Keretapi Sarawak 1915

50

PENGANGKUTAN keretapi bukanlah sesuatu yang luar biasa bagi negeri-negeri di Semenanjung Malaysia dan Sabah.  Namun untuk Sarawak Bumi Kenyalang ianya mungkin sesuatu yang pelik bagi generasi baru.  Sebenarnya tanpa generasi baru mengetahui bahawasanya pengangkutan keretapi itu bukanlah asing bagi rakyat Sarawak dulu-dulu kerana ianya ada iaitu pernah menjadi pengangkutan utama untuk rakyat dan barangan di Kuching.  Ianya wujud semenjak pemerintahan Tuan Rajah Charles Brooke dan “hilang” selepas pendudukan Jepun sewaktu Perang Dunia Kedua berlangsung.

Mengimbau cerita sejarah pengangkutan keretapi zaman Brooke berlaku pada tahun 1915 iaitu sewaktu Sarawak diperintah oleh Tuan Rajah Charles Brooke (1868-1917).

Di era Tuan Rajah Charles Brooke inilah banyak kemajuan yang didapati di Sarawak seperti pencarigalian minyak di Miri, lombong emas yang lebih sistematik serta penghasilan komoditi getah dan lada hitam berada di kemuncaknya. Dengan kekayaan tersebut membolehkan beliau mula memajukan Kuching sebagai sebuah ibu negeri Sarawak dengan pelbagai pembangunan seperti pengangkutan keretapi.

Sekitar bulan Ogos 1915 secara rasminya sebuah lokomotif dengan 7 gerabak telah memulakan perjalanan dengan rel keretapi yang dibina membentang dari Jalan Market (bertentangan Limbungan Brooke lama) telah menarik perhatian penduduk tempatan Kuching. Laluan keretapi ini dikatakan telah mencatat rekod dunia tersendiri apabila mendapat jolokan sebagai laluan keretapi terpendek di dunia pada masa itu yang pernah dibina oleh sebuah negara.

Laluan keretapi Sarawak bermula dari Jalan Market sehingga ke Batu 10, Kuching.  Dan didalam setiap perjalanannya akan berhenti pada setiap dua kilometer iaitu melalui Stesen Jalan Green, Stesen Batu Tiga, Stesen Batu Lima, Stesen Batu Tujoh dan yang terakhir di Stesen Batu Sa Puloh.  Dianggarkan tempohmasa yang diperlukan untuk memenuhi satu arah perjalanan adalah kira-kira 35 minit sahaja.

Bagi memberikan kelancaran operasi pentadbiran sistem keretapi Sarawak, Tuan Rajah Charles Brooke telah menubuhkan Lembaga Keretapi Sarawak bagi memudahkan operasinya dengan mengambil contoh sistem pentadbiran keretapi di negara-negara Eropah. Pada mulanya mungkin agak asing bagi rakyat sekitar Kuching namun setelah beberapa ketika permintaan untuk pengangkutan keretapi semakin mendesak sehingga Tuan Rajah Charles Brooke membeli dua lagi lokomotif.

Dari lokomotif pertama yang dinamakan “Jean” akhirnya diikuti dengan lokomotif baru yang dinamakan “Bulan” dan “Bintang”.  Dikatakan lokomotif-lokomotif ini sengaja diberikan nama yang biasa sahaja mengikut slanga penduduk tempatan agar memudahkan pihak pekerja Landasan Keretapi Sarawak membuat rekod apabila hendak membuat penyelenggaraan.

Walau bagaimanapun, semasa pemerintahan Tuan Rajah Charles Vyner Brooke pengangkutan keretapi ini telah beberapa kali dihentikan dek kerana kengkangan kewangan lebih-lebih lagi sebelum Perang Dunia Kedua menjangkau bumi Sarawak. Oleh kerana pada masa itu Sarawak banyak menggunakan kewangan kerajaan bagi membina banyak infrastruktur ketenteraan bagi menghadapi Perang Dunia Kedua makanya operasi pengangkutan keretapi dihentikan dengan lokomotif hanya disimpan di stor terminal keretapi iaitu satu kawasan bersebelahan dengan Lilian Teater, Kuching.

Pada tahun 1940an setelah pendudukan Jepun di Sarawak, pihak tentera Jepun telah menghidupkan semula pengangkutan keretapi Sarawak tetapi lebih kepada untuk membawa tawanan perang bekerja dari Penjara Kuching ke kawasan di Batu 7. Ini hanya berlaku seketika kerana pihak tentera Jepun juga tidak mempunyai dana yang cukup untuk menyelia pengangkutan keretapi pada masa itu sehingga ianya dihentikan buat selamanya. Dan sejak itulah pengangkutan keretapi Sarawak terus hilang dari radar masyarakat Sarawak umumnya dan Kuching khasnya.

Ada khabar angin yang mengatakan bahawa lokomotif Bintang, Bulan dan Jean telah dihantar ke negara matahari terbit untuk kegunaan rakyat Jepun di sana. Di dalam versi lain pula ada mengatakan bahawa ketiga-tiga lokomotif ini telah dijadikan “scrap” dan dihantar ke Singapura semasa Sarawak menjadi tanah jajahan Koloni Mahkota Sarawak British. Dan tidak kurang yang mendakwa ada satu kepala keretapi tersebut tersadai di Simanggang (Sri Aman).  Namun begitu tiada rujukan mengenai kesahihan cerita ini sehinggalah sekarang.

Cerita pengangkutan keretapi Sarawak zaman Brooke terbongkar semula pada tanggal 16 November 2018 iaitu beberapa hari yang lepas tatkala secebis landasan yang masih lagi elok ditemui ketika kerja-kerja menggali tanah dilakukan di Jalan Market.  Ianya berjaya menarik minat ramai warga netizen dan pencinta sejarah untuk mengetahui lebih lanjut tentang sejarah pengangkutan keretapi di Sarawak.  Menurut informasi sahih dari pentadbiran Kerajaan Sarawak melalui unit Arkeologi Muzium Sarawak sudah mendatangi tapak ianya dijumpai dan kerja-kerja yang sewajarnya akan diteruskan bagi mencari jejak landasan keretapi yang hilang.

Besarlah harapan penulis untuk pihak Kerajaan Sarawak melindungi dan memulihara penemuan bersejarah ini berdasarkan Sarawak Culture, Heritage Ordinance 1993 yang mana cukup menjelaskan setiap khazanah sejarah itu adalah hakmilik kerajaan dan akan dipulihara sepenuhnya.  Tindakan pro-aktif daripada mereka yang bertanggungjawab diperlukan memandangkan sejak kebelakangan ini acapkali tempat-tempat bersejarah dilupuskan atas nama pembangunan sehingga menjadikan generasi baru kita teraba-raba di dalam terang untuk mengetahui sejarah nyata ibu pertiwinya. -HB-

#KamekSayangSarawakBa

Rujukan:

  1. Sarawak Government Railway

http://searail.malayanrailways.com/Sarawak/Sarawak.htm

  1. The Sarawak Government Railway

http://travelogewan.blogspot.com/2016/01/the-sarawak-government-railway.html

  1. Kuching in Pictures 1841-1946 – Perdana Library (PDF)

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.