Apabila kita membincangkan mengenai kehebatan kesultanan-kesultanan Melayu silam, kita tidak dapat lari daripada membincangkan mengenai Kesultanan Melaka, Johor, Aceh dan Patani. Kesemua kesultanan tersebut berpusat di Kepulauan Sumatera dan Tanah Melayu yang terletak di sebelah barat Kepulauan Alam Melayu. Kesultanan-kesultanan tersebut gah dalam catatan sejarah bangsa Melayu pasca kedatangan Islam di Alam Melayu sebagai sebuah kerajaan Melayu yang kuat, mempunyai empayar yang luas, dikenali sebagai ‘Serambi Makkah’ kerana berfungsi sebagai pusat penyebaran agama Islam di Alam Melayu dan menjadi rebutan kuasa-kuasa Barat dari Eropah, juga para pedagang dari Timur untuk menjalankan perdagangan antarabangsa di pelabuhan-pelabuhan mereka. Walau bagaimanapun, kita lupa bahawa terdapat sebuah kesultanan Melayu yang sama hebat dengan kesultanan-kesultanan yang disebutkan di atas yang mewakili kehebatan bangsa Melayu-Islam di sebelah timur Kepulauan Alam Melayu. Itulah Kesultanan Ternate.

Kesultanan Ternate berpusat di Kota Ternate, salah sebuah pulau di Kepulauan Maluku, pada masa kini terletak di wilayah timur Indonesia. Kepulauan Maluku bersempadan dengan Kepulauan Sulawesi di barat, Irian Jaya di timur dan Filipina di utara. Kepulauan Maluku sejak dahulu lagi amat masyhur dalam kalangan para pedagang dari Eropah sebagai pusat perdagangan rempah-ratus seperti cengkih, buah pala dan kayu manis. Melalui jalan perdagangan jugalah, sinar Islam tiba di Kepulauan Maluku termasuklah kerajaan Ternate. Kerajaan Ternate diasaskan pada tahun 1257 dan rajanya yang pertama bergelar Baab Masyur Malamo. Antara etnik Melayu yang mendiami Ternate ialah etnik Ternate, Tidore, Makian, Halmahera, Jawa, Padang, Madura dan Bugis. Sebelum kedatangan Islam, Raja-Raja Ternate menggunakan gelaran “Kolano.” Dalam kawasan Kepulauan Maluku (Utara), Kesultanan Ternate berjiran dengan Kerajaan Tidore, Bacan dan Jailolo. Dalam Kitab Sulalatus-Salatin, (selenggaraan A. Samad Ahmad) terdapat kisah bahawa seorang raja dari Maluku pernah mengunjungi Sultan Alauddin Riayat Shah (1477-1488) di Melaka untuk memohon bantuan bala tentera daripada Melaka menentang tentera Kastilan yang telah menyerang negerinya. Kunjungan Raja Maluku tersebut disambut dengan penuh penghormatan oleh Sultan Alauddin dan baginda berjanji akan menghulurkan bantuan. Tidak diketahui identiti Raja Maluku tersebut sama ada dari Ternate, Tidore, Bacan atau Jailolo. Walau bagaimanapun, ini membuktikan bahawa telah wujud hubungan diplomatik antara Kesultanan Melaka dengan kerajaan-kerajaan di Kepulauan Maluku.

Islam mula bertapak di Kepulauan Maluku sekitar abad ke-15. Antara ulama Islam yang berusaha menjalankan usaha dakwah di bumi Ternate ialah Datu Maulana Hussin dari Jawa. Beliau bukan sahaja seorang ulama besar, bahkan beliau juga seorang yang pakar dalam bidang tarannum al-Qur’an dan penulisan kaligrafi Arab. Bacaan al-Qur’annya yang sungguh merdu menyebabkan penduduk Ternate tertarik dengan agama Islam. Beliau juga membuka pondok-pondok pengajian Islam di Ternate. Raja Ternate yang pertama dikesan memeluk Islam ialah Gapi Baguna II atau Kolano Kaicil Marhum (1465-1486), manakala Raja Ternate yang pertama menggunakan gelaran sultan pula ialah puteranya yang juga Raja Ternate yang ke-19 iaitu Sultan Zainal Abidin (1486-1500). Sebelum kedatangan Islam di Ternate, penduduk Ternate mengamalkan kepercayaan animisme dan dinamisme.

