Khalifah Al-Mu’tasim: Bapa Ketenteraan Abbasiyyah (833-842)

966
views

Abu Ishaq Muhammad bin Harun Ar-Rasyid atau dikenali sebagai Al-Mu’tasim billah atau Al-Mu’tasim dilahirkan di Istana Baghdad pada tahun 796 ketika zaman pemerintahan Harun Ar-Rasyid. Bapa baginda ialah Harun Ar-Rasyid dan ibunya bernama Marida, salah seorang gundik Harun Ar-Rasyid. Latar belakang ibunya tidak begitu diketahui.

Berdasarkan sejarawan, Marida dilahirkan di Kufah, Iraq dan berpendapat kemungkinan beliau adalah dari keturunan Turki yang menetap Di Songhdia, Uzbekistan. Sejak kecil lagi, baginda menunjukkan kehebatan baginda dalam menggunakan senjata dan amat meminati perjuangan demi memartabatkan agama Islam.

Baginda ketika usia remaja, menyertai tentera di akhir pemerintahan Harun Ar-Rasyid pada tahun 808 dan diteruskan dalam latihan pada awal pemerintahan Khalifah Al-Amin (809-813). Ketika berlaku perang saudara antara Al-Amin dan Al-Ma’mun, baginda tidak menyertai peperangan saudara itu dan tinggal di Baghdad.

Baginda “berehat seketika” dari latihan askar sehingga kemelut ini selesai dan banyak menghabiskan masa mempelajari ilmu hisab, sains dan falsafah serta sastera. Baginda tidak dipilih untuk menjadi khalifah selepas Al-Amin dan Al-Ma’mun pada awalnya kerana baginda tidak terlibat langsung dalam perang saudara tersebut.

Ketika zaman pemerintahan Al-Ma’mun, baginda dipanggil oleh abangnya (Al-Ma’mun) dan dilantik sebagai ketua pengawal dan ketua kemudi jemaah haji ke Mekah. Baginda bersama beberapa pengawal yang terlatih menjalankan tanggungjawabnya dengan baik. Ada satu peristiwa dimana baginda mengalahkan perompak di kawasan Hijjaz dengan mudah ketika mereka cuba menyerang hendap untuk menyamun barang-barang jemaah haji.

Baginda diberi banyak penghormatan kerana jasa baginda. Sejak tahun 814, baginda bekerjasama dengan angkatan bangsa Turki untuk menjadi salah satu angkatan baginda kerana baginda melihat potensi mereka akan menjadi lebih jauh dan besar kerana pada awalnya, bangsa Turki ketika zaman itu adalah golongan hamba abdi. Dengan harta baginda, baginda membeli hamba-hamba Turki dan diajar bermain senjata dan berlawan. Baginda juga mengambil beberapa anak muridnya untuk menyertai pengawal pemgemudi jemaah haji sehingga tahun 819 apabila Khalifah Al-Ma’mun pulang semula ke Baghdad.

Ketika tahun 818, berlaku kontroversi di Khurasan selepas kemangkatan Imam Reza yang mana golongan Khurasan menyerang Abbasiyyah menyebabkan Al-Ma’mun meninggalkan Khurasan dan masuk ke Baghdad pada tahun 819. Ini adalah titik permulaan pemerintahan Empayar Samanid yang merangkumi 75% dari negara Iran (kini) sehingga kawasan barat Afghanistan. Turkmenistan dan Uzbekistan.

Khalifah Al-Ma’mun sepanjang pemerintahannya menghalang golongan pemberontak dari Khurasan untuk menjatuhkan Baghdad namun serangan ini terhenti apabila Al-Ma’mun melepaskan wilayah Khurasan dari Abbasiyyah pada sekitar tahun 824 kepada Samanid (Golongan Turkmenistan). Baginda (Al-Mu’tasim) dilantik sebagai Gabenor Syria dan Mesir pada tahun 828 di mana baginda melakukan tugasnya sebagai gabenor dengan baik.

