Isu pembangunan Kampung Baru, Kuala Lumpur bukanlah satu isu yang baru di negara ini. Tetapi melihat kepada perkembangan baru-baru ini seperti penilaian harga tanah yang rendah dan rancangan pembangunan yang terlalu mementingkan elemen komersial, ada sebab munasabah bagi penduduk tidak berpuas hati dengan rancangan pembangunan yang dibentangkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad minggu lepas. Dan melihat kepada contoh beberapa kampung warisan, pembangunan Kampung Baru seharusnya mengikut model kampung-kampung ini dan bukan tunduk kepada kehendak kapitalis.

Kampung Morten

Rajah 1: Kampung Morten, Melaka. Kredit: https://www.thestar.com.my/metro/focus/2018/07/09/melakas-showcase-malay-village-kampung-morten-is-where-tourists-to-the-historical-city-get-a-taste-o

Satu daripada model kampung warisan yang patut dicontohi pihak kementerian ialah Kampung Morten di Melaka. Terletak di tengah-tengah Bandaraya Melaka, ia merupakan sebuah perkampungan bandar Melayu tetapi masih mengekalkan elemen tradisi warisannya.

Kampung ini dinamakan sempena nama Pesuruhjaya Tanah British, Frederick Joseph Morten yang ketika itu berkhidmat bersama Perkhidmatan Awam Tanah Melayu sebelum bersara sebagai Setiausaha Koloni Negeri-Negeri Selat pada tahun 1938.

Menurut rekod sejarah, kawasan tanah seluas 96 hektar itu diduduki oleh penduduk selepas tempat tinggal asal mereka, Kampung Jawa diambil alih oleh kerajaan untuk tujuan pembangunan. Sebelum berpindah ke kawasan baru itu, pemimpin-pemimpin komuniti diketuai ketua kampung Datuk Othman Muhammad Noh dan adik iparnya, Demang Abdul Ghani meminta bantuan Morten untuk mendapatkan tanah tersebut dari pemiliknya iaitu Lembaga Pembiayaan Hindu Muhammad pada harga 10,000 dolar pada tahun 1920.

Beliau berjaya mendapatkan pinjaman diperlukan penduduk untuk menyelesaikan pembelian dan kawasan hutan paya itu dibersihkan untuk dijadikan kawasan petempatan baru penduduk. Bagi mengenang jasa pegawai British itu, penduduk kampung memutuskan menamakan petempatan baru mereka sebagai Kampung Morten dan nama tersebut terus kekal sehingga ke hari ini. Kampung Morten turut menikmati status sebagai ikon pelancongan negeri Melaka dan diisytiharkan sebagai kampung warisan di bawah Enakmen Pemeliharaan dan Pemuliharaan Melaka pada tahun 1989.

Majoriti keturunan generasi pertama peneroka hari ini telah menukar rumah-rumah yang diwarisi kepada homestay atau penginapan gaya kampung. Penginapan sebegini dilihat memberi peluang kepada pelancong tempatan dan asing untuk merasai pengalaman cara hidup tradisional Melayu.

Salah seorang daripada keturunan peneroka kampung ini ialah cucu Datuk Othman, Ibrahim Hashim, 74. Beliau suka menghiburkan tetamunya dengan cerita-cerita kehidupan di kampung pada masa lalu bila dibawa melawat rumah kampung yang diwarisinya yang kini dikenali sebagai Villa Sentosa.

Ibrahim menjaga relik yang ditinggalkan oleh datuknya itu termasuk artifak-artifak Majapahit yang disimpan di sebuah muzium peribadi di rumah yang kini menjadi tarikan pelancong. Pakar veterinar yang baru bersara itu menceritakan bagaimana generasi terdahulu hidup dengan menunjukkan kawasan dalaman rumah sambil bercerita perkara seperti pakaian tradisional, peralatan muzik dan barangan antik. Bagi yang berminat, tidak perlu risau kerana Ibrahim tidak mengenakan sebarang bayaran dan bergantung kepada derma ikhlas orang ramai untuk menyelenggara dan memelihara Villa Sentosa.

Apabila mengenang kehidupan pada tahun 60-an, beliau berkata kehidupan kampung pada ketika itu amat damai dan tenang kerana jauh dari hiruk-pikuk kesibukan kota. Tambahnya, “Kampung Morten masih mengekalkan daya tarikannya walaupun diapit dengan arus pembangunan.”

