Kerana Terlalu Obses Dengan Slenderman

507

Zaman kanak-kanak merupakan masa bergembira dengan sahabat-sahabat baik, bermain riang bersama-sama. Namun bagi seorang kanak-kanak berusia 12 tahun bernama Payton Leutner, tanggal 31 Mei 2014 meninggalkan kesan trauma kepadanya. Semuanya gara-gara kekejaman dua orang rakannya bernama Anissa Weier dan Morgan Geyser akibat terpengaruh dengan cerita di Internet.

Insiden bermula apabila Anissa dan Morgan yang ketika itu juga berumur 12 tahun mengetahui mengenai Slender Man melalui Creepypasta Wiki, sebuah laman sesawang yang memaparkan kisah-kisah seram Internet. Mereka telah percaya bahawa Slender Man itu wujud. Buat pengetahuan anda, Slender Man ialah karakter fiksyen yang telah direka pada tahun 2009 oleh Eric Knudsen dan merupakan antara karakter yang popular dalam laman sesawang Creepypasta.

Morgan Geyser (kiri) dan Anissa Weier (kanan)
Sumber: BBC

Semasa disoal siasat, Anissa dan Morgan memberitahu bahawa mereka ingin membuktikan bahawa mereka layak menjadi hamba atau orang suruhan Slender Man dan melindungi keluarga mereka daripada Slender Man dengan cara membunuh seseorang.          

Beberapa sebelum kejadian, mereka berdua sentiasa berbual mengenai plan mereka di dalam bas sambil menggunakan kata rahsia seperti “trip perkhemahan” yang merujuk kepada Hutan Simpan Nicolet di Northwoods, Wisconsin yang mereka percaya di sana ialah tempat tinggal Slender Man. Akhirnya, pada petang Jumaat, 30 Mei 2014, Anissa dan Morgan berserta mangsa telah ke taman untuk bermain kasut roda sebelum mereka bertiga bermalam di rumah Morgan. Pada mulanya, Anissa dan Morgan bercadang ingin menikam leher Payton pada malam tersebut tetapi Morgan mengubah plan asalnya.

Keesokkan paginya, mereka berdua merencana plan baru untuk menikam Payton di sebuah tandas awam di taman tetapi akhirnya bertindak menyerang mangsa semasa bermain sorok-sorok di hutan. Semasa ingin menikam Payton mereka berdua teragak-agak sebelum Anissa menyuruh Morgan menikam Payton. Morgan seolah-olah hilang kewarasan dan menikam mangsa bertubi-tubi sebanyak 19 kali. Sebaik selesai melakukan perbuatan kejam itu, mereka berdua lari meninggalkan Payton yang cedera parah keseorangan di dalam hutan.

Walau bagaimanapun, mujur nyawa Payton masih panjang lalu dia bersusah-payah merangkak ke jalan raya sebelum ditemui oleh seorang penunggang basikal yang menelefon polis lalu dibawa ke hospital. Anissa dan Morgan telah ditangkap empat jam selepas kejadian itu dan polis menemui sebilah pisau sepanjang lima inci di dalam beg salah seorang daripada mereka. Morgan mengatakan bahawa dia perlu membunuh dan anehnya dia sedikit pun tidak rasa bersalah atas perbuatannya. Payton pula pulang dari hospital seminggu setelah kejadian tersebut.

Kedua-dua sahabat itu disabitkan kesalahan sebagai orang dewasa atas cubaan membunuh first degree dengan niat. Setiap seorang dijatuhi hukuman penjara selama 65 tahun. Pada bulan Ogos 2017, ketika Anissa berusia 16 tahun, dia mengaku bersalah atas cubaan membunuh dengan niat tahap dua dan diarahkan menjalani rawatan mental selama 25 tahun. Morgan pula dibicarakan pada bulan Februari tahun berikutnya dan harus menjalani rawatan mental selama 40 tahun.

Menurut ibu bapa Payton, tragedi itu meninggalkan trauma yang dasyat terhadap Payton sehingga setiap malam Payton akan tidur dengan gunting di bawah bantal serta mengunci pintu dan tingkap biliknya. Dia juga tidak berani lagi untuk ke bilik bawah tanah kerana di situlah tempat mereka bermalam sebelum kejadian.

Secara tuntas, kes ini mengingatkan kita bahawa kanak-kanak juga remaja perlu dipantau apa jua aktiviti mereka di Internet kerana ketika fasa inilah sifat ingin tahu mereka tinggi. Tidak mustahil mereka akan jadi seperti Anissa dan Morgan yang menerima bulat-bulat cerita yang dibaca di lawan sesawang sehingga mendorong mereka melakukan perbuatan sebegitu sadis terhadap rakan seusia.

RUJUKAN

Bauer, S. (2017). Slender Man: Girl who tried to kill her classmate to win favour with demon sentenced to 25 years in mental hospital. Retrieved from https://www.independent.co.uk/news/world/americas/slender-man-stabbing-anissa-weier-mental-hospital-sentence-morgan-geyser-payton-leutner-wisconsin-a8123886.html

Collette, M. (2014). What parents need to know about ‘Slender Man’ and online viewing. Retrieved from https://www.deseretnews.com/article/865604531/What-parents-need-to-know-about-Slender-Man-and-online-viewing.html

Jones, A. (2014). The Girls Who Tried to Kill for Slender Man. Retrieved from https://www.newsweek.com/2014/08/22/girls-who-tried-kill-slender-man-264218.html

Joyce, K. (2017). Slender Man stabbing victim slept with scissors under her pillow, mother says. Retrieved from https://www.foxnews.com/us/slender-man-stabbing-victim-slept-with-scissors-under-her-pillow-mother-says

Neuman, S. (2017). Teen Gets 25 Years in Mental Hospital in Wisconsin’s ‘Slender Man’ Stabbing. Retrieved from https://www.npr.org/sections/thetwo-way/2017/12/22/572803757/teen-gets-25-years-in-mental-hospital-in-wisconsins-slender-man-stabbing

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.