Ketegasan Tunku Abdul Rahman Dalam Rundingan Baling

322

Baru ini saya terbaca kenyataan seorang tokoh salah satu kumpulan veteran Angkatan Tentera Malaysia membuat kenyataan balas kepada YB Najib Razak menafikan peranan UMNO dalam mengalahkan Komunis.

Jadi, saya kongsikanlah sedikit maklumat yang pernah saya baca. Saya ini peminat Allayarham Tunku Abdul Rahman, jadi saya simpan koleksi buku – buku beliau.Yang saya nak kongsikan ini daripada buku yang bertajuk ‘Tunku : Idealisme Dalam Kenangan’ karya Yusof Harun yang telah diterbitkan pada 1991.

Dalam bab yang bertajuk ‘Pertemuan di Baling’ dalam buku ini, Yusof Harun kongsikan banyak maklumat. Antaranya adalah dialog/kenyataan asal di antara Allayarham Tunku dan Mendiang Chin Peng dalam perjumpaan ini.

Untuk pengetahuan semua, perjumpaan Baling ini sebenarnya, bertujuan minta Parti Komunis Malaya menerima tawaran gencatan, bubarkan PKM dan sebagai balasan, mereka akan diberi pengampunan.

Pertemuan bersejarah ini bermula 2.30 petang, 28 Disember. Allayarham Tunku Abdul Rahman dilaporkan berkata :

“Saya tidak ragu-ragu dalam apa jua pendapat saya, sebolehnya kita capai matlamat kemerdekaan menjelang Ogos tahun hadapan dan pastikan tiada syarat yang dikenakan untuk kemerdekaan. Sebelum parti saya berkuasa lagi saya sudah mengatakan bahawa saya mahu membawa keamanan untuk negara ini, saya benar-benar maksudkannya.”

Pertemuan tersebut berlangsung sehingga hari seterusnya, 29 Disember yang mana Mendiang Chin Peng dilaporkan berkata :

‘Setelah Kerajaan Persekutuan yang dipilih oleh rakyat ini mendapat kekuasaan penuh dari segi keselamatan dalam negeri, pasukan – pasukan bersenjata tempatan, maka, kami akan sendiri menamatkan keganasan, dan meletak senjata dan membubarkan pasukan – pasukan kami. Ini tidak bererti bahawa kami mengampuni syarat – syarat pengampunan yang ada’.

Akibat pendirian Mendiang Chin Peng yang tak mahu menerima perundingan tersebut, esok itu Allayarham Tunku dilaporkan berucap:

“Saya tidak berniat untuk bertemu dengan pemimpin Komunis sekali lagi, melainkan jika pihak Parti Komunis memaklumkan terlebih dahulu keinginan mereka untuk bertemu saya atas alasan bahawa mereka benar-benar sepenuhnya mahu menyerah. Saya menyesal perlu mengambil tindakan ini, tetapi kerajaan saya dan parti saya sekarang yakin bahawa tidak ada lagi langkah lain yang sepastinya akan menamatkan pertarungan ini yang sudah berlangsung selama lapan tahun sekarang.

Rakyat sudah sakit dan penat. Pemimpin Parti Komunis menolak tawaran kami sekali gus menunjukkan bahawa ideologi keamanan dan kebaikan kita tidak boleh wujud bersebelahan dengan mereka. Perang mesti dipergiatkan sehingga hari pertama atau pihak tersebut mengalah, dan sepastinya saya tidak akan menyerah kepada arahan untuk mengkhianati orang Melayu.”

“Parti Komunis Malaya mesti menyerahkan diri”

Itu pendirian rasmi Tunku Abdul Rahman, yang memerdekakan, memimpin dan bina negara ini dengan UMNO, MCA dan MIC melalui Perikatan yang kini dikenali sebagai Barisan Nasional

Pesanan saya, kalau berpolitik pun , jangan kita sampai menafikan jasa/sumbangan pemimpin yang pernah memimpin negara kita keluar dari antara ancaman terbesar yang pernah dihadapi negara kita.

Semoga para pemimpin dan anggota – anggota badan keselamatan yang mempetaruhkan nyawa demi negara melawan Parti Komunis terus dirahmati Tuhan.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.