Terletak di Tanduk Afrika, kerajaan Ethiopia purba yang bernama Aksum ini memainkan peranan yang signfikan dalam politik antarabangsa sekitar milenia pertama. Pada masa-masa kemuncaknya, wilayah kekuasaan Aksum terbentang luas meliputi Ethiopia, Eritrea, Sudan, barat Yaman, selatan Arab Saudi dan juga sebahagian Somalia moden.

Walaupun sejarahnya hampir dilupakan sepenuhnya pada hari ini, sebutan-sebutan yang merujuk kepada tamadun dari Ethiopia ini boleh dilihat di dalam Al-Qur’an, Bible, Illiad karya Homer dan juga Divine Comedy karya Dante. Penyebutan yang merangkumi sumber yang luas sebegini mencerminkan besarnya kuasa dan pengaruh yang pernah dimiliki oleh Empayar Aksum.

Terdapat sejumlah legenda menarik yang dikaitkan dengan kerajaan tersebut. Ibukotanya, yang juga dinamakan sebagai Aksum, dikatakan merupakan tanah tumpah darah bagi Ratu Saba’ yang masyhur. Malah, legenda turut menyebutkan bahawa Tabut Perjanjian Nabi Musa turut dibawa dan disimpan di suatu kawasan dalam kerajaan tersebut.

Lokasi kerajaan Aksum

ASAL-USUL DAN PERKEMBANGAN KERAJAAN AKSUM

Masyarakat tempatan Agaw dari Ethiopia utara mula menghuni dan mengembangkan kota Aksum sekitar tahun 400SM. Menjelang pertengahan kurun ke-2SM, Aksum telah pun membesar menjadi sebuah kerajaan yang dominan di rantau tersebut. Kejayaan ini sebahagian besarnya disumbangkan oleh transformasi maritim yang dilakukan oleh Empayar Rom. Berikutan kedudukannya yang cukup strategik di Laut Merah, ‘kerajaan ini (Aksum) berada di persimpangan tiga benua; Afrika, Arab dan Greek-Rom. Malah, ia juga merupakan kerajaan yang paling berkuasa yang terletak di antara Empayar Rom Timur dan Parsi.” (UNESCO)
Tanduk Afrika merupakan sebuah kawasan yang sangat subur.

Lantaran itu, tidak hairanlah sekiranya Aksum berupaya mengeksport pelbagai komoditi pertanian seperti gandum dan barli serta haiwan ternakan seperti biri-biri, lembu dan juga unta. Kerajaan ini turut diperkayakan dengan sumber emas, besi dan garam (komoditi yang sangat berharga pada waktu itu). Aksum juga menguasai perdagangan gading gajah yang dikeluarkan di Sudan. 

Sebagai pertukaran, ia membawa masuk cengkerang kura-kura, rempah-ratus, sutera, zamrud dan hasil-hasil tangan daripada Rom dan India. Peranan Ethiopia sebagai hub perdagangan pernah disebutkan di dalam sebuah buku catatan seorang pedagang Iskandariah pada kurun pertama Masehi, berjudul The Periplus of the Erythraean Sea.

Nama, jalan dan lokasi-lokasi dalam Periplus of the Eryhtraean Sea

LEGENDA-LEGENDA RATU SABA DAN DINASTI SULAIMAN

Legenda-legenda masyarakat Ethiopia menceritakan bahawa Aksum, ibu kota Empayar Aksum, merupakan kampung halaman Ratu Saba. Walaupun Ratu Saba hidup beberapa kurun sebelum berdirinya Kerajaan Aksum, raja-rajanya dari Dinasti Sulaiman mendakwa bahawa susur galur keturunan mereka berakar dari Ratu Saba’ dan Raja Sulaiman dari Israel.
Kisah tersebut menyebutkan bahawa Ratu Saba bertemu dengan Raja Sulaiman di Jerusalem setelah mendengar perkhabaran tentang kebijaksanaannya.

Apabila si ratu berada di sana, Raja Sulaiman berasa terpesona dengan kecantikan beliau. Tidak lama setelah mereka bersama, Ratu Saba pun mengandungkan anak mereka berdua. Anak ini bernama Ibn al-Malik, juga dikenali sebagai Menalik dan beliaulah individu yang dicatatkan oleh sejarah sebagai pengasas Dinasti Sulaiman. Raja-raja di Ethiopia, termasuklah raja-raja dari Empayar Aksum, mendakwa bahawa mereka berketurunan daripada Menelik.

ZAMAN EMAS KERAJAAN AKSUM

Kerajaan Aksum mencapai masa-masa perdananya pada kurun ke-3 hingga kurun ke-5 Masehi. Zaman keemasan tersebut bermula apabila Raja Ezana yang masyhur mengubah agama Kristian sebagai agama rasmi kerajaan itu pada tahun 324M. Bahkan, syiling-syiling yang dicetak di zaman pemerintahan Raja Ezana merupakan syiling pertama di dunia yang memiliki imej salib. Ezana turut bertanggungjawab menitikberatkan kepentingan dokumen-dokumen bertulis.