Namun pada tahun 830, berlaku pemberontakan di wilayah Alexandria apabila ketua Alexandria, Umayr bin Al-Walid menaikkan cukai tanpa sebarang notis dan sebab. Ini mengakibatkan perdagangan di Alexandria merudum teruk. Terjadi satu pemberontakan di sana mengakibatkan pemerintahan baginda sebagai gabenor agak goyah. Baginda mengetuai askar di sana dan menumpaskan pemberontak bersama 4,000 angkatan Turki.

Pemimpin pemberontak ditangkap dan dihukum bunuh dan Umayr ditangkap dan dilucutkan jawatan (tidak dipastikan beliau dibunuh atau dipenjarakan). Pada tahun 831 pula, berlaku satu revolusi di Mesir apabila golongan Koptik Kristian ingin menawan Mesir kerana berpendapat mereka yang layak menjadi khalifah di sana kerana keturunan mereka sudah menetap di Mesir sejak zaman Nabi Isa A.S. lagi.

Penentangan hebat ini menyebabkan satu perang yang ketara sehingga Khalifah Al-Ma’mun terpaksa pergi sendiri ke Mesir untuk menyelesaikannya. Kemelut ini selesai selepas baginda mengambil beberapa tokoh Koptik Kristian sebagai orang tertinggi di Mesir. Baginda dikatakan akan pergi ke Tarsus untuk mengikuti urusan Al-Ma’mun namun berita tentang kemangkatan Al-Ma’mun pada tahun 833 membuatkan baginda menarik diri dari urusan itu.

Ketika kemangkatan Al-Ma’mun, baginda tidak dipilih untuk menggantikan Al-Ma’mun menjadi Khalifah seterusnya. Ramai orang berspekulasi bahawa anak Al-Ma’mun iaitu Al-Abbas menjadi Khalifah seterusnya. Tidak ramai ahli sejarawan tahu bagaimana baginda dilantik menjadi khalifah. Ada yang berpendapat, sebelum Khalifah Al-Ma’mun mangkat, Al-Ma’mun menulis surat kepada keluarga Abbasiyyah untuk melantik Al-Mu’tasim sebagai Khalifah seterusnya, bukan anaknya.

Ada juga pendapat ramai keluarga Abbasiyyah memilih Al-Mu’tasim kerana baginda lebih layak menjadi Khalifah berbanding anak Al-Ma’mun, Al-Abbas. Baginda (Al-Mu’tasim) dikatakan tidak mengetahui perlantikan baginda sebagai Khalifah seterusnya apabila baginda dalam perjalanan bersama askarnya untuk berperang dengan Byzantine untuk mempertahankan bandar Tyana (sebuah bandar antara sempadan Abbasiyyah dan Byzantine) sehinggalah dipanggil kembali ke Baghdad untuk perlantikan. Baginda menarik diri daripada perjalanan itu dan pulang ke Baghdad dan dilantik secara rasmi sebagai Khalifah ke 8 Empayar Abbasiyyah pada 20 September 833.

Baginda mengubah sistem pentadbiran dengan melantik banyak menteri berasal dari Turki dan memperkenalkan Turki Corps yang menjadi ketua pertahanan di Abbasiyyah. Baginda adalah khalifah pertama di Abbasiyyah yang menjadi ketua dalam perang di mana sepanjang pemerintahan, baginda akan mengetuai perang-perang besar. Baginda juga mengekalkan beberapa pentadbiran yang ditinggalkan oleh khalifah-khalifah sebelumnya. Baginda juga memindahkan kota pentadbiran dari Baghdad ke Samara, 130 km dari utara Baghdad pada tahun 836 kerana pada zaman pemerintahan baginda, Baghdad semakin sesak dan tidak sesuai untuk urusan pentadbiran.

Penukaran wilayah pentadbiran ini mendapat persetujuan menteri dan baginda membina kota Samara dengan formasi yang kemas dan teratur di mana di bahagian tengah bandar ialah pusat pentadbiran Abbasiyyah, kawasan askar ditempatkan di kawasan timur, kota kawasan perumahan di kawasan selatan kota dan kawasan kedai dan pejabat serta sekolah di barat kota. Pada zaman baginda juga, pembinaan jalan dan infrastruktur diluaskan untuk kemudahan pengguna.

