Allahyarham Shaykh Ahmad Hussein Deedat merupakan seorang tokoh pendakwah muslim antarabangsa yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Beliau adalah seorang tokoh lagenda dalam bidang ilmu perbandingan agama terutamanya berkenaan agama Islam dan Kristian. Guru kepada seorang tokoh pendakwah muslim antarabangsa tersohor pada abad ke-21 ini iaitu Dr. Zakir Abdul Karim Naik dan juga pengasas dan presiden sebuah institusi dakwah Islam antarabangsa yang berpusat di Durban, Afrika Selatan iaitu Islamic Propogation Centre International (IPCI) ini telah mengorbankan harta bendanya, tenaganya dan seluruh jiwa raganya ke jalan dakwah, membidas tajam segala fitnah daripada golongan bukan Islam terhadap agama Islam dan umatnya melalui rakaman video-video syarahan dan perdebatan serta penerbitan puluhan buah buku dakwah tulisannya secara percuma. Wajahnya tidak pernah lekang dengan senyuman yang menawan.

Penulis rasa tidak perlu dibincangkan panjang lebar lagi berkenaan biografi dan sumbangan besar tokoh ulama perbandingan agama tersebut kerana salah seorang rakan penulis The Patriots yang lain pernah menulis artikel biografi ringkas mengenainya di laman web The Patriots ini pada tahun lepas. Artikel ini akan menceritakan kisah tahun-tahun terakhir dalam kehidupan beliau.

Sekembalinya Shaykh Ahmad Deedat daripada menyampaikan syarahan sempena sambutan Hari Good Friday di Sydney, Australia pada pertengahan tahun 1996, beliau jatuh sakit kerana mengalami serangan penyakit angin ahmar (stroke) yang menyebabkan seluruh anggota tubuh badan beliau lumpuh daripada leher sehingga ke kaki. Ini menyebabkan beliau tidak dapat bercakap dan menelan makanan, tetapi pendengaran dan penglihatan beliau masih berfungsi dengan baik dan jelas, begitu juga memori dan kecerdasan akal fikirannya tidak sedikitpun terjejas. Selain itu, beliau juga boleh melakukan mimik muka dan mengeluarkan suara untuk menunjukkan perasaan gembira dan sedihnya. Beliau mendapat rawatan di sebuah hospital di Riyadh, Arab Saudi, dan sejak itu beliau belajar berkomunikasi menggunakan isyarat mata berdasarkan pemilihan huruf-huruf yang ditunjukkan kepadanya.

Terdapat seorang penulis yang juga wartawan Muslimah di Afrika Selatan bernama Fatima Asmal, kini beliau adalah Pengarah Institute of Learning and Motivation (ILM-SA) di Afrika Selatan, pernah menulis sebuah artikel dalam penerbitan An-Nisaa pada tahun 2003 yang merekodkan kisah lawatan beberapa orang mubaligh Kristian ke kediaman Shaykh Ahmad Deedat untuk “menyelamatkan hidup” beliau. Fatima turut menemu bual anak kepada Shaykh Ahmad Deedat iaitu Yusuf Deedat berkenaan ayahnya.

Kisahnya bermula pada awal pagi 26 Oktober 2002, apabila seorang reverend Kristian iaitu Reverend Naidoo menziarahi Shaykh Ahmad Deedat yang lumpuh terlantar di atas katil di kediamannya. Artikel perbualan tersebut saya terjemahkan dalam bahasa Melayu:
Reverend Naidoo: “En. Deedat, bolehkah saya mendoakan anda atas nama Jesus? Jika saya doakan anda atas namanya, anda akan dapat berdiri dan berjalan semula. Anda akan bercakap atas namanya. Bolehkah saya bacakan kepada anda sepotong ayat yang penuh dengan inspirasi daripada Kitab Suci Bible dengan harapan semoga Jesus dapat menyembuhkan anda?”

Seperti biasa, dengan bantuan anaknya, Shaykh Ahmad Deedat melakukan komunikasi mata untuk membentuk ayat bagi membalas permintaan reverend Kristian tersebut. Ayat tersebut berbunyi: “En. Naidoo, tolong bacakan kepada saya Genesis, Bab 19, ayat 30.”
Dengan senang hati Reverend Naidoo membacakannya: “{19:30} And Lot went up out of Zoar, and dwelt in the mountain, and his two daughters with him; for he feared to dwell in Zoar: and he dwelt in a cave, he and his two daughters. {19:31} And the firstborn said unto the younger, Our father [is] old, and [there is] not a man in the earth to come in unto us after the manner of all the earth: {19:32} Come, let us make our father drink wine, and we will lie with him, that we may preserve seed of our father. {19:33} And they made their father drink wine that night: and the firstborn went in, and lay with her father; and he perceived not when she lay down, nor when she arose. {19:34} And it came to pass on the morrow, that the firstborn said unto the younger, Behold, I lay yesternight with my father: let us make him drink wine this night also; and go thou in, [and] lie with him, that we may preserve seed of our father. {19:35} And they made their father drink wine that night also: and the younger arose, and lay with him; and he perceived not when she lay down, nor when she arose. {19:36} Thus were both the daughters of Lot with child by their father.
(Potongan ayat Genesis 19:30-36 di atas menceritakan perbuatan sumbang mahram antara Lot (Nabi Lut AS) dengan kedua-dua orang anak perempuannya).

