Kesan Minum Air Terlalu Banyak

3,765

Baru-baru ini saya menerima beberapa soalan menerusi messenger di facebook, yang bertanyakan kepada saya mengenai kesan pengambilan air kosong yang banyak dalam usaha seseorang itu untuk menguruskan badan dan mempromosikan gaya hidup yang sihat.

Manusia secara dasarnya terdiri daripada 60% cecair, yang mana daripada 60% itu, 2 per tiga daripadanya merupakan cecair yang terletak di luar sel (extracellular fluid) termasuk darah dan cecair limfa, dan 1 per 3 daripadanya terletak di dalam sel (intracellular fluid). Di dalam cecair ini, terdapat banyak jenis garam mineral seperti natrium (sodium), kalium (potassium), kalsium dan lain-lain.

Dari segi fisiologi, cecair ini amat penting untuk badan kita menjalankan fungsinya, yang mana, fungsi utama pengawalan paras air di dalam badan kita dikendalikan oleh buah pinggang. Buah pinggang kita akan mengawal seberapa banyak air yang perlu diserap semula, atau dibuang disamping mengawal paras garam mineral di dalam badan supaya tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu rendah.

Baik, untuk memahami kesan meminum air terlalu banyak ini, kita perlu memahami pula, apa yang terjadi sekiranya kita minum air secara asasnya. Apabila kita minum air, bahagian usus besar kita akan menyerap kandungan air ini kedalam darah. Setelah ditapis oleh hati, air ini yang sudahpun berada di dalam salur darah akan dipam oleh jantung kita. Sudah tentu air ini akan menambah isipadu darah kita, dan jantung kita perlu mengepam darah tersebut ke buah pinggang untuk ditapis, yang mana sekiranya ada lebihan air, buah pinggang kita akan menapis keluar air tersebut menjadi air kencing.

Hal ini menjadi sebab mengapa dalam pesakit buah pinggang, dan pesakit jantung, para doktor mengehadkan pengambilan air dalam seharian. Dalam pesakit yang mempunyai lemah jantung, lebihan air akan menyebabkan isipadu darah bertambah, dan akan menyebabkan jantung pesakit perlu bekerja dengan lebih kuat, di mana kemungkinan untuk jantungnya gagal adalah tinggi. Begitu juga apabila buah pinggang seseorang pesakit itu telah rosak. Doktor perlu mengehadkan pengambilan air oleh pesakit, kerana lebihan air tidak akan dapat ditapis oleh buah pinggang pesakit yang rosak,

Pengumpulan air di dalam badan peskait akan kemudiannya berkumpul di bahagian paru-paru, menyebabkan pulmonary oedema, disamping juga menyebabkan jantung gagal berfungsi sepenuhnya akibat terlalu banyak darah dan cecair perlu dipam di dalam badan seseorang.

Sekarang, cuba kita lihat apa pula kesannya apabila seseorang yang sihat, dan mempunyai organ yang normal mengambil air yang terlalu banyak. Kita perlu tahu, pengambilan air sebanyak 2 liter sehari (lebih kurang 8 gelas sehari) adalah seperti yang digalakkan setelah mengambil kira berat badan seseorang secara purata.

Saya amat terkejut apabila ada beberapa cadangan di media sosial ini yang menggalakkan seseorang itu untuk minum sehingga 6 liter ke 7 liter air sehari. Anda perlu tahu, pengambilan air sebanyak ini, walaupun jika anda minum sedikit demi sedikit sekalipun boleh membunuh seseorang dengan mudah akibat pelbagai jenis kesan dan komplikasinya terhadap organ dan fungsi fisiologi badan kita dalam keadaaan yang kita panggil sebagai water intoxication.

Pengambilan air yang tinggi akan menyebabkan darah kita menjadi cair, dan meletakkan kandungan garam sodium (natrium) menjadi seolah-olah rendah, dalam satu kondisi yang kita panggil sebagai dilutional hyponatraemia. Apabila darah kita berada dalam keadaan ini, yang mana dari segi kepekatannya rendah berbanding dengan kepekatan didalam sel, air akan mulai meresap masuk ke dalam sel. Dalam proses ini, sel kita akan mula membengkak, tetapi hal ini tidak menjadi masalah untuk sel-sel lain di dalam badan kita, kecuali otak.

Apabila otak kita mulai membengkak (oedema), terminologi yang kita gunakan, iaitu cerebral oedema amat berbahaya, di mana otak kita akan membengkak sehingga ke tahap tiada lagi ruang untuk peningkatan tekanan di dalam tempurung kepala kita yang tertutup, hal ini akan menyebabkan darah tidak lagi boleh sampai ke otak kita, dan yang kedua, tekanan ini akan menghimpit bahagian ‘brain stem’ kita yang mengawal pernafasan dan degupan jantung kita.

Peningkatan tekanan di dalam tmepurung kepala kita pada awalnya menyebabkan gejala sakit kepala dan muntah-muntah, dan sekiranya dibiarkan, seseorang itu akan mengalami sawan, diikuti pengsan, koma dan akhirnya maut. Keadaan ini boleh berlaku dalam masa kurang daripada 10 jam sahaja. Jadi, sekiranya seseorang menggalakkan kepada anda untuk minum air banyak-banyak untuk menguruskan badan, memang boleh. Tetapi apalah gunanya mempunyai badan yang kurus sekiranya anda tidak sedarkan diri dan mengalami sawan akibat cerebral oedema.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.