Keunggulan Bahasa Melayu Pada Zaman Abdullah Munsyi

232

Sebelum empayar Inggeris menyebarkan bahasa Inggerisnya ke setiap ceruk dunia, bahasa Melayu telah termasyhur ke setiap ceruk dunia dalam sayap keemasan Jawi. Satu dunia surat-menyurat dengan tulisan Jawi dalam bahasa Melayu yang santun, indah dan berisi pujian kepada penerima surat.

Bahasa Melayu digunakan tanpa prasangka “memelayukan orang bukan Melayu”, malah telah merentas geografi dalam surat Melaka dengan negara-negara besar seperti China, Siam dan Inggeris. Hikayat Abdullah (2007) yang diselenggarakan oleh Hamzah Hamdani telah mengungkapkan cerita termasyhur bahasa Melayu di dunia abad ke-19.

Pada abad ke-19, budaya penulisan berjalan giat. Pegawai Inggeris gigih menterjemahkan hikayat bahasa Inggeris dalam bahasa Melayu. Keasyikan menulis dalam bahasa Melayu dapat kita rasai daripada kegilaan semangat Stamford Raffles, pegawai Inggeris yang fasih berbahasa Melayu. Diceritakan bahawa penyalinan dan penerjemahan hikayat Melayu menjadi santapan Tuan Raffles siang dan malam. Tuan Raffles ada tabiat menulis yang pelik.

Apabila dia menulis, dia akan berbaring di atas meja, memejamkan mata untuk memerah idea sehingga apabila ideanya menjelma, dia akan tergopoh-gopoh turun dari meja, menghadap mejanya untuk mencatat idea tersebut hingga pukul 12 pagi. Sesudah bangun pagi, dia akan mundar-mandir dengan surat yang ditulisnya semalam untuk menyemak kesesuaian bahasa (Hamzah, 2007:68). Dapat kita lihat betapa susahnya, betapa sungguhnya Stamford Raffles akan bahasa Melayu!

Selain itu, Abdullah Munsyi juga menggiatkan penulisan dalam kehidupan sehariannya dengan menerbitkan buku yang banyak. Beliau menyalin buku Sejarah Melayu semula, menulis buku Ubat Hati untuk merawat hati lara ibu yang kematian anak dengan menceritakan nikmat Hari Kiamat untuk ibu tersebut jika dia reda (Hamzah, 2007:354). Syair Singapura Terbakar dan Syair Kampung Gelam Terbakar pula dua syair yang mendarah daging sebagai identiti Abdullah Munsyi.

Sehubungan dengan itu, Abdullah Munsyi juga menerjemahkan karya Galila dan Damina daripada hikayat Hindu yang berjudul Panca Tanderan (Hamzah, 2007:343). Abdullah Munsyi juga menggembleng tenaga bersama pegawai-pegawai Inggeris menerjemahkan kitab agama Kristian dalam bahasa Melayu seperti buku Henry dengan Pengasuhnya, Kejadian Isa yang mengisahkan agama Kristian (Hamzah, 2007:362) dan terjemahan Sepuluh Hukum, wahyu Nabi Musa untuk kaum Israel dalam agama Yahudi (Hamzah, 2007:133).


Dapat kita simpulkan bahawa ilmuwan seperti Abdullah Munsyi TIDAK berfikiran sempit seperti penduduk kampung bahawa pembelajaran agama lain dapat memesongkan iman seseorang Muslim. Dia berfikir rasional: asalkan berpegang teguh pada akar tauhid agama Islam, dahan iman tentu tidak mudah bergoyang.

Bukan sahaja agama bidang yang dicakupi, buku perbendaharaan bahasa Inggeris yang berjudul Vocabulary dan buku kira-kira bahasa Inggeris yang bertajuk Arithmetic (Hamzah, 2007:133) turut diterjemahkan dalam bahasa Melayu untuk mengayakan ilmu yang belum ada dalam bahasa Melayu dan menyenangkan pembelajaran kanak-kanak Tanah Melayu dalam bahasa ibundanya.

Selain itu, taman bahasa Melayu subur menghijau kerana dihiasi pantun-pantun yang indah. Pada zaman itu, sudah menjadi kebiasaan penyelitan pantun dalam prosa oleh pengarang zaman silam. Persatuan prosa dan pantun dapat kita telusuri dalam Sejarah Melayu lagi. Hikayat Abdullah membuktikan bahawa prosa dan pantun persatuan yang saling melengkapi dalam hal menyerlahkan estetika bahasa. Beberapa pantun selitan dapat kita perhatikan berikut.

