Keruntuhan Ekonomi: Khabar Dari Troy

783
views

Kita semua tahu kisah kejatuhan dan penjarahan bandar Troy yang dicoret oleh Homer menerusi dua kisah epik, Iliad dan Odyssey. Pada kemuncak Zaman Gangsa, kuasa-kuasa besar ketika itu seperti Yunani, Babylon, Mesir dan Hittite dilihat membentuk kawasan selamat bagi para pedagang berdagang sekitar Mediterranean. Tetapi dalam tempoh 100 tahun selepas Perang Troy atau lebih tepat 1170 Sebelum Masihi (BC), kebanyakan tamadun ini runtuh sehinggakan seni tulisan juga hilang ditelan zaman. Dan apa yang berlaku pada era ini sedang berulang sekarang. Jadi apa iktibar yang kita boleh ambil dari kisah Iliad dan Odyssey Homer ini?

Dunia saling berhubung

Pada Zaman Gangsa, negara-negara kota saling berhubung dan sedikit-sebanyak bergantung antara satu sama lain, satu realiti yang berlaku pada hari ini. Cuma bezanya pada zaman moden ini, ianya lebih rumit dengan jalinan ekonomi dan pasaran kewangan antarabangsa, proses pengilangan yang bersifat ke hadapan dan rangkaian bekalan antarabangsa. Dan seperti mana minyak dan gas asli yang menjadi komoditi penting dunia hari ini, komoditi dunia pada Zaman Gangsa ialah gangsa.

Mengapa gangsa? Tanpa gangsa, sesebuah negara kota akan berhadapan tugas sukar mempersiapkan pasukan tentera mereka menghadapi negara-negara pesaing yang mengancam kedudukan mereka. Kuprum misalnya diambil dari Cyprus tetapi untuk bahan seperti bijih timah, negara-negara kota perlu mengeksport bahan berkenaan dari Afghanistan. Bijih timah akan dieksport melalui jalan darat ke Syria sebelum dibawa menerusi jalan laut untuk sampai ke destinasi dituju. Bagi Dr Carol Bell dari University College London berpandangan mendapatkan bijih timah untuk menghasilkan senjata gangsa berkualiti amat penting dan menjadi punca dilema sesetengah pemimpin seperti yang berlaku hari ini.

Perdagangan mudah terdedah

Dan seperti apa yang berlaku semasa Perang Troy, isu gangguan perdagangan global merupakan sesuatu yang menghantui semua pemimpin negara dari kuasa dunia hinggalah negara-negara serantau. Pada tahun 2012 misalnya, Iran mengancam akan menutup Selat Hormuz sebagai tindak balas terhadap sekatan minyak yang dikenakan Amerika Syarikat terhadap negara berkenaan. Selat Hormuz amat penting bagi negara-negara pengeluar minyak kerana 20% daripada bekalan minyak dunia melalui selat berkenaan. Ini mengakibatkan harga minyak pada tahun itu naik dan Iran memberi amaran jika langkah itu diteruskan, ia bakal memberi kesan besar kepada pasaran minyak.

Dan pada tahun lepas, satu laporan yang dibuat oleh Chatham House mendesak negara-negara dunia berusaha lebih gigih melindungi kawasan-kawasan penting sepanjang laluan perdagangan dunia. Dardanelles atau Selat Turki misalnya, amat penting untuk pasaran gandum kerana 1/5 eksport global komoditi berkenaan melalui kawasan tersebut setiap tahun. Laporan tersebut turut menambah sekiranya berlaku gangguan pada kawasan-kawasan ini seperti bencana alam atau serangan pengganas, ia boleh mengakibatkan berlakunya kekurangan bekalan dan kenaikan harga komoditi berkenaan. Dan jika ia dibiarkan berterusan, ia boleh mencetuskan kerosakan melebihi pasaran makanan itu sendiri. Andrew Shapland, seorang kurator pameran Zaman Gangsa Yunani di Muzium Britain (British Museum) berpandangan gangguan kecil atau bencana alam di laluan perdagangan sudah cukup mencetuskan kekacauan ekonomi di negara-negara kota.

