Kerajaan Islam Gorontalo: Bermula Dari Cinta Seorang Raja Kepada Isterinya

0
1488
views

Bila disebut Taj Mahal, pasti kita terus terbayang sebuah kisah cinta agung Raja Moghul Shah Jehan kepada isterinya Mumtaz. Sampai sekarang, cerita ini terus menghiasi kota Taj yang tersergam indah.

Itu cerita Taj Mahal zaman Kesultanan Moghul, India. Kali ini, saya ingin membawa para teman ke hujung timur Indonesia iaitu Gorontalo. Dari segi geografinya, Gorontalo berjiran dengan Sabah (Malaysia) dan Sulu (Selatan Filipina). Hanya laut Celebes yang memisahkan tiga negara ini. Bayangkan, kisah yang sama mirip berlaku di hujung timur dunia yakni di Kota Gorontalo hinggakan dikatakan Islam masuk di Gorontalo kerana Cinta.

Gorontalo adalah bumi bagi gunung- ganang.  Hutannya pula adalah kediaman bagi flora dan fauna yang unik.  Ditaqdirkan seribu keindahan, Gorontalo mempunyai hutan yang sangat indah dengan kepelbagaian dan variasi. Sementara di bahagian selatan laut Gorontalo, iaitu di Teluk Tomini, ada beberapa pulau kecil yang tersebar yang belum berpenghuni.

Saya sendiri sebelum ini, sebaik mendarat di Tanah Gorontalo, yang terlintas di benak imaginasi saya mengenai Gorontalo ialah Pak Habibie, manusia genius yang merupakan pereka pesawat dan mantan presiden Indonesia. Pak Habibie antara tokoh pemimpin yang saya kagumi merupakan anak kelahiran Gorontalo.

Baik, bermula Kisah Islam Gorontalo, ketika Sultan Amay (1460M-1535M) seorang pemerintah di Gorontalo, meminang seorang puteri raja bernama Owutango, anak kepada raja Palasa Ogomonjolo, Teluk Tomini yang lebih dahulu memeluk Islam.

Raja Palasa telah mengenakan syarat kepada Sultan Amay bahawa Mahar perkahwinan ialah dengan membina sebuah masjid. Sultan Amay menyahut dengan cinta syarat raja Palasa tersebut demi memperisterikan Puteri Owutango. Masjid Hunto Sultan Amay kemudian berdiri indah merupakan masjid pertama yang dibina dan pada hari ini merupakan masjid tertua di Gorontalo.

Penulis di hadapan Masjid Sultan Amay.

Setelah mendirikan masjid itu, Sultan Amay mengumpulkan seluruh rakyatnya di masjid itu untuk mengucapkan syahadah. Di hadapan rakyatnya, yang kala itu masih memeluk kepercayaan Alifuru – penyembah roh dan benda-benda yang dianggap bertuah – Sultan Amay memerintahkan untuk menyembelih seekor babi, darahnya kemudian diletakkan di seluruh kening rakyatnya.

Peristiwa itu dikenal sebagai upacara sumpah adat “Bontho” yakni bolo yingoyingontiyolo monga boyi (ini hari terakhir kita makan babi). Sumpah itu sekaligus menandakan seluruh warga kerajaan Gorontalo memeluk agama Islam kerana pada ketika itu, babi adalah makanan setempat.

Orang Gorontalo dahulu.

Masjid Hunto Sultan Amay

Saat saya menziarahi Masjid Hunto Sultan Amay, usianya menginjak 523 tahun dan terletak di kelurahan Biawu, Kota Selatan Kota Gorontalo. Terbina ia pada tahun 1495 masihi /899 hijriyah sebagaimana yang tertulis di gapura Masjid.

Saya juga mengambil peluang menziarahi Makam Sultan Hunto Amay dan bertahlil kepada Baginda. Di batu nisan Baginda, tercatat Sultan Amay diberi gelar Ta Olongia Lopo Isilamu (Raja yang menyebarkan agama Islam).

Disamping makam Baginda, ada sebuah makam tertulis nama di nesan, Makam Auliya, Maulana Syaikh Syarif Bin Abdul Aziz (1765M – 1835M). dikatakan Maulana Syaikh Syarif di datangkan dari Hijaz oleh Sultan Kerajaan Gorontalo untuk membimbing, menyebarkan pendidikan Islam. Kerajaan Islam Gorontalo berkembang dan dijuluki Serambi Madinah.

4 Tiang Utama Masjid

Di ruang utama masjid, berdiri empat tiang penyangga, menurut penjaga masjid, ia melambangkan empat sahabat Rasulullah Muhammad SAW dan Khulafa’ Ar Rasyidin Sayyiduna Abu Bakar Ash Shidiq, Sayyiduna Ali Bin Abi Thalib, Sayyiduna Umar Bin Khattab dan Sayyiduna Usman Bin Affan.

Empat tiang Masjid.