Perpisahan dua jiwa sasterawan yang terjalin erat amat memeritkan. Abdullah Munsyi mengutip manik-manik pilunya, menabur bait-bait kesyukurannya dalam pantun mengenang budi baik Tuan Raffles yang berjudul Tuan Raffles Dua Laki Isteri:

Burung belibis di atas lantai,
Buah rambai dalam padi;
Tuan Raffles orang yang pandai,
Tahu sungguh mengambil hati.

Buah rambai dalam padi,
Lazat cita pula rasanya;
Pandai sungguh mengambil hati,
Serta dengan budi bahasanya.

Lazat cita pula rasanya,
Jeruju dengan durinya;
Serta dengan budi bahasanya,
Setuju pula dengan isterinya.

Jeruju dengan durinya,
Di tepi jalan orang berlari;
Setuju pula dengan isterinya,
Seperti bulan dengan matahari.

(Hamzah Hamdani, 2007:228—229)

Oleh hal demikian, kita, sebagai penulis muda tidak harus menganggap bahawa pantun dan prosa dua entiti yang berasingan kerana daripada Abdullah Munsyi, kita sedari bahawa pantun itu busana tubuh prosa! Hiaslah prosa anda dengan pantun sebagai inovasi cerpen dan novel zaman baharu!

Juga kita perhatikan bahawa urusan surat-menyurat dijalankan dengan bahasa Melayu. Zaman ke-19 memang pekat dengan budaya mengarang surat dengan tinta keemasan. Tuan Raffles yang mengendalikan negeri Melaka mengupah Abdullah Munsyi sebagai jurutulis. Jurutulis bertugas menyalin hikayat, mengarang surat, kebahasaan dan syair (Hamzah, 2007:67).

Oleh itu, tidak menghairankan bahawa jawatan jurutulis sangat laku. Penghargaan yang diberikan kepada bahasa Melayu pada waktu silam tidak akan kita kecap pada zaman moden ini. Sebagai contoh, surat perjanjian antara Tuan Farquhar dengan Temenggung pun bertulisan Melayu Jawi; tidak seperti keadaan sekarang: semua surat dikarang dalam bahasa Inggeris dengan alasan hendak mengantarabangsakan adat hidup.

Surat ini membuktikan penyerahan Singapura dengan relanya oleh Tengku Long kepada Tuan Farquhar. Temenggung hanya menurut perintah Tengku Long. Menandatangani suratlah ia walaupun mengetahui bahawa itu kebodohan yang nyata. Surat tersebut dapat kita hayati dalam bahasa Melayu klasik berikut:

Ini surat tanda suka Temenggung bersahabat dengan Kompeni Inggeris serta dengan suka redanya, jikalau ada dengan suka Tengku Long memberikan Pulau Singapura ini kepada Kompeni Inggeris, iaitu kepada Tuan Raffles dan Tuan Farquhar akan diperbuat mereka itu negeri.
(Hamzah, 2007:158)

Yang menakjubkan bahawa pegawai Inggeris di negeri Melaka pada abad ke-19 sangat teruja mempelajari bahasa Melayu. Mereka mengambil inisiatif mencari Abdullah Munsyi untuk mempelajari bahasa Melayu di rumah mereka. Keadaan ini serupa dengan tuisyen rumah seorang lawan seorang sekarang. Banyaklah tuan gabenor Inggeris yang meminta tunjuk ajar Abdullah Munsyi seperti Tuan Milne, Tuan Raffles, Tuan Thomsen, Tuan Slater, Tuan Morrison, Tuan Medhurst dan Tuan Huttman.

Semasa mempelajari bahasa Melayu, ada pegawai Inggeris yang suka berbantah-bantahan tentang tatabahasa Melayu dengan Abdullah Munsyi, khususnya Tuan Thomsen. Tuan Thomsen menggunakan tatabahasa Inggeris untuk membina ayat bahasa Melayu (Hamzah, 2007:118), sedangkan setiap bahasa ada tata tersendiri.

Kata Tuan Thomsen: “Bahasa Melayu terlalu senang belajar. Kalau sampai dua tahun, sudah terlalu pandai (Hamzah, 2007:117).” Bantahan Tuan Thomsen agak sama dengan pelajar baharu Jawi sekarang yang menyangka bahawa setiap perkataan harus ada vokal, iaitu alif, ya dan wau.

