Ketaksuban Membeli-Belah – Sebuah Penyakit Jiwa

448

Hari Bujang mempunyai eksklusiviti luar biasa terutamanya dalam kalangan rakyat Malaysia. Yang mana Maulidur Rasul boleh diselar kerana kecaman bid’ah dan Hari Kekasih pula dinistakan atas kecenderungan zina, Hari Bujang merangkul hati pengguna dengan diskaun serta promosi. Sambutan ini memberikan anjakan perniagaan kepada pedagang-pedagang atas talian China, negara dimana hari ini diasaskan. Namun kewujudannya mengingatkan semua bahawa perbelanjaan perlu disaring dan diteliti sebaik-baiknya.

Tiada masalah pun jika ingin berbelanja, asalkan dahulukan keperluan atas kehendak. Sebuah ekonomi mewajibkan rakyatnya berbelanja. Namun perbelanjaan kehendak jika terlalu banyak boleh mendatangkan musibah. Begitulah nasib yang menimpa Wang dari Luzhou. Beliau merupakan seorang anak muda yang mempunyai seorang anak bersama surihati bernama Zhan. Malang tidak berbau, surihatinya telah dicuri hati pada 11 November 2019.

Menghampiri Hari Bujang, polis China menerima panggilan kecemasan. Wang ingin membvnvh diri. Apa yang mendorong Wang ke bumbung bangunan 33 tingkat sebenarnya menarik untuk dikaji. Kerana Zhan baru sahaja berbelanja sebanyak RM177,559 dalam bentuk hutang membeli segala kemewahan duniawi seperti beg tangan dan minyak wangi sebagai contohnya. Oleh kerana tiada jalan lain, Wang hampir kehilangan nyawanya sebelum dipujuk polis bersertakan dengan janji daripada Zhan.

Janji tersebut wajar dianggap sebagai manifesto kerajaan semata-mata. Harapan untuk Wang tidaklah tinggi, kerana Zhan pernah membuat janji yang sama tahun sebelumnya selepas berbelanja RM118,374 sempena Hari Bujang.

Jika ada isteri di Malaysia ingin menandingi Zhan, pertama sekali wang yang kalian perlukan bukanlah nama suami. Kedua, pastikan perbelanjaan kalian dibuat pada The Patriots sahaja.

Situasi kedua pula dilaporkan dalam kajian Universiti Delhi yang diterbitkan pada April 2010. Seorang pensyarah berusia 36 tahun telah menghidapi sejenis penyakit ketagihan membeli-belah barangan yang tidak diperlukan pun. Ketagihan ini mendorongnya untuk berbelanja tanpa had sampai berhutang dengan kawan-kawan serta kad kredit. Mengelak pusat-pusat beli belah juga tidak membuahkan hasil apabila promosi-promosi barangan mencerobohi penglihatannya melalui paparan televisyen pula. Situasinya – beliau dibuai sejenis keghairahan yang hanya boleh dipuaskan melalui berbelanja.

Wanita-wanita ini sebenarnya menghidapi sebuah penyakit compulsive buying disorder atau bahasa mudahnya oniomania. Berasal daripada bahasa Yunani, oniomania datang daripada definisi “gila” dan “(dengan) jualan” yang menerangkan secara klinikal tentang ketaksuban seseorang untuk membeli-belah sampai ada kesan sampingan. Kemurungan pula akan menyebabkan gangguan pemakanan dan penyalahgunaan dadah.

Punca Kejadian Oniomania

Setiap perkara yang berkaitan dengan psikologi mengambil masa panjang untuk berlaku. Kemurungan misalnya mempunyai perbezaan dengan stres. Disebabkan itu juga ramai dalam kalangan doktor dan bekas-bekas pesakit kemurungan sangat mencela golongan bodoh sombong yang menyekutukan kedua-dua perkara ini. Dan oniomania pula timbul daripada beberapa sebab yang kadangkala mengganggu psikologi pada masa yang sama.

Dalam sebuah otak yang sihat, bahagian hadapan (frontal cortex) mempunyai fungsi berkenaan dengan ganjaran. Namun fungsi ini didapati rosak bagi pesakit-pesakit oniomania pula. Puncanya pula berbeza. Terdapat segelintir manusia yang cenderung untuk mempunyai pemikiran kesempurnaan (perfectionism).

Jika disebatikan bersama pengalaman-pengalaman berkaitan insecurity, ketidakjujuran dan compulsiveness, oniomania boleh berlaku sebagai langkah untuk bagaikan kawal keadaan.

Namun unsur biologi kadangkala tiada kaitan pun. Kadangkala manusia terlalu ghairah untuk membeli oleh kerana tidak tahu membezakan keperluan dan kehendak, terutamanya apabila memegang kad kredit. Namun akses kepada Internet juga dianggap sebagai punca oniomania. Sebelum ini ramai menciptakan status sosial berdasarkan cara hidup mewah. Namun zaman sekarang, ramai berlumba-lumba untuk mengukuhkan lagi status ini melalui paparan meluas seperti Facebook dan Instagram.

Unsur ini diberikan nama materialisme untuk mengejar imej masyarakat yang sebenarnya tidak bertepatan pun.

Impak Oniomania

Bebanan kewangan boleh mendorong sesiapa pun untuk membvnvh diri, terutamanya dalam situasi Wang yang sudah melangsaikan semua hutang dibuat isterinya. Oniomania boleh merosakkan kualiti perkahwinan sehingga cerai-berai yang menghancurkan kestabilan masa depan anak-anak pun. Tekanan kewangan turut boleh memberikan impak kepada kualiti pekerjaan. Sejarah kewangan yang jelas dalam penyata bank turut boleh menyukarkan pinjaman lebih-lebih lagi jika sudah diisytiharkan muflis.

Penggunaan Facebook dan Instagram secara berlebihan sebenarnya bagaikan mengantuk disorong bantal kepada para pencuri. Dengan sifat riak sebegini, seluruh dunia sudah tahu barangan-barangan berharga di rumah.

RUJUKAN

Klein, H. M. (2013). Oniomania: A Look into the Minds of Compulsive Shoppers. Building Blocks. Retrieved from http://www.ohelfamily.org/?q=content/oniomania-look-minds-compulsive-shoppers

Marcinko, D. Karlovic, D. (2005). Oniomania—successful treatment with fluvoxamine and cognitive-behavioral psychotherapy. Retrieved from https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/16395851

Smith, B. (2018). Oniomania: the behavioural disorder that goes beyond being a shopaholic. Retrieved from https://metro.co.uk/2018/05/23/oniomania-the-behavioural-disorder-that-goes-beyond-being-a-shopaholic-7557837/

Young, S. (2018). Shopping Addiction Should Be Recognised As Mental Illness, Say Experts. Retrieved from https://www.independent.co.uk/life-style/shopping-addiction-recognised-mental-illness-psychologist-a8481046.html

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.