Khalifah Al-Hadi: Bapa Pembasmi Golongan Munafiq

0
367
views

Khalifah Al-Hadi atau nama sebenarnya Abu Muhammad Musa ibn Mahdi al-Hadi di lahirkan di Ray, Iran pada tahun 764. Tidak banyak sejarah baginda sebelum menjadi Khalifah namun menurut kitab Al-Souyouti,Tarikh Al-Khulafa’a (History of Caliphs), baginda merupakan anak sulong dalam keluarga Khalifah Al Mahdi (775-785). Selepas kemangkatan bapanya, Al Mahdi pada tahun 785, Baginda dilantik menjadi Khalifah keempat Abbasiyyah ketika usianya menjangkau 21 tahun.

Ketika pemerintahannya, baginda adalah yang pertama dalam Empayar Abbasiyyah membuka ruang kepada rakyat tak kira miskin atau kaya untuk berurusan dengan Khalifah. Baginda juga dikatakan seorang yang amat mesra dengan rakyat di mana baginda tidak memakai pakaian mahal, tidak bersama dengan pengawal ataupun mengikut protokol. Baginda seorang yang boleh bersama dengan rakyat dan memberi bantuan kepada rakyat. Sepanjang pemerintahan baginda, dikatakan hampir 1000 dinar diberikan kepada rakyat jelata atas bantuan kepada yang memerlukan.

Pada zaman pemerintahan baginda juga, Baghdad dikatakan semakin maju dan kelihatan orang ramai mula menziarahi Baghdad dan ia semakin sesak dengan orang yang datang dari pelusuk dunia sama ada untuk urusan perniagaan dan pendidikan, jadi Baginda memindahkan pusat pentadbirannya di Haditha, sebuah kota yang baru dibina di bahagian utara Bagdad yang dibina 10 batu dari Bandar Besar Baghdad.

Namun pemerintahan baginda menghadapi kontroversi seperti pemberontakan kumpulan yang ingin menjatuhkan empayar Abbasiyyah yang dipimpin oleh Husayn ibn Ali ibn Hassan. Dikatakan, Husayn adalah salah seorang tentera berpangkat tinggi di Abbasiyyah. Ali Husayn berpaling tadah (tidak dipastikan faktor beliau menentang Khalifah ini malah tidak dipastikan sama ada Husayn ini keturunan Saidina Ali. Ada yang menyatakan ya, ada juga menyatakansebaliknya. Wallahualam.)

Husayn mengumpulkan pengaruhnya dan berjaya menawan Madinah dan melantik dirinya sebagai Khalifah seluruh wilayah Hijaz (Mekah dan Madinah). Mendengar berita ini, baginda menghantar bala tenteranya yang amat ramai diketuai oleh Muhammad bin Sulaiman dan diarahkan untuk datang ke sana hanya untuk berunding secara aman dan mengajak Husayn kembali taat kepada Khalifah. (Ketika itu Mekah dan Madinah dalam wilayah Abbasiyyah sebelum “diambil” oleh Husayn).

Muhammad bin Sulaiman berunding dengan Husayn namun tiada kata putus malah mereka dikatakan menyerang ketumbukkan Abbasiyyah tersebut. Insiden ini menjadi titik tolak serang balas dan Muhammad bin Sulaiman menghantar utusan memberitahu Khalifah tentang berita ini. Sebaik sahaja Khalifah Al Hadi mengetahui berita ini, baginda mengarahkan askarnya untuk menyerang Madinah dan menjatuhkan pemberontak tersebut. Hasilnya, askar Abbasiyyah berjaya mengalahkan pemberontak itu serta membunuh Husayn namun saudara Husayn, Idris bin Abdullah melarikan diri ke Morocco dan membuka “Wilayah Idris” di sana. Perang melawan Pemberontak ini dikatakan berlaku disekitar  kawasan utara Hijaz antara Tabuk dan Madinah.

Baginda juga mengalahkan puak Khawarij yang selama ini bekerjasama dengan orang-orang Zindiq atau dikenali sebagai munafiq. Zaman pemerintahan baginda telah mengarahkan untuk menjatuhkan atau menghukum bunuh sesiapa sahaja umat Islam yang munafiq dalam mengamalkan ajaran Islam. Baginda memperkenalkan satu undang-undang baru tentang pengharaman ajaran sesat yang lain (kemungkinan besar Syiah dan Khawarij di senaraikan sebagai ajaran sesat ketika zaman pemerintahan baginda) dan menghukum bunuh.

