Khalifah Al-Amin: Fitnah Keempat Umat Islam (809-813 Masihi)

0
907
views

Khalifah Al Amin atau nama sebenarnya Muhammad al Amin bin Harun Ar Rasyid dilahirkan di Baghdad pada tahun 787 Masihi. Baginda adalah anak kepada khalifah Harun Ar-Rasyid dan adik kepada Al-Ma’mun dan Al Mu’tasim. Sejak kecil lagi baginda dijaga dan diajar oleh mentor bapanya, Yahya si Barmak yang juga Wazir Abbasiyyah pada ketika itu dah diberi didikan dari segi ilmu dan juga adab.

Yahya Si Barmak mengajar baginda dan abangnya Al-Ma’mun. Apabila mereka membesar dan penangkapan Yahya si Barmak, Khalifah Harun Ar-Rasyid membahagikan kuasa baginda pentadbiran di bahagian barat dan timur. Baginda di arahkan untuk menjaga bahagian Barat Wilayah Abbasiyyah, Harun Ar Rasyid di tengah wilayah dan Al-Ma’mun di bahagian Timur wilayah.

Khalifah Harun Ar-Rasyid  membuat satu wasiat selepas Harun Ar-Rasyid wafat, Al-Amin akan dilantik menjadi Khalifah selepasnya dan Al Ma’mun menjadi gabenor di Khurasan. Namun apabila Al-Amin mangkat, Al-Ma’mun akan menjadi Khalifah seterusnya. Apabila Harun Ar-Rasyid mangkat pada tahun 809, baginda dilantik menjadi khalifah ke 6 Empayar Abbasiyyah.

Namun, sebelum menjadi Khalifah lagi, hubungan baginda dengan Al-Ma’mun agak renggang kerana persaingan siapa yang hebat dan juga pendapat dalam pentadbiran. Mereka juga mempunyai kumpukan dan sokongan. Baginda dicatatkan menyebelahi kaum abna iaitu salah satu suku kaum Parsi dan Al Ma’mun pula menyebelahi Barmakids dan Khurasan. Kedua-dua kaum ini mempunyai “sejarah” lampau dan hubungan renggang ini mencetuskan perang saudara yang dikenali sebagai Fourth Fitna atau Perang Saudara Abbasiyyah. Ia mula tercetus selepas Baginda menjadi Khalifah menggantikan bapanya yang mangkat pada tahun 809. Bagaimana ia tercetus? Kita “throwback” semula sebelum kemangkatan Khalifah Harun Ar-Rasyid.

Kontroversi Khurasan ini sebenarnya sudah berlaku selepas penukaran gabenor dari kaum Abna iaitu Ali bin Isa bin Mahan, (Kaum Abna adalah musuh Kaum Khurasan), Gabenor ini telah melakukan ketidakadilan dengan menaikkan cukai untuk kaum lain namun menurunkan cukai kepada kaumnya sahaja dan mencetuskan pemberontakan besar di wilayah Khurasan sehingga ketua bandar Samarkand, Rafi bin Al-Layth menyerang beberapa kawasan di Khurasan.

Baginda mendengar berita ini terus berangkat ke Khurasan bersama anaknya, Al-Ma’mun yang ketika itu berada di Baghdad, ketika sedang menimba ilmu di salah sebuah institusi pendidikan di Baghdad. Manakala Al-Amin pula yang menjaga bahagian Barat Abbasiyyah yang juga membuat pemberontakan di Mesir dan Syria dan membantu Wazir ketika itu untuk mematahkan kemaraan pemberontak dari barat dan selatan itu. Khalifah Harun Ar-Rasyid sampai di Khurasan, mengarahkan pihak berkuasa untuk melakukan penyiasatan tentang ketidakadilan gabenor yang dilantik sejak 796. Keputusan siasatan membawa kepada penangkapan Ali bin Isa bin Mahan dan dia dipenjarakan.

Namun kemaraan pemberontak dari Samarkand ini semakin tidak terkawal kerana dikatakan banyak kampung yang menyebelahi Abbasiyyah habis dibakar dan ramai dibunuh dengan kejam. Ketika ini Khalifah Harun Ar-Rasyid jatuh sakit dan mengarahkan Al-Ma’mun untuk mengetuai tentera untuk bergerak ke bandar Marv (bandar lama di Turkmenistan) untuk melawan pemberontak. Ketika dalam perjalanan ke Marv, Khalifah Harun Ar-Rasyid mangkat di Tus dan secara rasminya. Berdasarkan wasiatnya, baginda (Al-Amin) menaiki takhta Khalifah Abbasiyyah manakala Al-Ma’mun tidak hadir upacara perlantikan Khalifah kerana sibuk mempertahankan wilayah Khurasan. 

Zaman baginda ketika menaiki takhta tidak banyak pembaharuan di Wilayah Abbasiyyah kerana zaman baginda “serangan empat penjuru” yang berlaku sejak zaman akhir pemerintahan Harun Ar-Rasyid ini masih berterusan. Baginda mengarahkan serangan balas di beberapa kawasan di Mesir dan Syria dan memperketatkan kawalan untuk menyekat kemaraan pemberontak.

Baginda juga menghantar beribu askar dan polis untuk mengawal sempadan dan beberapa bandar yang berdekatan dengan kawasan serangan itu. Perubahan urus tadbir menteri juga dibuat ketika zaman pemerintahan baginda di mana menteri ditukar dengan kaum Abna (kebanyakannya) dan melantik berberapa gabenor baru dari kaum Abna yang bertujuan mereka agak kuat dalam pertempuran dan pakar dalam perperangan.

Baginda juga sempat menunaikan seperti yang di wasiatkan oleh bapanya,  menjadikan abangnya Al-Ma’mun menjadi gabenor di Khurasan tetapi baginda membuat satu perubahan besar dimana baginda akan menjadikan wilayah Khurasan daripada wilayah autonomi dan akan mengawal semua pentadbiran di Khurasan. Perubahan ini ditentang hebat oleh penduduk Khurasan dan Al-Ma’mun. Ketika ini Al-Ma’mun berada di Marv, cuba menahan pemberontak dari memasuki wilayah Khurasan.

Disebabkan penentangan ini, baginda mengarahkan askar di Marv (yang juga adalah askar dari Abbasiyyah bukan askar Al-Ma’mun, jadi semestinya mereka akan patuh kepada Baginda) untuk mengambil semua harta rampasan dan meninggalkan Marv. Askar Abbasiyyah meninggalkan Marv dengan arahan baginda ketika perang dengan Pemberontak belum selesai lagi.

Waqaf Saham

Tindakan baginda mengucar kacirkan keadaan Al-Ma’mun yang terpaksa meyakinkan askar mereka untuk berperang mempertahankan wilayah Abbasiyyah. Lebih menambah “perasa hangat”, baginda menukar wasiat bapanya. Kononnya selepas baginda wafat nanti, anaknya akan mewarisi takhta. Berita perubahan wasiat ini menambahkan kemarahan Al-Ma’mun dan beliau mengumpul pengaruhnya di Khurasan serta dikatakan bekerjasama dengan ketua pemberontak Samarkand iaitu Rafi ibn Al-Layth untuk menyerang Baghdad. Peristiwa ini bermulanya Fourth Fitna atau Perang Saudara Abbassiyyah.

Baginda juga mengarahkan wilayah Khurasan untuk “dibayar denda” dengan memperkanalkan cukai baru yang tinggi dan tidak munasabah. Rakyat Khurasan WAJIB bayar berberapa beratus harta mereka ke kerajaan Abbasiyyah dan mengharamkan Al-Ma’mun untuk pulang ke Baghdad. Al Ma’mun pula mengumpul pengaruhnya dan menggelarkan dirinya sebagai Imam iaitu ketua agama yang akan mempertahankan Khurasan.

Baginda menyerang balas dengan membebaskan Ali bin Isa, bekas Gabenor Khurasan yang dipenjarakan pada zaman Harun Ar-Rasyid untuk mengetuai 40,000 orang tentera mara ke Wilayah Khurasan. Malah dikatakan, Ali bin Isa membawa rantai gari leher yang besar dan seberat hampir 60 kg dan sepanjang 20 meter yang digunakan untuk mencengkam Al-Ma’mun dan mengeheretnya ke Baghdad untuk dihukum.

Berita tentang kehadiran Ali bin Isa serta 40,000 oraang askar menggemparkan Khurasan dan dikatakan ramai melarikan diri  kerana ketakutan. Al-Ma’mun juga ingin melarikan diri tetapi dipujuk oleh seorang pahlawan asal Khurasan yang terkenal iaitu Tahir bin Al-Husayn untuk tinggal di Khurasan dan menunggu arahan untuk berperang dengan tentera Al-Amin.

Beliau mengumpulkan askar-askar yang sanggup menyertai perperangan ini. Dianggarkan pada awalnya, hanya 4,000-5,000 orang sahaja yang sanggup berperang berlawan dengan tentera Al-Amin. Beliau beranggapan dengan menghantar tentera Khurasan ini dianggap misi membunuh diri namun disebabkan semangat dan keyakinan Tahir ibn Husayn untuk mengalahkan tentera Al-Amin, Al-Ma’mun membenarkan mereka pergi.

