Kesilapan Ketika Temuduga

0
483
views

Sebenarnya, telah banyak tip dan ilmu yang telah dikongsikan di Internet dan media sosial mengenai persediaan untuk ke temuduga. Namun begitu, masih terdapat mereka yang gagal membuat persediaan yang sewajarnya sebelum ke temuduga, yang hanya akan membuatkan permohonan bekerja mereka ditolak.

Apakah antara kesilapan besar yang sering dilakukan oleh mereka yang menghadiri temuduga?

1) Berpenampilan selekeh

Pemakaian yang kemas akan meyakinkan penemuduga bahawa anda orang yang bersih, tahu mengurus masa dengan baik dan tahu menjaga imej diri. Sifat ini kemudiannya akan diterjemahkan ke tempat bekerja yang menampakkan anda sebagai yang menjaga imej organisasi. Antara ciri pemakaian yang selekeh ialah pakaian tidak diseterika, atau diseterika dengan tidak kemas, pemakaian warna/gabungan warna yang tidak harmoni (kuning dan merah sebagai contohnya), pemakaian skirt yang terlalu pendek, atau jarang, atau pakaian yang tidak sesuai dipakai untuk menghadiri temuduga.

Selain itu, penampilan juga dikaitkan dengan rupa. Jika anda menghadiri temuduga dengan rambut yang kusut masai disebabkan bangun lambat, ia akan melambangkan keperibadian yang negatif. Begitu juga dengan misai dan janggut yang tidak dipotong kemas atau rambut yang panjang (bagi lelaki). Wanita pula perlu mengemaskan pemakaian tudung agar tidak kelihatan seperti anda mahu membeli belah atau keluar santai, dan pemilihan pakaian dan tudung perlu disesuaikan dengan menghadiri temuduga (warna, corak, perhiasan dll)

2) Kurang pengetahuan

Antara laporan yang diterima daripada majikan mengenai para graduan yang menghadiri temuduga ialah kurangnya persediaan mereka dalam pengetahuan mengenai syarikat tempat mereka memohon pekerjaan, industri bidang, tugas jawatan dsb yang berkaitan dengan permohonan bekerja.

Apabila anda ingin memohon pekerjaan, perkara pertama yang anda perlu tahu ialah apa senarai tugas jawatan tersebut. Dengan adanya enjin carian pantas, maklumat boleh didapati dengan pantas melalui Internet. Google saja tugas jawatan tersebut, baca maklumat mengenai profail syarikat di laman web mereka, baca isu-isu semasa mengenai industri berkenaan agar anda tahu apa yang sedang berlaku dengan industri, sebelum anda menghadiri temuduga. Anda tidak perlulah sampai menghafal satu persatu, namun cukup sekiranya anda mengetahui dan memahami beberapa isi penting yang boleh digunakan bagi menjawab soalan kelak.

3) Sikap yang negatif

Waqaf Saham

Sikap-sikap yang negatif boleh dibaca oleh penemuduga melalui riak dan ekspresi wajah, bahasa badan dan bahasa yang anda gunakan. Cara menjawab soalan dalam bahasa yang tidak formal tidak akan memberikan tanggapan yang baik kepada anda, ia hanya melambangkan tahap pemikiran dan keperibadian anda yang negatif. Justeru itu, sudah tentu syarikat enggan mengambil anda bekerja kerana risau akan reputasi syarikat mereka akan terjejas.

Menjawab menggunakan perkataan seperti penggunaan ‘aku’, ‘kau,’ ‘tak tau,’ ‘entah,’ antara perkataan-perkataan kurang formal dan negatif untuk digunakan dalam temuduga. Jika tidak tahu menjawab soalan, sebaiknya dijawab, “Maafkan saya, Encik, saya tidak tahu mengenai perkara tersebut,’ dan bukannya dijawab sambil lewa, “Entahlah Encik, saya tak tau.” Tunjukkan riak wajah anda bersalah bukannya berwajah selamba seperti tidak peduli.

Posisi berdiri, berjalan, berjabat tangan dan duduk juga perlu betul agar mencerminkan anda sebagai seseorang yang yakin. Jika anda duduk dengan kaki bersilang (bagi wanita), anda mungkin memperlihatkan diri sebagai kurang beretika dan formaliti. Sebaiknya duduk dengan kedua-dua kaki dirapatkan di buku lali dan disengetkan di sebelah kanan atau kiri kaki kerusi. Bagi lelaki, kaki bersilang di atas paha boleh dianggap sebagai bongkak dan terlalu yakin. Posisi badan ketika duduk yang bahunya senget di sebelah kiri atau kanan menunjukkan postur yang kurang yakin, manakala kaki atau tangan yang sentiasa bergerak-gerak menunjukkan anda gugup dan gelisah.

Rajinkan diri untuk senyum dan bersikap ramah dengan petugas atau staf di kaunter atau tempat yang menguruskan temuduga anda sebelum masuk ke bilik temuduga, dengan orang di sekeliling dan mereka yang menemuduga anda. Bukanlah anda perlu senyum 24 jam sehingga dianggap sebagai orang gila, namun cukup sekadar jika terserempak, ternampak, maka berikan sedikit senyuman atau tundukkan kepala, ucapkan salam. Perkara yang nampak kecil ini sebenarnya memberikan impak yang besar kepada cara keperibadian anda dibaca oleh orang lain.

Anda boleh membaiki cara anda menjawab soalan temuduga dengan menonton video-video Tip Menjawab Soalan Temuduga di Facebook Page Projek Tambah Pahala, atau Youtube Channel Projek Tambah Pahala dalam Segmen Career Talk:

https://www.youtube.com/watch?v=yJKicN6xMz4&list=PL_XQb_9zMKcsP3yAUz8gaRfuO_kQFk1HY

Bacaan lanjut:

  1. CNBC managing editor reveals the 11 most common job interview mistakes

https://www.cnbc.com/2017/04/03/the-most-common-interview-mistakes-job-candidates-make.html

  1. 10 Best Job Interview Tips for Jobseekers

https://www.livecareer.com/career/advice/interview/job-interview-tips

  1. Youtube Channel Projek Tambah Pahala

https://www.youtube.com/channel/UCU_ZYzia5xBRemrvVyzPVRg

  1. Facebook Page Projek Tambah Pahala

https://web.facebook.com/projektambahpahala/

 

Previous articleMight Guy: Antara Bakat Dan Genius
Next articleApakah Alam Kuantum Itu Benar?
E. H. Nathasia, penulis 25 Tip Motivasi Terbaik, penterjemah dan penceramah motivasi. Sedang mengikuti Program Sarjana Sains Sosial dalam Pengajian Strategi dan Pertahanan di Universiti Malaya.
SHARE