Perhatikan rungutan Abdullah Munsyi berikut:

Semua perkataan disuruhnya bubuh huruf yang tiga itu, tidak boleh kurang. Katanya, orang Melayu semuanya salah sebab meninggalkan huruf yang tiga itu. Umpamanya, ‘jikalau’ disuruhnya masukkan; jadi ‘jiikalau’; ‘dengan’ disuruh bubuh alif, jadi ‘dangan’; ‘melainkan’ disuruhnya masukkan alif, jadi ‘melaainkan’; ‘mengetahui’ jadi ‘mengetaahui’; ‘tinggal’ jadi ‘tiingal’; ‘kebajikan’ jadi ‘kebaajikan’; ‘kejahatan’ jadi ‘kejahataan’; ‘merdeka’ jadi ‘merdekaa’; ‘takluk’ jadi ‘takluuk’; ‘zina’ jadi ‘zinaa’; ‘gereja’ jadi ‘geriijaa’ dan sebagainya. (Hamzah, 2007:118)

Sehubungan dengan itu, kedahagaan menimba ilmu bahasa Melayu dapat kita rasai dalam babak Tuan Raffles pulang ke Eropah. Biarpun balik, beliau tidak balik dengan tangan kosong, tetapi membimbit peti-peti yang berat bersama. Apakah yang diisikan di dalam peti itu? Teliti kutipan teks berikut:

Kitab yang berjilid itu ada kira-kira tiga ratus buah. Ada yang belum berjilid, bercerai-cerai, bergulung dan berhelai-helai. Tiga buah peti kulit yang panjangnya sedepan, penuh dengan kitab-kitab Melayu. Dua peti dimuatkan dengan surat-surat dan kitab-kitab Jawa, Bali dan Bugis, berserta dengan berjenis-jenis patung, gambar-gambar, perkakas, permainan dan tulisan pada daun lontar. Semuanya itu dalam tiga empat peti. (Hamzah, 2007:226)

Gilakah, Tuan Raffles membawa buku berpeti-peti pulang ke tanah asalnya! Bagaimanakah kita? Apakah yang kita bawa semasa kita melancong dan balik dari tempat pelancongan? Nampaknya, haruslah kita bermuhasabah semula tentang budaya membaca yang kita kira “skema”, “membebani mata yang melihat keadaan tersebut” dan “hanya untuk peperiksaan”. Bukankah buku itu sumber ilmu?

Tiada orang yang seprihatin Abdullah Munsyi dalam nahu dan nasib bahasa Melayu di negeri Melaka. Abdullah Munsyi sanggup menjadi timba yang mencari telaga ilmu di kawasan berbatu-batu jauhnya. Kita anggap Abdullah gila, tetapi daripada sudut pandangan Abdullah, kitalah yang gila dan rugi kerana tidak sungguh-sungguh mencari ilmu dan menyahut seruan Allah: “Bacalah dengan nama Tuhanmu!”

Jika ada sesuatu kosa kata yang tidak fahami daripada hikayat, Abdullah Munsyi akan berjalan kaki ke rumah Dato’ Sulaiman atau Dato’ Astur semata-mata untuk menanyakan maksud kata tersebut (Hamzah, 2007:38). Daripada ahli-ahli bahasa tersebut, Abdullah Munsyi mempelajari pelbagai rahsia bahasa Melayu, misalnya peribahasa (perumpamaan, simpulan bahasa, kias ibarat) dan guna atau ‘kuasa’ kata dalam ayat (menyimpulkan, mengikat, meringkaskan, melanjutkan, memaniskan, menumbuhkan, mencampurkan, menujukan, menajamkan, menyindir). Abdullah Munsyi juga menggalakkan kita membaca hikayat untuk menguasai bahasa Melayu kerana hikayat mempunyai pelbagai kosa kata baharu dan susunan ayat indah yang dapat kita amalkan dalam karangan nanti (Hamzah, 2007:109).

Kerana membimbangi kehanyutan bahasa Melayu di tengah masyarakat, membumbunglah tekad Abdullah Munsyi “mewujudkan nahu bahasa Melayu, seperti yang dibuat oleh orang Belanda yang menerjemahkan Injil ke bahasa Melayu beratus-ratus tahun yang lalu (Hamzah, 2007:300)” sesudah menyedari bahawa “bahasa Melayu itu tidak mempunyai ketentuan sebab tiada hukum  yang menjadi contoh (Hamzah, 2007:301)”.

Terasalah kejanggalan terjemahan-terjemahan bahasa Melayu daripada kitab Injil seperti kata berkesamunan dan berkejabatan (Hamzah, 2007:300) sebagai akibat tiadanya pegangan mutlak. Dengan penjelasan ringkas, beliau hendak mengumpulkan dan menyusun semua hukum bahasa dan mengarang sebuah buku tatabahasa Melayu seperti Tatabahasa Dewan sekarang, sementara beliau amat hairan akan fikiran tertutup masyarakat Melaka yang mengetepikan bahasa Melayu kerana bahasa Melayu bukan bahasa syurga!

