Apabila Tun Dr Mahathir Mohamad menggubal Dasar Pandang Ke Timur pada tahun 1980-an, dasar ini bertujuan menggalakkan rakyat Malaysia meniru nilai-nilai murni rakyat Jepun seperti prinsip kaizen (penambahbaikan berterusan), menepati masa, rajin bekerja dan bersikap lemah-lembut. Tetapi ada satu nilai yang tidak dimasukkan tetapi amat relevan dengan situasi hari ini iaitu kesetiaan yang tidak berbelah-bahagi terhadap maharaja atau Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dalam konteks negara hari ini.

Peranan maharaja

Mungkin ada yang menganggap nilai sebegini tidak relevan dan tak perlu dimasukkan dalam DPT versi 3.0 ini. Tetapi seperti mana YDPA dan Majlis Raja-Raja Melayu (MRRM), maharaja merupakan tunjang utama sesebuah negara pada masa senang dan susah.

Dan seperti Malaysia, Jepun turut mengamalkan sistem raja berperlembagaan. Walaupun baginda merupakan ketua negara, Maharaja Jepun bukanlah panglima besar Pasukan Mempertahankan Diri Jepun (JSDF) seperti YDPA kerana peranan itu diisi oleh Perdana Menteri berdasarkan Akta JSDF 1954.

Dan bila mempertimbang soal lantikan Perdana Menteri, maharaja tidak mempunyai hak untuk menolak siapa calon Perdana Menteri dan Ketua Hakim Mahkamah Agung yang dicalonkan oleh Diet (Parlimen Jepun) dan perlu menerima cadangan mereka.

Sejarah Jepun menyaksikan peranan baginda sebagai ketua negara berbeza-beza mengikut tempoh. Ada sesetengah masa maharaja menjalankan peranan sebagai ketua negara dengan memainkan peranan simbolik seperti yang berlaku pada hari ini. Ada juga sesetengah masa di mana baginda langsung tidak berkuasa atau terjebak dengan pertelingkahan daimyo/shogun demi memulihkan semula kuasanya sebagai pemerintah utama Jepun.

Walaupun kebanyakan cubaan ini berakhir dengan kegagalan, usaha maharaja memulihkan semula kerajaan awam dan kuasanya hanya tercapai semasa era Meiji pada pertengahan abad ke-19. Sejarah ini turut menyaksikan permulaan kaitan baginda dengan istilah ketuhanan yang bermula pada abad ketujuh Masihi. Kaitan sebegini membolehkan maharaja digelar dewa hidup dan panggilan sebegini berterusan sehinggalah tamat Perang Dunia Kedua (WWII).

Sejarah maharaja

Gelaran maharaja itu sendiri dipinjam dari perkataan Cina dan ia diaplikasikan kepada pemerintah-pemerintah yang memerintah Jepun sebelum abad ketujuh dan kelapan Masihi. Berdasarkan cerita klasik Jepun yang direkodkan dalam Nihon Shoki, Jepun ditubuhkan oleh Maharaja Jimmu pada tahun 660 Sebelum Masihi (BC).

Tetapi berdasarkan pandangan ahli akademik Jepun, mana-mana maharaja yang disebut sebelum maharaja ke-15 Ojin dianggap satu legenda dengan Maharaja Anko dipersetujui ramai sebagai pemerintah pertama yang memerintah seluruh Jepun dari segi tarikh. Tetapi maharaja yang boleh diterima secara konvensyen dan ditarikhkan sebagai tidak tradisional bermula semasa era Maharaja Kanmu dari Dinasti Yamato yang memerintah dari 737 hingga 806 Masihi.

Sepanjang sejarah Jepun menyaksikan enam keluarga bukan diraja yang mengawal maharaja Jepun. Keluarga-keluarga ini ialah Soga (530-an – 645), Fujiwara (850-an – 1070), Taira (1159 – 1180), Minamoto (sebahagian dari Keshogunan Kamakura) (1192 – 1333), Ashikaga (1336 – 1565) dan Tokugawa (1603 – 1867). Bagi setiap shogun dari Minamoto hinggalah Ashikaga dan Tokugawa, mereka masih tetap perlu mendapatkan pengiktirafan maharaja sebagai shogun yang masih dianggap sumber kedaulatan walaupun kuasa mereka ketika itu terhad.