Sekali lagi, Shaykh Ahmad Deedat berkomunikasi dengan isyarat mata bagi membentuk ayat. Ayat tersebut berbunyi: “Apakah moral daripada kisah tersebut? Adakah anda mempelajari sesuatu daripada bab tersebut?”

(Nota penulis: pembaca juga boleh merujuk 2 Timothy, 3:16 berkenaan kriteria kitab daripada Tuhan)

Reverend Naidoo terdiam dan terus meninggalkan kediaman tersebut.

Satu lagi kisah berkenaan seorang Kristian yang cuba mempengaruhi Shaykh Ahmad Deedat yang sedang terlantar lumpuh. Ringo, seorang Kristian berbadan sasa dan pemilik sebuah gim menziarahi Shaykh Ahmad Deedat dengan harapan dapat mengubati beliau. Dengan dakwaan bahawa semangat Jesus bersemi dalam tubuh badannya, Ringo cuba melakukan keajaiban di sisi katil Shaykh Ahmad Deedat, siap dengan gerakan tangannya.
“Jesus, sembuhkanlah dia! Bangun!”

Shaykh Ahmad Deedat hanya memerhati perbuatannya itu di sisi katilnya. Beliau lalu berkomunikasi dengan isyarat mata yang juga menghasilkan ayat menyuruh membaca tiga potong ayat daripada Bible iaitu Matthew, 7:21-23: “{7:21} Not every one that saith unto me, Lord, Lord, shall enter into the kingdom of heaven; but he that doeth the will of my Father which is in heaven. {7:22} Many will say to me in that day, Lord, Lord, have we not prophesied in thy name? and in thy name have cast out devils? and in thy name done many wonderful works? {7:23} And then will I profess unto them, I never knew you: depart from me, ye that work iniquity.”

(Ayat ini merupakan kata-kata Jesus (Nabi Isa AS) ketika turunnya baginda ke dunia ini sebelum hari kiamat kepada penganut Kristian yang melakukan segala perbuatan ajaib atas namanya).

Seterusnya ayat pertanyaan daripada Shaykh Ahmad Deedat kepada Ringo: “Mengapakah Jesus mengatakan kepada anda sedemikian sedangkan anda melakukan perbuatan yang mulia ini?”

Ringo mengatakan bahawa beliau akan datang semula dalam beberapa hari lagi untuk memberikan jawapan tersebut, tetapi beliau tidak pernah datang lagi.

Yusuf Deedat mengatakan sejak ayahnya terlantar lumpuh, ramai golongan mubaligh daripada pelbagai agama dan aliran mazhab datang menziarahi ayahnya dan cuba mempengaruhi ayahnya terutamanya pada hari Ahad. Setiap daripada mereka disambut dengan mesra oleh Shaykh Ahmad Deedat. Tetapi, walaupun dengan hanya menggunakan isyarat mata untuk berkomunikasi, ayahnya membalas setiap hujah kepada mereka seperti “peluru berpandu,” menggunakan kitab suci dan fahaman masing-masing sepertimana kisah dua orang mubaligh Kristian tersebut.

Yusuf pernah bertanya kepada ayahnya adakah beliau penat melayan karenah golongan mubaligh-mubaligh tersebut yang tidak putus-putus menziarahinya dan cuba mempengaruhinya. Dengan isyarat mata beliau menjawab tidak, malah beliau menyatakan bahawa beliau begitu seronok dengan kehadiran mereka. Yusuf mengatakan bahawa ayahnya menyuruh beliau memberitahu orang-orang yang menanyakan tentang perihal dirinya bahawa beliau sentiasa dalam keadaan sihat. Bahkan, ayahnya menyuruh mereka mengajak manusia kepada Islam, menyuruh mereka membaca buku-buku tulisannya serta menonton rakaman video-video perdebatan dan syarahannya yang lalu.

Berkomunikasi dengan isyarat mata, Shaykh Ahmad Deedat meminta ahli keluarganya menggantungkan sepotong ayat al-Qur’an di cermin sisi katilnya daripada Surah al-Anbiya’, ayat 83 yang berbunyi: “Dan (sebutlah peristiwa) Nabi Ayub, tatkala dia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: “Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani.” Barangkali ayat tersebutlah yang menjadi penguat semangat beliau dan doa beliau seharian.

