Kesultanan Demak: Berjihad Menentang Portugis

1,327

Kalau Parameswara itu putera raja terakhir Sriwijaya, maka Raden Patah ini putera raja terakhir Majapahit. Jika Parameswara itu pengasas Kesultanan Melaka, maka Raden Patah ini pengasas Kesultanan Demak.

Menurut satu riwayat, Raden Patah dilahirkan pada tahun 1455 di Jepara, Majapahit. Ayahandanya Raden Kertabumi Prabu Brawijaya V dan bondanya Puteri Champa. Ketika berusia 14 tahun, Raden Patah menuntut ilmu bersama salah seorang Wali Songo iaitu Sunan Ampel di Surabaya.

Pada 1475, ayahandanya mengurniakan wilayah Demak untuk diperintah oleh Raden Patah sebagai salah satu naungan di bawah Empayar Majapahit. Baginda digelar Sultan Abdul Fattah Alam Akbar Syah. ‘Fattah’ bermaksud ‘Pembuka’ dalam bahasa Arab. Sesuailah nama ini dengan baginda sebagai pembuka kerajaan Islam pertama di Pulau Jawa.

Pada 1478, Majlis Fatwa Wali Songo bersepakat untuk mengangkat Raden Patah sebagai pemerintah Kesultanan Demak. Maka Kesultanan Demak di bawah Raden Patah yang beragama Islam ini merdeka dari Empayar Majapahit di bawah pemerintahan ayahandanya yang beragama Hindu.

Pada tahun 1479, baginda merasmikan Masjid Agung Demak. Arkitek masjid ini ialah Sunan Kalijaga iaitu salah seorang Wali Songo. Masjid yang bercirikan reka bentuk keJawaan dan tersirat dengan falsafah Islamiyyah ini menjadi tempat Wali Songo bermesyuarat dan pusat pemerintahan Raden Patah.

Pada tahun 1511, kota Melaka jatuh diserang Portugis. Kemudian pada tahun 1512, Kesultanan Samudera-Pasai pula jatuh diserang Portugis. Oleh itu, Kerajaan Demak mengeratkan hubungan diplomatik dengan Kesultanan Banten-Cirebon. Banten-Cirebon merupakan kerajaan Islam selain Demak di Pulau Jawa.

Portugis ingin menyerang Sunda Kelapa (nama lama bagi Jakarta kini) di Pulau Jawa selepas menjatuhkan Melaka (Semenanjung Tanah Melayu) dan Samudera-Pasai (Sumatera).

Sebagai respon bagi mempertahankan kerajaan Islam di Melaka, Raden Patah mengutus Pati Unus untuk mengetuai gabungan 100 buah kapal angkatan perang Pulau Jawa menyerang Portugis di Melaka pada tahun 1513. Peperangan yang direstui dengan fatwa Wali Songo ini adalah Ekspedisi Jihad Pertama. Masyhurlah pantun menyahut jihad yang berbunyi :-

Kalau roboh kota Melaka,
Papan di Jawa kami dirikan,
Kalau benar bagai dikata,
Badan dan nyawa kami serahkan
!

Namun, persediaan yang kurang cukup menyebabkan angkatan perang Pati Unus mengalami kekalahan. Kota Melaka yang dikuasai Portugis amat kebal lalu angkatan perang ini pulang ke Pulau Jawa. Kemudian, mereka mengatur persediaan dengan membina sebanyak 375 buah kapal perang di Sulawesi.

Raden Patah ini seorang Sultan yang alim, adil dan bijaksana. Baginda memerintah selama 40 tahun. Pada tahun 1518, baginda mangkat lalu takhta kerajaan disandang oleh pewaris baginda iaitu Pati Unus.

Pada tahun 1521, Pati Unus yang menjadi Sultan Demak kedua sekali lagi memimpin serangan ke atas Portugis di Melaka dalam Ekspedisi Jihad Kedua. Ketika peperangan ini, Portugis menembak kapal Pati Unus dengan meriam yang terdapat di kota Melaka. Pati Unus syahid kerana terkena bedilan ini.

Dengan kesyahidan Pati Unus ini, maka bermulalah era kejatuhan Kesultanan Demak. Akhirnya pada tahun 1554, Kesultanan Demak jatuh secara total. Makam Raden Patah dan Patu Unus terdapat di Masjid Agung Demak. Penulis sempat berziarah ke makam tersebut ketika di Masjid Agung Demak ini. Semoga Allah mengurniakan nikmat Syurga kepada dua orang Sultan yang berjihad menentang penjajah mempertahankan kerajaan Islam Melaka ini.

Terdapat beberapa khilaf sejarawan dari segi tarikh dan latar belakang individu yang terlibat dalam kisah ini. Rujukan Jawa adalah dari Babad Tanah Jawi, rujukan Barat adalah dari Suma Oriental karya Tome Pires dan rujukan China dari catatan para pedagang China.

* Jemput follow penulis : https://instagram.com/khairiasyraf_17

RUJUKAN:

Manaqib Kanjeng Sultan Raden Abdul Fattah, Muzium Masjid Agung Demak.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.