Kerjaya Copywriting Dalam Industri Pemasaran

0
279
views

“Awas, anda perlu baca sampai habis artikel ini.”

Pernah anda membaca artikel seperti tajuk di atas? Ya, ini adalah tugas seorang copywriter. Artikel ini akan mengupas kerjaya seorang copywriter dalam dunia pemasaran. Rugi jika anda meninggalkan artikel ini tanpa membaca sehingga habis!

Pemasaran digital bukan suatu perkara yang baru dalam bisnes. Dengan menggunakan media sosial seperti FB, Twitter, Instagram dan lain-lain, seorang peniaga bukan sahaja boleh berniaga melalui fizikal malah melalui alam maya juga. Semuanya mudah dengan hanya sekali klik sahaja. Lihat sajalah di Facebook, bagai cendawan tumbuh selepas hujan perniagaan secara dalam talian ini meskipun ada yang tidak tahu tentang ini. Berbeza keadaan di luar negara, perniagaan dilakukan hanya melalui portal Amazon. Di Malaysia, netizen lebih gemar menggunakan Facebook untuk berniaga.

Iklan. Penulisan iklan penting untuk menarik perhatian pembeli untuk klik dan juga membeli melalui iklan tersebut. Dari situ, tim jualan akan melakukan tugas mereka untuk memujuk pelanggan mengeluarkan duit mereka dan masuk ke dalam akaun peniaga. Pelanggan dapat barang, peniaga dapat wang. Tapi, jika pelanggan hanya sekadar melihat iklan dan terus berlalu pergi maka peniaga tidak dapat apa-apa keuntungan meskipun kesedaran tentang produk sudah terlihat oleh pelanggan. Ia sama seperti berniaga di pasar malam, jerit kuat-kuat tetapi tiada siapa yang beli, maka teknik pemasaran itu sudah gagal.

Begitu juga dalam perniagaan dalam talian. Secara jujurnya, masih ramai orang tidak tahu tentang kerjaya copywriting ini. Ia penting untuk menaikkan jualan. Sesungguhnya untuk menulis kelebihan tentang produk itu seseorang copywriter perlu mempunyai pengetahuan tentang produk tersebut (product knowledge). Tidak boleh menipu secara berlebihan. Kerjaya copywriter juga mencabar kerana mereka perlu mengkaji teknik pemasaran. Apa yang tular di media sosial akan dikaitkannya dengan produk mereka.

Contohnya, isu jeng jeng jeng – teater Kembang Layarku yang tular baru-baru ini. Bagaimana anda hendak mengaitkannya dengan sebuah novel? Sukar jika anda tidak mendapat idea untuk menulis iklan yang mampu menjentik perasaan ingin membeli kepada pelanggan. Mari saya lakukannya untuk anda. Boleh saja anda menulis begini:

Waqaf Saham

“Kerana terlampau stres, wanita ini menari seperti orang mabuk ketum kerana tidak dapat membaca novel John Green – The Fault In Our Stars. Jangan stres, kami bantu anda untuk dapatkan novel ini dengan harga yang lebih murah! Tekan link WhatsApp di bawah ini untuk dapatkan HARGA MURAH!”

Pastinya pembaca akan ketawa dan memikirkan untuk mesej anda secara peribadi akibat ‘dipengaruhi’ oleh copywriting anda. Itu baru sedikit sahaja skop kerja sebagai seorang copywriter. Jangan ingat mereka duduk di hadapan komputer sambil menonton Youtube dan bermain Facebook! Di dalam kepala seorang copywriter, mereka ligat memikirkan idea untuk ditulis. Jika tepu, maka terpaksalah mereka berehat sebentar. Idea jika dipaksa tidak akan berhasil. Jika anda masuk di dalam group perniagaan Facebook, disitulah lubuk copywriter. Kerana terdapat banyak template yang bersepah di dalamnya. Sekali lagi diingatkan, menulis bukannya satu kerjaya yang mudah.

Kadangkala mereka perlu bermesyuarat dengan tim pemasaran untuk memikirkan kos yang perlu digunakan untuk menaikkan sesebuah iklan. Jika sesebuah iklan telah lupus, maka seseorang copywriter perlu menyediakan copywriting iklan yang baru untuk dinaikkan sebagai ads. Juga berbincang dengan tim jualan, apa yang seseorang pengguna mahukan dari sesuatu produk. Untuk pengetahuan anda, Facebook memerlukan anda ‘mengepam’ wang anda untuk menaikkan iklan anda di media sosial. Untuk mendapatkan iklan yang murah, itulah tugas copywriter untuk menulis iklan yang kosnya begitu murah namun keuntungan yang dibawa adalah lumayan!

Gaji seseorang copywriter berbeza mengikut pengalaman. Ada yang kerja secara tetap dan ada juga yang bekerja sebagai freelancer (sendiri). Kedua-duanya mempunyai kelebihan dan kekurangan. Semestinya bekerja tetap adalah jalan paling selamat untuk membayar bil-bil bulanan serta hutang peribadi anda. Kerjaya copywriter sebagai seorang freelancer lebih mencabar kerana anda perlu mencari klien. Jika ramai yang berpuas hati dengan servis yang anda berikan, tidak mustahil klien pula yang akan mencari anda. Bezanya, pendapatan sebagai seorang freelancer ini tidaklah tetap. Pandai cari makan, banyaklah hasilnya! Yang penting, anda perlu ada portfolio kerja anda untuk membuktikan bahawa anda adalah seorang copywriter. Bercakap, semua orang pandai bercakap tetapi bukti? Itulah pentingnya portfolio perlu dibawa semasa temuduga jawatan copywriter ini.

Bagaimana pula dengan permintaan kerjaya sebagai copywriter? Setakat ini, kebanyakan syarikat yang menjalankan perniagaan dalam talian khususnya kosmetik, kontraktor, pelancongan, tekstil, perbukuan banyak menggunakan khidmat copywriter. Bezanya sama ada ia meluas atau pun tidak.

Adakah seseorang copywriter perlu pandai menulis? Tentu sekali ya. Kerana jika anda tidak pandai menulis dan memikirkan sesuatu idea yang baru dan segar, maka sukar untuk orang mengambil anda bekerja. Kerjaya ini memerlukan latihan menulis yang banyak. ‘Try and adjust’. Jika anda ‘try and error’ maka sampai bila-bila anda akan gagal! Anda boleh bermula dengan membaca iklan-iklan di Facebook untuk belajar format menulis copywriting. Ingat, setiap penulis mempunyai identiti yang tersendiri. Jangan takut untuk belajar dari kesilapan. Kadang-kadang penulisan iklan yang tidak dijangka itulah akan ‘meletup’ dan tular.

Tim jualan dan pemasaran memerlukan antara satu sama lain. Jika tiada pemasaran, maka jualan tidak dapat dilakukan dan begitulah sebaliknya. Copywriter termasuk di dalam tim pemasaran.

Kesimpulannya, tahniah diucapkan kerana anda berjaya membaca artikel ini sehingga tamat. Bermakna anda juga telah dipengaruhi oleh saya untuk anda menamatkan artikel ini! Yang baik, anda ambil. Yang buruk, jadikan pengajaran.