Ketidaksempurna Itu Sebuah Tarikan

1,732

Perhaps it is our imperfections that make us so perfect for each other.

Jane Austen

Manusia diciptakan oleh Tuhan sebagai mahkluk yang tidak sempurna. Kita tidak seharusnya mengharapkan yang sempurna kerana ia tidak wujud dalam diri setiap manusia. Di sebalik ketidaksempurnaan masing-masing, psikologi sosial mendapati bahawa kita cenderung untuk tertarik kepada mereka yang mempamerkan ketidaksempurnaan.

Dalam erti kata lain, kita kelihatan lebih menarik apabila kita melakukan kesilapan. Apatah lagi jika kita sememangnya mempunyai perwatakan yang menarik dan berkebolehan dalam sesuatu aspek, kita akan kelihatan lebih menarik apabila melakukan kesilapan. Namun, jika kita hanya manusia biasa yang tidak berkebolehan atau tidak mempunyai apa-apa bakat yang menonjol, melakukan kesilapan hanya akan merendahkan daya tarikan kita.

Dalam psikologi sosial, hal ini dinamakan “Kesan Kecanggungan” (Pratfall Effect). Daya tarikan seseorang itu mampu meningkat ataupun merudum berdasarkan pencapaiannya secara umum.

Sebagai contoh, berbanding seorang atlet biasa, seorang atlet larian yang sentiasa memenangi tempat pertama dalam setiap acara larian akan kelihatan lebih menarik di mata penyokongnya apabila dia kalah dalam satu ataupun dua acara larian yang disertainya.

Kajian mengenai Kesan Kecanggungan ini diperkenalkan oleh Elliot Aronson pada tahun 1966. Beberapa kajian telah dijalankan untuk mengenal pasti kesan dan punca kesan ini termasuklah kesan jantina, keyakinan diri serta hubungan antara jenis kesilapan dengan daya tarikan.

Menerusi eksperimen yang dijalankan oleh Aronson, sebanyak 48 orang pelajar lelaki dari University of Minnesota dijadikan subjek dan dibahagikan kepada empat kumpulan. Setiap kumpulan diminta mendengar satu rakaman temu bual yang merupakan uji bakat untuk sebuah program kuiz televisyen. Subjek diminta mendengar salah satu daripada rakaman berikut;

  1. Peserta yang hebat menjawab soalan.
  2. Peserta yang sederhana menjawab soalan.
  3. Peserta yang hebat menjawab soalan dan melakukan kesilapan.
  4. Peserta yang sederhana menjawab soalan dan melakukan kesilapan.

Keputusan daripada temu bual tersebut menunjukkan bahawa peserta uji bakat yang hebat tersebut mendapat markah keseluruhan sebanyak 92% manakala peserta uji bakat yang sederhana tersebut hanya mendapat markah sebanyak 30%.

Aronson seterusnya meneguhkan bukti “kehebatan” dan “kebiasaan” peserta-peserta tersebut dengan personaliti sebenar kedua-duanya. Peserta yang hebat tersebut merupakan seorang pelajar contoh di sekolah, seorang editor majalah sekolah dan salah seorang atlet larian sekolah.

Peserta yang sederhana pula hanya mempunyai pencapaian sederhana di sekolah, merupakan seorang proofreader untuk majalah sekolah di samping tidak layak menjadi atlet larian sekolah.

Setelah mendengar rakaman tersebut, subjek menjawab soalan-soalan tentang tanggapan mereka terhadap kedua-dua peserta. Keputusan membuktikan bahawa ternyata peserta yang hebat itu mempunyai daya tarikan yang lebih tinggi dan dianggap lebih menarik walaupun melakukan kesilapan manakala daya tarikan peserta yang sederhana didapati merudum apabila melakukan kesilapan.

Natijahnya, seseorang yang hebat itu sering dianggap sebagai “superhuman” ataupun seorang manusia yang hebat dan sempurna. Kehebatan dan kesempurnaan mereka tidak dapat dikaitkan dengan diri kita sebagai manusia yang kita anggap sederhana dan penuh ketidak-sempurnaan.

Namun begitu, kita akan merasa lebih tertarik apabila manusia yang dianggap hebat ini melakukan kesilapan kerana kita dapat merasakan ketidaksempurnaan mereka “dekat” ataupun boleh dikaitkan dengan diri kita. Kita rasa kagum manusia yang hebat ini berada setaraf dengan kita kerana kesilapan tersebut.

Contoh kehidupan sebenar boleh dilihat pada aktres Hollywood terkenal, iaitu Jennifer Lawrence. Lawrence merupakan seorang aktres yang berbakat dan telah memenangi beberapa anugerah berprestij dalam dunia perfileman.

Jennifer Lawrence. Gambar mula-mula yang digunakan untuk topik ini merupakan gambar Lawrence terjatuh di tangga pentas ketika menerima Anugerah Oscar 2015.

Namun di sebalik kehebatan itu, beliau juga dikenali sebagai seorang aktres yang agak kekok terutamanya ketika insiden-insiden di mana beliau terjatuh di atas pentas semasa menerima anugerah.

Di sebalik kesilapan dan kekekokan beliau itu, masyarakat khususnya peminat beliau tetap menggelar beliau sebagai seorang yang merendah diri dan “sederhana”. Hal ini menjadikan peminat Lawrence bertambah kerana ramai yang merasakan bahawa personaliti Lawrence yang bersahaja itu dekat dengan diri mereka sekali gus menaikkan lagi populariti selebriti tersebut.

Namun begitu, menurut Kay Deaux, Kesan Kecanggungan ini seringkali dikaitkan dengan golongan lelaki. Deaux mengatakan bahawa wanita merupakan golongan yang lebih cenderung menganggap kesilapan yang dilakukan oleh kedua-dua jantina yang hebat, baik lelaki mahupun wanita, boleh meningkatkan daya tarikan yang sedia ada. Kedua-dua jantina pula merasakan kesilapan yang dilakukan oleh seseorang yang sederhana itu tidak menarik.

Kesimpulannya, terimalah kesempurnaan diri kita kerana di luar sana, akan ada seseorang yang merasakan ketidaksempurnaan kita ini menarik. Jangan pernah takut melakukan kesilapan kerana kita semua bukan sahaja belajar daripada kesilapan diri sendiri, bahkan kita juga mampu jatuh cinta atas kesilapan orang lain.

Ketidaksempurnaan itu merupakan kesempurnaan, paling-paling tidak daripada kaca mata mereka yang menyayangi diri kita. Justeru, bahagialah bagi diri mereka yang mampu melihat dan menerima ketidaksempurnaan diri sendiri sebelum mencari ketidaksempurnaan orang lain.

Anda sedang membaca sebahagian daripada bab The Human Complex. Hari ini pula merupakan hari terakhir untuk melakukan tempahan anda. Cepat dapatkan buku ini di www.wasap.my/60195812791.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.