Kesan Duduk Terlalu Lama Dalam Tandas

1,098

Baru-baru ini, saya ada menghubungi seorang doktor pakar bedah am di sebuah hospital yang terletak di Serdang. Dalam perbualan kami, saya sempat bertanya mengenai kekerapan belia untuk menerima pesakit yang mempunyai diagnosis haemorrhoid, atau bahasa Melayunya adalah buasir.

Jadi, sebelum saya menulis lebih lanjut mengenai penyakit ini, mari kita sama-sama lihat terlebih dahulu, dari manakah datangnya penyakit ini. Untuk pengetahuan anda, bahagian dubur kita, iaitu rektum adalah satu tempat di mana terletaknya salur darah yang kita panggil sebagai hemorrhoidal plexus.

Salur darah ini berfungsi sebagai satu kusyen, dan menyumbang kepada 15 hingga 20% kebolehan kita untuk menahan daripada terbuang air besar, atau dalam bahasa inggerisnya, continence. Bahagian ini amat penting dari fungsi asasnya. Juga, anda semua perlu tahu bahawa buasir ini terdapat dua jenis, iaitu internal dan external hemorrhoid. Dalam penerangan ini, saya lebih menumpukan kepada external hemorrhoid, kerana external hemorrhoid ini, walaupun hanya 40% daripada kes yang hadir ke hospital adalah bersifat sebegini, namun, kondisi ini amat menyakitkan pesakit.

Struktur yang terlibat dalam internal hemorrhoid adalah salur darah yang terletak di dalam rektum, dan disebabkan oleh bahagian ini tidak mempunyai saraf yang menyebabkan kesakitan, kebanyakkan pesakit tidak sedar akan dirinya mempunyai penyakit ini, dan selalunya, dalam keadaan ini, pesakit akan hadir ke hospital dengan aduan bahawa apabila dia membuang air besar, terdapat darah di dalam najisnya, dan warna darah yang berkaitan dengan internal haemorrhoid ini adalah bewarna merah terang. Walau bagaimanapun, apabila penyakit ini progress, disamping ada tisu yang mulai mati, kesakitan akan mula dialami oleh pesakit.

Bagi external haemorrhoid pula, pesakit akan merasai kesakitan yang amat, serta apabila penyakit ini semakin buruk (kedua-dua internal dan external) iaitu gred 2 – 4, mereka akan dapat merasai ada sesuatu di dubur mereka walaupun mereka tidak membuang air besar. Hal ini terjadi akibat keradangan dan juga kadangkala berkaitan dengan komplikasi haemorrhoid ini iaitu jangkitan kuman. Pesakit akan merasai kesakitan di dubur, beserta dengan kawasan tersebut yang menjadi gatal serta terdapat kesan najis di seluar dalam. Ini adalah tanda-tanda awal buasir.

Dalam perbualan saya bersama pakar bedah, beliau mengatakan bahawa kes-kes haemorrhoid ini semakin meningkat setiap hari. Antara risikonya adalah mengadung, sering sembelit, ubat-ubatan yang menyebabkan sembelit dan yang paling utama adalah akibat duduk terlalu lama di dalam tandas, yang kini menjadi punca utama mengapa hal ini akan terjadi.

Di zaman ini, kita tidak lari daripada mempunyai satu tabiat bermain telefon bimbit kita di dalam tandas. Ada yang suka melayari internet, menulis, melayari laman media sosial, menonton video dan bermain game di dalam tandas. Perbuatan ini akan menyebabkan seseorang itu lalai dan leka mengenai tempoh dan durasi seseorang itu duduk di dalam tandas. Kelalaian ini membawa musibah, kerana apabila kita duduk mahupun mencangkung di dalam tandas, bahagian hemorrhoidal plexus ini akan mengembang untuk membolehkan kita mengawal najis yang keluar daripada rektum.

Disebabkan itu, kesannya akan menyebabkan pembengkakkan di bahagian ini, yang mengakibatkan buasir. Penyakit ini pada kebiasaannya akan boleh hilang dengan sendiri tanpa memerlukan bantuan perubatan, terutama sekali pada buasir gred 1. Untuk gred 2 – 4, rawatan daripada doktor akan diperlukan, yang mana terdapat beberapa rawatan yang sering digunakan antaranya, ubat-ubatan dan juga pembedahan.

Pembedahan hanya akan dilakukan sekiranya pengambilan ubat-ubatan tidak memberi apa-apa kesan terhadap pesakit. Saya tidak ingin mengulas dengan lebih lanjut mengenai rawatan-rawatan yang ada dalam artikel ini, sebaliknya hanya ingin menumpukan kesan dan tabiat-tabiat buruk yang mulai muncul sejak kemunculan peranti telfon pintar yang membolehkan seseorang itu lalai dan lupa bahawa dia sedang duduk mahupun cangkung di dalam tandas.

Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Selain daripada mengelakkan diri daripada menggunakan peranti pintar mahupun membaca buku di dalam tandas, cara-cara pencegahan lain termasuklah dengan cara mengamalkan diet yang berserat tinggi, minum air yang mencukupi serta mengelakkan mana-mana makanan mahupun ubat-ubatan yang boleh menyebabkan sembelit. Sekiranya anda mempunyai penyakit ini, anda juga harus memberitahu doktor yang merawat anda supaya dia tidak memberikan mana-mana ubat yang boleh menerukkan penyakit ini seperti ubat tahan sakit dalam kelas opioid dan pil-pil kalsium.

Disebabkan oleh penyakit ini berkait rapat dengan bahagian dubur, justeru, kebanyakkan pesakit sebenarnya tidak akan berjumpa dengan doktor lebih awal, sebaliknya, hanya akan berjumpa sekiranya masalah ini sudahpun tidak terkawal dan mengalami banyak komplikasi-komplikasi lain. Saya juga berharap agar anda mengamalkan gaya hidup yang sihat, menjaga pemakanan dan mengelakkan diri daripada melakukan beberapa tabiat buruk yang boleh menyebabkna penyakit ini menjadi lebih teruk.

PS – Aktiviti semburit tidak akan mampu menolak kembali buasir yang sudah terkeluar, sebaliknya akan menerukkan lagi keadaan seseorang disamping menyebabkan jangkitan kuman pada bahagian tersebut 😛

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.