Kesan Industri Sayur Kepada Alam Sekitar

373

Aktiviti semasa manusia pada setiap masa bertujuan untuk meneruskan kehidupan. Namun acapkali juga kegiatan harian yang diamalkan secara rutin meninggalkan suatu perkara dikenali sebagai tapak kaki karbon. Setepatnya perkara ini ialah pelepasan gas-gas yang boleh mengancam alam sekitar. Dan antara penyumbang kepada kerosakan alam sekitar ialah industri pertanian. Adalah suatu hipokrasi yang nyata untuk mengecilkan skop kesedaran persekitaran hanya terhadap impak-impak daripada industri perladangan daging semata-mata.

Dalam pertanian seperti penanaman bijian hingga sayur-sayuran, impaknya lebih berpunca kerana pengurusan tidak mesra alam yang diamalkan pengusaha. Situasi kenaikan harga makanan global sekitar 2000 hingga sekarang boleh dikatakan mempunyai berpunca daripada persekitaran juga. Perang Dunia Kedua telah memberikan kesan negatif terhadap pertumbuhan populasi dunia. Namun generasi Baby Boomers telah membetulkan kesan tersebut. Mereka memulakan keluarga dan beranak-pinak dalam suatu persekitaran geopolitik jauh lebih stabil berbanding generasi sebelumnya.

Menyedari situasi ini, pengusaha-pengusaha pertanian pun berhempas-pulas menghasilkan tanaman untuk mengisi perut-perut diperlukan. Pelaburan dalam industri pertanian pun mula meningkat, dan hutan-hutan tebal ditebang untuk beberapa sebab seperti projek-projek kemanusiaan seperti pembangunan, penempatan dan pertanian. Apabila berlakunya penebangan hutan secara besar-besaran, kepelbagaian biologi pun mula terancam dan menyebabkan kepupusan spesis-spesis tertentu.

Bunyinya mungkin dilihat kecil sahaja. Namun kesannya sangat meluas, kerana setiap haiwan mempunyai peranan dalam alam sekitar. Tanaman-tanaman yang disambut hebat diutamakan, yang kehilangan pokok menghancurkan spesis haiwan liar, burung dan serangga tertentu. Harimau Sumatera dan Gajah Kerdil merupakan dua spesis contoh yang telahpun pupus kerana penebangan hutan (dan pemburuan haram). Dalam satu lagi statistik, dipercayai 1,500 tumbuh-tumbuhan, 79 mamalia, 44 burung, 15 reptilia dan tiga amfibia kini terancam.D an angka-angka tersebut sebenarnya mewakili spesis, bukan jumlah haiwan.

Dengan kemasukan peserta-peserta baharu, persaingan perniagaan pun semakin kental. Setiap seorang berlumba-lumba untuk menambahkan tanaman dan juga hasil. Jika sebatang pokok boleh mengeluarkan hasil sebanyak 10 buah, mereka mengejar untuk meningkatkan ke 20 pula. Pembajaan secara berlebihan, selagi boleh diterima pokok, pada asalnya disangka sangat positif. Namun antara 1960-2000, tanpa disangka pembajaan berpanjangan meninggalkan kesan pada tanah.

Setiap inci tanah yang dibajak untuk penanaman kehilangan zat-zat penting yang mengganggu imbangan dan merosakkan jirim organik semulajadi dalam tanah. Dengan kegiatan penebangan pula, tanah sudah tidak lagi mampu menadah air hujan dan menyebabkan banjir kilat yang berlumpur. Air dan nitrogen daripada siraman dan baja turut juga menyebabkan pencemaran sehingga tidak sesuai untuk manusia pun.

Penanaman sayur-sayuran yang berlebihan juga ibaratkan syurga makanan kepada spesis-spesis haiwan perosak seperti babi hutan dan tikus yang bukan sahaja merosakkan tanaman tetapi boleh menyebarkan penyakit berbahaya. Anjakan populasi perosak juga bermakna manusia menggunakan racun-racun perosak dalam perkadaran lebih tinggi. Penggunaan racun mungkin dilihat positif dalam naratif lawan penyakit. Namun peranan pemangsa yang mengawal perosak ini juga perlu dipertimbangkan. Bilangan haiwan-haiwan seperti burung hantu dan helang semakin menurun kerana kekurangan makanan dan jugan perosak yang sudah beracun.

Pengeluaran beras mempunyai kesan sampingan pada asalnya apabila jerami dan sekam dibakar sewenang-wenangnya. Api dan asap yang menghasilkan karbon dioksida dan monoksida berbahaya mewajibkan peraturan terperinci untuk membendung kegiatan ini. Bahan api seperti diesel dan elektrik turut mempunyai kesan-kesan buruk. Maka setelah dihitung kira, hujah mengatakan bahawa diet pro-sayur lebih mesra alam mempunyai falasi yang besar.

https://www.thepatriots.store/store/pra-tempah/

Buktinya jelas di Cameron Highlands yang penanaman sayur-sayuran berkembang secara berleluasa sejak lima dekad lalu. Pengairan dan pembajaan menggunakan tinja ayam dan bahan-bahan tidak organik bersertakan pembuatan teres pada cerun semulajadi telah menyebabkan pemendapan dan penghakisan tanah.

RUJUKAN:

FAO. Agriculture and the environment: changing pressures, solutions and trade-offs. Retrieved from http://www.fao.org/3/y4252e/y4252e12.pdf

Midmore, D.J., Jansen H.G.P., & Dumsday, R.G. (1996). Soil erosion and environmental impact of vegetable production in the Cameron Highlands, Malaysia. Agriculture, Ecosystems & Environment, 60(1), 29-46. doi: https://doi.org/10.1016/S0167-8809(96)01065-1

 

 

 

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.