Bagaimanapun, tempoh-tempoh ini turut menyaksikan cubaan maharaja mendapatkan semula kekuasaan mereka di mana cubaan ini digagalkan oleh shogun yang berkuasa ketika itu. Contoh perang yang tercetus antara shogun dengan maharaja ialah Perang Jokyu yang meletus antara bekas maharaja Go-Toba dengan Keshogunan Kamakura. Perang yang tercetus pada tahun 1221 menyaksikan cubaan baginda menggulingkan Keshogunan Kamakura berakhir dengan kegagalan dengan Go-Toba sendiri dibuang negeri ke Kepulauan Oki. Shogun juga bertindak menabalkan anak saudara baginda, Go-Horikawa sebagai pengganti Maharaja Chukyo yang turut disingkirkan oleh keshogunan yang sama.

Sementara Pemulihan Kenmu pula berlaku semasa era pemerintahan Maharaja Kenmu dari 1333 hingga 1336 di mana baginda mahukan semula kekuasaan asalnya dan menamatkan pemerintahan tentera di Jepun. Namun, kesilapan Kenmu yang bersikap pilih kasih terhadap daimyo dan pembesar istana tanpa memperuntukkan apa-apa kepada kelas samurai menyediakan asas kepada permulaan Keshogunan Ashikaga dengan Takauji Ashikaga menjadi shogun yang pertama pada tahun 1338. Usaha ini merupakan usaha terakhir mana-mana maharaja untuk mendapatkan semula kuasa mereka dan pemulihan kuasa sebenar hanya berlaku semasa era Pemulihan Meiji.

Pemulihan Meiji

Semasa Komodor Matthew Perry berlayar ke Teluk Edo (Teluk Tokyo) pada tahun 1853 dan mahukan akses perdagangan ke Jepun, beliau tidak sedar permintaannya itu akan mencetuskan revolusi yang membawa kepada kehancuran Keshogunan Tokugawa dan kebangkitan semula kuasa maharaja. Tatkala itu, kelompok elit Jepun sedar negara-negara Barat termasuk Amerika Syarikat amat maju dari segi teknologi peperangan sekaligus memudahkan lagi usaha perluasan mereka di sebelah Timur Jauh termasuk Jepun. Bohonglah jika pembesar-pembesar Jepun ini tidak tahu nasib yang menimpa Dinasti Manchu di China yang kalah dalam Perang Candu Pertama dengan Britain 14 tahun sebelumnya. Sesetengah memilih dasar buka pintu tetapi bagi Tokugawa, itu juga alasan tepat untuk terus menutup pintu kepada dunia luar.

13 tahun selepas itu, puak Satsuma dan Chosu membentuk pakatan strategik menggulingkan Keshogunan Tokugawa dan mengembalikan kedudukan maharaja sebagai ketua negara sebenar. Mereka merasakan dengan mengembalikan kedudukan Maharaja Komei, ia dilihat strategi terbaik dalam memerangi kuasa-kuasa luar yang mengintai peluang bertapak di Jepun. Tetapi hasrat mereka tidak kesampaian apabila Komei mangkat pada Januari 1867 dan digantikan oleh Mutsuhito dengan gelaran Meiji sebulan berikutnya. Tetapi tindakan mereka ini sudah pasti dicium Yoshinobu Tokugawa dan berpotensi menjejaskan kedudukannya sebagai shogun.

Sembilan bulan selepas Meiji menaiki takhta, Yoshinobu secara rasmi turun dari kedudukan sebagai shogun dan menyerahkan kuasa pemerintahan kepada baginda. Tetapi kawalan sebenar ke atas negara masih di tangannya dan bila Meiji mengeluarkan dekri keluarga Tokugawa perlu dibubarkan, Yoshinobu mengarahkan pengikut-pengikutnya bangkit dan mara ke Kyoto untuk menyingkirkan baginda. Namun, rancangan tersebut dapat dihidu pakatan Satsuma-Chosu dan mencetuskan Pertempuran Toba-Fushimi selama empat hari yang membawa kepada penamatan kekuasaan keluarga Tokugawa. Walaupun ramai pembesar mengisytiharkan taat setia mereka terhadap Maharaja Meiji, masih ramai yang enggan berbuat demikian dan terus menentang tentera diraja dalam perang dikenali sebagai Perang Boshin. Namun dengan kelengkapan tentera yang moden, tentera diraja meneruskan kemaraan dan menang dalam setiap kempen mereka.

