Kesan Batman – Bagaimana Alter-Ego Menguatkan Diri…

568

https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Selalunya bila melihat adiwira sama ada dalam komik atau media visual seperti filem atau televisyen, kita tertanya-tanya mengapa individu seperti Oliver Queen, Bruce Wayne atau Tony Stark dapat berlawan dengan yakin dan penuh keazaman. Ia seolah-olah menjadikan mereka kebal walau diasak musuh mereka. Ini menunjukkan mempunyai identiti samaran ada kelebihannya yang tersendiri.

Perkara ini bukan sekadar berlaku dalam alam fiksyen tetapi di dunia sebenar. Buktinya, penyanyi terkenal Beyonce. Dalam satu temubual bersama Oprah Winfrey, beliau mendedahkan mewujudkan alter-egoliti kedua bernama Sasha Fierce bagi membantu mengawal kebimbangan dan menambah keyakinan semasa berada di pentas. Alter-ego tersebut digunakan dari 2008 hingga 2010 sebelum Beyonce merasa bersedia mengawal isu psikologinya sendiri.

Selain Beyonce, suara emas terkenal Britain iaitu Adele turut menggunakan pendekatan sama. Dalam temubual bersama majalah Rolling Stone pada tahun 2011, Adele turut menghasilkan alter-ego sama seperti Beyonce selepas berpeluang bertemu dengannya. Justeru, bila beliau beraksi di pentas, alter-egonya ialah Sasha Carter.

Alter-ego ini membolehkan Adele memberi persembahan terbaik pada tahun pencapaiannya diiktiraf oleh industri seni Barat. Mungkin bagi sesetengah orang, ia sekadar gimik di pentas. Tetapi bagi saintis, penggunaan alter-ego kedua ini sebenarnya merupakan bentuk penjarakan kendiri yang memberi pelbagai kelebihan psikologi kepada pengamalnya.

Rachel White, seorang penolong profesor dari Hamilton College di New York State berkata, “Penjarakan kendiri memberi kita sedikit ruang tambahan untuk berfikir secara rasional tentang sesebuah situasi.” Penjarakan kendiri membenarkan si pelaku mengawal perasaan negatif seperti kebimbangan, meningkatkan kesungguhan dalam menyelesaikan tugasan mencabar dan meningkatkan kawalan kendiri.

Sebarang perubahan walaupun sedikit dari segi perspektif sudah cukup membantu seseorang itu mengawal emosinya. Buktinya, sekumpulan penyelidik mengadakan satu eksperimen di mana peserta diminta memikirkan peristiwa mencabar pada masa hadapan seperti peperiksaan penting mengikut dua cara berbeza.

Satu kumpulan diarah memikirkan peperiksaan secara mendalam dan menggambarkannya seperti berada di dalam dewan peperiksaan. Sementara satu lagi kumpulan diarah melihat perkara tersebut secara jarak jauh seperti lalat yang hinggap pada dinding.

Perbezaan hasil eksperimen amat mengejutkan. Kumpulan yang mengambil pendekatan melihat dari jauh dilihat kurang bimbang bila menghadapi peperiksaan berbanding kumpulan pertama. Penjarakan kendiri meningkatkan kecekapan diri pelaku – pro-aktif dalam menilai situasi dan beradaptasi bagi mencapai matlamat mereka.

Penjarakan kendiri turut membantu pelaku fokus kepada gambaran yang lebih besar daripada terperangkap dengan sentimen semasa. Dan ini turut membantu mana-mana individu yang mengamalkan tabiat kesihatan yang baik. Bagi penyelidik psikologi sosial dari Universiti Minnesota, Celina Furman, penjarakan kendiri merupakan antara beberapa cara kawalan kendiri yang membantu menambahbaik tabiat pemakanan seseorang.

Penjarakan kendiri membolehkan adiwira seperti Batman mengatasi musuh mereka dalam konflik seperti dipaparkan dalam The Dark Knight Rises.

Dan seperti Batman atau Green Arrow, penjarakan kendiri turut meningkatkan keazaman seseorang termasuk dari segi disiplin diri membabitkan kanak-kanak. Ini dibuktikan menerusi satu eksperimen di mana kanak-kanak diuji perhatian mereka dengan menekan butang bar ruang jika melihat gambar keju. Nampak membosankan tetapi responden diberitahu tugas itu penting dan mereka dianggap pembantu yang baik jika melakukannya selama mungkin.

Sebelum itu, responden diajar memberitahu apa perasaan mereka sekiranya tugas tersebut membosankan. Satu kumpulan diajar berfikir “apakah dia sudah bekerja keras?”, kumpulan kedua diajar berfikir dalam konteks orang ketiga (adakah Hana sudah bekerja keras?) dan kumpulan terakhir diajar befikir secara alter-ego fiksyen seperti Batman (apakah Batman sudah bekerja keras?).

Hasilnya sangat mengejutkan. Walaupun kumpulan kedua menghabiskan masa 10% lebih daripada kumpulan pertama, kumpulan ketiga menghabiskan masa sebanyak 13% lebih daripada dua kumpulan berkenaan. Kumpulan ketiga juga dilihat mempunyai fokus dan keazaman yang bertambah sekaligus menambahbaik fungsi eksekutif seseorang itu.

Jadi, bagaimana mahu mendapatkan penjarakan kendiri atau kesan Batman ini? Menurut White, ia boleh dibuat dengan memilih individu berbeza untuk jenis matlamat yang berbeza. Apa saja alter-ego yang dipilih, ia boleh menghasilkan ruang psikologi tambahan yang menjauhkan individu daripada perasaan negatif sambil mengingatkan pelaku tingkah laku mana yang mahu ditiru.

Tidak kira alter-ego siapa yang dipilih, sedikit imaginasi sudah cukup untuk meletakkan kita semua lebih hampir kepada alter-ego impian yang diimpikan kita.

RUJUKAN:

Robson, David. (2020). The ‘Batman Effect’: How having an alter ego empowers you. BBC Worklife. https://www.bbc.com/worklife/article/20200817-the-batman-effect-how-having-an-alter-ego-empowers-you

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.