Semasa perbahasan usul mengenai Kertas Putih Ke Arah Kelestarian FELDA pada 10 April 2019 yang lepas, pembahas dari pembangkang, YB Datuk Seri Ahmad bin Maslan, anggota Parlimen bagi Pontian telah membangkitkan mengenai kekurangan perincian dokumen ini mengenai Felda Global Venture Holdings Berhad atau FGV Holdings Berhad (FGV) dan peranannya kepada FELDA untuk masa hadapan. Beliau sempat menyenaraikan keuntungan FGV dari tahun 2012 sehingga 2018 dan bagaimana kesan dari dasar ekonomi kerajaan sejak mengambil alih Putrajaya terhadap FGV.

Soalan beliau sangat penting kerana mahu atau tidak, kita kena akui FGV Holdings mempunyai hubungan yang amat istimewa dengan FELDA. FELDA memiliki pegangan saham di FGV sebanyak 33.66% atau 1.227 billion unit saham. Ini menjadi FELDA mempunyai ‘pengaruh’ yang besar kepada hala tuju dan perancangan operasi FGV, walaupun pegangan ini diklasifikasikan sebagai ‘syarikat bersekutu’. Selain itu, penyenaraian FGV pada tahun 2012 melibatkan FELDA melepaskan aset-aset berharga industri hiliran kepada FGV disamping memajakkan lot-lot komersil FELDA yang berkeluasan hampir 350,000 hektar melalui Perjanjian Pajakan Tanah (Land Lease Agreement) selama 99 tahun.

Secara mudahnya, Tan Sri Shahrir Samad pernah mengumpamakan FELDA adalah ayah dan FGV  adalah anak. Sudah menjadi tanggungjawab ayah untuk memberikan yang terbaik kepada anak. FGV pula sebagai anak yang bertanggungjawab haruslah menjaga dan mentadbir asset-aset yang ‘diwariskan’ kepada ia dengan sebaik mungkin seterusnya membalas dengan bayaran dividen yang tinggi serta peratusan keuntungan hasil ladang LLA nya yang tinggi. Untuk makluman, FGV telah membayar dividen berjumlah RM328.3 juta kepada FELDA sejak penyenaraiannya dan RM253.4 juta daripadanya telah diagihkan kepada peneroka FELDA yang layak.

Maka, apabila Kertas Putih ini tidak menerangkan perancangan FELDA dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi mengenai FGV, sudah tentu ianya akan menjadi tanda tanya. Walaupun Tan Sri Shahrir Samad menegaskan bahawa urus tadbir korporat Kumpulan FELDA harus diperkukuhkan dengan adanya Pengerusi-Pengerusi dan Lembaga Pengarahnya sendiri bagi FELDA, FGV, Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) dan Yayasan FELDA, beliau percaya FELDA harus mengekalkan hubungan istimewa dengan FGV. Malah beliau juga bertegas wakil FELDA harus duduk di Lembaga Pengarah FGV kerana aset-aset FGV H adalah pada asalnya milik FELDA. Ketegasan beliau membolehkan FELDA mencalonkan 2 orang wakil FELDA di dalam FGV.

Cadangan-cadangan yang ada di dalam Kertas Putih itu sendiri hampir kebanyakkannya bukan cadangan baru. Pengurusan FELDA pada tahun 2017 telah memulakan proses pemulihan urus tadbir, meningkatkan integriti, melancarkan kempen anti rasuah, bekerjasama dengan SPRM untuk siasatan pembelian-pembelian aset yang mencurigakan serta menstruktur kembali aset-aset FELDA untuk memperkukuhkan aliran tunai FELDA. Oleh kerana itu, ramai mengkritik bahawa Kertas Putih ini dibangunkan tergesa-gesa dan tidak komprehensif seperti ianya hanya semata-mata ingin ‘memaksa’ YB Menteri Kewangan, Lim Guan Eng untuk meluluskan dana bagi membantu FELDA.

Janji kerajaan untuk FELDA bakal dibantu melalui suntikan RM6.23 billion juga masih ‘vague’ dan tiada perincian. Kita masih tidak tahu, adakah ianya dalam bentuk geran Kerajaan, Pinjaman dari Kerajaan Pusat atau Jaminan Kerajaan untuk pinjaman dari institusi luar atau kombinasi ketiga-tiga instrumen. Pun begitu, ianya masih bersifat jangka masa pendek atau ‘short term’. Pengakhirannya sumbangan dividen FGV kepada FELDA masih penting dan bayaran pajakan LLA sebanyak RM248juta setahun serta 15% keuntungan hasil ladang masih menyumbang sebahagian besar kepada pendapatan FELDA. Rekod menunjukkan FELDA telah menerima bayaran pajakan LLA dan Perkongsian Keuntungan 15% terkumpul sehingga 2017 adalah masing-masing RM1.477 billion dan RM445.9juta. Bukankah ini jelas menunjukkan betapa pentingnya FGV kepada FELDA.

