Agak melucukan bila membaca twit Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia, Vicki Treadell yang menyifatkan Himpunan Daulat 812 yang menolak ratifikasi ICERD yang berlaku beberapa hari lepas sebagai hipokrit. Bak kata pepatah Melayu paku dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih. Beliau bersuara seolah-olah melihat cubaan pihak konservatif yang terus mendukung Perlembagaan dan menolak ICERD sebagai ke belakang dan kolot. Ironinya tanpa Treadell sedar, apa yang dianggap sebagai ketidakadilan baginya sebenarnya sedang berleluasa di Britain yang memerlukan perhatian segera kerajaan pimpinan Theresa May.

Pada tahun lepas, sebuah laman sesawang baru kerajaan iaitu Fakta dan Statistik Etnik (Ethnicity Facts and Figures) mengeluarkan satu laporan yang mendedahkan wujud ketidakadilan dan jurang perbezaan ketara antara komuniti etnik di Britain. Berikut beberapa penemuan membimbangkan dalam laporan tersebut:

• Etnik minoriti mengalami kekurangan dari segi wakil di peringkat senior pada setiap sektor perkhidmatan awam.

• Pelajar berketurunan Carribean berhadapan kemungkinan tiga kali ganda dibuang sekolah (0.29%) berbanding pelajar kulit putih British (0.1%).

• Kadar pengangguran membabitkan orang kulit hitam, Asia dan etnik minoriti lain ialah lapan peratus, dua kali ganda melebihi kadar
pengangguran orang dewasa Caucasia British (4.6%). Begitu juga dengan jurang pengangguran yang ketara antara utara dan selatan negara berkenaan dengan bahagian utara mencatatkan kadar sebanyak 13.6% manakala bahagian selatan pula mencatat sembilan peratus.

• Orang kulit putih, India dan Pakistan lebih berkemungkinan mempunyai kediaman sendiri berbanding orang dari Bangladesh dan kulit hitam. Wujud juga nilai yang tidak sekata membabitkan pemilikan kediaman walaupun selepas mengambil kira faktor umur, geografi, pendapatan dan kumpulan sosio-ekonomi etnik.

• Remaja Caucasia mempunyai kemungkinan empat kali ganda menjadi perokok berbanding remaja kulit hitam.

• Pelajar Cina dan Asia mempunyai pencapaian lebih baik di sekolah menengah berbanding pelajar-pelajar kulit putih dan kulit hitam terutama yang layak mendapat makanan sekolah percuma. Bagaimanapun, itu tidak terpakai kepada pelajar Pakistan kerana sentiasa ketinggalan. Sementara anak-anak yang mempunyai darah Gipsi dan Romani pula tidak mempunyai prestasi baik semasa berada di sekolah menengah.

• Bagi kategori kanak-kanak berumur tujuh hingga 11 tahun, 71% kanak-kanak Cina memenuhi standard untuk kemahiran membaca, menulis dan mengira. Sementara bagi kanak-kanak Caucasia sebanyak 54% manakala kanak-kanak Gipsi dan Romani (13%).

• Kurang dari sepertiga (32%) pelajar-pelajar kulit putih British yang mendapat bantuan makanan persekolahan percuma mencapai standard untuk membaca, menulis dan mengira, lebih buruk dari semua kumpulan etnik lain.

• Peratusan tinggi bagi semua dari pelbagai etnik yang merasakan diri mereka sebahagian daripada Britain dengan sedikit variasi antara kumpulan etnik. Orang kulit putih (85%), Asia (84%) dan orang kulit hitam (81%).

• Anak-anak berketurunan Gipsi dan pengembara mempunyai kadar buang sekolah paling tinggi iaitu sebanyak 0.49% dan 0.33%.

Selepas laporan ini keluar, ia mencetuskan keributan dalam kalangan rakyat Britain dari atas sampai bawah. May memberi respon apa yang berlaku merupakan sesuatu yang tidak boleh diterima dan suka atau tidak, semua pihak perlu bekerjasama menangani soal ini. Namun, ada yang bersifat sarkastik terhadap kenyataan beliau. Editor BBC Mark Easton mempersoalkan mengapa selepas keluar laporan ini, barulah jabatan dan agensi kerajaan berkaitan tergocoh-gocoh mahu bertindak menangani soal ini. Easton turut membidas sikap menteri-menteri kerajaan yang tidak mengendahkan data yang ada dalam simpanan mereka dan tidak melaksanakan langkah-langkah proaktif untuk menanganinya.

Sentimen Easton turut dikongsi oleh wakil Majlis Gipsi, Joseph G Jones. Jones menyifatkan Whitehall (gelaran bagi kerajaan British) gagal membela nasib komuniti Gipsi dan pengembara yang mengalami diskriminasi yang tidak terkira banyaknya dalam kehidupan mereka. Beliau menambah, “Generasi muda hari ini tidak seharusnya didedahkan dengan endemik diskriminasi yang berterusan dan ketika ini, tidak ada sinar yang menunjukkan penyelesaian kepada isu ini.” Victoria Stevens, seorang wanita Ukraine yang menetap di Britain selama 18 tahun menyatakan tidak berhadapan masalah memohon pekerjaan kerana mempunyai ijazah kejuruteraan mekanikal, pengalaman kerja yang banyak dan menggunakan nama keluarga suaminya. Tetapi dia menambah, “Bagaimanapun, bila berkait dengan kenaikan pangkat atau pengembangan karier, saya dapati calon British akan mendapat kenaikan pangkat mengatasi saya sepanjang masa.”