Ramai tokoh-tokoh muslim terkemuka datang menziarahi beliau seperti Yusuf Islam (Cat Steven), Louis Farrakhan, kumpulan nasyid dari Malaysia iaitu Raihan, termasuklah anak muridnya, Dr. Zakir Naik. Apabila Shaykh Ahmad Deedat dipertontonkan rakaman video syarahan dan perdebatan anak muridnya itu, beliau menunjukkan reaksi muka yang penuh dengan emosi sedih dan gembira kerana terlalu berbangga dengan pencapaian anak didiknya itu, kemudian beliau berkomunikasi dengan isyarat mata: “My son, what you have done in four years, it took me forty years to accomplish.” Dr. Zakir Naik membalas: “It was because of your forty years hard work that was possible. You have to make the basement first and that takes time and then the building comes up. You give me everything on a platter. If you weren’t there, then I would have taken forty-four years but Allah and guidance from Him that you did all this foundation work for forty years, has made it possible for us to do this in such a short time.”

Begitulah kisah seorang tokoh pendakwah yang mengorbankan seluruh jiwa raganya atas jalan fisabilillah, walaupun tubuh badannya “mati” tetapi akal fikiran, memori dan hatinya tidak pernah mati. Sembilan tahun beliau terlantar lumpuh, masih tetap berdakwah semampu yang boleh dan hujahnya masih “berbisa.” Tidak pernah sesekali beliau sesali atau kecewa dengan keadaan dirinya. Dirinya “direhatkan” oleh Allah SWT hampir sedekad supaya beliau dapat melihat sendiri hasil usaha dakwah dan legasinya berkembang luas, mudah-mudahan juga sebagai kaffarah atas segala dosanya supaya beliau kembali ke hadrat penciptanya dalam keadaan suci bersih daripada sebarang dosa dan dalam keredaan-Nya. Insya Allah.

Terdapat juga segolongan kumpulan Kristian ketika itu mendakwa bahawa Shaykh Ahmad Deedat dihukum oleh Tuhan kerana melakukan syarahan kontroversinya di Sydney, Australia, yang juga syarahan terakhirnya, pada hari umat Kristian ketika itu sedang menyambut Hari Good Friday, hari Jesus mati disalib pada kepercayaan mereka. Beberapa orang mubaligh Kristian pernah datang menziarahi Shaykh Ahmad Deedat di kediamannya sebanyak dua kali menanyakan kesediaannya untuk mengakui kesilapannya itu. Shaykh Ahmad Deedat dengan isyarat mata menjawab: “I have no guilt in my head.”

Begitulah ketegasan seorang pendakwah yang hebat, walaupun diuji dengan ujian yang begitu berat, namun imannya tetap teguh tanpa terkesan sedikitpun.
Shaykh Ahmad Deedat mengadap penciptanya dengan tenang pada awal pagi Isnin, tanggal 8 Ogos 2005 bersamaan 2 Rejab 1426 H ketika sedang mendengar bacaan Surah Yasin daripada radio Channel Islam International, sebulan selepas ulang tahun kelahirannya yang ke-87 dan dikebumikan di Perkuburan Islam Verulum, Afrika Selatan. Isterinya, Hawa Deedat, yang sangat setia menemani perjuangan suaminya itu sehingga ke akhir hayat menyusul pemergiannya hanya 20 hari selepas itu. Hawa Deedat begitu setia menjaga dan merawat suaminya, sejak suaminya pulang dari Arab Saudi selepas mendapat rawatan di sana, beliau tidak pernah keluar daripada kawasan kediaman mereka selama hampir tujuh tahun kerana menjaga suaminya.

Segala hasil kerja Shaykh Ahmad Deedat dalam bentuk buku dan rakaman video menjadi motivasi kepada ribuan para pendakwah muslim yang lain di seluruh dunia. Legasinya tidak pernah mati bahkan semakin berkembang. Karya-karyanya boleh dimuat turun, dibaca dan ditonton secara percuma melalui laman web TruthwayTV: http://english.truthway.tv/.

Al-Fatihah, semoga Allah SWT menempatkan Shaykh Ahmad Deedat bersama-sama orang-orang yang diredai-Nya. Amin.

Sumber rujukan:

– Bible versi King James.
– Fatima Asmal, “In Tribute to Ahmed Deedat Deedat: The Mission Continues” (tajuk dan isi artikel telah diubahsuai sedikit daripada artikel asal dalam penerbitan An Nisaa, 2003), dalam laman web Archive Islam Online, pautan: https://archive.islamonline.net/?p=5981, dirujuk pada bulan September 2018.
– Goolam Vahed, Ahmed Deedat: The Man and His Mission, IPCI, 2014.
– “Famed S. African Muslim Scholar Dies,” laman web rasmi berita AlJazeera.com, pautan: https://www.aljazeera.com/archive/2005/08/20084914584871579.html, 9 Ogos 2005, dirujuk pada bulan September 2018.
– “Tribute and Times of Sheikh Ahmed Deedat,” video terbitan Truthway TV.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

MA. (Malaya), BUs. (IsHis&Civ)(Malaya)

Comments are closed.