Malaysia pernah digemparkan dengan satu pengisytiharan bahawa ajaran Ahmadiyah Qadiani atau juga dikenali dengan Jemaat Ahmadiyah Muslim Malaysia (JAMM) yang dipelopori oleh Hazrat Mirza Ghulam Ahmad difatwakan sebagai ajaran sesat, yang terkeluar daripada Islam pada sekitar tahun 80-an dan 90-an.

Fatwa Negeri Selangor pula telah memfatwakan bahawa ajaran Ahmadiyah Qadiani yang berpusat di Baitussalam Ahmadiyah Muslim Malaysia, Kampung Nakhoda, Batu Caves adalah sesat dan terkeluar daripada Islam pada tahun 1998 manakala Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia telah mengeluarkan fatwa pada tahun 1984. Begitu pula, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) lebih awal memfatwakan ajaran Ahmadiyah Qadiani sebagai terkeluar daripada Islam pada 23 Jun 1969.

Jadi, apakah pegangan aqidah atau i’itiqad dan amalan mereka yang menyebabkan mereka difatwakan sebagai terkeluar daripada Islam oleh mufti dan para ulama’ di seluruh dunia?

Alhamdulillah, saya berkesempatan mengikuti sesi temu ramah di markas utama mereka di Baitussalam bersama dengan salah seorang pengikut ajaran Ahamdiyah Qadiani untuk mendengar dan mendapatkan penjelasan mereka berkenaan sesetengah pegangan aqidah mereka yang berbeza dengan majoriti umat Islam.

Sejarahnya, ajaran Ahmadiyah Qadiani ini telah diasaskan oleh Mirza Ghulam Ahmad pada tahun 1889 di Qadian, Gurdaspur, Punjabi, India. Beliau telah dilahirkan pada tahun 1853 dan meninggal dunia pada tahun 1908 di Lahore, India sebelum dipindahkan ke Qadian untuk dikuburkan. Bermula sejak itulah ajaran ini disinonimkan dengan ajaran Ahmadiyah Qadiani.

Ajaran ini telah tersebar ke seluruh dunia termasuklah di negara kita pada sekitar tahun 1930-an yang dipercayai dibawa masuk oleh Maulana Husin Iyaz ke Singapura. Kini, pengikut Qadiani dipercayai terdiri daripada 200 juta orang di seluruh dunia.

Antara kitab rujukan utama ajaran Ahmadiyah Qadiani ialah Barahin Ahmadiyah yang mempunyai 5 jilid dan mereka mempunyai kitab-kitab tersendiri. Kini, ajaran Ahmadiyah Qadiani telah mempunyai khalifah yang kelima di mana khalifah ini merupakan ketua seluruh dunia. Pemilihan khalifah mereka akan dilaksanakan dan ditentukan oleh Majlis Syura mereka.

Sekiranya dilihat dari segi lahiriahnya, amalan dan pengakuan mereka adalah sama seperti ajaran Islam. Mereka bersyahadah iaitu mengakui Allah sebagai Tuhan dan Nabi Muhammad sebagai Rasul, solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan, mengeluarkan zakat dan sebagainya lagi.

Kepercayaan rukun iman dan rukun islam mereka juga adalah sama dengan kita. Jadi, apakah perbezaan pegangan dan amalan mereka yang telah menyebabkan para ulama’ berijtihad dan mengeluarkan fatwa bahawa ajaran mereka ini sesat dan terkeluar daripada Islam?

Ada dua perkara utama yang jelas dipegang dan dipercayai oleh pengikut-pengikut ajaran Ahmadiyah Qadiani bertentangan dengan aqidah Ahlussunnah Wal Jamaah (ASWJ). Perkara pertama adalah kepercayaan dan dakwaan mereka bahawa Nabi Isa AS telah wafat dan tidak diangkat ke langit.

Mereka mendatangkan dalil daripada Al-Quran daripada Surah Al-Maidah ayat 117 di mana mereka secara literal telah menterjemahkan dan menafsirkan bahawa perkataan “تَوَفَّيْتَنِي” adalah bermaksud wafat. Ini bertentangan dengan tafsir yang telah dijelaskan di dalam Tafsir Ibnu Katsir dan Tafsir Al-Munir yang mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan ‘wafat’ di dalam ayat itu ialah diangkat ke langit.

Ada beberapa ayat lain lagi yang telah ditafsirkan secara literal tanpa merujuk kitab-kitab tafsir yang muktabar malah mereka hanya merujuk kepada kitab yang dikarang oleh Mirza Ghulam Ahmad untuk membenarkan dakwaan mereka ini. Pemahaman mereka yang cetek di dalam bidang tafsir telah menjerumuskan diri mereka ke arah penafsiran yang salah, bahkan menjadi pegangan aqidah mereka.

Dari sudut rasional dan logika pula, mereka mendakwa bahawa mempercayai Nabi Isa AS diangkat di langit adalah sama dengan kepercayaan orang Kristian. Kemudian, mereka mengatakan akan berlaku percanggahan sekiranya Nabi Isa AS masih lagi hidup, apabila Baginda turun ke bumi pada akhir zaman nanti, Nabi Isa akan ikut syariat yang mana satu?

