Di dunia barat, imej wanita islam sering dikaitkan dengan perkara-perkara negatif. Ramai yang mempunyai tanggapan yang salah tentang layanan Islam terhadap wanita. Malah, terlalu ramai yang memikirkan bahawa Islam menyokong penindasan wanita dan kemunduran.

Dalam konteks ini, pada amatan saya, masyarakat barat tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya. Ini adalah kerana, masih terdapat ramai masyarakat di negara-negara Islam yang memberikan layanan yang buruk terhadap wanita. Saya sendiri pernah membaca artikel yang sangat menyayat hati mengenai kaum hawa di bumi Afghanistan. Di Afghanistan, ibu tunggal akan diberi layanan yang sangat buruk oleh masyarakat sekeliling. Malah berdasarkan kajian yang dijalankan oleh TED Fellow, ibu tunggal yang tidak berkahwin semula di Afghanistan kebanyakkannya perlu menahan telinga menerima penderaan emosi daripada orang ramai. Terdapat kira-kira 80% kaum wanita di kawasan luar bandar Afghanistan yang masih buta huruf.

Kita juga pernah dikejutkan oleh sebuah kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang pihak atasan di Saudi Arabia. Dalam membela tindakan Saudi Arabia yang melarang wanita memandu kenderaan di negera tersebut, beliau mengeluarkan sebuah kenyataan kontroversi yang mengatakan bahawa wanita tidak boleh memandu kerana saiz otak mereka adalah ¼ daripada saiz otak seorang lelaki kerana mereka gemar membeli-belah.
Kenyataan-kenyataan yang sebegini telah banyak memberikan gambaran yang negatif mengenai wanita Islam.

Tetapi adakah benar Islam menyokong penindasan terhadap wanita?

Untuk menjawab persoalan serta menyangkal tanggapan negatif ini, kita hanya perlu menyelami sejarah dan melihat kisah Khadijah R.A iaitu wanita pertama yang memeluk Islam.

Khadijah bt Khuwalid telah dilahirkan di dalam sebuah keluarga bangsawan terhormat yang kaya raya. Ayah kandung khadijah R.A merupakan seorang pedagang yang sangat terkenal di tanah Arab. Khadijah R.A telah mewarisi kebolehan dan kemahiran bapanya di dalam bidang perdagangan dan perniagaan. Selepas kematian bapanya, Khadijah R.A telah mengambil alih empayar perniagaan bapanya yang sangat besar serta mengembangkannya ke Syria dan Yaman.

Empayar perniagaan Khadijah R.A adalah empayar perdagangan terbesar dalam kalangan masyarakat Quraisy pada ketika itu. Tambahan lagi, Khadijah R.A juga mempunyai reputasi yang sangat hebat dalam kalangan masyarakat Arab kerana beliau sering memberikan perkhidmatan perniagaan yang sangat jujur dan amanah di samping menjual barangan yang terjamin kualitinya. Disebabkan akhlaknya yang sangat baik serta reputasinya yang hebat, R.A telah diberi gelaran ‘Ameerat al-Qurasy’(Puteri Quraisy) dan ‘al-Thahirah’ (Yang Suci) oleh bangsa Arab.

Kita harus difahamkan bahawa pada ketika ini, masyarakat Arab jahiliyyah masih lagi terbelenggu di dalam sistem patriaki yang sangat kukuh. Penindasan terhadap kaum wanita masih lagi berleluasa dan kebanyakan wanita dilihat tidak lebih sebagai ‘objek seks’ yang dicipta untuk membahagiakan kaum adam. Ada juga masyarakat jahiliyyah yang membunuh bayi `perempuan selepas kelahiran mereka kerana mereka menganggap kaum hawa sebagai sesuatu liabiliti dan bebanan buat mereka. Adalah amat merbahaya pada ketika itu untuk seorang wanita melibatkan diri di dalam dunia perniagaan, apatah lagi menjadi saudagar besar yang berjaya. Khadijah R.A telah berjaya membebaskan diri beliau daripada stereotaip negatif terhadap kaum wanita 1400 tahun yang lalu!

