Setiap makhluk ciptaan Tuhan mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Ada yang mempunyai penampilan yang kurang enak pada pancaindera kita tetapi pintar dalam menguruskan kehidupannya. Siapa sangka sotong kurita merupakan antara beberapa spesis haiwan yang pintar. Buktinya, boleh lihat link video YouTube yang disediakan:

Menerusi video berkenaan, kita dapat melihat gelagat sotong kurita itu mengaplikasikan tempurung kelapa dalam pelbagai cara. Ia membawa tempurung itu sebagai alat di mana pada satu ketika, ia dijadikan sebagai tempat persembunyian untuk menangkap mangsanya. Atau keupayaannya membawa tempurung kelapa dan menggabungkannya dengan satu lagi tempurung sebagai tempat persembunyian.

Cenkerang dijadikan tempat persembunyian oleh Kurita –
Credit Ethan Daniels, via Getty Images

Dan ini menimbulkan rasa ingin tahu dalam kalangan saintis berkenaan kepintaran spesis sefalopod. Sejak berdekad lamanya, mereka mengkaji bagaimana sesetengah haiwan berevolusi dan menunjukkan kepintaran seperti gajah, ikan lumba-lumba dan sesetengah burung seperti gagak dan burung kakak tua.

Tetapi teori ini langsung tidak boleh dipakai kepada kumpulan spesis sefalopod terdiri daripada sotong kurita, sotong dan sotong katak. Ini kerana di sebalik menunjukkan elemen kreativiti, kumpulan spesis ini tidak mempunyai beberapa ciri kepintaran yang terdapat pada haiwan lain.

Bagi para saintis, kepintaran haiwan diukur berdasarkan kemahiran kognitif mereka yang membolehkan mereka berkembang. Ini termasuklah kemahiran haiwan mencari makanan atau bersiap sedia menghadapi cabaran mendatang. Haiwan pintar tidak hanya bergantung kepada reaksi semulajadi untuk menyelamatkan diri tetapi mereka boleh menghasilkan tingkah laku baru pada masa singkat.

Contohnya hasil pemerhatian saintis di luar, mereka mendapati ikan lumba-lumba memasukkan muncungnya pada span untuk mengelaknya dari terkena batu tajam dan batu karang. Atau ada dibawa untuk pemerhatian di makmal seperti burung gagak yang diajar mengoyakkan kertas kepada kepingan bersaiz tepat dan diberi ganjaran.

Berdasarkan semua kajian ini, para saintis mendapati haiwan-haiwan pintar berkongsi beberapa ciri iaitu mempunyai otak besar berbanding saiz tubuh mereka, hidup untuk jangka masa lama dan membentuk ikatan sosial jangka panjang.

Berdasarkan persamaan ini, saintis membuat beberapa hipotesis. Pertama, mereka berpandangan kepintaran haiwan berevolusi mengikut cara mereka beradaptasi dalam mencari makanan. Menurut Piero Amadio dari Universiti Cambridge, sesetengah haiwan perlu beradaptasi bagi mendapatkan bekalan makanan.

Peralatan membenarkan haiwan mendapatkan makanan yang mereka tidak boleh capai sebelum ini. Dan jika mereka merancang untuk masa hadapan, mereka boleh menyimpan makanan sebagai simpanan pada masa sukar.

Ada pula yang membuat hipotesis kepintaran sosial sebagai penyumbang kepada evolusi kepintaran haiwan. Menurut Amadio, haiwan-haiwan yang pintar bekerjasama dan belajar dari ahli-ahli lain dari spesis sama. Menerusi kerjasama ini, ia mengakibatkan pembangunan otak yang bukan saja lebih besar tetapi juga lebih berkuasa.

Haiwan pintar boleh hidup lebih lama dan perkembangan ini turut menyumbang kepada evolusi otak yang lebih besar. Bagi anak-anak haiwan sebegini, ia mengambil masa bertahun-tahun untuk membangunkan organ-organ yang bersifat rumit. Justeru semasa fasa tumbesaran mereka, mereka memerlukan bantuan daripada haiwan dewasa untuk mendapat makanan mencukupi.

Bagi spesis sefalopod, terdapat banyak cara yang menonjolkan kepintaran spesis haiwan itu. Contohnya seekor sotong kurita bernama Inky berjaya melepaskan diri dari kurungannya di Akuarium Nasional New Zealand dengan menyusup masuk ke penutup longkang dan kembali ke lautan.

Sotong katak pula boleh menakutkan haiwan pemangsa yang bergantung kepada deria penglihatan dengan menunjukkan corak tompok pada badan untuk menunjukkan ia merupakan ikan besar. Tetapi bagi haiwan pemangsa yang menggunakan deria bau, satu-satunya cara untuk sotong katak melepaskan diri ialah melarikan diri.

Satu lagi ciri yang dikongsi sefalopod dengan haiwan pintar lain ialah mempunyai otak yang besar. Tetapi di situlah juga persamaan itu berakhir. Kebanyakan neuron yang membuat pengiraan berada pada setiap lengannya. Dan tidak seperti haiwan pintar lain, haiwan dari spesis sefalopod mati pada usia muda di mana jangka hayat yang paling panjang ialah dua tahun. Sefalopod juga tidak mempunyai hubungan sosial kerana ia merupakan haiwan penyendiri dan hanya mencari pasangan bila perlu saja.

Amodio dan rakan-rakan penyelidiknya berpandangan mereka mempunyai jawapan kepada paradoks kepintaran ini. Separuh bilion tahun yang lalu, nenek moyang spesis ini yang berbentuk siput berevolusi dengan menggunakan cangkerangnya sebagai alat pengapungan. Ia akan mengisi ruang-ruang dalam cangkerang ini dengan gas untuk terapung di lautan. Satu lagi haiwan spesis sefalopod, nautilus masih hidup dengan cara ini. Seperti sotong kurita, ia juga mempunyai tentakel dan otak yang besar tetapi tidak mempunyai kepintaran sama seperti sotong kurita.

275 juta tahun yang lalu, nenek moyang spesis sefalopod yang lain meninggalkan cangkerangnya. Evolusi ini membolehkan haiwan sefalopod boleh pergi ke mana saja termasuk ruang-ruang sempit untuk mencari mangsa. Tetapi kehilangan cangkerang itu turut menjadikannya mangsa mudah kepada pemangsa yang kelaparan.

Ancaman pemangsa sebegini menjadikannya pakar dalam penyamaran dan melepaskan diri termasuk mendorong otaknya yang lebih besar berevolusi untuk menyelesaikan masalah dan memikirkan ancaman masa depan.

Tetapi menurut Amodio, kepintaran bukan solusi sempurna kepada sefalopod. Lambat-laun, ia akan menjadi makanan juga. Tetapi pada masa sama menurut Amodio, masih banyak perkara yang perlu dipelajari tentang sefalopod sebelum memastikan hipotesis yang dibuat tepat.

Penyelidikan ini bukan sekadar mendedahkan pelbagai rahsia tentang sotong kurita dan haiwan sefalopod lain tetapi pemahaman lebih mendalam terhadap kepintaran itu sendiri. Tambah Amodio, “Kita tidak boleh berpandangan bahawa hanya satu jalan saja kepada kepintaran. Terdapat jalan lain menuju ke situ.”

RUJUKAN:

Zimmer, Carl. (2018). Yes, the Octopus Is Smart as Heck. But Why?. New York Times. https://www.nytimes.com/2018/11/30/science/animal-intelligence-octopus-cephalopods.html


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.