Empayar umat Islam pernah sampai ke bumi Perancis. Ini bukan cuma sekadar teori atau dakwaan kosong, tetapi kenyataan ini adalah fakta sejarah. Selain Empayar Kerajaan Uthmaniyyah, tiada kerajaan umat Islam lain yang pernah menakluk atau pernah sampai ke tanah besar benua Eropah kecuali sebuah kerajaan ini. Lebih khusus lagi, tiada satupun empayar kerajaan umat Islam pernah sampai ke sebelah barat tanah besar benua Eropah kecuali sebuah kerajaan ini. Empayar kerajaan umat Islam yang dimaksudkan tersebut yang pernah sampai ke bumi Perancis (pada masa kini) ialah Empayar Kerajaan Bani Umayyah. Sebelum itu, penulis akan menerangkan serba ringkas mengenai Kerajaan Bani Umayyah dan juga latar belakang ringkas sejarah kerajaan yang memerintah bumi Perancis semasa kemaraan bala tentera Islam ke bumi tersebut.

Kerajaan Bani Umayyah

Dalam lipatan sejarah umat Islam, terdapat dua peringkat pemerintahan Kerajaan Bani Umayyah. Peringkat pertama ialah pemerintahan yang berpusat di Damsyik (tahun 661-750) dan peringkat kedua ialah pemerintahan yang berpusat di Kordoba (Cordova) (tahun 756-1031). Kerajaan Bani Umayyah diasaskan oleh seorang sahabat Nabi Muhammad SAW yang juga bersusur galur daripada kabilah Arab Quraisy di Makkah, tetapi beliau daripada keturunan keluarga Umayyah ibni ‘Abdi Syams ibni Abdul Manaf. Sahabat Nabi Muhammad SAW yang juga pengasas Kerajaan Bani Umayyah yang dimaksudkan tersebut ialah Muawiyah bin Abu Sufyan RA. Kerajaan Bani Umayyah juga merupakan penerus kepada sistem khilafah umat Islam daripada era Khulafa’ ar-Rasyidin. Ketika zaman Kerajaan Bani Umayyah peringkat pertama inilah, wilayah umat Islam berkembang dengan begitu pesat terutamanya pada zaman al-Walid bin Abdul Malik, iaitu Khalifah Bani Umayyah yang keenam. Pembukaan Mesir pada zaman Umar ibni al-Khattab RA, Khalifah ar-Rasyid yang kedua menyebabkan wilayah Islam berkembang dengan begitu pantas sepanjang pantai Laut Mediterranean di Afrika Utara. Ketika zaman Kerajaan Bani Umayyah, wilayah umat Islam telah sampai ke pantai Maghribi yang menghadap Lautan Atlantik di barat.

Tidak cukup setakat itu, pada tahun 711, bala tentera Islam di bawah pimpinan Tariq ibni Ziyad dan Musa ibni Nusayr menyeberangi selat (pada masa kini dikenali Selat Gibraltar) yang memisahkan antara benua Afrika dengan benua Eropah dan menjejakkan kaki mereka ke Semenanjung Iberia (Sepanyol atau dalam sejarah umat Islam dikenali sebagai Andalusia). Kemenangan bala tentera Islam Kerajaan Bani Umayyah ke atas Kerajaan Visigoth di bumi Andalus menandakan bermulanya pertapakan wilayah umat Islam di tanah besar benua Eropah pada abad kelapan. Sejak itu, Andalus mula ditadbir oleh para Wali atau Gabenor Jeneral yang dilantik oleh Khalifah Bani Umayyah di Damsyik atau Gabenor Jeneral Bani Umayyah di Afrika Utara. Bermulalah era pemerintahan para Wali atau Gabenor Jeneral Bani Umayyah di Andalus daripada tahun 712 sehinggalah kebangkitan semula Kerajaan Bani Umayyah yang berpusat di Kordoba (Cordova) pada tahun 756 setelah pusat pemerintahan mereka di Damsyik digulingkan oleh bala tentera revolusionis Abbasiyyah pada tahun 750.

