Kerana ‘Viral’, Aku Binasa

79

Jujurnya, aku tak pernah minat semua benda berkait dengan tular ini. Sebab bagi aku, ianya bukan ada nilai berita. Kalau ada sekalipun, cukup untuk kita ambil iktibar atau jadikan inspirasi. Tapi masalah bagi orang kita ialah apa benda yang dirasakan pelik atau salah, tindakan pertama ialah tularkan perkara tersebut di laman media sosial. Bila ia dapat sambutan, maka keluarlah segala perkataan tak sepatutnya bila menonton. Dan bila itu saja tidak mencukupi, kita tularkan video-video di mana dalam sesetengah keadaan, ia amat jelik dan memualkan.

Bila ditanya kenapa tular benda sebegini, jawapannya ialah nak benda ini diketahui umum. Si pelaku nak orang ramai tahu si pelaku dan kenapa dia bersalah. Si pelaku mahukan informasi yang diterima diketahui umum secepat mungkin. Masalahnya ialah bila apa yang ditularkan itu palsu atau ia beri gambaran salah pada satu situasi. Contoh paling mudah, kisah seorang pak cik yang mengalihkan jubahnya dari seorang perempuan tapi dilabel sebagai miang dan seumpamanya. Di sini aku nak tanya, ke mana perginya pertimbangan akal kita? Dan kalau terkena situasi tersebut, maka apa yang kita harus buat? Kita takkan berbuat demikian sebab lidah kita terlalu sedap mengutuk orang dalam video itu dan tangan gatal nak berkongsi dengan sesiapa saja yang mahu menonton.

Bukan sekali dua tapi banyak kali kita ditipu berkenaan benda ini. Dan ini dimanfaatkan oleh orang-orang tertentu terutama ahli politik untuk meraih populariti murahan. Bagi yang mengikuti kisah pilihan raya, pasti takkan lupa kisah 40,000 orang Bangladesh jadi pengundi hantu atau kisah pusat undi bergelap. Berita-berita palsu dakwa seseorang itu sakit atau telah meninggal dunia, sudah ramai terkena dari karyawan seni sampailah golongan berpengaruh. Tularkan maklumat palsu dengan hasrat cetus huru-hara atau bagi harapan palsu, ini memang kerap. Pilih medium apa yang anda nak dari petikan pos media sosial kepada rakaman video atau gambar yang diedit mengikut agenda orag tertentu. Pendek kata, ia sesuatu yang memualkan dan merosakkan keamanan udara sesebuah kawasan.

Bila sudah jadi kes-kes viral yang dibuktikan palsu, kerajaan terpaksa buat satu portal iaitu portal Sebenarnya.my untuk melihat sesebuah cerita yang kita tahu sah atau bohong. Portal Sebenarnya.my ini merupakan tindak balas kepada kebanjiran berita palsu yang melanda masyarakat hari ini. Ia dianggap satu sumber yang berautoriti dan amat membantu dalam memerangi penularan berita-berita palsu. Tapi sayang, benda sebegini gagal dimanfaatkan kerana persepsi kerajaan mengawal berita agar khalayak tidak tahu. Masalahnya, kalau itu tidak boleh dipercayai, maka siapa yang harus dipercayai?

Pada aku, benda sebegini sebenarnya tak diperlukan sebab Tuhan sudah beri panduan kepada kita sendiri untuk tahu sesebuah berita itu palsu atau tidak. Allah s.w.t sudah berfirman dalam ayat 6, Surah Al-Hujurat, “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”

Bila dapat sesuatu berita, patutnya ia diselidiki sehabis mungkin. Kita kena tengok siapa pembawa berita itu sebab pembawa berita ini boleh saja ada agenda tertentu. Kita kena tengok juga aspek keperibadiannya kerana boleh saja ia mempengaruhi kesahihan berita yang dibawa. Selain itu, bila dapat berita, sahkan berita tersebut dengan sumber yang kuat dan dipercayai. Malangnya, orang kita dilihat lebih berminat menyebarkan benda-benda sebegini tanpa mengetahui nilai berita, motif berita dan kesan sekiranya ia disebarkan. Jika setakat untuk bantu pihak berkuasa mengesan penjenayah atau sebarluaskan info kritikal, itu tiada masalah.