Selepas tamat Perang Boshin, perubahan radikal mula dilaksanakan seperti pembubaran empat kelas hierarki masyarakat, penubuhan tentera kerahan dengan kelengkapan senjata, uniform dan taktik peperangan moden serta berubah dari perdagangan kepada perindustrian. Selain itu, Maharaja Meiji turut mengeluarkan dekri berkenaan penggubalan Perlembagaan Meiji pada tahun 1889. Penggubalan perlembagaan ini menjadikan Jepun sebuah negara raja berperlembagaan berdasarkan perlembagaan Prussia. Perubahan radikal ini menjadikan Jepun sebagai satu kuasa imperialis yang dihormati di sebelah Timur Jauh dan menarik minat pemerintah-pemerintah lain yang mahu melindungi kedaulatan kerajaan mereka. Antara kerajaan yang menunjukkan minat ketika itu ialah Empayar Turki Uthmaniyyah dan Sultan Abu Bakar dari Johor.

Dengan kemunculan Jepun sebagai kuasa imperialis moden, tidak hairanlah proses perluasan kuasa bermula dengan menewaskan China semasa Perang China-Jepun Pertama (1894-1895), penawanan Semenanjung Korea pada tahun 1910 dan menewaskan tentera Rusia semasa Perang Rusia-Jepun (1904-1905). Tetapi kedudukan maharaja ini juga dieksploitasi oleh kelompok radikal termasuk dalam tentera bagi memastikan cita-cita imperialisme Jepun tidak terjejas. Ini termasuklah mempergunakan status baginda sebagai dewa hidup mengikut ajaran Shinto dan semua tindakan peperangan dibenarkan atas namanya termasuk jenayah perang dan kemanusiaan. Maka tidak hairanlah semasa WWII, semua bentuk jenayah perang atau tindakan radikal dihalalkan atas alasan ini. Ini tidak dibantu dengan pembabitan beberapa anggota kerabat diraja Jepun termasuk Putera Yasuhiko Asaka dalam jenayah perang termasuk insiden keganasan di Nanking.

Maka atas sebab itulah, semasa pihak Bersekutu bermesyuarat di Potsdam, salah satu keterangan yang terkandung dalam Deklarasi Potsdam ialah penghapusan figura yang menipu rakyat Jepun sehingga terjebak dalam WWII. Tetapi selepas Jepun menyerah kalah akibat serangan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki dan demi menjaga kepentingan geopolitik, Jeneral Douglas MacArthur memutuskan untuk memberi imuniti kepada keluarga diraja termasuk Maharaja Hirohito daripada sebarang dakwaan jenayah perang. Selain itu, penggubalan Perlembagaan Jepun berdasarkan model kerajaan berparlimen Britain turut dibuat dengan maharaja kembali berperanan sebagai ketua negara tetapi tanpa sebarang kedaulatan dan hanya menjalankan tugas bersifat upacara. Selain itu, apa-apa tindakan baginda turut dibimbing oleh Kabinet dalam soal seperti pembubaran Diet dan penganugerahan gelaran kehormat.

Tetapi semua halangan ini tidak menghalang Hirohito dari membina semula imej Jepun sebagai sebuah negara progresif pasca-WWII. Bersesuaian dengan keinginan rakyat yang mahu melihat keamanan, maka itu menjadi aspirasi baginda sebagai simbol penyatuan dan perpaduan rakyat. Atas sebab itulah, baginda menerima sambutan positif bila mengadakan lawatan ke luar negara termasuk bertemu dengan Ratu Elizabeth II (1971) dan Presiden Gerald Ford (1975). Dan itu juga mendorongnya memboikot sebarang lawatan ke Kuil Yasukuni sehingga kemangkatannya pada tahun 1989 kerana murka dengan tindakan pihak kuil memasukkan abu mayat penjenayah perang kelas A ke kuil berkenaan. Boikot itu diteruskan oleh pengganti dan putera baginda, Maharaja Akihito sehingga ke hari ini.

