Khalifah Al Mahdi: Bapa Pendidikan Abbasiyyah

0
385
views

 Khalifah Al Mahdi adalah Khalifah yang ke tiga Empayar Abbasiyyah selepas kemangkatan bapanya, Khalifah Jaafar Al-Mansur pada tahun 775. Baginda adalah khalifah yang pertama dalam empayyar Abbasiyyah yang dilantik melalui anak kepada khalifah yang lepas. Nama sebenar baginda bukan Al Mahdi, nama sebenarnya ialah Abu Abdallah Muhammad ibn Abdallah al-Mansur. Baginda digelar Al Mahdi yang bermaksud “Seseorang yang diberi petunjuk oleh Allah” kerana baginda dikatakan agak warak dan mementingkan ibadah selain tugasnya sebagai pemimpin empayar Islam ini.

Baginda dilahirkan di sebuah perkampungan di Humeima (Kini dikenali sebagai Negara Jordan) pada tahun 744 atau 745. Baginda berusia 10 tahun ketika ayahnya, Jaafar Al Mansur menaiki takhta sebagai khalifah ke dua Abbasiyyah. Ketika usia yang amat muda, Khalifah Al Mansur mengajar baginda dalam bidang pentadbiran, taktik perang dan politik.

Ketika usianya 15 tahun, baginda mengetuai tentera untuk menjatuhkan pemberontak di Khurasan yang diketuai oleh Abdur Rahman bin Abdul Jabbar Azdi. Baginda juga mengetuai tentera untuk menjatuhkan pemberontak lain di Ispahbud, Tazbistam dan Astazsis. Tentera baginda berjaya mengalahkan pemberontak dan dikatakan hampir 70,000 orang terkorban dalam pertempuran tersebut.

Pada tahun 762, baginda dilantik menjadi Gabenor di bahagian Timur Empayar Abbasiyyah iaitu di kawasan Ray (Kota lama Tehran). Disini baginda jatuh cinta dengan Al-Khayzuran dan mengahwininya lalu menimang berberapa cahaya mata (tidak dipastikan berapa ramai anaknya) dan anaknya bakal mewarisi baginda menjadi Khalifah keempat dan kelima secara berterusan iaitu Khalifah Al Hadi dan Khalifah Harun Ar-Rashid. Pada tahun 770, baginda dilantik sebagai Amir Al-Hajj iaitu Ketua Pertahanan Jemaah Haji yang tugasnya menjaga keselamatan jemaah haji dengan memastikan jemaah haji tiba di Mekah dan Madinah dengan selamat.

Baginda menggantikan bapanya, Khalifah Jaafar Al Mansur selepas kemangkatan bapanya ketika dalam perjalanan menunaikan haji pada tahun 775. Zaman pemerintahan baginda dikatakan empayar berada dalam keadaan aman damai. Baginda membangunkan ke semua wilayah empayar tanpa mengira kaum dan agama. Baginda juga meneruskan sistem pemerintahan yang ditinggalkan oleh khalifah yang lepas.

Ketika pemerintahan baginda, baginda membuka berberapa institusi sastera dan sekolah keagamaan. Baginda juga amat minat dalam muzik dan puisi. Zaman baginda adalah pembangunan industri kesenian, kesasteraan dan muzik. Baginda amat menyokong perluasan industri ini dan menggalakkan rakyatnya untuk mengekspresikan pendapat atau kehidupannya dalam berbentuk puisi atau muzik.

Zaman baginda dikatakan industri muzik meletus sehinggakan tokoh-tokoh puisi dan muzik dihantar ke empayar lain khususnya di bahagian Byzantin dan ada yang menyatakan mereka dihantar ke Rantau Asia untuk mengajar rakyat di sana dalam bidang seni muzik dan puisi.  Anak Khalifah Al Mahdi iaitu Ibrahim dan ‘Ulayya binti Al Mahdi adalah salah seorang penulis lirik dan puisi terkenal. Baginda juga amat menggalakkan penulisan puisi keagamaan dan nasihat berdasarkan ajaran Islam.

Pada awal pemerintahan Khalifah Al-Mahdi, Kerajaan Byzantin menghantar utusannya, Tarath untuk berurusan pelaburan dengan Empayar Abbasiyyah iaitu membantu membina mesin pemecah batu dan mesin kincir angin di beberapa kawasan utama di wilayah Abbasiyyah. Bantuan ini dibuat kerana untuk membalas budi Khalifah Al Mahdi dalam pembukaan sekolah seni di sana. Kerajaan Byzantin melabur sekitar 500,000 dirham dalam pembinaan mesin ini. Projek ini berjaya dan menghadiahkan hadiah yang mahal kepada Tarath atas bantuan pembinaan mesin ini dan juga sebagai alat menjalin hubungan diplomatik dengan kerajaan Byzantin.

