Bagi makhluk hidup, kematian itu suatu kemestian. Cuma, tiada siapa tahu bila, bagaimana, dan di mana. Malah di samping kematian itu sendiri, kita juga tidak tahu apa nasib jasad semasa dan selepas dikebumi. Untung-untung, ia dikebumi dalam kubur bertanda dan terjaga. Nasib tidak untung, sudah mati pun habis dibongkar dan dicuri segala tulang rangka.

Apapun persis kelahiran, kematian juga ada proses susulan tersendiri. Andai kelahiran dimulai dari saripati nutfah (persenyawaan) hingga nafkhur ruh jadi teguh (peniupan roh), kematian pula dimulai dari sakarat lalu diakhiri jasad terurai runtuh.

Kedua-dua proses ini berlaku secara berperingkat. Setiap peringkat pula ada tempohnya. Contohnya dalam 3-4 minggu pertama kehamilan, peringkat yang terlibat adalah persenyawaan sperma-ovum (membentuk zigot) dan penempelan zigot pada dinding rahim (membentuk embrio). Lantas daripada situ, embrio pun berkembang sampai sembilan bulan. Ini, bagi proses kehamilan dan kelahiran.

Kalau proses kematian dan penguraian pula, 3-4 minggu pertama sahaja sudah cukup untuk segala organ dalaman terurai, kuku dan gigi tanggal, dan jasad mula mereput. Ikutkan, proses keseluruhannya boleh dibahagi kepada empat; iaitu penghancuran sel (autolisis), pengembungan badan, pereputan organ, dan penguraian tulang.

Proses penguraian mayat (Kredit: Nature)

Semua ini bermula secara berperingkat sejurus nyawa dicabut dan pernafasan terhenti total. Bila pernafasan terhenti, kitaran oksigen ke-dalam dan karbon dioksida ke-luar pun gagal berfungsi. Justeru, darah menjadi asidik sekali gus mendorong kerosakan jaringan tubuh. Ibaratnya macam akuarium tanpa sistem penapisan – air jadi keruh, ikan pun mati.

Dalam situasi ini, badan jadi terlampau asidik sampai sel membran habis pecah. Akibatnya, segala sel pun rosak. Otot pula mengejung. Badan juga mengembung akibat rembesan gas dari perut yang persis gejala masuk angin. Cuma bezanya dalam proses ini, beberapa kandungan kimia turut dikeluarkan. Antaranya putresin dan kadaverin – dua zat yang membuatkan jasad membusuk dan mula terurai.

Proses begini berjalan sekitar sebulan selepas kematian. Selepas sebulan, jasad akan mula mengurai. Penguraian ‘jasad hingga jadi tulang’ ini pula ambil masa minimum lapan tahun – bergantung kedalaman kubur, keadaan keranda, dan persekitaran. Tetapi kalau persemadian jenis tabur abu mayat atau beri makan kepada hering, tak perlu tunggu sampai lapan tahun. Lapan minit pun dah cukup.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang asal-usul manusia, ayuh beli buku GENESIS II yang sudah tiba di Shopee – https://shopee.com.my/Genesis-II-Sapien-Neo-Manusia-(Zamir-Mohyedin)-i.238336777.21215814073

Cuma itu kes lainlah. Kalau cerita kes lain ini, kita petik pasal suatu makam aneh di Turki pun boleh. Iaitu makam yang digelar sebagai ‘pemakan daging. Atau dalam bahasa Yunani, disebut σαρκο φαγοσ (‘sarko fagos’). Iya, dari makam inilah lahir istilah sarkofagus… yang biasa dipakai untuk merujuk makam-makam purba, macam makam firaun misalnya.

Makam ini sebetulnya khusus berlokasi di bandar Assos, yang terletak di wilayah Çanakkale Turki. Namun seiring zaman, makam buatan sini diperdagangkan hingga ke Rom dan Mesir. Kalau lihat sejarah pun, bandar Assos memang agak signifikan. Ia pernah diperintah oleh murid Plato dan menjadi lokasi perkahwinan Aristotle dengan Pythias. Jadi, boleh kata Assos ini ibarat pusat bagi kalangan falsafah.

Cuma itulah, yang signifikan hanya bandarnya sahaja. Makam di sini ikutkan tiada apa yang istimewa sangat pun. Sekadar dihias corak ukiran ringkas, dengan ukuran panjang 2 meter dan lebar 80-90 cm. Namun apa yang menjadi ciri khasnya adalah bahan buatan, iaitu batu andesite (sejenis batu gunung berapi).

Makam ‘pemakan daging’ di Assos (Kredit: Anadolu Agency)

Konon, kandungan batu inilah yang membuatkan makam-makam di Assos mampu mengurai mayat dengan cepat – iaitu secepat 40 hari. Bayang, biasanya mayat ambil masa sampai bertahun dan bahkan berkurun untuk terurai… tetapi makam ini ambil masa takat sebulan lebih saja. Hal ini sampai memeningkan ramai – dari Pliny (79 M) hinggalah ke saintis hari ini.

Kalau ikut hipotesis Profesor Nurettin Aslan dari Jabatan Arkeologi di University Çanakkale, ‘keajaiban’ tersebut berpunca daripada kandungan aluminium yang banyak dalam batu andesite. Namun, hipotesis tersebut sekadar satu hipotesis. Perkaitan antara aluminium dan proses penguraian mayat belum benar-benar dibuktikan. Tuntas, makam ini masih dianggap misteri.

RUJUKAN

Anadolu Agency. (2014, 1 July). ‘Meat eater’ tombs in Assos display the taste for flesh. Hurriyet Daily News.

Costandi, Moheb. (2015, 8 May). What happens to our bodies after we die. BBC.

Gillan, Joanna. (2022, 19 June). ‘Meat Eater’ Sarcophagi in Turkey Turned Bodies to Skeleton in 40 Days. Ancient Origins.

Suhaimi, Kay. (2018, 28 July). Ini Bagaimana Bayi Terbentuk Dalam Rahim Ketika Hamil. Iluminasi.

Varwati, Lilis. (2021, 1 August). Ketahui Proses Alamiah Yang Terjadi Pada Tubuh Manusia Setelah Mati. Suara.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Leave A Reply