Isu perkauman di Britain dilihat semakin meruncing terutama selepas Britain memutuskan untuk keluar dari Kesatuan Eropah. Dan suka atau tidak, Downing Street perlu bertanggungjawab sepenuhnya atas isu ini. Ahli Parlimen Brent Central dan Setiausaha Bayang-Bayang Wanita dan Kesamarataan dari Parti Buruh , Dawn Butler menyifatkan May dan Perdana Menteri sebelumnya David Cameron tidak bertanggungjawab dan tiada niat sama sekali untuk membanteras isu ini. Misalnya pada tahun pertama May sebagai Perdana Menteri (2016), Butler mendedahkan daripada 339 pemohon yang berketurunan Carribean memohon skim kenaikan pantas perkhidmatan awam, tiada seorang pun yang dipilih dalam skim yang mengenalpasti dan melatih generasi seterusnya kakitangan awam senior dalam kerajaan. Dan terima kasih kepada pemotongan dana yang dibuat kerajaan pada sektor-sektor penting seperti kesihatan, ia memberi kesan kepada wanita, orang kelainan upaya (OKU), etnik minoriti dan warga emas. Parti Buruh pimpinan Jeremy Corbyn turut mengecam dasar imigresen kerajaan Konservatif pimpinan Cameron dan kemudiannya May sebagai tidak munasabah, kejam dan mengancam keharmonian masyarakat.=

Walaupun ada usaha untuk menambahbaik situasi ini termasuk melaksanakan syor-syor dari Laporan Lammy, ia hanya menunjukkan apa yang berlaku di Britain sebenarnya jauh lebih teruk dari apa yang berlaku di Malaysia. Di Malaysia, walaupun ada sesetengah pihak tertentu cuba mengadu domba dengan mengatakan wujudnya ketidakadilan dan diskriminasi berikutan kewujudan agensi-agensi kerajaan dan pelbagai insentif untuk membantu orang Melayu dan Islam, semua warga Malaysia masih menikmati hak sama seperti dinyatakan dalam Perlembagaan. Jadi soalnya di sini, mana perginya label diskriminasi yang cuba dilempar Treadell ke atas negara ini terutama kelompok konservatif?

Apa yang dilakukan mereka pada 8 Disember lepas hanya untuk menunjukkan kepada pihak kerajaan untuk terus mendukung Perlembagaan dan berusaha membela hak semua terutama golongan bumiputera. Salahkah bagi mereka menuntut apa yang sudah dijamin dalam Perlembagaan? Salahkah mereka keluar beramai-ramai dengan angka antara 300,000 hingga 500,000 orang yang mahukan suara mereka terus didengar dan dipertahankan sehingga ke akhirnya? Salahkah mereka menolak perkara yang dianggap bertentangan dengan adat ketimuran dan mengancam kedudukan agama Islam yang dijamin dalam Perlembagaan? Salahkah mereka untuk terus bersuara dan menjadi pendesak dalam isu-isu kritikal membabitkan agama, bangsa dan negara? Bagi saya, ia tidak salah sama sekali kerana itu tanda kami sebagai golongan konservatif yang mencintai tanah airnya.

Jadi Treadell, jika kamu rasa apa yang berlaku 8 Disember lalu sebagai ke belakang, nasihat saya lihatlah pada cermin selama mungkin. Tanyalah diri sendiri, mengapa tanah air kamu dicarik dengan isu perkauman yang begitu dahsyat ini padahal kamu (Britain) menggelar diri sebagai juara hak asasi manusia? Rupanya yang didakwa hanyalah indah khabar dari rupa.

SUMBER

1. BBC. (2017). UK must act against race inequality, Theresa May says. https://www.bbc.com/news/uk-41560927

2. Butler, Dawn. (2018). The Guardian. From the Home Office to No 10, Theresa May has entrenched racial inequality. https://www.theguardian.com/commentisfree/2018/may/01/windrush-injustice-minorities-basic-tory-instinct-may-hostile-environment

3. Dearden, Lizzie. (2018). The Independent. Racism has become more acceptable since Brexit vote, United Nations warns. https://www.independent.co.uk/news/uk/home-news/brexit-racism-religious-intolerance-united-nations-special-rapporteur-a8348021.html

4. Bulman, May. (2017). The Independent. Racial inequality in UK: The appalling reality of how a Briton’s ethnicity affects their chances of a good life. https://www.independent.co.uk/news/uk/home-news/racial-inequality-uk-racial-disparity-audit-government-report-theresa-may-bme-black-ethnic-minority-a7992016.html

5. Easton, Mark. (2017). BBC. The government nudges itself over race. https://www.bbc.com/news/uk-41565954


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.