Waqaf Saham

Baghdad pada zaman pemerintahan baginda menjadi maju dan berkembang lebih besar. Pembinaan kawasan masjid, rumah dan ruang pejabat dan kedai dibesarkan sehingga menarik minat ramai bangsa dari empayar lain. Ramai yang berhijrah ke Baghdad untuk mencari rezeki di san sehingga mewujudkan penempatan pelbagai bangsa dan agama seperti Nasrani, Hindu, Yahudi dan Zoroastrians (Majusi).

Dikatakan juga, rakyat dari Empayar China juga datang dan menetap ke Baghdad untuk mencari rezeki dan menimba ilmu. Zaman baginda juga pembinaan pusat pentadbiran dan pembahagian “kementerian” untuk melancarkan sistem pentadiran. Ada berberapa bahagian “kementerian” yang diwujudkan iaitu ialah kementerian pertahanan, kementerian kewangan dan cukai dan kementerian pendidikan. Baginda juga memperkenalkan Qadi dan Hakim-hakim dalam bahagian perundangan dan memberi kepada bangsa lain menyertai perundangan dengan syarat mereka mesti beragama Islam.

Zaman baginda juga pengenalan penggunaan kertas yang selama ini digunakan oleh Dinasti China. Baginda bekerjasama dengan kerajaan Dinasti China untuk membuka kilang Kertas di Baghdad. Ketika itu kawasan Eropah dan Timur Tengah menggunakan Papyrus dan kulit kayu. Pengenalan kertas yang lebih murah daripada dua benda itu menjadikan Baghdad sebagai pusat perdagangan kertas di Timur Tengah dan Eropah.  Ketika itu, kerajaan Abbasiyyah dikatakan mencatat untung berpuluh juta dinar hasil pelaburan dan kemantapan pentadbiran Khalifah Al Mahdi. Pembikinan buku rujukan juga mula dibuat pada zaman pemerintahan baginda.(Untuk Zaman Abbasiyyah) Baginda juga mengarahkan untuj mengumpulkan semua kajian oleh ilmuan yang lepas dan bukukan secara meluas dan dijual ke seluruh kawasan Asia dan Timur Tengah.

Baginda juga seorang yang agak warak. Dikatakan baginda menetapkan undang-undang menghukum sesiapa orang Islam yang mengamalkan ajaran sesat dan murtad. Malah zaman baginda, baginda menyatukan semua ajaran Islam kepada satu aliran iaitu Aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah. Sesiapa yang ikut ajaran Syiah, Khawarij serta ajaran aliran “Islam” selain Ahli Sunnah akan dibunuh.

Ini adalah salah satu polisi baginda dalam menjaga ummah dari berpecah serta bergaduh sama sendiri. Baginda memberikan kebebasan kepada golongan agama lain tetapi tidak membenarkan mereka untuk mempersoal atau menghina agama Islam.

Baginda juga pernah memenjarakan Perdana Menteri baginda Ya’qub bin Dawud atas rasuah dan baginda juga mengetepikan Pak Ciknya, Isa ibn Musa untuk menjadi Khalifah atas masalah keluarga dan politik. Ada pendapat yang menyatakan kemelut antara keluarga Al Mansur dan Isa Ibn Musa berlarutan sejak zaman Khalifah As-Saffah (750-754) atas sebab yang tidak dipastikan. Ada yang menyatakan Isa ibn Musa tidak setuju dengan polisi adik beradiknya, ada juga yang menyatakan baginda melakukan rasuah. Namun Isa ibn Musa ini tidak dipenjarakan sehingga kemangkatan baginda pada tahun 783 atau 784.

Khalifah Al Mahdi menghembuskan nafas yang terakhir pada tahun 784 atau 785 ketika usianya 39 atau 40 tahun atas sebab yang tidak dapat dipastikan. Ada yang menyatakan baginda mangkat kerana demam panas, ada yang menyatakan baginda mangkat menghidap penyakit seperti cacar (seperti pak ciknya, Khalifah As-Saffah) dan ada juga pendapat baginda mangkat kerana diracun oleh salah seorang gundiknya.

Baginda digantikan oleh anak sulungnya, Al-Hadi untuk menjadi Khalifah seterusnya. Baginda memerintah selama 10 tahun dan Empayar Abbasiyyah menjadi maju dan mula dipandang tinggi oleh Empayar lain. Baginda digelar Bapa Pendidikan Empayar Abbasiyyah kerana jasa baginda dalam menggalakkan industri pendidikan sastera, muzik dan seni dan juga ilmu Islam serta pembukuan banyak rujukan dan dihantar ke seluruh Empayar lain pada ketika itu.

Bacaan Lanjut:

  1. The Abbasid Caliphs During The Lifetime Of Imam Reza
  2. The Truth Caliphs of The Arabian Nights
  3. Mawali and Music, Patronage in Early and Classical Islam
  4. The Meadows of Abbasids, terjemahan oleh Paul Lunde, 1989