Khadijah juga dikenali ramai dengan sifat pemurahnya. Beliau mempunyai sifat belas kasihan yang sangat tinggi terhadap orang sekeliling. Menurut rekod, Khadijah sering bersedekah kepada ibu tunggal, golongan kurang upaya, anak yatim, fakir miskin di samping juga memberi bantuan kewangan kepada pasangan yang baru bernikah.
Dalam usaha untuk menjaga reputasi perniagaannya, Khadijah R.A adalah sangat tegas dalam memilih pekerja. Khadijah R.A sentiasa memastikan bahawa pekerjanya semuanya jujur dan amanah dalam menjalankan tugas dan pekerjaan mereka. Khabar angin mengenai keluruhan dan keindahan akhlak pekerti Nabi Muhammad SAW telah sampai ke telinga Khadijah R.A dan Khadijah telah mengambil keputusan untuk memilih baginda untuk menjadi salah seorang daripada pekerjanya.

Terdapat ramai golongan atasan yang telah cuba melamar Khadijah R.A, kerana kecantikan rupa dan pekerti beliau. Namun, Khadijah R.A menolak kesemua lamaran yang beliau terima. Sebahagian besar daripada kaum hawa di tanah arab ketika itu berkahwin kerana mereka memerlukan perlindungan kaum lelaki. Tetapi Khadijah R.A adalah lebih dari mampu untuk menanggung dirinya sendiri. Beliau adalah seorang wanita yang mampu berdikari dan berdiri di atas kakinya sendiri tanpa bantuan kaum adam.

Namun, seperti wanita-wanita lain, Khadijah juga mengimpikan untuk mempunyai pasangan hidup yang baik dan ikhlas untuk menghabiskan sisa-sisa kehidupan bersama dirinya. Keindahan akhlak Rasulullah SAW telah berjaya memikat hati Khadijah. Selepas melihat keindahan akhlak Rasulullah SAW dengan mata beliau sendiri, Khadijah R.A telah terpikat dengan baginda. Oleh itu, Khadijah R.A telah melamar Rasulullah SAW melalui sahabatnya yang bernama Maisarah.

Terdapat banyak perbezaan perdapat mengenai usia sebenar Khadijah R.A ketika beliau berkahwin dengan Rasulullah SAW. Ada yang memegang pendapat bahawa Khadijah R.A mempunyai usia yang sama dengan Rasulullah SAW ketika mereka melangsungkan perkahwinan mereka. Namun, hadis yang paling termasyur telah mengatakan bahawa Khadijah R.A berusia 40 tahun ketika beliau berkahwin dengan Rasulullah SAW yang ketika itu berusia 25 tahun.

Selepas mereka berkahwin, Rasulullah SAW telah bersama-sama membantu Khadijah R.A dalam menguruskan perniagaannya. Perkara ini adalah amat menarik pada mata saya kerana pada ketika ini Rasulullah SAW tidak pernah menyekat kebebasan Khadijah. Ada beberapa golongan masyarakat yang masih berpendapat bahawa seorang isteri itu harus menyerahkan seluruh kehidupannya dalam membahagiakan suami selepas mereka berkahwin. Kaum hawa harus bertanggungjawab dalam menguruskan kerja berat di rumah dan harus bersikap ‘submissive’ kepada suaminya.

Namun Rasulullah telah melakukan sebaliknya. Rasulullah SAW tidak pernah memotong sayap Khadijah, namun sebaliknya, baginda memberikan sokongan sepenuhnya kepada isteri kesayangan baginda supaya Khadijah mampu mekar menjadi seorang wanita yang hebat.

Khadijah R.A telah memberikan sokongan yang sepenuhnya kepada Rasulullah SAW dalam usaha baginda menyebarkan dakwah. Setelah Rasulullah SAW menerima wahyu, Khadijah R.A menyuruh baginda meletakkan fokus baginda sepenuhnya kepada jalan dakwah dan Khadijah R.A telah menyara kehidupan baginda dari sudut kewangan.
Di saat manusia lain menghina Rasulullah SAW, Khadijah R.A setia berada di sisi baginda dalam saat susah dan senang. Baginda berada dalam ketakutan yang amat selepas baginda menerima wahyu yang pertama.