Nabi Isa juga seorang Nabi dan Rasul yang mempunyai syariat tersendiri di zamannya, jadi tidak mungkin Baginda akan mengikut syariat yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Mereka juga mendakwa bahawa mempercayai Nabi Isa AS masih hidup dan diangkat di langit, ianya bercanggah dengan firman Allah di dalam surah Al-Ahzab ayat 40 di mana ayat tersebut mengatakan bahawa Rasulullah SAW adalah ‘khataman nabiyy’, penutup segala nabi. Selain itu, mereka mendakwa bahawa keistimewaan dan kemuliaan Rasulullah SAW akan tergugat apabila Nabi Isa AS masih hidup pada waktu ini dan diangkat ke langit.

Jadi, dakwaan mereka ini silap kerana dengan kepercayaan bahawa Nabi Isa AS masih lagi hidup dan diangkat di langit, kepercayaan ini tidak sama dengan apa yang orang Kristian percaya. Orang Kristian mempercayai bahawa Nabi Isa AS bersatu dengan Tuhan dan mereka ada konsep Trinity. Ini sangat bercanggah dengan kefahaman ASWJ.

Begitu pula, Nabi Isa AS apabila turun ke bumi pada akhir zaman kelak, Baginda akan mengikut syariat yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Ini disebabkan Rasulullah SAW merupakan ‘khatamannabiy’ iaitu penutup segala nabi dan rasul serta telah lengkaplah syariat yang Allah turunkan buat umat manusia. Turunnya Nabi Isa AS nanti, Baginda tidak lagi berperanan sebagai seorang nabi dan rasul, tetapi Baginda akan beperanan sebagai seorang khalifah yang bernanung di bawah syariat Nabi Muhammad SAW.

Jadi hal ini tidak bercanggah dengan ayat 40 surah Al-Ahzab. Begitu juga, kemuliaan Rasulullah SAW tidak sedikit pula akan terjejas sekiranya Nabi Isa AS dimuliakan sedemikian sehingga diangkat ke langit kerana Rasulullah telah pun dimuliakan pada peristiwa Israk Mikraj sehingga ke Sidratul Muntaha, tempat di mana Allah tidak pernah mengangkat mana-mana para anbiya’ melainkan hanya Rasulullah SAW. Malah, kemuliaan Nabi Muhammad SAW tidak pernah terjejas semenjak penciptaan makhluk.

Perkara kedua pula ialah dakwaan dan kepercayaan mereka bahawa pengasas ajaran Ahmadiyah Qadiani, Mirza Ghulam Ahmad (MGA) merupakan seorang nabi dan rasul. Namun, mereka mengatakan bahawa ada penjelasan di sebalik dakwaan bahawa MGA adalah seorang nabi dan rasul. Malah dakwaan ini telah ditulis sendiri oleh MGA di dalam tulisan beliau.

MGA mengakui bahawa beliau telah menerima wahyu daripada Allah sepertimana yang beliau katakan di dalam tulisannya, Membetulkan Satu Kesalahfahaman, “Jadi, apabila sehingga kini mataku sendiri menjadi saksi bahawa hampir seratus lima puluh khabar-khabar ghaib yang aku terima dari Allah Ta’ala telah sempurna dengan begitu jelas, bagaimana aku dapat menafikan kenabian dan kerasulan terhadap diriku?”.

Inilah kekeliruan dan kecelaruan yang dikatakan oleh MGA. Perkataan beliau bercanggah dengan firman Allah di dalam Surah Al-Ahzab ayat 40 yang mengatakan bahawa Rasulullah SAW itu adalah penutup segala nabi. Ini bermakna tidak akan ada nabi dan rasul lagi setelah kewafatan Nabi Muhammad SAW.

MGA menulis “Semua jendela-jendela kenabian telah ditutup kecuali satu jendela iaitu sirat siddiqi yakni ‘fana firrasul’ (meleburkan diri dalam kecintaan terhadal rasul)”. Tulisan beliau ini untuk mendakwa bahawa beliau telah mendapatkan kenabian dan kerasulan melalui ‘fana firrasul’ dan bukan dengan kehendak beliau sendiri.

MGA berkata lagi “Aku bukan nabi dan tidak membawa syariat”, yang bermaksud bahawa beliau adalah seorang nabi dan rasul yang bukan membawa syariat baru tetapi mengikut apa yang disyariatkan oleh Nabi Muhammad SAW. Terdapat banyak lagi pengakuan beliau yang menjurus ke arah kecelaruan dan percanggahan dengan Al-Quran dan As-Sunnah di dalam tulisan beliau.