Pelambangan ini penting kerana kedatangan serta penyebaran Islam oleh pendakwah dan Ulama’ dahulu ke wilayah Nusantara ini adalah tulen Ahlul Sunnah Wal Jamaah. Berintegrasi Tauhid, Fiqh dan Tasauf. Bukan Syiah Rafidhah sepertimana tuduhan sebahagian generasi muda hari ini yang mempercayai pendakwah dulunya membawa syiah. Ya Salam. Alasannya? Kerana Ulama yang masuk ke nusantara dahulu adalah Ulama’ Sufi. Ya benar Sufi dan Sufi bukannya Syiah der. Perbezaan jelas !.

Masjid ini juga meninggalkan beberapa binaan sejarah, di antaranya Mihrab kayu berukir dan tempat khatib memberikan khutbah setinggi dua meter yang sampai sekarang masih digunakan.

Perahu Emas Sultan Amay

Sebelum pulang, saya sempat menoleh di sudut perkarangan belakang masjid. Di situ saya melihat replika Perahu besar berwarna kuning keemasan. Menurut catatan yang tergantung di pokok yang berada di tepi perahu, perahu besar itu adalah perahu emas milik Sultan Amay dan pokok itu merupakan tempat pengikat tali perahu tersebut.

Perahu emas Sultan Amay
Pokok pengikat tali perahu.

Adat Bersendi Syara’

Bukan sahaja menjadi asbab pemelukan dan penyebaran Islam jelata, Sultan Amay beserta delapan raja di daerah itu juga bertanggungjawab melahirkan 185 rumusan adat merangkumi upacara perkawinan dan kematian, perilaku berkeluarga, bermasyarakat penerimaan tamu dan pengangkatan pemimpin. Hasil rumusan itu dikenal dengan prinsip Saraa Topa-Topango to Adati atau syariat (hukum Islam) bertumpu pada adat.

Titah Sultan Amay berhubung Adat Bersendikan Syara’, Syara’ Bersendi Kitabullah

Prinsip adat yang digagaskan oleh Sultan Amay ini kemudian disempurnakan pada masa pemerintahan Raja Eyato yang berkuasa pada 1673M-1679M menjadi ;

“Adati Hulahulaa To Saraa, Saraa Hulahulaa To Quruani”

Terjemahan : bermaksud Adat Bersendi Syarak, syarak bersendi Kitabullah (Al Quran).

hingga saat ini, falsafah ini dipegang oleh warga Gorontalo.

Berkenaan falsafah tersebut, saya pernah mendengar falsafah yang sama di Riau dan di Minang (Jika dalam bahasa Minang, Adat Basandi Syara’, Syara’ Basandi Kitabullah) akan tetapi tak sangka jauh di hujung timur Indonesia, falasafah Adat bersendiri Syarak, Syarak bersendi Kitabullah turut ada bahkan nama juga sama.

Sekarang saya sedang bertanya kepada diri saya, siapakan pencipta sebenar gagasan yang hebat ini? Kerana sama tiada beza. Jika lihat pada tarikh, Kerajaan Pagar Ruyung Minangkabau (1347M – 1825M) berdiri lebih awal dari Kerajaan Islam Gorontalo sementara Kerajaan Riau Lingga (1828M – 1911M) jauh lebih lewat. Saya telah berkongsi maklumat ini kepada teman pengkaji dan beliau mengucapkan terima kasih dan berjanji mengkaji lanjut hal ini.

Falsafah Hidup Orang Gorontalo

Selain menjadi salah satu suku tertua di Nusantara, Suku Gorontalo yang mempunyai bahasanya tersendiri turut memiliki kekayaan budaya yang luhur. Seperti peradaban lainnya, Masyarakat Gorontalo turut memiliki falsafah hidup yang di pegang erat dan teguh bersemadi dalam jati diri orang Gorontalo sehingga sekarang, Antaranya adalah:

  1. Aadati hula-hula to Sara’, Sara’ hula-hula to Kuru’ani (Adat bersendikan Syara’, Syara’ bersendikan Al-Quran)
  2. Mohuyula (Bahu membahu atau Bergotong royong)
  3. Mopotuwawu Kalibi, Kauli, wawu Pi’ili (Menyatukan Hati, Perkataan, dan Perbuatan)
  4. Batanga Pomaya, Nyawa Podungalo, Harata Potombulu (Jasad membela tanah air, Jiwa dipertaruhkan, Harta bagi kemaslahatan orang banyak)
  5. Lo Iya Lo Ta Uwa, Ta Uwa Loloiya, Bo’odila Polusia Hilawo (Pemimpin itu penuh dengan Kewibawaan, Maka tidaklah dirinya Sewenang-wenang)

Islam di Gorontalo Kini

Barakah Usaha para Raja, para Ulama dan leluhur terdahulu serta pendidikan agama yang berterusan, Gorontalo merupakan wilayah yang 97% penduduknya adalah muslim. Sampai sekarang, gelar Serambi Madinah terus menjadi gelaran dan kebanggaan provinsi Gorontalo. Disamping itu juga, bumi auliya’ ini turut digelar Kota Seribu Masjid lantaran kewujudan banyak masjid di setiap ceruk negeri.

Akhir Kalam

Gorontalo yang sebahagian besar terdiri dari pergunungan yang membentang dari utara ke selatan akan terus di ingati. Panorama dan keindahan alamnya yang masih terpelihara menjadi inspirasi. Sekian,

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.