Sejak kecil lagi, Sultan Zainal Abidin mendapat pendidikan agama daripada Datu Maulana Hussin di istana. Selain itu, Sultan Zainal Abidin juga mendalami ilmu agama dengan salah seorang ulama Wali Songo di Jawa iaitu Sunan Giri. Baginda kembali dari Jawa membawa bersama para ulama dari sana untuk mengajarkan agama Islam kepada penduduk Ternate dengan membuka banyak pusat pengajian agama Islam. Sekitar akhir abad ke-15 dan abad ke-16, Ternate menjadi pusat penyebaran agama Islam di wilayah timur Kepulauan Alam Melayu. Dari Ternate, syi’ar Islam memasuki Kepulauan Mindanao dan Sulu (Filipina) serta kepulauan-kepulauan Melayu sekitarnya. Sultan Zainal Abidin juga menerapkan syariat Islam dalam pentadbirannya.

Selepas kemangkatan Sultan Zainal Abidin, puteranya menggantikan takhtanya dengan gelaran Sultan Bayanullah atau Sirrullah (1500-1522). Selain penerusan usaha dakwah dan penyebaran agama Islam, undang-undang perkahwinan Islam dan peraturan pemakaian menutup aurat dilaksanakan pada zaman pemerintahan Sultan Bayanullah. Oleh sebab itu baginda mendapat pujian daripada orang-orang Barat sebagai pelopor dalam ‘mentamadunkan’ penduduk Ternate. Selepas penjajahan Portugis ke atas Kota Melaka, Portugis menumpukan pula matlamat penjajahannya ke atas Ternate. Oleh itu, pada tahun 1512, Portugis telah menjalinkan hubungan diplomatik dengan Sultan Bayanullah atas urusan perdagangan sehingga pihak Portugis dibenarkan membina kota mereka sendiri di sebuah tempat di Ternate. Kota tersebut dinamakan Kota Kastela. Bermula pada pertengahan abad ke-16, kedatangan Portugis bukan sahaja membawa para pedagang, bahkan semakin ramai mubaligh Kristian dibawa masuk ke Ternate bertujuan untuk menyebarluaskan agama Kristian kepada penduduk tempatan. Ketika itu cuma Kesultanan Ternate dan Tidore sahaja dua kerajaan Melayu-Islam yang masih kuat berdiri di seluruh Kepulauan Maluku dan kedua-dua kerajaan tersebut masih bebas daripada sebarang pengaruh Portugis mahupun Sepanyol. Kerajaan Jailolo dan Bacan telahpun lemah di bawah pengaruh kedua-dua kuasa besar Eropah tersebut malah Raja Bacan telah berjaya dikristiankan secara paksaan.

Walau bagaimanapun, Ternate di bawah pemerintahan Sultan Khairun atau Khairul Jamal (1535-1570) ketika itu berjaya mempertahankan kerajaan dan negerinya daripada pengaruh Portugis dan penyebaran agama Kristian. Portugis tidak terus menyerang Ternate sepertimana yang mereka lakukan ke atas Kesultanan Melaka, tetapi mereka cuba menjajah Ternate dengan cara tipu helah yang keji. Gabenor Jeneral Portugis di Ternate, Lopez de Mesquita, telah memujuk Sultan Khairun supaya menandatangani perjanjian dengan Portugis supaya Ternate diletakkan di bawah perlindungan Raja Sebastian, Raja Portugal ketika itu. Memandangnya sebagai peluang kepada kemajuan kerajaannya, Sultan Khairun telah bersetuju menandatangani perjanjian tersebut pada tahun 1564.

