Kewajipan Kempen Beli Barangan Muslim Pada Sejarah

1,817

Saya berasa amat pelik bila ada ustaz yang menyatakan bahawa beliau lebih rela membeli barang dari orang bukan Islam berbanding membeli barang dari orang Islam yang merokok. Saya tidak pasti dari sumber atau neraca mana beliau mengambil kefahaman begitu?

Salah satu sebab utama kenapa kita wajib membantu perniagaan orang Islam dengan sedaya upaya adalah kerana adanya hukum zakat. Zakat ini sangat penting hingga ia menjadi salah satu dari lima rukun Islam. Untuk semarakkan zakat, wajib semarakkan ekonomi umat Islam. Untuk semarakkan ekonomi umat Islam, umat Islam mesti giat dalam bidang perniagaan. Untuk giatkan umat Islam dalam bidang perniagaan, umat Islam sendiri mesti saling hulurkan bantuan.

Ini adalah satu rantaian yang tidak boleh dipisahkan. Perkara ini banyak dibincangkan oleh para ilmuwan. Antara kitab yang kita boleh rujuk ialah ‘al-Fiqh al-Iqtisadi Lil Amirul Mukminin Umar ibn al-Khattab’ karya Dr Jaribah. Maka tidak hairanlah jika Sayyidina Umar sendiri menilai bahawa perdagangan adalah salah satu bentuk jihad dan salah satu pintu ibadah bagi umat Islam.

Hari ini kita sangat malang. Negera kita yang majoriti penduduknya beragama Islam tetapi ekonomi tidak dikuasai oleh orang-orang Islam. Ya, memang salah penjajah, tapi kita harus berusaha membetulkannya.

Saya tidak mahu membicarakan hal ini dari sudut agama. Ramai sahabat saya yang lebih faqih dalam FB ini seperti Syeikh Hafiz Helmi Hashim As-Shafie lebih layak membicarakan tentangnya. Saya cuma ingin membicarakan dari sudut sejarah.

Dari sudut sejarah, ‘izzah’ Islam itu dapat dizahirkan apabila umat Islam menguasai ekonomi dan perdagangan. Ia juga satu wasilah dakwah yang baik dan berkesan. Hal ini dapat dibuktikan dari sejarah pengislaman Alam Melayu melalui pedagang-pedagang Islam.

Ketika Salahuddin al-Ayyubi dapat menakluki Baitul Muqadis, umat Islam memang menguasai ekonomi pada ketika itu. Ini kita boleh membaca daripada sejarah empayar perdagangan Karimi, empayar perdagangan Islam yang menguasai perdagangan rempah dunia yang banyak membantu perjuangan Salahuddin al-Ayyubi.

Maka tidak hairanlah jika Alfonso de Albuquerque berkata bahawa dengan penaklukan kota Melaka, Portugis dapat ‘membunuh’ penyara negara-negara Islam kerana Kesultanan Melaka adalah penyara ekonomi negara-negara Islam disebabkan kekayaan perdagangannya.

Setelah British menguasai ekonomi Tanah Melayu, mereka telah mewujudkan bandar-bandar yang diasaskan dengan sebab industri bijih timah. Kemudian mereka membawa pendatang-pendatang bukan Islam dari China sebagai pelombong bijih timah dan kemudiannya golongan ini menguasai bandar-bandar tersebut.

Di samping itu, orang-orang Islam yang rata-ratanya dari kalangan orang-orang Melayu yang merupakan warga asal dibiarkan terus mendiami kampung-kampung. Kota-kota tradisi orang-orang Melayu dihilangkan kepentingannya hingga akhirnya lenyap atau bertukar menjadi kampung. Keadaan ini menyebabkan orang-orang Islam terus terpinggir dari bidang ekonomi dan perdagangan. Ini juga adalah dasar pecah dan perintah yang dijalankan oleh British.

Di ambang kemerdekaan, para ulama berusaha untuk membangunkan kembali ekonomi umat Islam. Antara usaha yang dibuat oleh para ulama ialah dengan menubuhkan Pusat Perekonomian Melayu Se-Malaya (PEPERMAS). Di samping itu, Syeikh Abu Bakar al-Baqir pula telah menubuhkan Persatuan Al-Ehya Al-Syarif di mana persatuan ini berjaya menjalankan tiga jenis projek perniagaan iaitu kilang padi, stesen pam minyak dan stesen jana kuasa elektrik.

Namun kemudiannya ulama-ulama yang berusaha menggerakkan ekonomi umat Islam ini telah diburu oleh Inggeris atas alasan-alasan yang sengaja direka hingga menyebabkan aktiviti membangunkan ekonomi umat Islam terbantut.

Jadi perjuangan sahabat-sahabat saya seperti yang digerakkan oleh Tuan Mohamad Jamalee pada saya ianya menyambung legasi perjuangan para ulama seperti Ustaz Abu Bakar al-Baqir. Maka kita wajib menyokong perjuangan ini.

Bayangkan, dalam satu litar perlumbaan, penganjur memberi kepada pihak pesaing kereta Ferari. Manakala di satu pihak lagi hanya diberikan kereta Nissan Sunny. Kemudian bila ada pihak yang hendak membantu untuk menaik taraf kereta Nissan Sunny tersebut supaya dapat bersaing dengan Ferari, kita bukan sahaja tidak membantu, malah memperlekehkan bantuan tersebut.

Begitu juga hakikatnya dalam bidang ekonomi. British telah memberikan ‘Ferari’ kepada orang bukan Islam. Umat Islam di Tanah Melayu hanya memiliki ‘Nissan Sunny’. Jika kita tidak dapat membantu menaik taraf dan membaik pulih Nissan Sunny tersebut, janganlah kita memperlekehkan pihak lain yang berusaha untuk membantunya.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.