Baginda memberikan gaji yang agak lumayan kepada askar yang bertugas di semua wilayah Abbasiyyah dan menghantar semua kaum Parsi ke Khurasan untuk mentadbir di sana. Baginda menaikkan bangsa lain khususnya Bangsa Turki menjawat jawatan atasan. Ini menimbulkan rasa tidak puas hati terhadap Khalifah Al-Mu’tasim kerana menghantar semua kaum Parsi ke wilayah yang dilabelkan sebagai”dalam pembinaan semula” selepas perang saudara yang berlaku pada 809-819. Baginda adalah khalifah pertama yang melantik Wazir atau perdana menteri beragama Kristian iaitu Al-Fadl bin Marwan untuk menjaga kewangan Abbasiyyah.

Baginda juga meneruskan pengambilan guru-guru dan pembukaan sekolah baru untuk menjadikan Abbasiyyah sebagai gedung Ilmu. Sungguhpun bagida tidaklah sehebat seperti Al-Ma’mun yang meluaskan pendidikan di Abbasiyyah. Baginda lebih memfokuskan kekuatan askar Abbasiyyah dan mengetuai perperangan seperti perang dengan Byzantine.

Baginda juga mengetuai peperangan mengalahkan Khawarij di Khurasan yang cuba menjatuhkan Baghdad dan Abbasiyyah. Malah ada beberapa keluarga Abbasiyyah tidak puas dengan cara pemerintahan Baginda kerana melebihkan kaum Turki berbanding Arab Abbasiyyah menjadi menteri atau gabenor. Mereka membuat satu konspirasi yang bertujuan untuk membunuh Khalifah Al-Mu’tasim dan menggantikan Al-Abbas ibn Al-Ma’mun sebagai Khalifah seterusnya.

Al-Abbas tidak setuju dengan rancangan ini kerana beliau telah bersetuju dan menerima perlantikan pakciknya (Al-Mu’tasim) sebagai khalifah. Namun rancangan itu gagal apabila rahsia mereka terbongkar oleh beberapa menteri berbangsa Turki yang setia dengan Khalifah Al-Mu’tasim, mereka ditangkap dan dihukum bunuh. Al-Abbas juga ditangkap dan dipenjarakan. Beliau meninggal dunia di dalam penjara pada tahun 838.

Disebabkan berita rancangan untuk menjatuhkan Khalifah Al-Mu’tasim, bermulanya satu perundangan baru yang menggunakan cara radikal di mana pihak berkuasa akan menghukum bunuh sesiapa sahaja yang merancang untuk menjatuhkan baginda. Ketika ini dikatakan bermulanya kebangkitan bangsa Turki yang selama ini dilayan sebagai hamba abdi.

Kebangkitan ini juga mengakibatkan perbalahan bangsa dan juga pengusiran beberapa bangsa lain yang selama ini hidup dalam harmoni ketika pemerintahan Khalifah-khalifah yang lepas. Baginda mengambil keputusan untuk memecat beberapa menteri yang mencetuskan perbalahan ini dan menaikkan semula bangsa lain untuk menjawat jawatan menteri. Baginda juga menetapkan hukuman yang lebih berat kepada sesiapa yang ingin memusnahkan keharmonian Abbasiyyah. Empayar ini kembali aman dan masalah perkauman berkurangan dan dikatakan selesai pada pemerintahan baginda juga.

Zaman pemerintahan baginda boleh dikatakan aman damai. Penduduk di kawasan naugan wilayah Abbasiyyah hidup dengan harmoni dan kemajuan dan pembangunan diteruskan. Baginda banyak memberikan kuasa pentadbiran dan pemerintahan kepada Wazir kerana baginda lebih sibuk berada di barisan pertahanan. Zaman baginda, baginda meluaskan jajahan empayar, khususnya melawan Empayar Byzantine. Baginda juga mempertahankan empayar dari serangan Khurasan yang sememangnya ingin menjatuhkan Baghdad tetapi serangan mereka gagal kerana kekuatan dan strategi baginda berjaya mengalahkan tentera Khurasan.

