Baru-baru ini kita digemparkan dengan peristiwa guru merotan anak muridnya kerana berkelakuan biadap. Satu situasi yang cliché sebenarnya. Sejak berzaman lagi, bila murid berkelakuan biadap, guru akan mengenakan hukuman. Malangnya zaman moden ini, hukuman seperti ini dianggap seperti barbaric, tidak bertamadun, ketinggalan zaman; oleh golongan acah-acah elitis yang tak boleh disentuh langsung.

Namun secara positifnya, masih ramai marhaen yang menyokong tindakan hukuman rotan kepada murid kerana ia sudah terbukti (walaupun tiada kajian- barangkali) merotan dengan niat mendidik akan menghasilkan insan yang berbudi pekerti.

Satu lagi hukuman yang biasa digunakan oleh golongan pendidik, yang saya pasti kebanyakan daripada kita pernah merasanya walaupun sekali dalam seumur hidup anda bergelar pelajar atau murid iaitu KETUK KETAMPI.

Hukuman Ketuk ketampi oleh Haji Bakhil kepada Labu dan Labi (Filem Labu Labi, 1962)

Apabila disebut KETUK KETAMPI, apa yang terlintas di fikiran kita? Suatu bentuk hukuman iaitu dengan memegang telinga secara bersilang (tangan kanan ke telinga kiri, tangan kiri ke telinga kanan) dan membuat posisi duduk dan berdiri secara menegak dan berulang dalam tempoh atau kiraan tertentu.

Pasti anda terkenang bagaimana orang gaji Haji Bakhil iaitu Labu dan Labi lakonan P.Ramlee dan M.Zain menjalani hukuman ketuk ketampi kerana membuat kesalahan yang tak kena di mata Haji Bakhil. Babak lucu itu meninggalkan kesan mendalam kepada kita yang pernah menonton filem ini, kerana ia sangat dekat dengan kita, terutama generasi X dan Y.

Ketuk ketampi, atau lebih popular di negara Barat sebagai ‘Superbrain Yoga’ juga disebut “Uthak-Baithak” dalam bahasa Hindi atau “Thoppukaranam” dalam bahasa Tamil (yang ini geng Chola boleh claim) asalnya dikatakan sebagai satu ritual penganut Hindu untuk memaafkan diri mereka atas sebarang kesilapan yang disebabkan secara sengaja atau tidak sengaja dengan menghukum diri mereka melalui proses ini.

Pada kebanyakan kita, ketuk ketampi dianggap sebagai hukuman, tetapi tahukah anda beberapa kajian yang menyebut ketuk ketampi sebenarnya merupakan satu bentuk senaman? Walaupun bukan senaman dalam erti kata sebenar, tetapi lebih kepada pergerakan yoga.

Dan ini telah dibuktikan oleh beberapa kajian yang menunjukkan perubahan tingkahlaku murid yang hiperaktif dan juga membantu menambah fokus kepada murid dalam pembelajaran. Tak pasti pula kalau ada kajian ini di Malaysia. Menurut artikel yang dipetik daripada Queensland Academies Health Science Campus, ketuk ketampi atau Superbrain Yoga mempunyai kelebihan berikut:

  1. Ia memberi tenaga dan mengaktifkan otak dengan menyegerakkan (synchronizing) gelombang otak Alpha.
  2. Ia mengurangkan tekanan psikologi dan meningkatkan kestabilan psikologi.
  3. Ia menghasilkan kecerdasan dan kreativiti yang lebih besar.
  4. Ia menggalakkan fungsi otak yang betul.

Setakat dalam carian penulis, masih tiada kajian yang mengaitkan ketuk ketampi dengan peningkatan akademik di Malaysia tetapi ada kajian yang mengaitkan memberi hukuman ketuk ketampi dengan kecerdasan emosi guru disiplin.

Mungkin kerana terdapat beberapa kes yang melibatkan guru yang bertindak di luar kewarasan mengenakan ketuk ketampi yang terlalu lama kepada murid hingga menyebabkan murid pengsan menjadi asbab utama mengapa KPM “melarang” hukuman ini dilaksanakan. Tetapi saya pasti, masih ada guru yang positif, yang mampu mengawal diri ketika memberi hukuman ini kepada murid mereka.

Dari sudut positif, ketuk ketampi boleh bertindak sebagai hukuman dan juga sebagai bentuk senaman ringkas yang memberi impak jangka panjang. Mengapa hukuman ini menjadi pilihan guru-guru sejak dari dahulu? Sebab utamanya kerana tidak berlaku ‘sentuhan fizikal’ pada murid, tidak seperti rotan.

Dan hukuman ini boleh dijalankan di mana-mana sahaja, samada di luar kelas, di tepi padang atau di tapak perhimpunan. Malah, perbuatan ketuk ketampi yang hanya duduk cangkung dan berdiri tegak ini boleh dilakukan oleh semua murid tidak kira yang kurus atau yang gemuk, lelaki atau perempuan.

Kepada ibu bapa, jangan khuatir apabila guru menghukum anak anda dengan ketuk ketampi. Pandanglah daripada sudut kesihatan dan ilmiah. Kerana tiada guru yang suka-suka mengenakan hukuman kepada anak murid mereka melainkan bertujuan mendidik mereka atas kesalahan yang mereka lakukan.

Proses mendidik bukanlah proses yang mudah jika tiada kerjasama daripada ibu bapa. Membentuk generasi yang mewarisi negara pada masa akan datang takkan berjaya jika tiada sokongan menyeluruh daripada semua pihak, baik pihak Kementerian Pendidikan Malaysia hinggalah kepada ibu bapa.

Artikel kiriman Razif Abdul Rahim untuk The Patriots.

RUJUKAN:

Why Indian teachers punish students – Scientific Reason. (2015, July 18). Retrieved from http://guruprasad.net/posts/why-indian-teachers-punish-students-scientific-reason/

Rajesh, S., Srinivasan, T., & Chandrasekeran, A. (2014). Effect of repetitive yogic squats with specific hand position (Thoppukaranam) on selective attention and psychological states. International Journal of Yoga,7(1), 76. doi:10.4103/0973-6131.123497

Lange, K. M. (2014). Yoga and the Therapy of Children with Attention Deficit Hyperactivity Disorder. Journal of Yoga & Physical Therapy,04(03). doi:10.4172/2157-7595.1000168

BIN HALIM, Nazri; BIN DAUD, Yaakob. PENGARUH KECERDASAN EMOSI DAN EFIKASI GURU TERHADAP STAIL DISIPLIN GURU DI KEDAH DAN PERLIS. JuPiDi: Jurnal Kepimpinan Pendidikan, [S.l.], v. 4, n. 3, p. 1-22, oct. 2017. ISSN 2289-9669. Available at: <https://jupidi.um.edu.my/article/view/8465>. Date accessed: 19 july 2019.

SuperBrain Yoga – a simple exercise to maximize brain power! (n.d.). Retrieved from https://qahs.eq.edu.au/superbrain-yoga-a-simple-exercise-to-maximize-brain-power/


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Moving forward as one.

Comments are closed.