Terkenang zaman sekolah dulu, cikgu cakap ular memang menakutkan. Tetapi kalau ular pupus, buruk padahnya. Tikus akan bermaharajalela sampai rosak habis segala tanaman. Kalau letak minda dewasa pada kenangan kanak-kanak ini, macam-macam kita boleh bayangkan: krisis makanan, penularan penyakit dan keruntuhan politik. Bayangkan jasa ular pada ekosistem yang dipanggil rantaian makanan. Logiknya jelas: sumber sekunder hilang; sumber primer naik berganda dan memberi tekanan pada sumber pengeluar.

Perhatian. The Patriots sedang mencari manuskrip untuk diterbitkan. Jika berminat, anda boleh kirimkan ke alamat emel seperti dalam gambar.

Sekarang bayangkan situasi jika burung, kucing dan ular (pemangsa tikus) semua lenyap sekelip mata. Itulah keadaan sebenar pada zaman dinosaur – apabila batu angkasa menimpa bumi 65 juta tahun yang lalu. Kepupusan haiwan-haiwan gergasi ini memberi impak pada alam sekitar. Dan impaknya begitu ketara sampai evolusi tumbuh-tumbuhan terganggu habis.

Memahami Isu Evolusi

Advertisements

Bab evolusi tiada kena mengena dengan andaian orang ramai terhadap Charles Darwin. Umumnya, Teori Darwin tidak pernah cakap manusia berevolusi daripada beruk. Penjelasan mudah: setiap spesis mewarisi sesuatu benda baharu daripada generasi terdahulu untuk kekal hidup (survive). Jadi kita wajib bersetuju 65 juta tahun yang lalu, pokok-pokok perlu “kekal hidup” mengharungi bala besar angkara batu angkasa.

Pokok zaman dinosaur apa yang masih hidup sampai sekarang? Banyak tetapi macam yang diceritakan, semuanya berevolusi sampai jadi “spesis baharu”. Ambil contoh pokok siakas (cycads).

Contoh pokok siakas. (South African Tourism/ CC-BY SA 2.0.)

Dinosaur cukup suka makan pokok siakas. Buktinya ada pada fosil yang mengandungi bahan radiasi pokok siakas. Walau bagaimanapun, bahan radiasi itu sendiri didapati cukup berbeza untuk dibandingkan dengan bahan radiasi pokok siakas sekarang. Dalam bahasa mudah, pokok siakas sudah berubah begitu ketara sampai ibaratkan spesis baharu berbanding spesis terdahulu (Royal Botanic Garden, 2011).

Perkara sama berlaku pada keluarga palma (palm family) yang terdiri daripada pokok kelapa, pokok kelapa sawit, pokok kurma, pokok pinang dan sebagainya. Saintis-saintis daripada Universiti Liepzig mengkaji genetik keluarga palma dan mendapati perubahan begitu ketara, sama seperti perubahan siakas (German Center for Integrative Biodiversity Research, 2022). Faham begini: keluarga pinang dulu mempunyai buah lebih besar, siap berduri lagi sepanjang pohon daripada akar sampai pucuk. Bayangkan pokok kelapa dikacuk landak. Lain macam.

Keluarga palma moden yang tidak berduri. (Stan Shebs/CC BY-SA 3.0).

Penemuan ini nampak remeh. Walau bagaimanapun, saintis sekarang sedang cuba menyingkap punca asal kenapa keluarga palma ada duri. Apakah dinosaur guna pokok palma untuk garu badan? Jangan gelak. Bunyi saja lawak. Tetapi kena ingat balik – hubungan alam antara pokok dan haiwan adalah seperti suami isteri. Tanpa suami, isteri terkesan dan berubah (ini situasi suami eloklah, bukan buaya darat).

Sejarah Boleh Berulang

“Isteri” dalam hal ini kehilangan “suami” selama 25 juta tahun. Itulah tempoh pokok tiada “megaherbivore”. Zaman sekarang “megaherbivore” adalah seperti gajah dan zirafah misalnya. Zaman dulu megaherbivore adalah dinosaur leher panjang macam Brachiosaurus misalnya atau dinosaur bertanduk dua seperti Triceratops. Apabila status megaherbivore beralih daripada reptilia ke mamalia, memang alam semulajadi berubah habis. Begitu ketara alam semulajadi tukar – sampai spesis pokok-pokok lama pupus terus, diganti spesis-spesis baru. Ibaratkan moyang, datuk, bapa, anak, cucu, cicit dan seterusnya.

Megaherbivor moden. (nickandmel2006/CC BY-SA 2.0).

Jurang berpuluh-puluh juta tahun mengubah habis ciri-ciri seperti wajah, bentuk dan barangkali warna pokok yang sama… sampai bercambah dan terhasil pokok serupa tetapi tidak sama. Maka tidak melampau untuk kita simpulkan satu benda: kepupusan dinosaur telah memusnahkan tumbuh-tumbuhan (Black, 2022). … hanya kerana tiada megaherbivore selama 25 juta tahun sekurang-kurangnya.

Masalah sekarang: dunia ada bala bencana lebih dahsyat untuk dibandingkan dengan batu angkasa. Bala bencana ini dicetuskan manusia, yang bertanggungjawab dalam banyak siri kepupusan secara berantaian. Spesis gajah diisytiharkan terancam (endangered). Spesis zirafah pula disahkan terjejas (vulnerable). Lima spesis badak sumbu sedang mewarnai dunia ini; tiada satu pun selamat (least concern).

Jika mereka pergi buat selamanya, dunia perlu tunggu berapa juta tahun pula sebelum timbulnya megaherbivore baru?

RUJUKAN:

Black, R. (2022, April 5). Many of these plants older than dinosaurs face extinction. Smithsonian Magazine.

German Center for Integrative Biodiversity Research. (2022). Dinosaur extinction changed plant evolution: effects of missing large herbivores on food plants still detectable today. Urs Moesenfechtel.

Royal Botanic Garden. (2011, Oktober 20). Long-held belief debunked: Cycad is not a ‘Dinosaur Plant’. Phys.

Share.

Berbekalkan buku “Perang Salib Pertama: Kelahiran Templar”, Ahmad Faezal mempunyai suatu matlamat bagi Malaysia. Dalam kaca mata beliau, bangsa Melayu perlu bangkit membaham ilmu sepertimana mereka memakan nasi. Seorang pengikut setia bidang astronomi dan isu semasa, beliau mengimpikan bangsa Melayu dalam masa 100 tahun boleh melibatkan diri secara aktif dalam bidang-bidang sains terperinci. Beliau juga seorang penulis dan penterjemah upahan, yang sedia menerima klien.

Leave A Reply