Tun Razak

Pada peringkat awal kepimpinan negara, nama Tun Abdul Razak tidaklah se’gah’ dan sebaris dengan nama-nama pemimpin Pahang seperti Shariff Daud, Abdul Rahman Talib, dan Dato’ Abu Samah. Beliau juga bukanlah antara penggerak awal dalam penentangan terhadap Malayan Union seperti Dato’Onn Jaafar dan Tun Dr. Ismail.

Ketika berusia 25 tahun, Tun Abdul Razak menerima biasiswa kerajaan dan berangkat ke London bagi melanjutkan pelajaran. Ketika belajar di sana, beliau menyertai Parti Buruh yang dianggap puak berhaluan kiri dan radikal.

Walaubagaimanapun, penglibatan Tun Abdul Razak dalam gerakan radikal telah pun bermula di Pahang sejak tahun 1944. Beliau menyertai pasukan WATANIAH yang dipimpin oleh Yeop Mahidin Bin Mohd Shariff dalam perjuangan menentang pendudukan Jepun di Tanah Melayu.

Meskipun dilahirkan dalam kalangan pembesar Melayu yang dekat dengan institusi istana, beliau dibesarkan di persekitaran desa yang serba tertindas ketika zaman penjajah. Keadaan ini sedikit sebanyak meningkatkan semangat nasionalisme beliau.

Apabila beliau memilih gerakan radikal ketika menjadi aktivis pelajar di London, tidaklah bermaksud Tun Abdul Razak cenderung kepada politik berhaluan kiri.

Mungkin ini salah satu cara beliau memanifestasi penentangan beliau terhadap kerajaan penjajah Inggeris. Mengikut fakta sejarah, Tun Abdul Razak menyertai UMNO pada Ogos 1950, tiga bulan setelah beliau diterima menjadi peguam.

Tunku Abdul Rahman

Bagi Tunku Abdul Rahman pula, walaupun tidak menyertai Kongres Melayu Pertama di Kelab Sultan Sulaiman, beliau sentiasa dihubungi oleh Dato’ Onn memandangkan jawatan beliau sebagai pengerusi UMNO Kedah. Pada 30 Mei 1946, Sir Edward Gent mengutus surat kepada Tunku bagi membolehkan pihak Inggeris untuk bertemu dengan wakil UMNO yang dipimpin oleh Dato’ Onn.

Malangnya Tunku dikecam hebat oleh UMNO Kedah apabila beliau bersetuju untuk membantu menyampaikan ‘hajat’ pihak Inggeris. UMNO menganggap Tunku seperti cuba menjadi ‘budak suruhan’ Inggeris supaya memujuk Dato’ Onn menemui Sir Edward Gent bagi mencapai titik persefahaman.

Akibat kecaman tersebut, Tunku seakan merajuk dan enggan meneruskan perjuangan bersama UMNO. Beliau mengambil keputusan untuk berlepas ke London bagi melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang buat kali kedua. Pada waktu itu, Tunku masih memegang jawatan sebagai Pegawai Daerah di Kulim.

Takdir menemukan kedua-dua pemimpin ini di London ketika Tunku Abdul Rahman berusia 44 tahun.

Selepas tamat Perang Dunia Kedua pada tahun 1945, kebanyakan negara Asia mula mengorak langkah ke arah kemerdekaan. Ini berdasarkan ketetapan Geneva yang dicapai oleh kuasa-kuasa besar seperti Amerika Syarikat, Soviet Union, Perancis dan Great Britain.

Di Tanah Melayu, antara pimpinan awal yang muncul ialah Ibrahim Haji Yaacob yang menggerakkan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). Pimpinan yang kedua pula merupakan Dato’ Onn Jaafar yang menubuhkan United Malay National Organization (UMNO).

Persamaan antara kedua-dua pimpinan ini adalah terdapat hanya satu tokoh yang menonjol atau ‘alpha’ dalam sesuatu pertubuhan.

