“Keringkam” Lambang Mahkota Wanita Melayu Sarawak

273

IANYA dinobatkan sebagai antara pelengkap busana tradisional wanita Melayu Sarawak dari dahulu sehingga sekarang.  Ciri-cirinya yang unik sehingga boleh menampilkan keayuan dan kelembutan wanita Melayu sememangnya tidak boleh dinafikan.  Biar keringkam sudah lama menjadi sebahagian busana tradisi Melayu Sarawak sehingga sekarang ianya tetap menjadi dambaan semua biarpun kita sudah berada di era digital.

Keringkam merupakan selendang atau tudung ataupun skaf tradisional yang sinonim dengan wanita Melayu di Sarawak.  Kebiasaannya ia akan digayakan di ketika majlis-majlis khas seperti majlis perkahwinan, pertunangan ataupun menghadiri majlis makan malam bersama pembesar-pembesar negeri.  Dan untuk keringkam itu sendiri mempunyai dua jenis keringkam iaitu selayah dan selendang.

Yakni kedua-duanya dibezakan berdasarkan cara pemakaian dan ukuran yang mana selayah itu adalah yang akan digunakan untuk menutupi bahagian kepala sehingga ke bahu.  Ukuran selayah kebiasaannya 55 cm lebar dan 95 cm panjang.  Selendang pula adalah lebih besar dan panjang daripada selayah yang mana ianya digunakan untuk menutup bahagian kepala sehingga ke pinggang.  Ukuran untuk selendang adalah antara 77 cm lebar dan 158 cm panjang.

Menyelusuri sejarah keringkam itu amat unik kerana perkataan “keringkam” itu tiada di dalam slanga masyarakat Melayu di nusantara itu sendiri.  Adalah dipercayai bahawa perkataan “keringkam” itu adalah berasal dari penyatuan dua perkataan iaitu “keling” dan “kam”.  “Keling” adalah merujuk kepada saudagar atau mubaligh dari India yang pernah datang ke alam nusantara suatu waktu dahulu dan panggilan itu sememangnya sudah digunakan oleh masyarakat Melayu sebelum kedatangan Portugis, Belanda atau British lagi.  Dan berdasarkan kepada kajian adalah dipercayai penggunaan “keling” itu adalah kerana daripada saudagar-saudagar inilah yang menjadi pembekal kepada benang-benang emas untuk sulaman keringkam.

Sementara perkataan “kam” adalah dipercayai diambil dari bahasa Cambodia kuno yang bermaksud jenis-jenis kain.  Selain itu turut dinyatakan mungkin juga “kam” atau “kham” itu adalah pinjaman daripada bahasa Thai yang bermaksud emas atau apa sahaja yang nampak cantik dan baik.  Disini perkaitannya mungkin kerana suatu waktu dahulu setiap kain-kain yang menjadi alas kepada sulaman seperti jenis kain kasa rubiah didatangkan dari kedua-dua negara tersebut.  Dek kerana slanga masyarakat Melayu Sarawak, dua perkataan “keling” dan “kam” akhirnya lama-kelamaan digelar “keringkam” yang kita kenali sekarang. Al-maklum orang Sarawak memang utuh dengan perkataan “r” nya.

Dahulu iaitu ketika di zaman Sarawak sebagai tanah kuripan Kesultanan Brunei Darussalam dan kemudian pemerintahan Brooke, bukanlah semua Melayu Sarawak mampu memiliki keringkam.  Ini kerana kos pembuatan dan harganya terlalu mahal bagi rakyat biasa.  Sebaliknya keringkam itu hanya mampu dimiliki oleh golongan Melayu aristokrat.  Namun sejajar dengan waktu apabila pelengkap busana ini menjadi sebahagian daripada pengangkat kecantikan serta mempunyai nilai sentimental, ianya juga sudah meresapi di dalam pemakaian golongan rakyat jelata Melayu Sarawak.  Apabila ianya menjadi busana “wajib ada” sekaligus keringkam itu juga turut dijadikan sebagai harta pusaka yang diwariskan dari satu generasi ke generasi yang lain dalam keluarga Melayu Sarawak sehingga sekarang.

Signifikasi keringkam di dalam Melayu Sarawak bukanlah hanya sebagai pelengkap busana sebaliknya ianya turut menjadi salah satu material di dalam adat-istiadat perkahwinan Melayu Sarawak.  Contohnya sebelum sebelum rombongan  pengantin lelaki berarak ke rumah pengantin perempuan, keluarga pengantin perempuan akan menghantar tikar mengkuang atau digelar “tikar ngambik pengantin” yang dibalut dengan keringkam yang disulam dengan benang emas ke rumah pengantin lelaki. Penghantaran tikar mengkuang ini adalah sebagai isyarat bahawa pihak pengantin perempuan sudah bersedia menerima kedatangan rombongan dari pihak pengantin lelaki.

Bukanlah mudah sebenarnya untuk membuat sehelai keringkam lebih-lebih lagi setiap keringkam adalah “custom made”.  Kerana mempunyai spesifikasi yang khas berdasarkan kepada kehendak pemilik maka pembuatan keringkam sehingga sekarang lebih bercorak tradisional.  Dan sulamannya pula hanya akan mendapat sentuhan penyulam yang benar-benar kreatif serta memiliki tahap kesabaran yang tinggi kerana proses sulaman sahaja boleh memakan masa sehingga berbulan-bulan bergantung kepada saiz dan taburan sulaman.  Atas sebab inilah juga mengapa dan kenapa harga untuk sehelai keringkam itu sekarang boleh mencecah sehingga ribuan ringgit.

Keringkam mempunyai kelasnya yang tersendiri di kalangan masyarakat Melayu Sarawak dari dahulu hingga sekarang namun terselit rasa gusar apabila dikatakan semakin kurang penyulam-penyulam keringkam dari generasi baru yang benar-benar ingin mempelajari dan mengusahakannya sebagai mata pencarian.  Harapan setinggi gunung agar keringkam lambang “mahkota” wanita Melayu Sarawak boleh dipertahankan sampai bila-bila kewujudannya.  Sudah sampai masanya status keringkam tidak hanya berlegar di dunia nusantara sebaliknya harus dibawa sehingga ke pentas fesyen dunia di kota New York dan Paris.

Tidak kenal maka tidak cinta.

-HB-

#kameksayangsarawakbah!

Nota: Teaser artikel ini adalah selayah keringkam yang dipakai oleh Puan Zuraina Awang Basar, rakan rapat penulis.  Ianya menampilkan selayah bercorak bunga tabur bersulam benang emas.  Harga untuk selayah keringkam ini adalah berharga RM15 ribu di pasaran sekarang.

Rujukan:

  1. The Sarawakian Series Tudung Keringkam by Kamil Salem, Pustaka Negeri Sarawak (2006)

http://library.perdana.org.my/Digital_Content/PNS/Sarawak(pdf)

  1. Tesis bertajuk Applikasi Teknik Keringkam Ke Atas Kepelbagaian Material oleh Muhammad bin Zakaria, UNIMAS, 2015 (PDF)
  2. Star Online, 16 March 2018 by Sharon Ling – Making keringkam shine again

https://www.thestar.com.my/metro/metro-news/2018/03/16/making-keringkam-shine-again-project-launched-to-preserve-sarawak-malay-traditional-embroidery/

  1. Borneo Post, 16 Oktober 2017, Sarawak Museum Holds Talk About Keringkam

http://www.theborneopost.com/2017/10/16/sarawak-museum-holds-talk-on-sarawak-keringkam/

  1. Kosmo online, Sulaman tradisional Melayu Sarawak

http://ww1.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0319&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.