Di akhir perenggan tulisan beliau, MGA mengatakan “Aku telah dijadikan seorang nabi dan rasul secara bayangan dan berasakan hal itu Allah telah berkali-kali menyebut namaku sebagai Nabiullah dan Rasulullah tetapi secara bayangan. Jiwaku sendiri tiada di antaranya, sebaliknya hanya Muhammad Mustafa sallallahu alaihi wasallam yang memiliki semuanya. Dengan itu namaku adalah Muhammad dan Ahmad. Jadi, kenabian dan kerasulan tidak akan dimiliki oleh sesiapa yang lain, segala apa yang menjadi kepunyaan Muhammad, hanya Muhammad sahajalah yang memilikinya, alaihis salatu wassalam.” Tulisan ini beliau telah menulis sendiri pada 5 November 1901 untuk menerangkan kepada masyarakat mengenai kepercayaan mereka.

Gambar 2 Papan tanda di hadapan Baitussalam di Batu Caves
Sumber: https://s3media.freemalaysiatoday.com/wp-content/uploads/2016/07/Qaidani.jpg

Jelas di sini, bahawa dakwaan MGA yang bercanggah dengan aqidah ASWJ, bahkan sanad keilmuan beliau terputus dan tidak bersambung sehingga ke Rasulullah SAW. Dakwaan-dakwaan MGA beliau banyak menggunakan hujah kerohanian dan pengalaman beliau yang merupakan sumber yang dhaif atau lemah serta boleh dipertikaikan kesahihannya. Ini bercanggah dengan tradisi keilmuan Islam yang banyak bersumberkan daripada kitab-kitab ulama’ di dalam penghuraian Al-Quran dan As-Sunnah secara bersanad.

Dari segi fiqh, mereka mengatakan bahawa mereka beramal mengikut apa yang diajarkan di dalam Al-Quran dan As-Sunnah serta berhujah bahawa setiap bid’ah itu adalah sesat. Mereka tidak mengikuti mana-mana mazhab yang khusus daripada 4 mazhab muktabar tetapi mereka banyak cenderung ke arah mazhab Hanafi.

Kalau kita lihat, konsep ini tidak jauh beza dengan golongan Salafi Wahhabiyah kecuali golongan ini cenderung kepada mazhab Hanbali dari segi fiqh. Maka, sebab itulah di dalam kitab I’itiqad Ahlussunnah Wal Jamaah yang dikarang oleh KH Sirajuddin Abbas telah menggolongkan bahawa ajaran Ahmadiyah Qadiani sebagai ajaran yang sesat dan menyimpang.

Begitulah serba sedikit bagaimana pegangan aqidah atau i’itiqad mereka yang bercanggah dengan aqidah ASWJ yang menjadi majoriti anutan umat Islam hari ini. Tidaklah dapat dihuraikan dengan lebih panjang pada ruang ini kerana terlalu banyak hujah-hujah yang telah pun diperjelaskan oleh para ulama’ seluruh dunia akan penyelewengan ajaran Ahmadiyah Qadiani. Semoga dengan sedikit penulisan ini dapat memberikan sedikit gambaran secara menyeluruh mengenai ajaran Ahmadiyah Qadiani yang telah difatwakan sesat dan terkeluar daripada Islam. Kita sebagai umat Islam perlu memantapkan aqidah kita, fahamkan aqidah ASWJ yang telah disusun oleh Imam Abu Hasan Al-Asyari dan Imam Abu Mansur Al-Mathuridi supaya kita tidak mudah terpengaruh dengan ajaran-ajaran yang menyimpang daripada Islam. Sekiranya terdapat sebarang kekurangan daripada penulisan ini, dipersilakan untuk menegur supaya dapat diperbetulkan.

Wallahu’alam.

RUJUKAN:

  1. Abbas, K. S. (2009). I’itiqad Ahlussunnah Wal-jama’ah: Pustaka Aman Press Sdn Bhd.
  2. Ahmad, H. M. G. (2013). Membetulkan Satu Kesalahfahaman: Pustaka Baitussalam.
  3. AR, A. A. (2019). Benarkah Nabi Isa Sudah Wafat? Retrieved from https://islam.nu.or.id/post/read/102829/benarkah-nabi-isa-sudah-wafat
  4. Dali, A. M. (2010). Gerakan Ahmadiah (Qadiani) di Malaysia: Satu Sorotan Sejarah. Journal of Al-Tamaddun5, 33-55.
  5. Fatwa Majlis Ugama Islam Singapura bertarikh 23 Jun 1969
  6. Fatwa Negeri Selangor bertarikh 24 September 1998
  7. Juffri, I. M. (2017). Kisah disebalik kesesatan ajaran Qadiyaniah atau Ahmadiah. Retrieved from https://muis.org.my/2017/07/kisah-disebalik-kesesatan-ajaran-qadiyaniah-atau-ahmadiah/
  8. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia tahun 1984

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Merupakan graduan Sarjana Seni Bina daripada UiTM Puncak Alam (LAM and RIBA Part II). Mempunyai minat yang mendalam di dalam bidang agama, seni bina dan sains telah menjadikan bidang penulisan sebagai medium menyebarkan ilmu dan mendidik masyarakat.

Comments are closed.