Legasi dan evolusi

Namun, satu isu yang menyelubungi keluarga diraja ialah kekurangan waris lelaki untuk meneruskan pemerintahan monarki paling tua di dunia. Ini kerana undang-undang di sana menyatakan hanya waris lelaki sahaja yang boleh menjadi pewaris takhta. Sementara bagi anggota kerabat diraja wanita pula, mereka akan kehilangan status diraja jika berkahwin dengan orang biasa berdasarkan Akta Kerabat Diraja 1947 dan ini berlaku kepada Puteri Sayako dan Puteri Mako. Keadaan ini mengakibatkan bilangan anggota keluarga diraja berkurangan dan mencetuskan rasa bimbang dalam kalangan rakyat Jepun.

Selain itu, puteri kerabat diraja Jepun juga tidak layak mewarisi takhta dan ini dijangka menimpa satu-satunya puteri bakal maharaja Naruhito, Puteri Aiko. Ini mencetuskan persoalan mengapa politikus enggan meminda undang-undang sedia ada untuk membolehkan keluarga diraja terus berevolusi dengan perubahan masa. Menurut Profesor Yuji Otabe dari Shizuoka University of Welfare, mereka sebenarnya tidak mahu bertanggungjawab tentang isu berat ini. Dan melihat kepada sokongan orang ramai, isu penerimaan tidak seharusnya menjadi masalah. Berdasarkan kaji selidik Yomiuri Shimbun, dua pertiga responden mahukan undang-undang pewarisan takhta membabitkan puteri kerabat diraja dipinda.

Dan melihat kepada sejarah Jepun sendiri, mereka pernah diperintah oleh lapan maharani sepanjang sejarah 2,600 tahun mereka. Kali terakhir takhta Jepun diisi oleh maharani ialah semasa pemerintahan Maharani Go-Sakuramachi yang memerintah dari 1762 hingga 1771. Idea reformasi ini turut disokong oleh Diet semasa mereka meluluskan usul membenarkan Maharaja Akihito turun takhta pada tahun 2017 dan mahukan kerajaan pimpinan Shinzo Abe mempertimbang idea putera-puteri dari puteri diraja diambil sebagai pewaris takhta. Tokyo bersedia mempertimbang usul Diet dan ia dirancang akan dibahaskan selepas Naruhito menaiki takhta secara rasmi pada 1 Mei ini.

Bagaimanapun, agak sukar untuk Abe mempertimbang rancangan tersebut kerana ia sudah pasti menimbulkan kemarahan sekutunya dari parti politik pelampau berhaluan kanan. Ini kerana bagi mereka, jika rancangan tersebut diteruskan, mereka menganggap ia pengakhiran kepada keturunan diraja yang datang dari pewaris lelaki yang menjadikan keluarga diraja Jepun istimewa. Bagaimanapun, ada juga yang mencadangkan pemansuhan klausa undang-undang 1947 bagi mengembalikan status keluarga diraja yang terkesan daripada undang-undang itu. Jika idea itu diteruskan, keluarga diraja Jepun sekurang-kurangnya mempunyai ramai pilihan untuk memilih siapa pewaris takhta seterusnya.

Yang pasti, langkah-langkah ini mendapat sokongan popular rakyat dan kerajaan perlu mempertimbang langkah bagi membolehkan keluarga diraja terus berevolusi seiring dengan perubahan masa. Dan jika langkah ini dipilih, ini sudah pasti menjadikan rakyat semakin menghargai kelibat maharaja sebagai payung dan tunjang utama Jepun hari ini. Dan ini sesuatu yang harus dicontohi mana-mana warga Malaysia hari ini lebih-lebih lagi kepada pendukung DPT agar menghargai peranan YDPA dan MRRM sebagai payung negara.

SUMBER

1. Szczepanski, Kallie. (2018). What Was the Meiji Restoration? ThoughtCo.com. https://www.thoughtco.com/what-was-the-meiji-restoration-195562

2. Fogarty, Phillipa. (2017). The princess, the palace and the shrinking royal line. BBC. https://www.bbc.com/news/world-asia-39961749

3. Straits Times. (2019). Japan abdication stirs female succession debate. https://www.straitstimes.com/asia/east-asia/japan-abdication-stirs-female-succession-debate


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.