Ketika baginda menggeletar ketakutan selepas menerima kunjungan malaikat Jibril di Gua Hira, Khadijah R.A menyelimuti baginda dengan kain selimut dan memberikan baginda sokongan, perlindungan emosi dan kata-kata semangat. Apabila saat ketika kesemua muslim dipulaukan di mekah, Khadijah telah melaburkan kesemua hartanya di jalan dakwah tanpa sebarang keraguan. Keistimewaan Khadijah R.A juga telah dicemburui oleh Saidina Aisyah R.A. berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah R.A

Rasulullah SAW ketika menceritakan perihal Khadijah pasti baginda akan selalu menyanjungnya dengan sanjungan yang indah. Aisyah berkata, “Pada suatu hari aku cemburu.” Aku berkata, “Terlalu sering engkau menyebut-nyebutnya, ia seorang wanita yang sudah tua. Padahal Allah telah menggantikannya buatmu dengan wanita yang lebih baik darinya.”

Nabi Muhammad SAW lalu menjawab, “Allah tidak menggantikannya dengan seorang wanita pun yang lebih baik darinya. Ia telah beriman kepadaku tatkala orang-orang kafir kepadaku, ia telah membenarkan aku tatkala orang-orang mendustakan aku, ia telah membantuku dengan hartanya tatkala orang-orang menahan hartanya tidak membantuku, dan Allah telah menganugerahkan darinya anak-anak tatkala Allah tidak menganugerahkan kepadaku anak-anak dari wanita-wanita yang lain.” (HR. Ahmad, 6:117. Syaikh Syuaib Al-Arnauth menyatakan bahwa hadits ini sahih.

Khadijah R.A telah membuktikan bahawa seorang wanita itu masih boleh menjadi seorang wanita yang hebat dan berani di samping juga memelihara kehormatan dirinya. Khadijah R.A tidak pernah mengecilkan dirinya di dalam kehadiran seorang lelaki, malah beliau dengan penuh berani telah menghancurkan semua sangkaan buruk yang ada terhadap seorang wanita.

Islam sendiri merupakan antara agama terawal yang telah mengangkat martabat wanita. Di saat golongan Arab Jahiliyyah sering menghina dan menindas wanita, Islam membawa cahaya baru di atas muka bumi dengan memuliakan kaum wanita dalam pelbagai aspek.
Oleh itu, jika terdapat sebarang keraguan mengenai layanan sebenar Islam terhadap kaum wanita, ceritakanlah perihal kisah Khadijah kepada mereka. Sampaikanlah pada mereka bagaimana Khadijah R.A telah berani membebaskan diri beliau daripada persepsi negatif terhadap kaum hawa. Sampaikanlah pada mereka riwayat bagaimana Khadijah telah berjaya membina antara empayar perniagaan yang terbesar di Tanah Arab pada ketika itu. Ceritakanlah pada mereka perihal wanita mulia ini yang mempunyai akhlak yang indah, sifat belas kasihan dan pemurah yang tinggi.

Khadijah R.A, pada amatan saya, merupakan gambaran terbaik bagaimana seorang wanita Islam itu harus pamerkan diri mereka.

Salam selawat dan sejahtera buat Baginda SAW.

Sumber:

1. Yasmina Blackburn (2015, April 21). 7 Remarkable Things About Khadija, Wife of the Prophet of Islam.
2. Muhammad Abdul Tuasikal (2017, October 21). Faedah Sirah Nabi: Keutamaan Khadijah.
3. D’Arcy (2007, October 27). A rare, intimate look at the lives of single mothers in Afghanistan.
4. Nadia Khomami (2017, September 23). Saudi cleric banned for saying women’s brains ‘a quarter the size’ of men’s.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Sakinah Jannati merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di dalam bidang Sains Politik (major) dan Ilmu wahyu(minor). Seorang gadis yang mempunyai minat sangat mendalam dalam sejarah dunia, falsafah politik dan sirah Islam. Antara impiannya yang terbesar adalah untuk menjadi seorang wanita yang dapat memberi manfaat kepada ummah terutamanya melalui penulisannya.

Comments are closed.