Latar belakang ringkas sejarah dan geografi Perancis sekitar abad ke-8 Masihi

Secara geografinya, pada masa kini, Perancis bersempadan dengan Andorra di selatan, Sepanyol di barat daya. Laut Atlantik di sebelah barat dan Laut Mediterranean di sebelah tenggara. Oleh itu, satu-satunya jalan darat ke Perancis melalui Sepanyol ialah dengan merentasi banjaran Pyrenees yang terletak di timur laut Sepanyol. Pada masa kini, banjaran Pyrenees adalah sempadan antarabangsa yang memisahkan antara Sepanyol dengan Perancis dan negara kecil (landlock) Andorra. Sebelum kedatangan bala tentera Islam ke Andalus, Perancis pernah berada di bawah jajahan takluk empayar Rom. Bumi Perancis ketika itu dikenali oleh orang-orang Rom sebagai Gaul. Sekitar awal abad kelapan, sebelum kedatangan bala tentera Islam di Andalus, wilayah pesisir pantai di selatan Perancis yang mengadap Laut Mediterranean atau dikenali sebagai wilayah Septimania (pada masa kini termasuk dalam wilayah Languedoc-Roussillon) dikuasai oleh Kerajaan Visigoth yang juga menguasai hampir keseluruhan Semenanjung Iberia (Sepanyol dan Portugal) ketika itu. Wilayah Aquitaine (pada masa kini termasuk dalam wilayah Nouvelle-Aquitaine) yang terletak di pesisir pantai barat daya Perancis yang mengadap Lautan Atlantik ketika itu di bawah pentadbiran golongan bangsawan Aquitaine. Selain itu, kebanyakan wilayah di bumi Perancis ketika itu terutamanya di utara Perancis di bawah taklukan Kerajaan Franks. (Rujuk peta di bawah untuk melihat kedudukan geografi setiap tempat).

Penaklukan bala tentera Islam di bumi Perancis

Peta di bawah pula menunjukkan kedudukan kota dan wilayah di Perancis yang berkaitan

Perluasan empayar wilayah umat Islam sehingga ke bumi Perancis berlaku ketika era pemerintahan para Wali atau Gabenor Jeneral Kerajaan Bani Umayyah di Andalus sekitar abad ke-8. Ketika pentadbiran al-Hur bin Abdul Rahman al-Thaqafi (716-719), Gabenor Jeneral Andalus yang keempat, beliau telah memimpin ekspedisi ketenteraan menyeberangi Banjaran Pyrenees dan memasuki wilayah Septimania pada tahun 717. Walau bagaimanapun, ekspedisi penaklukan wilayah tersebut tidak berjaya. Beliau juga dipecat oleh Umar bin Abdul Aziz, Khalifah Bani Umayyah di Damsyik ketika itu kerana masalah akhlak dan pentadbirannya. Khalifah Umar bin Abdul Aziz kemudiannya melantik as-Samah ibni Malik al-Khawlani (719-721) menggantikan tempat tersebut. Di bawah pimpinan as-Samah, bala tentera Islam berjaya menakluk Narbonne (orang Arab memanggilnya Arbunah) iaitu ibu kota wilayah Septimania sekitar tahun 719 / 720.

Narbonne kemudiannya dijadikan kubu tentera Islam di selatan Perancis. Seterusnya, mereka cuba mara ke wilayah Aquitaine di sebelah pantai barat daya tetapi berjaya dihalang oleh bala tentera pimpinan Duke of Odo yang juga dikenali sebagai Eudes iaitu pemerintah wilayah Aquitaine. Pertempuran yang berlaku pada tahun 721 antara bala tentera Islam pimpinan as-Samah dengan bala tentera Kristian pimpinan Odo tersebut dikenali dalam sejarah sebagai Pertempuran Toulouse kerana pertempuran tersebut berlaku di Toulouse, suatu tempat di antara wilayah Septimania dan Aquitaine. Tentera Islam bukan sahaja berjaya dikalahkan dalam pertempuran tersebut, bahkan as-Samah sendiri turut syahid terkorban dalam pertempuran tersebut.

Selepas as-Samah terkorban dalam pertempuran tersebut, Abdul Rahman bin Abdullah al-Ghafiqi dilantik sebagai Gabenor Jeneral yang baharu. Walau bagaimanapun, pentadbirannya hanya setakat enam bulan sahaja kerana tempat beliau digantikan pula Anbasah bin Suhaym al-Kalbi (721-725). Ketika zaman pentadbiran Anbasah inilah, bala tentera Islam di bawah pimpinannya berjaya menakluk banyak bandar di selatan Perancis. Carcassonne dan Nimes yang termasuk dalam wilayah Septimania berjaya ditawan pada tahun 725. Penawanan Carcassonne adalah kerana persetujuan perjanjian pentadbir dan penduduk bandar tersebut untuk membayar ufti tahunan kepada Kerajaan Bani Umayyah.

Bala tentera Islam terus mara ke utara melalui Lembah Rhone dan wilayah Burgandy sehingga berjaya menakluk Autun yang terletak di timur tengah-tengah Perancis pada tahun 725. Autun adalah tempat paling jauh kemaraan bala tentera Islam di timur Perancis. Pada penghujung tahun 725 atau awal tahun 726, Anbasa meninggal dunia. Terdapat catatan menyatakan bahawa beliau terkorban dalam satu pertempuran dengan bala tentera Kristian ketika beliau memimpin bala tentera Islam kembali semula ke Andalus.

Peperangan Tours-Poitiers

Selepas kematian Anbasa, terdapat lima orang Gabenor Jeneral dilantik daripada tahun 726 sehingga tahun 729, tetapi kesemua pemerintahan mereka dalam tempoh yang pendek disebabkan kegagalan dalam pentadbiran mereka yang menyebabkan mereka dipecat, malah ada juga yang dibunuh. Pada tahun 731, Abdul Rahman bin Abdullah al-Ghafiqi, bekas Gabenor Jeneral Andalusia yang pernah dilantik sebelum Anbasa, dilantik semula sebagai Gabenor Jeneral Andalusia buat kali yang kedua. Jika mengikut turutan dalam senarai perlantikan Gabenor Jeneral Andalusia, Abdul Rahman al-Ghafiqi ialah Gabenor Jeneral yang ke-12. Ketika itu, Kerajaan Bani Umayyah di Damsyik di bawah pemerintahan Khalifah Hisyam bin Abdul Malik. Abdul Rahman al-Ghafiqi merupakan seorang pemimpin dan juga seorang panglima perang yang adil, prihatin dan disukai oleh rakyat dan tenteranya. Beliau berpengaruh besar dalam kalangan kedua-dua kabilah Arab Mudar dan Yamani yang saling bersengketa di Andalus. Oleh itu, rusuhan kaum antara kedua-dua kabilah Arab tersebut dapat dikurangkan.

Ketika pentadbiran Abdul Rahman al-Ghafiqi, beliau telah memimpin bala tentera Islam terus mara ke utara Perancis sehingga ke wilayah Poitiers dan Tours yang terletak di tengah-tengah Perancis, kira-kira 126 batu dari barat daya Kota Paris. Di bawah pimpinannya, bala tentera Islam berjaya mengalahkan Odo, pemerintah wilayah Aquitaine dan menakluk Bordeaux. Sekitar wilayah Poitiers dan Tours, bala tentera Islam telah bertemu dengan bala tentera Franks dan Burgandy di bawah pimpinan Charles Martel. Turut bersekutu dalam bala tentera Franks ialah Odo. Charles Martel adalah anak luar nikah kepada Pepin of Herstal (Pepin II) daripada kalangan kerabat diraja Franks. Dipercayai puluhan ribu orang tentera daripada kedua-dua belah pihak terlibat dalam peperangan tersebut.

Disebabkan faktor disiplin ketenteraan yang longgar dalam kalangan bala tentera Islam ditambah pula dengan keadaan geografi dan cuaca setempat yang tidak sesuai kepada bala tentera Islam dan juga kelengkapan persenjataan perang bala tentera Franks yang lebih berkesan, maka bala tentera Islam mengalami kekalahan teruk dalam peperangan tersebut. Menurut Sahibzada Masud ul-Hassan Khan Sabri dalam bukunya, “History of Muslim Spain,” keingkaran sebahagian bala tentera Islam yang melanggar arahan panglima perang mereka, Abdul Rahman al-Ghafiqi, untuk terus bertahan di suatu tempat yang ditetapkan disebabkan masing-masing sibuk mengambil harta peperangan ketika bala tentera Franks dilihat hampir kalah menyebabkan pertahanan bala tentera Islam terdedah sehingga membuka ruang kepada serangan balas daripada bala tentera Franks.