Selepas perjanjian tersebut ditandatangani, Gabenor Jeneral Portugis tersebut memandang Kerajaan Ternate dengan sombong dan diperlakukan Sultan Khairun seperti ‘bertuankan’ mereka. Sultan Khairun tidak tunduk taat pada gabenor jeneral tersebut. Perjanjian dibuat sekali lagi antara baginda dengan pihak Portugis. Dalam perjanjian tersebut hak-hak sultan dikembalikan kepada baginda dan pihak Portugis bersetuju tetap menjadikan Ternate sebagai pusat perdagangan. Akan tetapi, Lopez de Mesquita bertindak lebih jauh dengan menuntut supaya para mubaligh Kristian mereka tidak dihalangi daripada menyebarkan agama Kristian di Ternate dan kepulauan-kepulauan sekitarnya. Portugis kemudiannya bertindak memindahkan pusat perdagangan dari pelabuhan Ternate ke Ambon yang juga dijadikan pusat kegiatan penyebaran agama Kristian. Pulau Ambon yang terletak di tengah-tengah kawasan Kepulauan Maluku (selatan dari Ternate) adalah di bawah penguasaan Portugis ketika itu. Ternate juga mula didatangi oleh ramai mubaligh Kristian dan usaha penyebaran agama Kristian giat dijalankan. Apa yang lebih bahaya ialah terdapat dalam kalangan penduduk tempatan Ternate yang beragama Kristian sendiri tidak lagi mengakui mereka adalah rakyat sultan sebaliknya mereka mengakui diri mereka adalah rakyat Portugis. Mereka juga mula berpihak kepada Portugis bahkan sanggup menjadi tali barut mereka. Ketiga-tiga kerajaan Melayu di seluruh Kepulauan Maluku iaitu Tidore, Jailolo dan Bacan boleh dikatakan telah kehilangan kuasa. Sultan Khairun juga telah memohon pihak Portugis supaya keputusan pemindahan pusat perdagangan tersebut dipertimbangkan semula tetapi tidak diendahkan oleh pihak Portugis.

Atas dasar ingin menyekat penyebaran agama Kristian kepada rakyat Ternate, baginda mengarahkan supaya kesemua penganut agama Kristian di Ternate sama ada para mubaligh, orang Portugis mahupun rakyat Ternate sendiri dihalau dari Ternate kerana mereka dianggap sebagai musuh. Arahan tersebut mendapat penentangan keras daripada golongan-golongan tersebut sehingga mencetuskan peperangan yang dahsyat. Sultan Khairun telah mengumumkan ‘Perang Sabil’ ke atas Portugis dan konco-konconya di Ternate. Dikatakan dalam peperangan tersebut, baginda sendiri memakai jubah putih sebagai lambang bersedia untuk mati syahid. Serangan daripada tentera Ternate pimpinan Sultan Khairun begitu kuat sehingga pihak Portugis memohon bantuan ketenteraan daripada ‘ibu pejabat’ mereka di Melaka dan Goa. Walau bagaimanapun, bala tentera Portugis tetap berjaya dikalahkan sehingga mereka menyerah kalah dan meminta dibuat perjanjian perdamaian.

Sultan Khairun bersetuju lalu baginda memberhentikan peperangan tersebut. Baginda memberi peluang kepada penganut-penganut Kristian yang terselamat supaya keluar dari Ternate dan berpindah ke Ambon. Baginda tidak mahu Ternate ‘dikristiankan.’ Walau bagaimanapun, baginda bersedia untuk menjalin kembali hubungan persahabatan dengan Portugis. Dalam upacara perjanjian tersebut, Sultan Khairun telah membawa bersama al-Qur’an manakala Lopez de Mesquita membawa bersamanya Bible bertujuan untuk menguatkan lagi ikatan perjanjian tersebut. Bagi meraikan ikatan perjanjian tersebut, Lopez de Mesquita telah menjemput Sultan Khairun menghadiri majlis di tempat mereka. Tanpa rasa ragu-ragu, baginda menghadiri majlis tersebut. Semasa baginda berada dalam majlis tersebut, baginda telah diserang dan syahid dibunuh atas rancangan keji Lopez de Mesquita. Beberapa orang pembesar baginda turut dibunuh dalam majlis tersebut. Peristiwa tersebut berlaku pada tahun 1570.