Undang-undang ini lebih ketat berbanding pemerintahan bapanya, Al Mahdi yang dahulunya memperkenalkan undang-undang sama seperti baginda dahulu namun ia lebih diperketatkan dan meluas diseluruh wilayah Abbasiyyah. Disebabkan kelicikan dan golongan Zindiq ini banyak melakukan “angka” secara diam-diam, agak susah untuk mencari golongan ini kerana mereka semua berpakaian seperti Islam, mengamalkan ibadah sama seperti Islam namun hati dan imannya tidak.

Waqaf Saham

Mengikut sejarah, Khalifah Al Hadi dikatakan menghukum hampir 500 golongan Zindiq mengikut bukti yang kukuh. Sungguhpun baginda dalam usaha membanteras golonngan zindiq ini, baginda perlu mengadili dengan adil dan disertakan bukti yang kukuh.

Namun usahaya tidak lama kerana baginda mangkat pada tahun 786. Baginda memerintah empayar Abbasiyyah hanya satu tahun tiga bulan sahaja. Baginda juga baru berusia 22 tahun ketika baginda mangkat. Ada banyak versi tentang kemangkatan baginda:

  1. Salah satunya ialah penyakit ulcer yang teruk namun tidak dipastikan di mana penyakitnya berada, ada yang menyatakan di perut ada juga yang menyatakan di usus.
  2. Kemungkinan besar juga baginda dibunuh oleh ibunya atas sebab “perbezaan darjat antara baginda dan adik baginda”
  3. Kemungkinan disebabkan Baginda tidak puas hati dengan ibunya yang sering menggangu atau sibuk dalam urusan pentadbiran empayar dan sering merendahkan baginda dan mempengaruhi menteri-menterinya untuk mengangkat adiknya, Harun Ar Rasyid sebagai pengganti baginda. Disebabkan itu, baginda dikatakan cuba meracuni ibunya.

Yahya bin Al Hassan menyatakan bahawa bapanya memberitahu tentang Khalifah Al Hadi cuba meracuni ibunya melalui seorang pekerja istana dan dia memberitahu: Aku mendengar Khalisah memberitahu Al Abbas bin Al Fadl bin al Rabi yang Musa (Al Hadi) menghantar nasi dan lauk kepada ibunya, Al-Khayzuran untuk makan.

Apabila ibunya mengambil makanan tersebut dan menghampiri ke mulutnya, pengawal Al-Khayzuran menahan beliau untuk makan dan menyatakan, “aku tahu bahawa Musa Al Hadi adalah khalifah dan anak puan, tetapi aku agak sangsi dengan dia berikan nasi dan lauk ini kepada puan, jangan makan dahulu. Kita berikan ini kepada anjing dan bagi ia makan. Al Khayzuran membenarkan cadangan pengawalnya dan memberikan makanan itu kepada anjing (tidak dipastikan sama ada anjing peliharaan atau liar), anjing itu makan dan mati selepas makan itu.

Kejadian itu menjadi kontroversi dan mengeruhkan lagi keadaan antara Al Khayzuran, ibu baginda dan baginda itu sendiri. Dikatakan juga, baginda amat terkejut yang ibunya masih hidup dan ingin mencari jalan lagi untuk membunuh ibunya. Kisah ini agak menarik dan kejam dalam satu masa namun kisah ini ditolak bulat-bulat oleh Ibnu Khaldun yang menyatakan ia adalah kisah mengarut dan tidak sahih. Ia hanyalah setakat “gosip” masyarakat pada ketika itu.

Sungguhpun begitu, sejarahwan tidak dapat dipastikan bagaimana baginda mangkat pada usia yang agak muda. Kebanyakannya bersetuju kemungkinan baginda mangkat kerana penyakit yang tidak diketahui dan tiada bukti kukuh tentang konflik antara ibunya. Walaupun pendek pemerintahan baginda, namun baginda telah memberi bantuan kepada rakyat jelata dan empayar berada dalam keadaan aman dan kuat dari segala serangan musuh. (Walaupun ada sedikit kontroversi di bahagian Hijaz namun berjaya dipatahkan).

Baginda digantikan oleh adiknya Harun Ar-Rasyid untuk menjadi Khalifah Abbasiyyah yang seterusnya dan baginda digelar, bapa pembasmi golongan munafiq (zindiq) Abbasiyyah atas usahanya membanteras golingan zindiq ini

Sumber:

Lewis Bernard (1986), Encyclopedia Of Islam Part 3

Sejarah Para Khalifah dari Hepi Andi Bastoni

Al-Tabari volume XXX (30), The Abbasid Caliphate In Equilibrium 1989