Perubahan iklim

Melalui laporan sama, perubahan iklim dilihat ancaman paling besar yang berpotensi menggugat kawasan-kawasan penting di setiap laluan perdagangan dunia. Ini kerana ia akan memaksa negara-negara yang terkesan meletakkan kawalan eksport untuk mengelak gangguan bekalan lebih-lebih lagi bila ia berkurangan, meningkatkan konflik dan ketidakstabilan di wilayah-wilayah terjejas. Contohnya untuk komoditi kacang soya, apabila Taufan Katrina melanda Amerika Syarikat pada tahun 2005, ia menjejaskan eksport komoditi berkenaan kerana ia dibawa keluar menerusi Teluk Mexico. Dan siapa tidak boleh lupa impak gempa bumi yang melanda Jepun pada tahun 2011 yang menyaksikan impak ekonominya memberi kesan kepada negara-negara Asia.

Dan pada Zaman Gangsa, negara-negara kota pada era itu dihimpit bukan satu atau dua tetapi pelbagai peristiwa yang mengakibatkan kejatuhan sesebuah negara berkenaan. Ada sesetengah negara dihimpit masalah kebuluran dan kemarau. Jika tidak dua masalah itu, mereka berhadapan masalah lain seperti letusan gunung berapi, gempa bumi, pemberontakan, penghijrahan pelarian secara besar-besaran, gangguan perdagangan sama ada dalam bentuk sekatan, impak hubungan luar atau peperangan. Walaupun dunia hari ini dilihat masih berkemampuan menahan impak peristiwa-peristiwa ini tetapi sekali ia berlaku, ia sudah buat ramai pemimpin dunia menggaru kepala.

Kesan berganda

Impak yang dirasakan akibat peristiwa-peristiwa ini amat dahsyat pada Zaman Gangsa. Pada tahun 1250BC, bila kebuluran melanda Hattite, permaisuri mereka menulis sepucuk surat memohon bantuan gandum dihantar ke wilayah berkenaan. Sementara seorang pedagang Syria memberi amaran sekiranya situasi ini berterusan, ramai yang akan mati kelaparan dalam rumah mereka sendiri. Untuk meredakan situasi itu, Mesir mula menghantar bekalan makanan untuk membantu jiran-jiran mereka.

Tetapi seperti mana yang dilakukan Donald Trump semasa sidang kemuncaknya bersama Korea Utara baru-baru ini, situasi ini turut diambil kesempatan oleh Firaun Mesir. Trump menggunakan sidang tersebut untuk menunjukkan statusnya sebagai seorang pemimpin yang cintakan keamanan. Manakala Firaun Mesir yang dipercayai Ramses II menggunakan peluang ini untuk mengukuhkan statusnya sebagai Tuhan Mesir Purba dengan berkata, “Akulah yang menyebabkan gandum dibawa ke kapal-kapal untuk menghidupkan kembali bumi Hatti.”

Bagaimanapun, kerjasama antarabangsa ini masih tidak mencukupi. Tidak diketahui apa yang berlaku kepada rakyat kawasan-kawasan yang terjejas sama ada mereka memberontak atau tidak. Tetapi jika kita ikut naratif apa yang berlaku mengikut lipatan sejarah, ia sudah pasti mencetuskan pemberontakan, perang saudara dan penghijrahan besar-besaran pelarian. Dan ini memberi kesan kepada negara-negara kota sekitarnya, sesuatu yang kini dialami negara-negara dunia hari ini yang menyaksikan krisis pelarian menuju ke Eropah, Amerika Syarikat dan negara-negara Asia akibat peperangan atau perubahan iklim.

Migrasi pelarian

Kita tahu kebangkitan rejim-rejim berhaluan kanan di Eropah timbul akibat krisis pelarian yang melanda benua berkenaan. Dan selalunya mereka dipersalahkan untuk pelbagai masalah seperti peningkatan gejala sosial dan tekanan ekonomi. Dan siapa sangka, inilah juga modal propaganda yang digunakan kerajaan Mesir Purba selepas menyaksikan negara-negara jiran mereka tumbang satu persatu. Pada zaman berkenaan, kerajaan itu menyalahkan sekumpulan orang yang digelar Orang Laut yang datang dari pelbagai kelompok di Mediterranean.

Berdasarkan satu prasasti pada satu kuil, penulis-penulis Mesir Purba menyatakan kelompok ini terbentuk akibat konspirasi yang dirancang di negara asal mereka. Dan sejak itu, mereka mengembara dari satu tempat ke satu tempat dan bertaburan di merata tempat. Dan yang pasti, tiada siapa yang dapat menghalang ancaman mereka. Mesir dilihat mempunyai masa membina kekuatan untuk mempertahankan dirinya dengan satu prasasti memperlihatkan kenyataan Firaun Ramses III. Dalam inskripsi itu, Ramses III bertitah, “Aku menghalau mana-mana manusia yang menceroboh dari tanah mereka, mereka terdiri daripada orang yang tidak pernah wujud.”