Anak-anak muda pada zaman itu, tiada seorang pun yang dengan suka hatinya sendiri hendak belajar tulis-menulis dan membaca surat Melayu. Melainkan aku sahaja orang yang miskin, hina dan bodoh ini… . Pada zaman ini dianggap tidak patut mempelajari bahasa Melayu kerana ia bahasa sendiri. Sejak zaman nenek moyang pun tidak ada tempat untuk mempelajari bahasa Melayu. Yang ada hanya pengajian al-Quran sahaja. Patut diajarkan bahasa Arab kerana ia berguna kepada agama dan di akhirat, dan bahasa itu lebih mulia bagi orang Islam.(Hamzah, 2007:37)

Sesungguhnya, tidak dapat tidak kita sunyikan perjuangan ahli bahasa moden dalam penyeragaman dan penyebaran bahasa Melayu, seperti Awang Sariyan, Nik Safiah Karim, Asmah Haji Omar, Asraf, yang telah menyatakan, malah mempermantap hasrat Abdullah Munsyi pada suatu ketika dahulu. Pelbagai kitab tatabahasa telah diterbitkan oleh mereka supaya masyarakat tidak meraba-raba akar yang paling teguh dalam kesuraman rimba bahasa, misalnya Tuntunan Bahasa oleh Awang Sariyan, Nahu Melayu Mutakhir oleh Asmah Haji Omar, Petunjuk Tatabahasa Bahasa Melayu oleh Asraf.

Pelbagai hukum bahasa dikuasai oleh Abdullah Munsyi. Inilah kecintaan sejati seseorang pengguna bahasa: memahami kekasih bahasa sampai akar umbinya. Sebagai contoh, Abdullah Munsyi menyinggung cara menggunakan imbuhan mem-, pem-, pen-, ter-, -kan, -nya, -lah, -di, -tah, -kah, -pun (Hamzah, 2007:278). Selain itu, beliau turut menceritakan fathah (baris atas), kasrah (baris bawah) dan dammah (baris hadapan) yang diamalkan dalam peraturan tulisan Jawi bahasa Melayu pada abad itu (Hamzah, 2007:114).

Bukan itu sahaja, Abdullah Munsyi melukis garis pemisah antara ragam pasar yang digunakan dalam bahasa percakapan harian dengan ragam baku dalam tulisan. Bahasa percakapan memang tidak baku, tetapi bahasa surat mesti baku, menurut tatabahasa Melayu. Hal inilah yang ditegaskan oleh Awang Sariyan dalam pelbagai buku tatabahasa beliau (Tuntunan Bahasa, Warna dan Suasana Perancangan Bahasa Melayu di Malaysia, Isu-isu Bahasa Malaysia dan Ceritera Bahasa). Kata Abdullah:

Mereka boleh bertutur seperti ‘lu’, ‘gua’, ‘bikin’, ‘rumah’, ‘bilang sama dia’, ‘pergi dapat itu wang’, dan sebagainya sudah cukup. Asal orang boleh faham, cukuplah, Jalan bahasa Melayu bukan seperti itu. Hendaklah diketahui perhiasan perkataannya seperti ‘mem’, ‘pem’, ‘pen’, ‘ter’, ‘kan’, ‘nya’, ‘lah’ ‘di’, ‘tah’, ‘kah’, ‘pun’ dan ‘sekalipun’. Banyak lagi yang digunakan dalam bahasa Melayu. Setiap satunya sesuai pada tempat, kuasa, keelokan dan kemanisannya.

(Hamzah, 2007:278).  

Daripada pelbagai contoh yang dikemukakan, kita insafi bahawa betapa bangsa lain, khususnya pegawai Inggeris di Tanah Melayu, menghormati dan bersungguh-sungguh mempelajari bahasa Melayu, malah memanfaatkan bahasa Melayu tulisan Jawi dalam surat pada abad ke-19. Hikayat Abdullah menukilkan hakikat agung bahawa bahasa Melayu telah mencapai taraf antarabangsa seperti bahasa Inggeris moden sekarang pada waktu itu.

Walaupun pegawai British menguasai bahasa Melayu, salah satu tiang jati diri bangsa Melayu dengan niat jahat ingin memanipulasi psikologi penduduk tempatan, tidak dapat tidak harus kita iktiraf bahawa usaha mengarang dan menerjemahkan hikayat Melayu oleh penjajah Inggeris, seperti Stamford Raffles, telah menyambung rantai riwayat sastera klasik Melayu hingga masa ini.

Maka itu, kita sebagai anak watan bahasa Melayu harus berasa malu lalu menyemarakkan azam untuk menguasai tatabahasa Melayu sebagai senjata melahirkan sosok bahasa yang kemas, indah dan bermutu tinggi supaya bahasa Melayu dapat dikecap kelazatannya oleh seisi dunia!   

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.