Selain itu perkara pokok yang penting seperti hala tuju holistik FELDA untuk dekad-dekad mendatang merangkumi peranan dan kebajikan peneroka, pengurusan ladang dan pengenalan tanaman komoditi baru, pembangunan komuniti dan infrastruktur untuk mendekatkan warga peneroka dan seluruh negara serta peranan FGV di dalam semua di atas. FGV, mahu tidak mahu sudah menjadi ‘integral part of FELDA’. Cuma Lembaga Pengarah dan Pengurusannya mempunyai kebebasan untuk melaksanakan amanah pemegang saham yang utama iaitu peningkatan nilai dan pembayaran dividen yang tinggi.

Oleh yang demikian, sebarang usaha untuk menjauhkan lagi FELDA dan FGV adalah amat tidak bertanggungjawab. Kerajaan seharusnya tidak lagi mahu mengaitkan kepincangan di FELDA dengan FGV atau permasalahan di FGV menghantui FELDA. Urus tadbirnya sudah pulih. Malah Pengerusi FGV , Datuk Wira Azhar Abdul Hamid juga telah mengisytiharkan ‘the worst is over for FGV’. FGV boleh bergerak maju terus ke depan, tanpa ada tangan-tangan ghaib yang cuba mengambil kesempatan terhadap rekod-rekod buruk yang ada di dalam Kumpulan FELDA sebelum ini. Biarkan FGV meneruskan operasi mereka, pulihkan harga minyak sawit mentah (CPO) dan tingkatkan produktiviti hasil mereka, maka semua pihak termasuklah FELDA dan penerokanya beroleh manfaat.

Jangan kita kenang-kenang sangat tahun 2012 dimana penyenaraian FGV dibuat. ‘What is done has done!’. Penyenaraian itu bukanlah Original Sin yang harus kita jadikan alasan untuk kita tidak mahu maju kehadapan. FELDA dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi harus bersikap gentleman dan menerangkan secara terbuka apakah perancangan dan hala tuju FGV kepada FELDA. Tindakan berdiam diri YB Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan Pengurusan FELDA hanya akan membenihkan spekulasi-spekulasi kurang enak seperti FELDA tidak lagi berminat pada FGV. Sekurang-kurangnya YB Menteri boleh memberikan komitmen dan janji di Parlimen bahawa FGV akan terus beroperasi tanpa campur tangan Kerajaan dan mendapatkan keuntungan yang maksimum serta meningkatkan nilai pelaburan FELDA dan pelabur-pelabur lain.

FELDA pula janganlah didiamkan sahaja pegangan 33.66% FGV itu. Berbincanglah dengan Lembaga Pengarah FGV untuk mencari jalan terbaik bagi mecapai objektif di atas. Diantara Teras Strategik FGV Holdings Berhad bagi tahun 2019-2021 adalah untuk mengadakan M&A strategik dan Perkongsian Strategik. Maka, pilihlah dari kalangan syarikat bumiputera Melayu yang berpengalaman dan berkemampuan untuk mewujudkan sinergi yang diharapkan.Janganlah pilih mereka yang tamak atau melihat kepada keuntungan semata-mata, tidak kepada kehidupan dan kebajikan para peneroka.

Ingatlah bahawa tanah LLA dan aset-aset FGV itu dibina oleh keringat para peneroka dan dedikasi petugas-petugas FELDA serta pekerja-pekerja anak-anak syarikat Kumpulan FELDA sebelum ini. Pastikan kepentingan orang Melayu Bumiputera dijaga dan dipertahankan selagi ada Bulan dan Bintang.

RUJUKAN:


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Azwan Omar adalah seorang yang berpengalaman 'rojak' dari Kejuruteraan Elektrik, Kewangan Korporat, Perakaunan, Polisi Awam, Hubungan Antarabangsa dan 'Seni Makanan'. Azwan Omar juga seorang pencinta buku, penggila komik, manga dan manhwa. Rajin menonton filem secara solo dan jika melayan internet, dia akan terlupa masa kerana seronok. Maka jangan jadi macam Azwan Omar. Jadi lebih baik dari Azwan Omar

Comments are closed.