Beliau menambah biasa menerima kehadiran ramai pelancong yang mahu merasai suasana kehidupan di kampung dan rumahnya menawarkan pengalaman muzium hidup kepada pengunjung. Villa Sentosa dibina oleh Datuk Othman pada tahun 1921 sebelum ditukar peranannya sebagai muzium pada tahun 1991. Rumah ini merupakan rumah tradisional paling tua di Kampung Morten. Tambahnya lagi, “Saya menerima kehadiran ribuan pelancong dari segenap pelosok dunia. Ada yang berhenti sementara berjalan sepanjang kawasan laluan pejalan kaki di bahagian hadapan rumah.”

Kampung Hanok Jeonju

Rajah 2: Kampung Hanok Jeonju

Jika pihak kementerian tidak mahu melihat model kampung warisan di Kampung Morten, apalah salahnya melihat Kampung Hanok Jeonju, Korea Selatan. Kampung tersebut dikatakan wujud semasa era Silla di mana petempatan penduduk dibina sekitar bandar Jeonju.

Kampung-kampung ini merupakan batu asas kepada Kampung Hanok Jeonju yang wujud hari ini. Selepas dinding-dinding kota dirobohkan semasa era Empayar Korea, kawasan kediaman di dalam dinding kota diperluaskan hingga ke kawasan Pungnam-dong dan Gyo-dong. Hari ini, Kampung Hanok Jeonjun merupakan antara kawasan tarikan pelancong di Jeonju.

Antara bangunan tarikan pelancong di Jeonju ialah Katedral Jeondong, Omokdae, Pintu Gerbang Pungnam dan pusat penghasilan hanji (kertas Korea) secara tradisional. Katedral Jeondong ialah struktur gaya Barat terbesar dan tertua di wilayah Jeollanam-do dan Jeollabuk-do serta siap dibina pada tahun 1914.

Omokdae yang terletak di timur Hanok merupakan tempat di mana pengasas Dinasti Joseon, Lee Seonggae mengadakan jamuan di Jeonju selepas berjaya mengalahkan pihak musuh di Hwangsan. Pintu Gerbang Pungnam ialah satu-satunya tinggalan tembok lama Jeonju selepas tembok dan tiga lagi pintu gerbang dimusnahkan semasa pemerintahan Raja Seonjo iaitu pada tahun 1597. Pintu gerbang tersebut diklasifikasikan sebagai tapak warisan negara pada tahun 1963 sebelum mengalami proses pemulihan selama tiga tahun dari 1978 hingga 1981.

Betapa kerajaan Korea menjaga warisan ini dan dijadikan sebagai tempat perlancongan ke Korea haruslah dijadikan contoh oleh tuan menteri.

Kampung Baru sebagai kampung tradisi

Melihat kepada dua contoh kampung tradisi yang dinyatakan di atas, lanskap pasaran hartanah dan inventori yang dipindahkan pada kadar perlahan, ia menimbulkan persoalan apakah pembangunan bersifat komersial dilihat jawapan terbaik kepada Kampung Baru?

Cukuplah dengan episod berita Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang mahu menjual hartanah bernilai tinggi kepada penduduk Hong Kong dan China. Walaupun Kementerian Wilayah Persekutuan memberi jaminan perkara itu tidak berlaku, tetapi apakah jaminan itu boleh dipercayai atau sekadar menanam tebu di tepi bibir?

Tatkala komuniti lain mempunyai kawasan warisan mereka seperti Little India di Brickfields dan Jalan Petaling, tidakkah elok sekiranya Kampung Baru menjadi kawasan warisan kebanggaan orang Melayu di Kuala Lumpur? Kampung Baru mempunyai keunikan dan sejarahnya yang tersendiri dari era penjajahan British dan Jepun hinggalah era kemerdekaan dan kemajuan negara.

Seharusnya, ia dipelihara dan ditambahbaik bagi membolehkan generasi hari ini mempelajari sejarah bukan saja Kampung Baru tetapi kehalusan budaya masyarakat Melayu. Dan melihat kepada nilai sejarahnya yang tinggi, ia seharusnya diselamatkan kerana mengandungi nilai bermakna bagi individu yang bangga bukan saja sebagai rakyat Malaysia tetapi juga sebagai seorang Melayu.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.