Ini pernah terjadi sepertimana dalam Peperangan Uhud ketika zaman Nabi Muhammad SAW. Dalam tulisan William Weir dalam bukunya yang bertajuk “50 Battle That Changed The World,” ketika beliau menceritakan mengenai peperangan tersebut menyatakan bahawa hanya sebilangan kecil sahaja daripada bala tentera Islam yang memiliki perisai atau baju besi. Tambahan pula, bala tentera Franks memiliki sebilah kapak pemegang pendek yang mereka kenali sebagai Francisca. Apabila kapak tersebut dibaling oleh seorang yang berpengalaman, impak daripada hentaman kapak tersebut boleh menembusi dan membelah perisai dan baju besi. Menurut Misbah Islam pula iaitu penulis buku “Decline of Muslim States and Societies,” serangan mengejut bala tentera Franks ke atas bala tentera Islam di kawasan hutan di lembah Loire dalam keadaan cuaca hujan dan sejuk ketika itu merupakan salah satu faktor kekalahan bala tentera Islam yang tidak biasa dengan pertempuran dalam keadaan cuaca dan geografi tempat berkenaan.

Peperangan tersebut berlaku selama tujuh hari. Selama lima hari pertama, hanya berlaku beberapa pertempuran kecil antara kedua-dua belah pihak. Peperangan sebenar berlaku pada waktu malam hari keenam. Pada keesokan harinya, peperangan diteruskan semula dan bala tentera Islam hampir mencapai kemenangan sebelum terdapat khabar angin dalam kalangan tentera Islam bahawa tentera Islam telah berhenti berperang. Ini menyebabkan sebahagian besar dalam kalangan tentera Islam lari ke kem mereka untuk mengambil harta rampasan perang masing-masing walaupun telah diberi peringatan oleh Abdul Rahman al-Ghafiqi supaya mereka tetap bertahan di tempat mereka. Serangan mengejut bala tentera Franks pimpinan Charles Martel mengambil kesempatan dengan menyerang balas tentera Islam yang tinggal. Akibatnya, dalam serangan tersebut, Abdul Rahman al-Ghafiqi turut syahid terkorban. Bala tentera Islam yang tinggal semuanya lari ke selatan semula menuju Andalus. Oleh itu, bala tentera Franks memenangi peperangan tersebut.

Peperangan Tours-Poitiers yang berlaku pada bulan Oktober tahun 732 tersebut merupakan titik noktah kepada kemaraan bala tentera Islam untuk meluaskan empayar umat Islam lebih jauh ke utara di barat benua Eropah. Ini kerana selepas peperangan tersebut, tiada lagi kemaraan bala tentera Islam untuk melanjutkan ekspedisi ketenteraan ke utara benua Eropah. Bahkan bala tentera Franks pimpinan Charles Martel dan anaknya Pepin The Short (Pepin III) yang akan menyingkirkan penguasaan tentera Islam daripada bumi Perancis sedikit demi sedikit. Peperangan tersebut turut dikenali oleh bangsa Arab sebagai “Ma’rokah Balat asy-Syuhada’” (Pertempuran Istana Para Syuhada’). Melalui kacamata masyarakat Barat, peperangan tersebut telah menyelamatkan Tamadun Barat daripada penguasaan umat Islam dan juga menyelamatkan agama Kristian di Eropah dengan menghentikan penyebaran agama Islam lebih jauh ke utara benua Eropah. Tours dan Poitiers, Perancis merupakan wilayah paling utara pernah dijejaki oleh tentera Islam di sebelah barat benua Eropah.

Pengakhiran kekuasaan kerajaan Islam di Perancis

Selepas peperangan tersebut, satu persatu wilayah kekuasaan umat Islam di Perancis berjaya ditawan oleh bala tentera Franks di bawah pimpinan Charles Martel dan anaknya Pepin III sehingga hanya tinggal kubu terakhir umat Islam di wilayah Septimania yang terdiri daripada tujuh buah bandar iaitu Narbonne, Carcasonne, Agde, Nimes, Beziers, Lodeve dan Maguelonne. Ketika pentadbiran Uqbah bin al-Hajjaj as-Saluli, iaitu Gabenor Jeneral Andalusia yang ke-14 (735-738/740), beliau telah memperkukuhkan kembali pertahanan tentera Islam di Perancis. Walau bagaimanapun, pada tahun 737, bala tentera Charles Martel mendapat kemenangan besar ketika mereka cuba untuk menawan Kota Narbonne. Serangan daripada bala tentera Charles Martel pada tahun yang sama mengakibatkan kemusnahan besar Kota Nimes, Agde, Beziers dan Maguelonne. Ketika pentadbiran Gabenor Jeneral Andalusia yang ke-18 iaitu Yusuf bin Abdul Rahman al-Fihri (747-756), beliau berjaya mempertahankan Kota Narbonne daripada penguasaan Charles Martel. Walau bagaimanapun, pertahanan tersebut tidak lama. Yusuf al-Fihri juga merupakan Gabenor Jeneral Andalusia yang terakhir sebelum seorang waris kerabat diraja Bani Umayyah yang berjaya melarikan diri daripada serangan revolusionis Abbasiyyah di Damsyik iaitu Abdul Rahman ibni Hisyam (Abdul Rahman ad-Dakhil) ditabalkan sebagai Amir Bani Umayyah di Andalus pada tahun 756.