Masalahnya, bila berita yang disebarkan itu palsu atau sengaja bagi gambaran salah pada individu atau organisasi, tidakkah kita sedar kita sebenarnya menyebarkan fitnah? Sudahlah sebarkan fitnah, kita mengata lagi orang dalam video atau gambar tersebut. Tanpa kita sedar, kita sebenarnya sediakan ladang dosa untuk diri sendiri. Dan ianya akan terus bertambah selagi mana benda itu tersebar luas dan orang terus percaya.

Tuhan amat membenci perbuatan fitnah dan menyelar mereka sekeras-kerasnya dalam Al-Quran. Tak percaya? Firman-Nya dalam ayat 11, Surah Al-Qalam, “Yang suka mencaci, lagi yang suka menyebarkan fitnah hasutan.” Nampak ringan? OK, ambil ini pula. Firman Allah dalam ayat 193, Surah Al-Baqarah, “Dan bunuhlah mereka (musuh yang memerangi kamu) di mana sahaja kamu dapati mereka, dan usirlah mereka dari tempat yang mereka telah mengusir kamu; dan (ingatlah bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan dan janganlah kamu memerangi mereka di sekitar masjid Al-Haraam sehingga mereka memerangi kamu di situ. Oleh itu kalau mereka memerangi kamu (di situ), maka bunuhlah mereka. Demikianlah balasan bagi orang-orang yang kafir.” Betapa besarnya perbuatan ini sampai Tuhan perintahkan golongan pemfitnah diperangi!

Dan ada tempat istimewa untuk kelompok ini dalam neraka. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar r.a, Nabi s.a.w bersabda, “Barangsiapa yang berkata mengenai seorang mukmin yang tidak ada padanya, maka Allah akan menempatkan mereka di Rodghah Al-Khabal sehingga ia keluar dari apa yang ia katakan.” (Riwayat Abu Daud) Para ulama yang mensyarahkan hadis ini menyatakan Rodghah Al-Khabal ialah sebuah tempat mengandungi cairan penduduk neraka terdiri daripada peluh, darah, nanah, kotoran dan apa saja dari golongan pemfitnah sampailah ia keluar dari apa yang dikatakan atau tuduhan tersebut ditarik balik.

Kalau dicampak ke situ saja tidak menggerunkan, golongan sebegini patut takut pada perkataan ini: muflis. Ya, muflis tapi bukan dari segi kebendaan tapi dari segi amalan. Ini yang dijanjikan Nabi s.a.w dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. Pada satu ketika, baginda bertanya definisi muflis kepada para sahabat. Mereka menjawab, “Orang yang muflis (bankrap) diantara kami adalah orang yang tidak punya dirham dan tidak punya harta.” Rasulullah s.a.w bersabda, ‘Orang yang muflis (bankrap) dari umatku adalah orang yang datang pada hari kiamat dengan (pahala) melaksanakan shalat, menjalankan puasa dan menunaikan zakat, namun ia juga datang (membawa dosa) dengan mencela si ini, menuduh si ini (memfitnah), memakan harta ini dan menumpahkan darah si ini serta memukul si ini. Maka akan diberinya orang-orang tersebut dari kebaikan-kebaikannya. Dan jika kebaikannya telah habis sebelum ia menunaikan kewajibannya, diambillah keburukan dosa-dosa mereka, lalu dicampakkan padanya dan ia dilemparkan ke dalam neraka.” (Riwayat Muslim)

Makanya, masihkah anda berani menularkan sesebuah video atau berita lebih-lebih lagi sekiranya ia palsu? Walau apapun alasan anda, kalau anda teruskan juga, maka anda sebenarnya jadi api dalam sekam yang mengancam keharmonian dan keamanan masyarakat.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.