Kepercayaan Kepada Syaitan & Penularan Penyakit

533

Ketika Black D3ath m3mbvnuh jutaan manusia di Eropah pada kurun ke-14, syaitan sering dipersalahkan ke atas kejadian tersebut. Manusia mengambil masa beratus-ratus tahun sebelum dapat mengesan punca sebenar wabak tersebut. Kemunculan wabak sepanjang sejarah telah menarik penjelasan daripada kuasa ghaib.

Walaupun begitu, ahli antropologi amat sulit untuk menyokong hipotesis yang menghubungkan antara evolusi kepercayaan spiritual dengan amalan kesihatan awam. Namun, terdapat kajian baru yang dapat menyokong hipotesis tersebut.

Sepasukan penyelidik antarabangsa menemui bukti statistik yang memadankan antara kelaziman pelbagai patogen dengan taraf moral vitalism yang tinggi – dikenali sebagai kepercayaan terhadap kepercayaan spiritual antara baik dan jahat. Keputusan kajian mencadangkan bahawa dalam dunia di mana ejen halimunan penyakit tersebar tanpa kita sedari, moral vitalism dapat mengukuhkan fungsi tubuh yang menjadikan pencemaran dan penyebaran itu di tahap minimum. Fungsi tersebut merujuk pada sistem imun tingkah laku.

Dari zaman purba hingga ke zaman moden, banyak contoh yang menunjukkan gambaran hubungan antara syaitan dan penyakit sama ada dalam bentuk eksorsima individu ataupun eksorsima penghapusan terancang ke atas populasi, moraliti dan wabak.

Hubungan antara keduanya telah memunculkan pelbagai persoalan. Adakah penyebaran wabak memberikan kesan kepada evolusi kepercayaan-kepercayaan moral? Adakah kepercayaan-kepercayaan tersebut memberikan kesan kepada penyebaran patogen?

Sepasukan penyelidik melakukan beberapa kajian menganalisis data untuk mencari corak yang menunjukkan sama ada moral vitalism dapat mengurangkan risiko diserang penyakit berjangkit. Dua kajian pertama dibuat untuk melihat dengan jelas tentang ilmu sihir dan kepercayaan terhadap syaitan. Beberapa model digunakan untuk membandingkan kepercayaan ini dalam rangka pelbagai budaya dan hubungannya dengan kelaziman patogen seperti malaria, typus dan denggi. Mereka mendapati, hubungannya kuat. Semakin tinggi kelaziman wabak, semakin tinggi kepercayaan terhadap ilmu sihir, mata jahat dan syaitan.

Kajian ketiga dibuat dalam bentuk bancian yang besar pelbagai bangsa untuk menyukat moral vitalism dan tingkah laku kesihatan individu. Kajian ini bukan sahaja membolehkan penyelidik dapat memeriksa dengan lebih mendalam ke peringkat individu, tetapi dapat membantu mereka untuk mengawal pelbagai pemboleh ubah yang menghubungkan moral vitalism dan kelaziman patogen dalam sejarah.

Lebih 3,100 pelajar dari pelbagai universiti di 28 buah negara di seluruh dunia yang menyumbang pada hasil bancian hinggalah analisis terakhir. Bancian menunjukkan hubungan yang kuat antara kepercayaan ghaib dan tingkah laku dapat membantu mengelakkan diri dari diserang oleh patogen.

Kajian ini bukan mahu menunjukkan bahawa kuasa ghaib dapat menghindarkan diri daripada serangan penyakit. Tetapi kepercayaan manusia bahawa penyakit itu datang daripada kuasa ghaib seperti syaitan dan sihir, walaupun hakikatnya tidak, telah menyebabkan sistem tubuh berfungsi untuk melindungi diri daripada serangan penyakit berjangkit.

Hal ini sama seperti kesan placebo yang mana kepercayaan seseorang tentang ubat (walaupun bukan ubat sebenar) telah membantu tubuh menyembuhkan penyakit.

RUJUKAN:

  1. Bastian, B., Vauclair, C. M., Loughnan, S., Bain, P., Ashokkumar, A., Becker, M., … & Fischer, R. (2019). Explaining illness with evil: pathogen prevalence fosters moral vitalism. Proceedings of the Royal Society B, 286(1914), 20191576.

  2. The Unfortunate Scapegoats of the Black Death Were Mainly Heretics, Jews and Witches. https://historycollection.co/the-unfortunate-scapegoats-of-the-black-d3ath-were-mainly-heretics-jews-and-witches/

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.