Tentera Khurasan dan Tentera Al-Amin bertemu di Rayy dan berlaku pertempuran hebat dan pertempuran ini agak mengejutkan kerana tentera Khurasan yang hanya mempunyai 10 kali ganda kurang dari tentera Al-Amin berjaya mengalahkan askar dari Abbasiyyah dan ketua perang Ali bin Isa terbunuh dalam perang tersebut.

Kejayaan ini menaikkan reputasi Al-Ma’mun sebagai Khalifah yang seterusnya dan telah menaikkan semangat beberapa kaum di wilayah lain untuk menyertai perang saudara ini. Baginda (Khalifah Al-Amin) berjaya menghalang beberapa pemberontak yang berusaha untuk menawan kota Baghdad dan Ar-Raqqah namun pertahanan baginda mula rapuh apabila ramai askarnya terbunuh ketika perperangan dengan tentera Khurasan di mana 20,000 lagi tentera Al-Amin terbunuh di persempadanan wilayah Khurasan dan Baghdad.

Disebabkan itu, pertahanan Baghdad semakin lemah dan Baghdad diserang pada tahun 812. Sungguhpun kota Baghdad mempunyai tembok yang tebal dan kuat tetapi di bahagian pinggir kota dan kawasan rakyat mahrean berurusan dan tempat tinggal tiada tembok jadi tentera Khurasan berjaya memasuki Baghdad dan memusnahkan kawasan pinggir kota Baghdad, membunuh ramai orang.

Baginda menyerang balas dan bantuan berberapa tentera lain dari Syria untuk menjatuhkan tentera Khurasan. Perang ini berterusan selama 1 tahun sehingga baginda terpaksa “angkat bendera putih” dan membuat perjanjian perdamaian. Baginda menyerahkan tongkat simbol kuasa (sceptre), cap mohor dan buku khalifah menandakan baginda akan turun takhta. Tahir menerima barang yang diberikan oleh baginda (walaupun ragu-ragu) dan mengarahkan baginda untuk menunggu untuk ditangkap. Namun baginda melarikan diri menggunakan laluan rahsia di istana itu dan menaiki bot.

Tahir bin Al-Husayn mengejar baginda dan berjaya menangkap baginda. Ada yang menyatakan baginda tidak sempat naik bot sebaliknya dijumpai oleh dua tentera Khurasan yang berjaya menangkapnya. Kisah lain pula, baginda sempat naik atas bot tetapi botnya tidak bergerak jauh kerana ditangkap oleh askar Tahir bin Al-Husayn dan ditarik keluar dari bot serta diheret ke dalam istana. Tidak kira pelbagai teori pun baginda akhirnya ditangkap dan dibawa ke dalam bilik (kemungkinan di bilik bawah tanah) dan kepala baginda dipenggal.  Baginda adalah khalifah Abbasiyyah pertama yang dibunuh dan dipenggal selepas memerintah 4 tahun. Kepala baginda digantung di salah satu pintu masuk Baghdad iaitu pintu Anbar sebagai penanda bahawa Abbasiyyah sudah tiada.

Baginda berusia 26 tahun pada hari baginda dibunuh. Tidak dipastikan dimanakan baginda dimakamkan. Pemerintahan selama 4 tahun baginda tidak banyak sangat pembangunan dan kemajuan baru di empayar itu kerana kontroversi politik dan masalah pemberontakan di seluruh empayar tersebut ditambah lagi dengan perang saudara yang mengakibatkan kejatuhan pemerintahan baginda.

Namun kita tidak boleh hanya lihat dari satu sudut sahaja. Baginda juga mempunyai jasa dalam menjaga pertahanan empayar dari diserang pemberontak dan musuh dari menawan Empayar Abbasiyyah. Walaupun baginda dijatuhkan, empayar Abbasiyyah masih diperintah oleh keluarga Abbasiyyah. Apabila surat disampaikan ke Al-Ma’mun tentang berita kemangkatan adiknya. baginda terus dilantik menjadi khalifah seterusnya menurut wasiat asli bapanya, Harun Ar-Rasyid.

Walaupun Al-Ma’mun menjadi khalifah, perang dan pemberontakan tidak berakhir. Khalifah seterusnya akan melalui berberapa tahun perang saudara yang menggugat keamanan Abbasiyyah. Disebabkan jasa baginda (Al-Amin) dalam menjaga pentadbiran dan pertahanan empayar, baginda digelar Bapa Pertahanan Abbasiyyah.

Rujukan:

1. The Encyclopedia of Islam oleh Leiden
2. The Political and Social History of Khurasan under Abbasid rule oleh Elton L Daniel|
3. The Empires In Iraq oleh Tayeb El-Hibri
4. The Prophet and the age Of The Caliphate oleh Hugh N. Kennedy
5. Al-Ma’mun oleh Rekaya
6. The Emergence of Abbasid Autocracy: The Abbasid, Khurasan and Adharbyjan oleh Amabe Fukuzo