Berita mengenai pembunuhan dan pengkhianatan tersebut sampai ke istana Ternate. Putera almarhum baginda, Panglima Babullah Datu Shah ditabal sebagai Sultan Ternate yang baharu dengan gelaran Sultan Babullah. Sultan Babullah segera mengumumkan perang ke atas Portugis dan baginda mendapat sokongan penuh rakyat jelatanya. Turut bersekutu dengan baginda ialah Kerajaan Tidore. Lima buah kapal perang (Kora-Kora) telah dihantar untuk mengepung kubu Portugis di Ambon. Baginda sendiri memimpin bala tenteranya menyerang kubu Portugis di Ternate iaitu Kubu Kastela atau orang-orang Portugis menamakannya sebagai Kubu Sao Poao Bautista. Pihak Portugis di Ternate segera memohon bantuan ketenteraan daripada Kota Melaka. Turut sama menjadi tali barut Portugis ialah Kerajaan Bacan yang menyalurkan bantuan makanan kepada tentera Portugis yang bertahan di dalam kubu tersebut. Setelah diberi peringatan keras oleh Sultan Babullah bahawa Bacan akan turut diserang, Kerajaan Bacan serta-merta menghentikan perbuatan mereka. Ramai tentera Portugis yang terselamat melarikan diri ke Melaka. Bala tentera Ternate tidak mengapa-apakan penduduk Ambon yang beragama Kristian yang menyerah diri tetapi mereka hanya menyerang dan membunuh tentera Portugis yang khianat. Portugis berkali-kali menghantar bala tenteranya dari Kota Melaka ke Ternate untuk menyelamatkan kubu dan bala tentera mereka. Namun, peperangan antara kedua-dua belah pihak begitu sengit dan kubu Portugis di Ternate tersebut dikepung oleh bala tentera Sultan Babullah selama lima tahun. Bayangkan betapa kuatnya pertahanan bala tentera kedua-dua pihak. Selama lima tahun tersebut, pertahanan Portugis terhadap kubu tersebut menjadi amat lemah sehingga akhirnya mereka terpaksa menyerah kalah. Peristiwa kemenangan tentera Ternate ke atas Portugis berlaku pada tahun 1575.

Sultan Babullah menerima penyerahan kalah tersebut dan baginda membenarkan saki-baki tentera Portugis meninggalkan Ternate. Bukan itu sahaja, bahkan baginda juga bersedia menyerahkan semula kubu tersebut kepada pihak Portugis dan menjalin kembali hubungan persahabatan dengan mereka dengan syarat tanpa mengurangi kedaulatan Kerajaan Ternate atas jajahan takluknya dan rakyat jelatanya. Walau bagaimanapun, baginda menuntut supaya pihak Portugis menyerahkan bekas Gabenor Jeneral mereka, Lopez de Mesquita untuk dihukum bunuh atas pembalasan pembunuhan dan pengkhianatan beliau kepada almarhum ayahanda baginda. Kemudian, baginda telah menghantar utusan kepada Raja Philip, Raja Portugal dan Sepanyol di Lisbon untuk menuntut perkara tersebut. Raja Philip membalas kembali jawapan bahawa pihaknya sedang menyiasat pembunuhan tersebut dengan teliti, tetapi malangnya Lopez de Mesquira telahpun mati terbunuh ketika dalam pelayaran dari Ambon ke Ternate untuk diserahkan kepada Sultan Babullah.

Setelah tamatnya ancaman daripada Portugis, Sultan Babullah meneruskan ekspedisinya menakluk seluruh Kepulauan Maluku dan kepulauan-kepulauan sekitarnya. Jajahan takluk baginda meliputi sehingga ke Kepulauan Mindanao di utara, Irian Jaya di timur, Sumbawa di selatan dan Sulawesi di barat. Dalam kalangan penulis-penulis Eropah, baginda dikenali sebagai ‘Penakluk 72 buah pulau.’ Baginda juga berperanan mengembangkan syi’ar Islam kepada seluruh jajahan takluknya. Pengembangan agama Islam dari Ternate berjaya mengislamkan penduduk Pulau Buton dan Raja-Raja Bugis di Sulawesi. Setiap kali Sultan Babullah menakluk pulau yang baharu, akan ada seorang imam mengikuti ekspedisi penaklukannya yang berperanan sebagai pemimpin spiritual kepada bala tentera dan juga berperanan memperkenalkan agama Islam kepada penduduk pulau tersebut. Walau bagaimanapun, mereka tidak memaksa penduduk tempatan memeluk agama Islam. Selepas kekalahan Portugis, delegasi dari Inggeris bernama Francis Drake mengunjungi Ternate. Disebabkan kunjungan Francis hanyalah sebagai kunjungan kehormat, maka Sultan Babullah menyambutnya dengan aman dan penghormatan yang sewajarnya.

