Sidang media Persatuan Astronomi Diraja (Royal Astronomical Society, RAS) bertarikh 14 September 2020 membawa bersama satu khabar angin yang menggemparkan: iaitu kita MUNGKIN menemui bukti kewujudan makhluk hidup di planet Zuhrah. Perkataan “MUNGKIN” itu harus diberikan penekanan kerana sejujurnya masih banyak perkara yang memerlukan penyelidikan lanjut. Apa yang sebenarnya ditemui pasukan Jane Greaves ialah kewujudan gas fosfina yang pekat di atmosfera Zuhrah. Lalu apa kaitannya dengan makhluk hidup?

Persoalan tentang kewujudan makhluk yang berasal dari planet selain Bumi adalah persoalan yang menarik dan pencariannya dipandu oleh bidang astrobiologi. Antara persoalan yang dibawa oleh bidang ini ialah bagaimana kita boleh mengenal pasti kewujudan makhluk asing serta apa bentuk kehidupan yang boleh muncul di planet-planet selain Bumi. Ahli astrobiologi menyarankan agar kita cuba mencari sesuatu yang dipanggil “biopetanda” iaitu kesan-kesan yang dihasilkan oleh makhluk hidup.

Mari kita ambil contoh yang dekat, iaitu Bumi. Satu makhluk yang bertebaran menutupi muka Bumi ialah pokok-pokok sekalian spesis. Proses fotosintesis membolehkan pokok-pokok ini menghasilkan makanan mereka menggunakan karbon dioksida, air dan cahaya matahari. Sisa daripada proses ini ialah oksigen dan ia dilepaskan bebas merayau di atmosfera Bumi. Maka, oksigen ini boleh dijadikan biopetanda wujudnya makhluk penghasil oksigen seperti pokok.

Jadinya, kandungan oksigen planet-planet lain boleh dicerap sebagai biopetanda planet tersebut. Namun, oksigen bukanlah satu-satunya gas biopetanda yang pernah diutarakan. Ada lagi calon-calon gas yang mungkin boleh dijadikan biopetanda. Salah satunya ialah gas fosfina.

Fosfina (simbol: PH3) ialah sejenis sebatian yang mempunyai satu atom Fosforus yang diikat bersama tiga atom Hidrogen. Kalau di Bumi, gas fosfina ini kebanyakannya dihasilkan oleh makhluk atas dua sebab. Sebab pertama ialah untuk membunuh tikus atau serangga. Sebab kedua ialah ia dihasilkan di persekitaran anaerobik iaitu perkataan saintifik yang merujuk kepada keadaan tiadanya oksigen.

Pasukan Jane Greaves mencerap kandungan fosfina di planet Zuhrah dengan harapan mencari biopetanda yang disebutkan itu. Mereka mendapati terdapat lebih kurang 20 zarah fosfina dalam kalangan satu bilion zarah (bahagian per bilion, ppb) dalam lapisan atmosfera Zuhrah yang sederhana panas. Umpamanya, ada 20 butir beras “fosfina” dalam timbunan 20,000 kg beras “lain-lain”.

Nampaknya 20 ppb fosfina itu kelihatan seperti tidak banyak, tetapi kita harus faham bahawa gas fosfina boleh dileraikan oleh atmosfera Zuhrah yang sangat berasid serta cahaya ultralembayung yang dipancarkan matahari. Kalau tiada mekanisma penghasilan fosfina, bagaimana kandungan 20 ppb fosfina ini boleh bertahan dalam keadaan sebegitu? Pastinya ada sesuatu yang menghasilkannya secara berterusan.

Jadi, adakah ia memberikan jawapan yang pasti bahawasanya makhluk di Zuhrah memang wujud? Tidak semestinya begitu. Dalam mencari biopetanda di planet-planet lain, kita harus berhati-hati. Ada kemungkinan bahawa ia kelihatan seperti sesuatu yang dihasilkan makhluk, tetapi sebenarnya dihasilkan secara semula jadi oleh planet tersebut.

