Kepincangan Di Sebalik Kepercayaan Bumi Datar

0
2492
views

Sekitar abad ke-17, Galileo Galilei membentangkan model heliosentrisme yang bagi para agamawan merupakan satu serangan kepada ajaran Bibel. Selang beberapa ratus tahun kemudian, umat Islam mempunyai masalah yang sama. Dari Saudi sehingga Malaysia, pendapat pro-datar melekat kemas dalam penentuan bentuk rupa Bumi. Pelbagai jenis hujah telah dibentangkan, yang umum sekali dipetik daripada pemahaman aneh dan disandarkan ayat al-Qur’an. Sesiapa yang menyangkal pula dituduh lebih rela berpaut kepada ajaran Yahudi (NASA).

Malang buat dakwaan tersebut, bangsa yang satu masa dahulu berpegang bahawa Bumi mempunyai bentuk cakera adalah Yahudi. Bagi masyarakat Barat, pandangan seperti inilah merupakan punca kepada mendapan pengaruh Kristian: apabila agama menyekat sains. Manusia sebenarnya tidak perlu keluar dari Bumi “dengan kekuatan” pun untuk mengetahui bentuknya. Semuanya jelas di atas darat, yang dapat diteliti sesiapa pun.

Semasa peristiwa gerhana Bulan, iaitu apabila Bumi berada di antara Matahari dan Bulan, terdapat satu bayang-bayang yang akan menggelapkan permukaan Bulan. Setiap bayang-bayang akan mengikuti bentuk objek utama. Jika lurus, maka luruslah bayang-bayang objek tersebut, mustahil akan menjadi bengkok. Maka ketika peristiwa gerhana, bayang-bayang yang terdapat pada permukaan Bulan mempunyai bentuk lengkungan (bulat).

Selain daripada gerhana, kedudukan bintang juga boleh dijadikan sumber utama. Menurut Aristotle, bintang-bintang yang biasanya ada di Mesir dan Cyprus tiada di negara-negara lain. Kesimpulan ini adalah berasaskan penghijrahan beliau jauh daripada iklim Khatulistiwa. Jika Bumi mempunyai bentuk datar, tentu sekali bintang-bintang yang beliau biasa amati akan kekal di negara beliau kunjungi.

Yang lebih teguh berbanding gerhana dan kedudukan bintang adalah kewujudan zon-zon masa yang berbeza. Memang benar seminit di Kulim adalah 60 saat di Muar. Namun perkara yang sama tidak berlaku bagi dua negara berhampiran seperti Semenanjung Malaysia dan Sumatera. Waktu Kuala Lumpur juga berbeza dengan Maryland. Syuruk Moscow lebih awal daripada Ontario. Sepatutnya, jika Bumi ini berbentuk datar, semua tempat akan mempunyai pembolehubah masa yang tidak terlalu jauh, jika tidak sama sekalipun.

Sebagai pencuci mata, angkatlah pandangan ke langit dan kaji bentuk planet-planet serta bulan masing-masing. Sfera adalah bentuk yang paling umum bagi jasad-jasad berputar. Bukti putaran planet jelas terpampang dalam kajian pengamatan pada waktu-waktu tertentu. Putaran akan menghasilkan daya yang membuatkan Khatulistiwa sebuah planet lebih besar daripada kutub, sekaligus menjadikannya sfera. Maka disini harus dipersoalkan: jika planet-planet lain lebih cenderung kepada bulatan, tiada sebab untuk Bumi berbentuk datar.

 

Previous articleKota Melaka – Kota Teragung Tamadun Melayu
Next articleAlat Terjemahan Terkenal – Google Translate
Meskipun sibuk dengan perniagaan restoran, Ahmad Faezal tetap merupakan pengikut setia astronomi, geologi dan sejarah yang telah menjadi sebahagian daripada minat bervariasi beliau. Beliau juga mengimpikan bahawa dalam masa seratus tahun, bangsa Melayu mampu melibatkan diri dalam bidang aeroangkasa, seiringan dengan bangsa-bangsa lain. Namun, asas kepada kejayaan ini terletak kepada empat huruf utama iaitu ILMU.
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here