Advertisements
Batu Ezana merekodkan tentang penukaran agama Ezana kepada Kristian dan kempennya dalam menundukkan masyarakat sekitar, termasuklah Meroe

Lantaran itu, manuskrip-manuskrip ini dapat diwariskan dari generasi ke generasi dan memberikan pengetahuan yang banyak tentang Aksum. Dokumen-dokumen tersebut ditulis dalam bahasa asli Ge’ez, antara bahasa yang usianya menjangkau sekurang-kurangnya kurun ke-8SM.

Sebahagian ilmuwan berpendapat bahawa berkemungkinan wujud scriptorium (sekolah penulisan) di utara Ethiopia, yang mana institusi ini membekalkan penulis-penulis untuk wilayah di rantau berkenaan, termasuklah di sekitar Lembah Nil.

Syiling Kerajaan Aksum di zaman Ezana

Kerajaan Aksum mempunyai hierarki sosial yang kompleks dan bandar-bandarnya pula mempunyai corak susunan yang rumit. Susun lapis masyarakat Aksum terdiri dari golongan elit atasan seperti raja dan bangsawan, disusuli oleh golongan elit bahawan seperti bangsawan berstatus rendah, pedagang dan juga petani kaya. Lapisan terakhir dianggotai oleh orang awam seperti petani kecil, artisan dan pedagang.

Ahli-ahli arkeologi pernah menemukan dokumen-dokumen pentadbiran dan makam-makam yang menunjukkan bahawa golongan elit Aksum menerima penghormatan yang tinggi semasa dikebumikan, merangkumi amalan pengebumian yang mewah dan juga pembinaan monumen peringatan yang dikenali sebagai stelae.

Stelae yang berbentuk seperti menara atau obelisk ini dipenuhi dengan ukiran inskripsi. Selain itu, makam golongan elit Aksum juga mempunyai pintu-pintu batu dan jendela-jendela palsu. Stelae yang paling tinggi dicatatkan mencecah 100 kaki (30.48m)

Stelae Aksum paling besar, rosak di tempat ianya tumbang

AGAMA DALAM KERAJAAN AKSUM

Pada mulanya, agama Kristian hanya diamalkan oleh golongan elit. Ia tidak tersebar secara meluas kecuali pada lewat kurun ke-5 apabila mubaligh-mubaligh Kristian melarikan diri dari Empayar Rom Timur (Byzantium) dan mencari perlindungan di Kerajaan Aksum. Mereka turut diberikan izin untuk membawa dan menyebarkan agama baru. Para mubaligh ini berkumpul di Gereja Tewahedo Ortodoks Ethiopia memandangkan ia masih mengekalkan doktrin Monophsite.

Lukisan Ethiopia ini menunjukkan St George, Penyaliban, dan Mariam Si Perawan

Walaupun terdapat banyak empayar di Barat yang menerima agama Kristian pada kurun ke-5, perdebatan hangat seputar kedudukan Christ berlangsung hebat di pihak masing-masing. Monophysitism berpendapat bahawa Jesus Christ memiliki hanya satu sifat atau ciri yang mana ia adalah sintesis di antara ciri kedewataan dan kemanusiaan. Pandangan sebegini dianggap menyeleweng oleh Sidang Chalcedon pada tahun 451M.

Rome dan Konstantinopel berpegang kepada doktrin dyophysitism, iaitu Jesus Christ mempunyai dua sifat – satu sifat kedewataan dan satu sifat kemanusiaan. Perdebatan ini, yang hampir dipengaruhi sepenuhnya oleh perseteruan politik dan budaya, membawa kepada perpecahan terakhir Gereja-Gereja Ortodoks Oriental dari Gereja-Gereja Ortodoks Timur dan Barat.

Ia merupakan satu kesan yang sangat besar, di mana walaupun Empayar Aksum pada akhirnya runtuh, Gereja Tewahedo Orthodoks Ethiopia masih terus hidup dan menjadi sebuah aliran Kristian yang berkembat pesat – dianuti oleh sekitar 45 hingga 50 juta manusia di seluruh dunia.

Kumpulan koir Ortodoks Ethiopia

ADAKAH TABUT PERJANJIAN NABI MUSA BERADA DI ETHIOPIA?