Contohnya, planet Musytari dan Zuhal kedua-duanya mempunyai kandungan gas fosfina sekitar 4.8 ppm (bahagian per milion) untuk Musytari dan 15.9 ppm untuk Zuhal. Kedua-dua planet ini didapati mempunyai kawasan yang cukup syarat untuk menghasilkan gas fosfina secara berterusan dan semulajadi.  Tambahan pula, atmosfera mereka tidak berasid seperti Zuhrah maka gas fosfina boleh bertahan lebih lama.

Namun, setelah mengambil kira faktor-faktor semulajadi yang diketahui termasuklah kilat dan gunung-gunung berapi Zuhrah, jumlahnya masih belum cukup untuk mengisi 20 ppb gas yang dicerap mereka. Jadi adakah ini bermakna kewujudan makhluk asing adalah satu-satunya jawapan? Tidak usahlah kita terburu-buru membuat kesimpulan.

Hakikatnya, masih banyak lagi perkara yang kita tidak tahu tentang planet itu. Memetik dari bahagian perbincangan makalah mereka, “Kita tidak ada banyak maklumat: misalnya, proses fotokimia sekitar awan-awan Zuhrah itu banyak yang masih tidak diketahui.” Mereka hanya boleh lakukan kiraan berdasarkan apa yang diketahui tentang planet itu, yang tidak diketahui tidak termasuk dalam kiraan.

Harus difahami bahawa usaha-usaha untuk menghantar perayau menyelidik Zuhrah membawa kepada kehancuran perayau tersebut. Sebabnya, cuaca di Zuhrah sangat-sangat-sangatlah ganas. Akibatnya, tidak banyak data yang boleh dikutip. Pasukan Jane Greaves berharap akan ada misi ke Zuhrah yang boleh bantu memahami perkara-perkara yang tidak diketahui serta mengesahkan kaedah penghasilan gas fosfina di Zuhrah.

Kesimpulannya, saintis tidak menemui makhluk hidup di Zuhrah. Mereka menemui gas fosfina yang mungkin adalah petanda wujudnya proses di Zuhrah yang kita masih tidak tahu, ataupun petanda wujudnya kehidupan.

DAFTAR ISTILAH

Biopetanda = Biosignature
Fosfina = Phosphine
Musytari = Jupiter
Zuhal = Saturn
Zuhrah = Venus

DAFTAR GAMBAR

Gambar Utama: ESO/ M. Kornmesser/ L. Calçada/ NASA/ JPL-Caltech/ Royal Astronomical Society (CC BY 4.0), pautan: https://ras.ac.uk/news-and-press/news/hints-life-venus

DAFTAR PUSTAKA

Greaves, J.S., Richards, A.M.S., Bains, W. et al. 2020. Phosphine Gas in The Cloud Decks of Venus. Nature Astronomy. https://doi.org/10.1038/s41550-020-1174-4

Royal Astronomical Society. 2020. RAS Press Briefing – Phosphine on Venus (YouTube) https://www.youtube.com/watch?v=y1u-jlf_Olo&t=1s

Sousa-Silva, C., Seager, S., Ranjan, S. et al. 2020. Phosphine as A Biosignature Gas in Exoplanet Atmospheres. Astrobiology 2(20) 235-268 http://doi.org/10.1089/ast.2018.1954


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Menyambung pengajian sarjana muda Fizik di UKM (2017-2021). Minat menulis sejak tahun 2011 dan mula berkecimpung dalam penulisan akademik sejak tahun 2014. Berazam untuk menjadi pensyarah dan untuk terus menulis ilmu dalam Bahasa Melayu. Gagasan aku mudah sahaja: jika ingin diajarkan ilmu kepada sesuatu bangsa maka ajarkanlah dalam lidah bangsa tersebut.

Comments are closed.