Pada tahun 752, bala tentera Franks berjaya menawan Kota Nimes, Agde, Beziers dan Lodeve. Akhirnya pada tahun 759 dan 760, bala tentera Franks di bawah pimpinan Pepin III berjaya menawan sepenuhnya Kota Narbonne, iaitu ibu kota wilayah Septimania. Ini menandakan bahawa tiada lagi penguasaan tentera Islam di bumi Perancis. Penguasaan tentera Islam di bumi Perancis hanya dapat bertahan selama 42 tahun sahaja (717-759). Selain penemuan arkeologi peninggalan umat Islam di Septimania yang berupa seramik, matawang Arab dan cop mohor, pada tahun 2006, kegiatan ekskavasi yang diketuai oleh France National Institute for Preventive Archeology (INRAP) di Nimes telah menemui tiga buah kubur milik tiga orang muslim.

Ini kerana berdasarkan pemerhatian terhadap keadaan rangka-rangka tersebut yang ditanam secara mengiring ke kanan mengadap kearah tenggara (arah Makkah dari lokasi tersebut). Ujian DNA ke atas rangka-rangka tersebut mendapati bahawa ketiga-tiga rangka tersebut milik tiga orang lelaki berketurunan dari Afrika Utara (Berber). Ujian radiokarbon pula mendapati ketiga-tiga rangka tersebut berusia sekitar abad ketujuh atau abad kelapan. Ini membuktikan kewujudan masyarakat muslim di wilayah Septimania pada abad tersebut. Keturunan ketiga-tiga orang lelaki tersebut yang berasal daripada Afrika Utara membenarkan catatan-catatan kemasukan dan penempatan masyarakat muslim Berber seiring dengan abad permulaan perluasan wilayah umat Islam ke Perancis.

Sila rujuk penulisan-penulisan ilmiah dalam senarai rujukan di bawah untuk mengetahui lebih mendalam dan lebih lanjut mengenai sejarah penguasaan umat Islam di bumi Perancis.

Senarai rujukan

Sahibza Masud-ul-Hassan Khan Sabri, History of Muslim Spain, New Delhi: Adam Publishers & Distributors, 2008.

Misbah Islam, Decline of Muslim States and Societies: The Real Root Causes and What Can Be Done Next, Xlibris Corporation, 2008.

Weir, W., 50 Battles That Changed The World, The Conflicts That Most Influenced The Course of History, USA: The Career Press Inc., 2001.

Gleize, Y., Mendisco, F., Pemonge, M-H., et al., “Early Medieval Muslim Graves in France: First Archeological, Anthropological and Palaeogenomic Evidence,” dalam PLoS One 11 (2), 24 Februari 2016, hlm. 1-13.

Aḥmad ibn Muḥammad al-Maqqari, Ibn al-Khaṭīb, The History of the Mohammedan Dynasties in Spain: Extracted from the Nafhu-t-tíb Min Ghosni-l-Andalusi-r-rattíb Wa Táríkh Lisánu-d-Dín Ibni-l-Khattíb, (terj. Pascual de Gayangos), Volume 2, The Oriental Translation Fund of Great Britain and Ireland, 1964.

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

MA. (Malaya), BUs. (IsHis&Civ)(Malaya)

1 Comment

  1. Ada kemungkinan bahasa Perancis pernah menggunakan aksara Arab mengingat pemakaiannya dalam aksara Latin sekarang ini penuh dengan penyimpangan penyimpangan cara membaca dan menulis aksara Latin. Kita tinggal mencari bukti buktinya.

Reply To Saptono Cancel Reply