Terdapat legenda yang menyebutkan bahawa wujud satu lagi perkaitan antara Aksum dan Israel, yang mana ia merupakan suatu perkaitan dalam hal keagamaan yang agak penting. Legenda menceritakan bahawa ketika Menelik tumbuh membsar, beliau pernah bertanya tentang siapakah bapanya. Selepas mengetahui bahawa bapanya adalah Raja Sulaiman, anak muda itu pun berjumpa dengannya. Menelik berada di samping Raja Sulaiman selama tiga tahun. Namun, beliau diminta untuk beredar atau menjauh selepas masyarakat Israel mengadu tentang kemiripan antara Menelik dan bapanya, yang mana hal ini seringkali membuat mereka terkeliru.

Ketika Menelik beredar atau diusir, beliau ditemani oleh putera sulung paderi tertinggi, Azariah dan 1000 orang dari setiap 12 suku Isarel. Namun sebelum mereka beredar, Azariah bermimpi dan di dalam mimpi tersebut, beliau diminta supaya membawa bersama Tabut Perjanjian Nabi Musa. Oleh kerana itu, Azariah pun mengambil Tabut tersebut dari kuil yang menyimpannya, lalu menggantikannya dengan tabut salinan sebelum kemudiannya membawa Tabut yang asli itu pulang ke rumahnya. Sehingga ke hari ini, Tabut Perjanjian Nabi Musa diyakini terletak di suatu tempat di Ethiopia.

APAKAH FAKTOR KETUMBANGAN KERAJAAN AKSUM?


Sejarahwan tidak pasti apakah sebenarnya yang membawa kepada kejatuhan Kerajaan Aksum. Namun, terdapat beberapa faktor yang diperkirakan sebagai penyebab. Salah satu faktor yang menumbangkan Kerajaan Aksum mengambil tempat pada tahun 520M, tepatnya semasa Raja Kaleb memimpin sebuah kempen ketenteraan memerangi Raja Yahudi Himyar bernama Dzu Nuwas yang menindas orang-orang Kristian di Yaman.

Walaupun bala tentera Aksum Berjaya memenangi konflik berkenaan dan menjamin keselamatan penganut Kristian di Yaman (setidak-tidaknya sehingga kemunculan Islam), tahun-tahun peperangan yang berlangsung panjang mengakibatkan berkurangnya perbendaharaan dan tenaga manusia Aksum. Selain itu, peperangan itu juga berkemungkinan menjadi punca kepada menularnya Wabak Justinian yang menimpa Ethiopia sekitar waktu yang sama. Wabak tersebut, yang menular di kebanyakan wilayah Empayar Byzantium pada kurun ke-6, diperkirakan sebagai wabak bubonik pertama yang pernah direkodkan sejarah.

Kain atau seluar kapas wanita Ethiopia, yang merupakan helaian sutera dari Sassanid dan didekorasi berdasarkan Raja Khosrau I memerangi bala tentera Aksum di Yaman, kurun ke-5 hingga ke-6

Ibarat menuangkan minyak ke atas api yang marak menyala, musibah peperangan dan wabak yang menimpa Aksum disusuli oleh perluasan kuasa Islam yang bermula pada kurun ke-7 Masehi. Pada kurun tersebut, Islam dengan pantas tersebar ke seluruh Semenanjung Tanah Arab dan Afrika Utara.

Pada rentang waktu antara kurun ke-7 dan kurun ke-8 Masehi pula, Aksum hilang penguasaan ke atas Laut Merah dan kebanyakan kawasan di sekitar Sungai Nil. Keadaan ini tidak hanya mengakibatkan ekonomi Aksum tersekat, malah ia juga memaksa kebanyakan penganut Kristian yang menghuni kota Aksum untuk berpindah lebih jauh ke kawasan pedalaman demi mendapatkan perlindungan.

Mengakhiri segalanya, masyarakat Ethiopia diuji dengan perubahan cuaca yang berpanjangan. Populasi besar yang dimiliki oleh Empayar Aksum memberi kesan tekanan yang besar pada dataran Tigrinya, tempat di mana kerajaan tersebut mendirikan tapaknya. Hal ini pada akhirnya membawa kepada berlakunya bencana hakisan tanah.

Sejarahwan berpendapat bahawa proses yang membawa kepada berlakunya bencana tersebut dipercepatkan lagi dengan penaruh taburan hujan sekitar 730-760M. Keadaan tersebut merencatkan kitaran musim dan keadaan di bumi Ethiopia tidak pulih kecuali pada kurun ke-9 Masehi.

Walaupun mengalami keruntuhan yang dahsyat, kota Aksum masih lagi dihuni sehingga ke hari ini oleh 50 000 orang sekaligus menjadikannya sebagai kota paling tua yang secara berterusan diduduki di benua tersebut.

Obelisk di Aksum, lukisan Henry Salt

DIOLAH DAN DITERJEMAHKAN DARI:

Kerry Sullivan. (13 April 2019). The Kingdom of Axum: Facts and Legends of a First Millennium Powerhouse. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/ancient-places-africa/axum-legendary-kingdom-ancient-ethiopia-006720

Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.