Kesultanan Di Nusantara Yang Tidak Dijajah

2,668

Ketika era penjajahan di Nusantara, sebenarnya bukan semua tempat yang dapat dikuasai oleh penjajah. Sebagai contoh, jika ada yang mengatakan bahawa Portugis telah menjajah Tanah Melayu, itu sebenarnya kurang tepat. Portugis hanya menjajah Kota Melaka. Sedangkan Tanah Melayu itu tidak hanya terhad pada Kota Melaka.

Begitulah juga dengan penjajahan Belanda. Jika dikatakan Belanda telah menjajah seluruh Indonesia, itu juga sebenarnya kurang tepat. Ada wilayah yang tidak dikuasai Belanda iaitu Kesultanan Buton. Saya tidak pasti wilayah yang lain. Boleh jadi ada selain Buton.

Semasa saya membuat penyelidikan lapangan di Buton, banyak sumber yang mengesahkan bahawa Buton memang tidak pernah dijajah oleh kuasa-kuasa barat seperti Portugis, Sepanyol dan Belanda.

Hal ini tidak menghairankan memandangkan Buton telah membina kubu perang atau benteng yang dikatakan pernah diiktiraf sebagai benteng terbesar di dunia. Di samping itu, Buton diperintah oleh sultan-sultan yang bijaksana.

Benteng Wolio yang dibina oleh Sultan Buton ke-6 iaitu Sultan La Buke Abdul Ghafur (1632 – 1645) pada tahun 1634. Benteng ini sangat luas dan mencecah sekitar 23 hektar. Manakala panjang kelilingnya mencapai 2.7 kilometer.

Dengan benteng ini, kuasa-kuasa penjajah barat seperti Portugis, Sepanyol dan Belanda gagal menawan Kesultanan Buton hingga menyebabkan Kesultanan Buton tidak pernah sama sekali dijajah oleh kuasa barat. Kesultanan Buton kemudiannya menyertai Republik Indonesia pada tahun 1947, dua tahun setelah kemerdekaan Indonesia.

Kesultanan Buton memang unik. Beberapa orang ulama pernah ditabalkan menjadi Sultan Buton. Penguasaan sistem Syura juga sangat ketara dalam Kesultanan Buton.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.