Kemelut pada awal dekad 1950-an dalam UMNO muncul apabila Dato’ Onn ingin membuka keahlian parti kepada semua kaum. Cadangan ini ditentang hebat oleh ahli-ahli UMNO dan akhirnya beliau mengundurkan diri.

Namun pengunduran Dato’ Onn tidak bermaksud beliau terus melupakan cita-cita politiknya. Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) ditubuhkan bagi merealisasikan impian Dato’ Onn untuk menubuhkan parti pelbagai kaum.

Duo-Dinamik 

Setelah ahli UMNO gagal untuk memujuk Dato’ Onn kembali memegang jawatan Yang DiPertua Agung(Presiden), Tun Razak yang ketika itu merupakan Ketua Pemuda diminta untuk mengambilalih. Namun permintaan itu terlalu berat bagi beliau.

“Saya tak dapat menerima jawatan itu, kerana saya terlalu muda dan saya tak mahu menerimanya kerana saya tahu orang Melayu tidak akan menyokong saya kerana saya terlalu muda untuk jawatan itu. Tunku lebih layak, saya boleh terus menyokong. Saya sanggup memimpin seluruh UMNO Pahang di belakang Tunku. Kalau Tunku sanggup tegak di hadapan, saya juga sanggup tinggal tetap di dalam UMNO.”

(Sejarah Perjuangan Bangsa Melayu; Ibrahim Mahmood, 1981)

Dalam memenuhi janji menyokong kepimpinan Tunku, Tun Razak bersetuju menerima pencalonan menjadi Timbalan Yang Dipertua dengan melepaskan jawatan Ketua Pemuda UMNO.

Pengunduran Dato’ Onn dan pelantikan Tunku sebagai Presiden baharu merupakan ‘a blessing in disguise’ bagi seluruh Tanah Melayu. Hal ini kerana, perjuangan Ibrahim Haji Yaacob dan PKMM terhenti bukanlah disebabkan pengharaman oleh British, namun kerana tidak mendapat sokongan penuh pihak istana.

Perjuangan nasionalisme yang tidak mendapat sokongan istana akan dilabel pengganas oleh Inggeris seperti yang terjadi kepada Dato’ Dol Said di Naning dan Dato’ Bahaman di Pahang.

Pemilihan Tunku juga amat dinantikan oleh pihak Inggeris bagi mengurangkan pergeseran antara UMNO dengan Sultan Kedah. Sultan Kedah tersinggung apabila Dato’ Onn memaksa agar Inggeris meluluskan tuntutan UMNO untuk melantik Timbalan Pesuruhjaya Tinggi dari kalangan orang Melayu.

Jawatan ini sekaligus melebihi kuasa Raja-Raja Melayu yang pada ketika itu hanya berkuasa dalam hal ehwal agama dan adat istiadat. Bak kata pepatah ‘pelepah melampaui pucuk!’

Ketika menghadapi pilihan raya peringkat Majlis Perbandaran, Perikatan UMNO-MCA mencapai kemenangan bergaya. Tenaga guru-guru Melayu amat penting semasa berkempen dan menyuntik semangat ketuanan Melayu.

Gandingan Tunku dan Tun Razak mengubah corak politik di Tanah Melayu. Kita tidak dapat menafikan kerjasama rakyat dan institusi istana amat penting bagi membentuk kekuatan dan kestabilan negara.

Walaupun banyak gerakan nasionalisme pra-kemerdekaan sudah dimulakan oleh Ibrahim Haji Yaacob, Dato’ Onn, Dato’ Ishak Haji Muhammad, Dr. Burhanuddin al-Helmy, dan Dato Ahmad Boestamam, namun peranan Tunku dan Tun Razak pada dekad 1950-an lebih bermakna sebagai sasaran terakhir perjuangan nasionalisme.

Rujukan:
1. Tradisi Kempimpinan Berjiwa Rakyat. (Dharmala N.S.,2005)
2. Yayasan Kepimpinan Perdana.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Meminati bidang sejarah dan sains politik. Berkhidmat sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia. Berpegang teguh pada prinsip perkongsian dan penyebaran ilmu.

Comments are closed.