Selepas berpuasa melawan nafsu selama sebulan, umat Islam akan meraikan kemenangan ini pada setiap 1 Syawal. Pada tahun ini, setelah dua tahun beraya di dalam suasana yang asing dan norma baharu, pada tahun ini, rakyat negara ini akan pulang semula ke kampung halaman masing-masing bagi meraikan hari lebaran ini bersama sanak saudara dan ibu ayah yang tersayang. Kebiasaannya, aidilfitri disamakan dengan keceriaan, keriangan dan kegembiraan.

Namun, tak semua tempat berpeluang merasai suasana tersebut. Tiap tahun, ada sahaja tempat di sesetengah negara berduka tatkala aidilfitri menjelang tiba, lebih-lebih lagi di negara-negara Timur Tengah. Dahulu, ada juga berlaku tragedi di India yang berlaku ketika di Aidilftri.  Moradabad merupakan sebuah bandar yang terletak di dalam wilayah Uttar Pradesh, India. Bandar ini terletak kira-kira 150 kilometer dari ibu negara, Delhi dan diasaskan oleh Rustam Khan, seorang gabenor di bawah kerajaan Mughal pada abad ke 16.

Moradabad merupakan sebuah bandar yang terkenal dengan industri loyang sejak zaman penjajahan British lagi. Kebanyakan pemain-pemain industri ini terdiri dari kalangan orang-orang Islam.  Moradabad juga turut menjadi medan pertumpahan darah diantara penganut Hindu dan Islam sejak dahulu lagi kerana kedudukannya yang terletak berhampiran dengan sempadan Pakistan.

Nadi bandar Moradabad, pembuatan dari bahan loyang.

Mengikut sejarah, Moradabad pernah dilanda rusuhan agama sebanyak empat kali, iaitu pada tahun 1848, diikuti pada tahun 1872, tahun 1978 dan yang paling teruk pada tahun 1980, Api rusuhan tahun 1980 bermula apabila seorang wanita berkasta Dalit telah diculik sekitar Mac 1980. Wanita itu berjaya diselamatkan dan penculik berjaya diberkas. Pada Julai 1980, pada perkahwinan wanita itu, sekumpulan orang Islam bertindak untuk menghalang majlis itu kerana mendapat gangguan bunyi bising berdekatan dengan masjid. Hal itu menyebabkan tercetusnya pergaduhan kecil di kawasan tersebut dan beberapa rumah juga telah digeladah.

Pada 13 Ogos 1980, puluhan ribu umat Islam di Moradabad berkumpul di sebuah kawasan lapang untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri. Acara solat sunat itu dikawal ketat oleh pasukan keselamatan demi memastikan tiada sebarang masalah berlaku. Tanpa diduga, ketika acara sedang berlangsung, seekor babi telah masuk ke kawasan lapang tersebut. Anak-anak muda di dalam acara itu melaporkan kepada pihak polis untuk menghalau babi tersebut, namun tidak dieendahkan.

Seorang penduduk telah tercedera akibat ditembak semasa rusuhan

Tidak lama kemudian, berlaku pertikaman lidah lalu menyebabkan pasukan keselamatan mula memukul anak-anak muda itu tadi. Orang ramai yang menyaksikan peristiwa itu cuba membaling batu ke arah pasukan keselamatan itu tadi. Namun, pihak polis kemudiannya mempertahankan diri dengan menembak secara rambang sehingga menyebabkan 400 nyawa melayang. Pada awalnya, acara yang dihiasi dengan wangi-wangian kini bermandikan darah, mayat bergelimpangan merata-rata dan ratusan yang lain turut tercedera. Umat Islam di situ kemudian mengadakan demonstrasi menuju ke Balai Polis Galshaheed. Ketika pihak polis cuba mempertahankan kemaraan mereka, seorang konstabel polis telah terbunuh.

Peristiwa rusuhan ini menjadi topik hangat di seluruh negara India pada ketika itu. Pertubuhan Jamaat Islamiyah menyelar tindakan pihak keselamatan yang menembak secara melulu sehingga menyebabkan ratusan nyawa terkorban. Beberapa pemimpin pertubuhan Rashtriya Swayamsevak Sangh , sebuah pertubuhan ekstrimis Hindu telah mengadakan beberapa siri demonstrasi dan dibalas dengan demonstrasi oleh wakil-wakil pemimpin Islam sehingga menyebabkan kekecohan di Moradabad. Kekecohan ini juga turut merebak hingga ke Aligargh. Walaubagaimanapun, rusuhan ini berjaya dipatahkan oleh pihak tentera setelah pihak tentera mengambil alih pentadbiran bandar itu.

Pihak tentera yang mengambilalih pentadbiran Moradabad

Saki-baki rusuhan ini berlarutan sehingga 14 November. Pada September, sebagai tindak balas, umat Islam di sana telah “mensabotaj” perayaan sambutan Rakhsya Bandan. Beberapa siri pembunuhan juga telah berlalu dan mengakibatkan 14 orang telah terbunuh dari kedua-dua belah pihak.

Setelah siasatan dijalankan, pihak kerajaan memutuskan umat Islam di Moradabad dan VG Singh, seorang pemimpin Kongres didakwa mencetuskan rusuhan di pagi aidilftri itu. Walaubagaimanapun, sehingga kini, nasib mereka yang terbunuh semasa rusuhan tersebut masih tidak terbela walaupun puluhan tahun sudah berlalu.

Keratan akhbar mengenai rusuhan di Moradabad

RUJUKAN:

Remembering 1980 Moradabad Muslim massacre: A harsh indictment of ‘secular’ and left politics-india news , Firstpost. Firstpost. (2017, June 27). Retrieved April 29, 2022, from https://www.firstpost.com/india/remembering-1980-moradabad-muslim-massacre-a-harsh-indictment-of-lefts-secular-politics-3745717.html

MuslimMirror. (2021, August 26). Moradabad riots : A macabre of state-sponsored genocide. Muslim Mirror. Retrieved April 29, 2022, from https://muslimmirror.com/eng/moradabad-riots-a-macabre-of-state-sponsored-genocide/

This day 39 years ago, what had happened at Eidgah in Moradabad? IndiaTomorrow.net. (n.d.). Retrieved April 29, 2022, from https://old.indiatomorrow.net/eng/this-day-39-years-ago-what-had-happened-at-eidgah-in-moradabad


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Titanic - Politik - Filem Klasik

Leave A Reply