Boleh dibaca dalam artikel The Patriots mengenai Khalifah Abdul Rahman I)

Beliau menaiki takhta sebagai Khalifah Pertama dalam empayar Abbasiyyah yakin pada tahun 750. Abbasiyyah dipilih sempena keturunan Khalifah pertama Empayar ini dan namanya menjadi As-Saffah kerana pada permulaan pemerintahan beliau, berlaku pertumpahan darah yang amat dasyat. As-Saffah bermaksud Tulisan Berdarah. Terdapat pendapat juga mengatakan beliau digelar As-Saffah kerana ini adalah empayar pertama dalam sejarah Islam yang menukar pemerintahan secara radikal dan menumpahkan darah. Dikatakan hampir 1,000 orang terbunuh ketika penukaran pemerintahan ini.

Pada zaman pemerintahan beliau, beliau mengamalkan kepelbagaian dalam pemerintahannya di mana beliau memberi peluang kepada golongan Yahudi, Kristian Nestorian dan Parsi untuk menyertai tentera. Beliau juga menjadi ketua tentera sehingga kemangkatan beliau.  Pemerintahan beliau menyaksikan beliau melantik berberapa orang menteri berbilang agama dalam pentadbiran yang selama ini hanya dikhaskan untuk yang beragama Islam sahaja. Beliau dikatakan meneruskan sebahagian besar polisi pentadbiran Umayyah namun mengubah sedikit corak pentadbiran empayar itu.

Salah satu pembahruan As-Saffah ialah memperkenalkan Wazir atau Perdana Menteri dan meluaskan kuasa gabenor. Ketika itu mmpayar tidak meluas lagi kerana ketika itu berlaku sedikit pergolakan empayar dan masalah ekonomi kerana perang dan ketidakstabilan politik. Jadi tidak banyak sangat kemajuan berlaku dalam pemerintahan beliau.

Menurut buku Tarikh Khulafa, As-Saffah ini merupakan seorang dermawan. Beliau mudah memberi wang atau barang tanpa sebarang persoalan. Beliau dikatakan amat tegas dan berpendirian teguh dalam perlaksanaan apa jua tindakan demi mencapai kemajuan empayar yang baru ini.

Beliau juga merancang pelbagai pembangunan yang memberi kemudahan kepada rakyat Empayar baru seperti membina beberapa tembok sempadan untuk mengelakkan musuh memasuki empayar baru ini.

Memanglah, sebab masa zaman pemerintahan beliau, bukan sahaja Empayar Umayyah mengalami pergolakan, malah pergolakan seperti empayar Byzantin dan berberapa Empayar Timur Tengah juga mengalami pergolakan pada waktu yang sama lalu pastinya akan mengancam keselamatan empayar barunya.

Tahukah anda bahawa sebelum beliau menjadi Khalifah, As-Saffah telah berjanji bahawa beliau akan memberi jawatan menteri untuk golongan Syiah dan Khawarij yang menyokongnya. Selepas beliau menjadi Khalifah, beliau tidak mengiktiraf golongan Syiah dan Khawarij dan memberikan jawatan menteri kepada bangsa lain. Disebabkan itu, golongan ini menjauhkan diri dan tidak bersama dengan As-Saffah dalam pembangunan empayar baru itu. Ada yang berpendapat, beliau memenjarakan golongan sehingga hari kemangkatan beliau.

Khalifah As-Saffah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 10 Jun 754 setelah memerintah Empayar Abbasiyyah selama 4 tahun. Beliau sempat memberikan “wasiat” supaya takhta khalifah diberikan kepada saudaranya, Jaafar Al-Mansur. Khalifah meninggal dunia pada usia yang sangat muda, iaitu sekitar 33 tahun kerana penyakit cacar. Beliau dikenali sebagai Bapa pengasas Empayar Abbasiyyah.

Rujukan:

  1. Tarikh Khulafa, Sejarah Para Penguasa Islam, 200
  2. The Prophets and the age of the Caliphates
  3. The Abbasid Revolution