Baginda juga berjaya meluaskan empayar dengan menawan beberapa wilayah Byzantine dan salah satu kejayaan besar baginda ialah berjaya menawan Amorium, wilayah pertengahan Anatolia dan juga kawasan Trabzon dan Samsun. Byzantine kalah hampir kesemua perperangan itu dan kehilangan banyak askarnya. Maharaja pada ketika itu iaitu Maharaja Theophilos masih kekal melawan Abbasiyyah untuk menawan semula Amorium kerana ia adalah salah satu kubu dan bandar utama Anatolia sehingga kemangkatannya pada tahun 842.

Baginda (Al-Mu’tasim) membina kem askar di Tarsus dan beberapa wilayah berdekatan dengan sempadan Byzantine untuk menguatkan pertahanan Abbasiyyah. Boleh dikatakan baginda membuat satu garisan sempadan yang dikawal ketat bagi menghalang askar Byzantine menyerang balas dan menembusi wilayah Abbasiyyah.

Pengawalan sempadan Byzantine dan Abbasiyyah ini sangat ketat seperti pengawalan di De-Militerized Zone yang menjadi sempadan antara Korea Utara dan Korea Selatan. Baginda juga membina kawasan kem askar di bahagian Timur Abbasiyyah bagi mengawal sempadan Empayar Samanid di Bahagian Khurasan sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan Baghdad ditawan dan menahan kemaraan askar Khurasan yang selama ini berperang dengan Abbasiyyah sejak tahun 816 lagi.

Zaman baginda juga, diteruskan ordinan Mihna dimana baginda memegang doktrin Muktazillah dan memberi pengiktirafan ajaran Syiah sebagai ajaran Islam. Ramai ahli cendekiawan Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah menentang hebat ordinan ini dan menyebarkan risalah dan ceramah untuk menunjukkan rasa tidak setuju dengan Muktazilah dan Syiah ini. Baginda dikatakan menangkap lebih ramai cendekiawan tetapi hanya memenjarakan mereka, bukan dibunuh sebagaimana sewaktu pemerintahan Khalifah Al-Ma’mun.

Salah seorang tokoh yang menentang Muktazillah dan Syiah yang dipenjarakan melalui ordinan Mihna ialah Imam Ahmad bin Hanbal. Beliau dipenjarakan oleh Baginda Al-Mu’tasim pada tahun 833. Apabila beliau dipenjarakan, populariti beliau lebih tinggi dan orang ramai membuat solidariti untuk membebaskan Imam Ahmad bin Hanbal ini. Masa zaman baginda, ramai ulama menyembunyikan diri dan menyebarkan dakwah dan ajaran secara senyap-senyap untuk mengelakkan daripada ditangkap.

Ada juga yang melarikan diri ke Khurasan untuk menjadi tenaga pengajar di Empayar Samanid (kerana Empayar Samanid adalah Empayar Islam berteraskan Ahli Sunnah Wal Jamaah) dan kembali ke Abbasiyyah selepas Ordinan Mihna dimansuhkan pada tahun 851.

Pada tahun 841, Baginda jatuh sakit atas penyakit yang tidak diketahui. Baginda dirawat oleh seorang doktor yang bernama Salmawayh bin Bunan yang merawat baginda dengan memberikan ubat serta memandikan baginda kerana baginda dikatakan tidak boleh bangun, mahupun berjalan. Selepas kemangkatan Salmawayh bin Bunan pada akhir tahun 841, pengganti Salmawayh ialah seorang doktor pakar bernama Yahya bin Masawayh, yang tidak menjaga dan merawat baginda dengan baik mengakibatkan kemangkatan baginda pada 5 Januari 842.

Baginda mangkat di istana Samarra dan dimakamkan di kawasan Samarra. Baginda baru berusia 46 tahun dan memerintah Abbasiyyah selama 9 tahun. Kemangkatan baginda menandakan berakhirnya khalifah dari benih keturunan dari Harun Ar-Rasyid dan selepas baginda, beberapa keturunan baginda yang akan menjadi Khalifah Abbasiyyah selama hampir 60 dekad, ini cartanya.