Pemerintahan Sultan Babullah adalah kemuncak era kegemilangan Kesultanan Ternate. Menurut tokoh ulama Indonesia, Prof. Dr. Hamka, jika Sultan Babullah tidak berjaya menumpaskan penjajahan Portugis, maka Kepulauan Maluku dan kawasan timur Kepulauan Alam Melayu telah ditakluk oleh kuasa Barat 100 tahun lebih awal. Kesultanan Ternate juga berperanan sebagai pusat penyebaran Islam dan berjaya memperkukuhkan kedudukan agama Islam di timur Kepulauan Alam Melayu. Jika Ternate berjaya dikuasai Portugis, nescaya Ternate akan kekal berubah menjadi pusat penyebaran agama Kristian sebagaimana yang terjadi pada Filipina. Sultan Babullah mangkat pada tahun 1583 dan digantikan oleh puteranya dengan gelaran Sultan Said atau Sahid Barakat. Tiada lagi sultan Ternate yang setanding dengan kehebatan Sultan Khairun dan puteranya, Sultan Babullah. Bayangkanlah, pada abad yang sama, bala tentera Portugis berjaya menakluk Kota Melaka, tetapi mereka tidak berjaya menakluk Kota Ternate. Ini menunjukkan betapa kuatnya bala tentera Kerajaan Ternate dan sekutunya yang didorong oleh semangat jihad dan penyatuan. Sifat toleransi yang ditunjukkan oleh Sultan Khairun dan Sultan Babullah kepada pihak Portugis dipergunakan oleh pihak Portugis sehingga mereka bertindak melampaui batas.

Empat orang sultan daripada Kesultanan Ternate iaitu Sultan Zainal Abidin, Sultan Bayanullah (Sirrullah), Sultan Khairun dan Sultan Babullah memainkan peranan penting dalam perkembangan agama Islam di timur Kepulauan Alam Melayu dan menjadi benteng kukuh umat Melayu-Islam di timur Kepulauan Alam Melayu daripada penaklukan penjajah Portugis. Rujuk penulisan-penulisan ilmiah yang tersenarai di bawah untuk lebih mengetahui lebih mendalam mengenai sejarah Kesultanan Ternate dan legasi yang mereka tinggalkan. Walaupun pada abad-abad seterusnya Ternate, Kepulauan Maluku dan bekas jajahan takluk Kesultanan Ternate dikuasai oleh Sepanyol, Belanda dan Inggeris, mereka cuma berjaya menguasai pulau-pulau tersebut tetapi mereka tidak berjaya memadamkan syi’ar Islam di timur Kepulauan Melayu.

(Gambar di atas ialah Masjid Sultan Ternate di Kota Ternate, Maluku Utara, Indonesia yang dibina sekitar abad ke-17. Sumber gambar: Wikipedia bahasa Indonesia.)

 

Senarai rujukan

Hamka, Sejarah Umat Islam, Singapura: Pustaka Nasional Pte. Ltd., 2009.

F. S. A. de Clercq, Ternate, The Residency and It’s Sultanate, 1890, (penterjemah: Taylor, P. M., & Richards, M. N.), Washington DC: Smithsonian Institution Libraries Digital Edition, 1999.

Ahmada Choriyah Bhaktiana, “Sejarah Masuk dan Perkembangan Islam di Pulau Ternate Hingga Masa Kesultanan,” Skripsi Sarjana Program Strata 1 (S-1), Fakultas Adab dan Humaniora, Universitas Islam Negeri (UIN) Sunan Ampel, Surabaya, Indonesia, 2014.

Sagaf F. Pettalongi, “Adat Segulaha dan Tradisi Masyarakat Kesultanan Ternate,” dalam el-Harakah, Vol 14, No.2, 2012, hlm. 166-185.

Sulalatus Salatin (edisi pelajar), diselenggara oleh A. Samad Ahmad, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2013.

Chistopher Buyers, “Ternate,” dalam laman web The Royal Ark, Royal and Ruling Houses of Africa, Asia, Oceania and The Americas, pautan: http://www.royalark.net/Indonesia/ternate.htm, diakses pada Julai 2017.

 

 

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

MA. (Malaya), BUs. (IsHis&Civ)(Malaya)

1 Comment

Leave A Reply