Kesan Senjata Taser Dan Stun Gun Terhadap Manusia

1,017

Kebanyakan daripada kita yang meminati dunia pertempuran dan keselamatan, sudah tentu kita pernah mendengar dua jenis senjata yang seringkali dipaparkan di dalam mana-mana filem Hollywood. Senjata ini tak lain dan tak bukan adalah stun gun dan TASER®.

Pertama sekali kita perlu mengetahui apakah itu stun gun dan TASER®, dan apakah perbezaannya.TASER® sebenarnya adalah satu jenis jenama bagi produk yang membolehkan seseorang itu menggunakannya ibarat menembak menggunakan pistol. TASER® dihasilkan dan dijual di bawah satu syarikat persenjataan bernama Axon.

Memandangkan syarikat ini memonopoli penjualan senjata elektrik ini, maka, kebanyakan masyarakat di Amerika memanggilnya TASER®, sama seperti masyarakat Malaysia yang memanggil penyembur serangga sebagai Ridsect, dan mi segera sebagai Maggi.

TASER® mempunyai keupayaan untuk menembak dua ‘probe’ yang berbentuk seakan-akan sumpit/lembing (spear-shaped probes), yang dilancarkan dengan katrij yang mengandungi propellant yang terdiri daripada gas nitrogen. Probe ini disambungkan dengan pulse generator yang menghasilkan tenaga elektrik sebanyak 50,000 volts yang dihasilkan setiap lima saat. Probe ini perlu sentiasa bersambung dengan wayar yang mana kebiasaannya mempunyai kepanjangan diantara 4.5 – 10.6 meter.

Stun gun pula berbeza di mana alat yang mempunyai saiz seperti alat kawalan jauh televisyen ini menghasilkan arca elektrik yang bersambung di antara dua probenya. Tenaga yang dihasilkan amat tinggi yang mana adakalanya mencecah sehingga 250,000 volts. Sayangnya, penggunaan stun gun ini memerlukan seseorang untuk menyentuh badan musuh untuk menjalankan kesannya.

Dalam satu temubual wartawan CNN kepada Dr Ron Martinelli, iaitu pakar dalam bidang forensik, dan juga jurulatih kepada pasukan polis di Amerika, beliau menyatakan bahawa terdapat sedikit salah faham mengenai ketinggian voltage yang dihasilkan oleh senjata ini, yang mana, walaupun TASER®menghasilkan 50,000 volt tenaga dengan amperage yang sangat rendah, cuma 500 -1500 volts sahaja kesan yang masuk ke dalam badan seseorang yang terkena tembakan TASER® ini.

Dalam latihannya, beliau sering berpesan kepada anggota-anggota polis di sana untuk mengelak daripada menembak TASER® ini ke bahagian dada seseorang kerana kesannya boleh membunuh. Beliau menyatakan bahawa lokasi dan sasaran yang terbaik adalah di bahagian belakang seseorang, yang mana sebabnya akan saya bincangkan kemudian.

Dalam bidang perubatan, kita diajar satu proses di mana dalam setiap pergerakkan manusia, rasa dan pemikiran, saraf kita berkomunikasi dengan cara menghantar impuls elektrik dari satu saraf ke saraf yang lain. Contohnya, apabila kita hendak bergerak, otak kita akan menghantar impuls elektrik kepada otot badan kita dan perhubungan di antara saraf dengan otot ini kita namakan sebagai neuromuscular interaction.

Juga, apabila kita merasai kesakitan atau deria rasa yang bergantung kepada jenis reseptor di dalam badan kita (panas, sejuk, sakit, tekanan), isyarat dalam bentuk impuls elektrik akan dihantar ke arah otak kita. Namun, jumlah tenaga yang digunakan dalam proses ini amat rendah, dan tidak melebihi 100 milivolts (0.1 volt) sahaja.

Apabila seseorang terkena tembakan TASER® ini, saraf di seluruh badannya akan menjadi overloaded dengan pengaliran elektrik. Hal ini akan menyebabkan apa yang kita panggil sebagai neuromuscular incapacitated, di mana kebanyakkan perhubungan di antara otot dengan saraf terganggu. Untuk sesetengah orang juga, ketinggian voltage ini akan menyebabkan otot mereka mengecut dan gagal dikawal.

Ini adalah antara sebab mengapa Dr Ron Martinelli menggalakkan tembakan probe ini ke belakang badan seseorang itu memandangkan bahagian belakang manusia mempunyai lebih banyak otot, dan kesan elektrik ini menyebabkan seseorang itu rebah kerana banyak ototnya tidak lagi dapat dikawal.

Renjatan elektrik ini juga boleh menyebabkan seseuatu yang kita panggil sebagai anterograde amnesia, iaitu mana-mana individu yang terkena tembakan ini akan menjadi lupa dan hilang ingatan mengenai peristiwa yang baru berlaku, di mana temubual terhadap mana-mana individu tersebut menyatakan bahawa perkara terakhir yang mereka ingat adalah ditembak oleh anggota polis. Akan tetapi, kesan anterograde amnesia ini hanya bersifat sementara, dan mereka kembali normal selepas 1-2 jam daripada saat mereka terkena tembakan.

Sekiranya anda berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kesan taser ini terhadap manusia, anda boleh mengunjungi dan memuat turun fail pdf ini yang telah mereka sediakan mengenai kesan klinikal terhadap mana-mana orang yang terkena tembakan TASER® ini

https://fflm.ac.uk/wp-content/uploads/2018/12/Effects-and-management-of-TASER-discharge-Dr-J-Payne-James-and-Dr-B-Sheridan-Dec-2017.pdf

Sememangnya, di awal penciptaan dan penggunaan senjata elektrik ini, terdapat banyak kontroversi kerana kebanyakkan pengeluar senjata ini melabelkannya sebagai ‘non-lethal’. Namun, akibat munculnya beberapa kes seperti serangan jantung dan degupan jantung yang tidak tetap menyebabkan mereka mengklasifikasikan senjata ini sebagai ‘less-lethal’.

Dalam perkembangan dunia persenjataan ini, terdapat banyak penambahbaikkan dari segi reka bentuk dan fungsi sesuatu senjata itu, antaranya adalah aksesori yang boleh diletakkan di bawah senjata karbin seperti M4 dan M16 atau mana-mana senjata yang mempunyai sistem picatinny railing yang membolehkan seseorang anggota itu menukar mode serangan daripada lethal (iaitu penggunaan peluru) ataupun less-lethal.

Terdapat beberapa senjata dalam proses untuk dikeluarkan seperti X12 shotgun dengan pelurunya yang dinamakan sebagai XREP (eXtended Range Electronic Projectile) yang mampu mengenai sasaran yang terletak pada jarak 20 meter. Peluru ini mempunyai kapasiti untuk memberi kesan elektrik secara ‘wireless’.

Di negara kita, setakat ini TASER® ini masih lagi tidak digunakan secara meluas untuk anggota-anggota keselamatan seperti pihak Polis Diraja Malaysia dan faktor kos yang amat tinggi untuk membekalkan senjata-senjata ini.

Juga, kebanyakan kritik daripada pasukan keselamatan terutamanya daripada Amerika Syarikat yan gsering mengatakan bahawa terdapat banyak masalah dengan senjata elektronik ini. Adakalanya boleh membahayakan nyawa seseorang anggota itu kerana kerosakkan mahupun kecenderungan alat ini untuk ‘malfunction’ agak tinggi.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.