Jika kita membaca kenyataan baginda dari konteks dunia moden hari ini, ia diibaratkan seperti satu pengisytiharan perang terhadap golongan imigran yang hendak berhijrah ke negara-negara tertentu. Dan bagi Shapland, jika Ramses III meniru taktik yang digunakan Trump yang menyalahkan imigran sebagai punca kejatuhan ekonomi sesebuah negara, ia sudah pasti akan menimbulkan situasi huru-hara yang boleh mengancam kekuasaan baginda. Dan ini akhirnya membawa kepada kejatuhan sesebuah kerajaan.

Fakta atau fiksyen?

Menerusi catatannya, Homer menyalahkan hubungan Paris dengan Helen of Troy sehingga mendorong Paris melarikan permaisuri Sparta ke kota berkenaan. Ini mencetuskan perang selama 10 tahun sebelum diakhiri dengan taktik kuda Trojan yang membolehkan pihak Yunani mengalahkan Troy dan menjarah kota itu. Realitinya, Yunani melancarkan beberapa ekspedisi ketenteraan di pantai barat Anatolia dengan satu catatan menunjukkan seorang pemerintah Yunani mengetuai 100 kereta berkuda dan infantri menentang seorang putera Hittite.

Kedua-dua belah pihak pernah bertempur berkenaan Troy di mana pada satu ketika, keluarga diraja Troy disingkirkan. Satu lagi bukti menunjukkan surat yang menyatakan perjanjian damai Yunani-Hittite berkenaan Troy. Tiada bukti menunjukkan catatan Homer tepat tetapi bagi sejarawan, Troy sememangnya menjadi tumpuan kerana mempunyai kekayaan yang melimpah-ruah. Maka tidak hairanlah mengapa ramai mahu menawan dan menjarah kota berkenaan. Dan ia benar-benar berlaku pada 1200BC tetapi tiada sebarang rekod dari Yunani.

Sebaliknya, rekod penjarahan ini datang dari seorang pemerintah Ugarit yang meminta bantuan negara-negara jiran lain yang terperangkap dengan madah berhelah Yunani itu. Tetapi tiada siapa yang dapat membantu dan jika bantuan datang, kedatangannya sudah dianggap terlambat. Ini kerana mana-mana penduduk yang terselamat ditahan dan dijual beli sebagai hamba atau terpaksa menjadi pelarian tatkala masyarakat sesebuah negara runtuh.

Walaupun pihak Yunani berjaya menghapuskan musuh ketat mereka, kejayaan tersebut tidak bertahan lama. Ini kerana tidak lama selepas itu, giliran negara-negara kota Yunani pula yang tumbang atau ditinggalkan oleh penduduknya. Begitu juga dengan negara-negara kota di Timur Tengah seperti Hittite, Assyria dan Babylon turut menerima nasib sama. Satu-satunya negara kota yang tidak mengikut trend ini ialah Mesir. Dan bagi Eric Cline dari Universiti George Washington, Washington D.C, walaupun kisah Homer itu berkemungkinan fiksyen semata-mata, ia tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menolak kisah berkenaan mentah-mentah. Beliau menambah, “Setiap tamadun di dunia ini akan tumbang juga akhirnya. Ianya merupakan satu kesilapan untuk kita bermegah dengan menyangka kita satu-satunya tamadun yang akan terselamat.”

SUMBER

  1. Syed, Saira. (2011). BBC. Japan quake: Economic impact felt across Asia. https://www.bbc.co.uk/news/business-12768928
  2. Bailey, Rob dan Wellesley, Laura. (2017). Chatham House. Chokepoints and Vulnerabilities in Global Food Trade. https://www.chathamhouse.org/sites/default/files/publications/research/2017-06-27-chokepoints-vulnerabilities-global-food-trade-bailey-wellesley-final.pdf
  3. Bowler, Tim. (2018). BBC. Economic collapse: The real message of the fall of Troy. https://www.bbc.com/news/business-42864071

 

 

 

 

 

Previous articleSelatanisasi – Bagaimana Dunia Adaptasi Kebudayaan India?
Next articleZaman “Melayu Mudah Lupa” Tun M Dah Lama Tamat…
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE